Cukai Akhirat (3) – Tanyalah Ustaz 24.02.2013


Ustaz Halim Din

Bacaan ayat 9-11, surah Al-Munafiquun:


Kita berada dalam majlis ilmu agar dapat membebaskan diri daripada belenggu kejahilan.

Ayat tadi menggalakkan kita membelanjakan harta pada jalan Allah, dan tidak menunggu sehingga nyawa sampai di ghorgorah (kerongkong). Nabi SAW menyatakan yang dunia ini tempat beramal, dan hasilnya akan dituai diakhirat. Namun kebanyakan manusia akan menyesal setelah mati seperti yang disebut dalam ayat akhir surah An-Naba’:

Allah memberi peringatan tentang azab Allah yang dekat kepada mereka yang ingkar. Sebab itulah Nabi SAW menyuruh kita merebut 5 perkara sebelum 5 perkara iaitu:
  1. Muda sebelum tua
  2. Kaya sebelum miskin
  3. Lapang sebelum sibuk
  4. Sihat sebelum sakit
  5. Hidup sebelum mati
Nilai zakat (2.5%) itu sangat kecil berbanding jumlah seluruh rezeki dan nikmat yang Allah berikan pada kita. Tergamakkah kita makan yang mewah-mewah sedangkan ada orang yang tidak ada duit yang cukup pun untuk makan?

Manusia ini fitrahnya dijadikan bakhil. Dia bukan bakhil dengan orang lain sahaja, tetapi bakhil juga dengan diri sendiri dengan tidak mengejar untuk membanyakkan ibadah dan kebaikan. Contohnya, rumah di sebelah masjid, tetapi masih enggan solat berjemaah. Manusia biasanya berjanji akan menjadi lebih baik jika diberikan harta yang lebih oleh Allah. Namun, ramai yang berdusta dan lupa diri ketika sudah kaya.

Zakat di fardhukan pada tahun kedua Hijrah. Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud, “Kefakiran itu boleh membawa kepada kekufuran”. Nilai 2.5% itu sangat kecil - jika dipotong pada sebiji epal hanya sebahagian kecil perlu diberi pada orang lain, dan selebihnya (97.5%) dimakan sendiri.

Harta tidak memberi kebahagiaan dalam hidup, tetapi ketaatan kepada Allah yang membawa kebahagiaan. Oleh itu, Imam Ibnu Khaldun mendefinisikan bahagia itu sebagai taat dan patuh pada perintah Allah.

Nabi SAW menyatakan bahawa, “Sedekah itu akan menjadi bukti di akhirat nanti”. Ketika Isra’ Mikraj, Nabi SAW melihat satu golongan yang menanam dan menuai dalam masa yang singkat. Lalu Nabi SAW bertanya apakah pengajaran dari apa yang dilihatnya itu. Jibril pun menyatakan bahawa itu ialah golongan yang suka bersedekah ketika di dunia.

Orang yang enggan membayar zakat akan direndam dalam api neraka dan diseterika dengan harta tersebut di belakang, rusuk dan dahi mereka. Senang, susah, miskin, kaya – semuanya itu bentuk ujian daripada Allah. Oleh itu, marilah kita berebut-rebut untuk berbuat kebaikan.

Senarai soalan dan jawapan
S: Bagaimana pengiraan zakat pendapatan berjumlah RM3000 sebulan?
J: Kirakan semua jumlah pendapatan, contohnya jika ada rumah sewa, atau sumber pendapatan lain. Kemudian jumlah itu ditolak dengan perbelanjaan yang dibenarkan. Sekiranya jumlah yang tinggal melebihi nisab dan haul yang ditetapkan, maka dikira 2.5% daripadanya untuk dikeluarkan sebagai zakat.

S: Jika ada tanah yang bernila jutaan ringgit tapi tidak diusahakan dan tidak membawa hasil, adakah masih perlu membayar zakat?
J: Harta itu bersifat sebagai asset tetap (tidak membawa hasil) dan bukan asset cair. Oleh itu, tidak perlu dibayar zakat.

S: Saya membuat bayaran zakat melalui potongan gaji bulanan. Jumlah yang dipotong lebih daripada nilai sepatutnya untuk zakat pendapatan. Bolehkan nilai yang lebih itu diniatkan sebagai zakat simpanan atau emas yang lain?
J: Boleh, dan boleh juga diniatkan mengqada’ zakat-zakat sebelum ini yang masih tertunggak.

S: Bolehkah pendapatan pelaburan yang berpunca daripada sistem konvensional (riba) dizakatkan?
J: Nabi SAW suruh kita menjauhkan diri daripada perkara yang tidak jelas. Allah tidak menerima yang tidak baik. Oleh itu, keuntungan itu tidak boleh diambil dan tidak boleh diguna untuk membayar zakat.

S: Adakah emas yang digadai di tempat konvensional masih peru dizakatkan?
J: Zakat emas bergantung kepada kesempurnaan pemilikan emas, dan tidak mengambil faktor di aman it disimpan atau digadaikan.

S: Jika suami bergaji RM3000, isteri tidak bekerja dan mempunyai tanggungan yang ramai, adakah masih perlu bayar zakat?
J: Jumlah gaji setahun boleh ditolak dengan perbelanjaan yang dibenarkan. Sekiranya jumlah yang tinggal melebihi nisab dan haul yang ditetapkan, maka dikira 2.5% daripadanya untuk dikeluarkan sebagai zakat.

S: Apakah kesan orang yang tak bayar zakat?
J: Orang yang menunaikan zakat tidak akan rugi. “The more you give, the more you get”. “Mu bagi ke Ku, Ku bagi ke mu”.

S: Adakah duit yang diterima daripada anak-anak perlu dizakatkan oleh ibu yang menerimanya?
J: Duit itu menjadi milik sempurna ibu, dan jika jumlahnya melebihi nisab dan cukup haul, maka wajib dizakatkan.

S: Apa beza antara sedekah dan derma?
J: Ini umpama perbezaan antara ‘tidur’ dan ‘lena’ :).

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab