Kebersihan (2) – Tanyalah Ustaz 26.02.2013


Ustaz Mohd Hanafiah Abdul Malek


Bacaan surah Al-Asr:

Kata ulama, “Hidup ini umpama lilin. Semakin lama semakin pendek dan akhirnya akan padam”. Oleh itu, isilah hidup ini dengan amal soleh yang boleh membersihkan hati dan seterusnya memberi hati yang tenang. Jaga hidup agar bersih daripada dosa dan perkara yang sia-sia dengan menjaga masa kita.

Tidak cukup untuk kita saja menjaga kebersihan, kita perlu juga berpesan-pesan perkara yang sama kepada orang sekeliling kita. Inilah satu bentuk pesan kepada kebaikan. Biasanya bukanlah satu perkara yang mudah untuk menasihati orang kepada kebaikan, oleh itu perlulah berpesan dengan penuh kesabaran.

Nabi SAW bersih wajahnya kerana baginda menjaga wudhuk dan selalu menagis mengenangkan nasib umatnya. Nabi SAW juga telah mengajarkan sejak dahulu lagi untuk membasuh tangun sebelum makan, sebelum berwudhuk. Nabi SAW juga mengajar kita memotong kuku, membuang bulu-bulu di tempat yang sulit, dan menipiskan kumis dan merapikan janggut. Bagi lelaki, simpanlah janggut kerana ianya adalah satu sunnah yang boleh dibawa mati.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Apakah yang dimaksudkan dengan makanan bersih dalam Islam?
J: Segala makanan yang dihalalkan dalam Islam. Makanan perlu dibasuh dengan baik – contohnya dibasuh dan dibacakan selawat kepadanya. Orang Islam perlu beradab ketika makan dan mengikut sunnah agar tidak makan berlebihan. Kita dianjurkan makan ketika lapar, dan berhenti sebelum kenyang, tetapi ramai yang tak buat seperti itu. Orang Melayu banyaknya makan untuk kenyang, selagi tak kenyang, tak mahu berhenti. Ini perlu kita bersama ubah.

S: Kenapa anjing dan khinzir diharamkan?
J: Jawapan yang lebih mudah ialah – “Allah halalkan lebih banyak makanan daripada makanan yang diharamkan”. Sebagai umat Islam, kita wajib patuh tanpa bertanya kerana Allah Maha mengetahui. Walaubagaimanapun, saya pernah buat satu ujian ketika diminta memberi ceramah tajuk yang sama di Kanada. Sekeping daging khinzir yang beku di curahkan air berkarbonat, selepas setengah jam didapati ulat-ulat keluar daripada daging itu. Walaupun dibekukan, atau dimasak dengan digoreng atau dikukus dan sebagainya, ulatnya tidak mati. Jadi, jika dimakan, maka ulat itu akan hidup dalam tubuh badan dan menyebabkan masalah dalam kesihatan.

S: Bagaimana menjaga nenek yang sentiasa bernajis?
J: Sudah menjadi fitrah yang semakin tua, keupayaan manusia akan berkurangan. Oleh itu, boleh gunakan lampin pakai buang untuk memudahakan pengurusan kebersihan ibu atau nenek yang telah tua.

S: Sah tak solat jika ketika sedang solat, ada orang yang kotor datang solat di sebelah kita?
J: Kotor dan suci adalah 2 perkara berbeza. Selagi dia tidak bernajis, maka tiada masalah dan sah solat itu. Cuma, dia tidak beradab dengan Allah kerana tidak membersihkan diri sebelum datang solat.

S: Apa khasiat wudhuk?
J: Apa banyak hadis tentang kelebihan wudhuk – Antaranya jika diperbaharui wudhuk yang masih ada, maka seseorang itu akan mendapat ganjaran 10 kali ganda pada setiap langkahnya ke masjid. Selain itu, ada juga hadis yang menyebut bahawa wudhuk boleh menghapuskan dosa-dosa kecil. Ada juga doa yang boleh disebut ketika membasuh anggota-anggota wudhuk seperti yang diajarkan oleh Imam Al-Ghazali. Setiap tempat berharga ada kuncinya dan kunci syurga ialah doa selepas wudhuk. Maksud doanya ialah:
"Ya Allah jadikan aku orang yang suci, Ya Allah jadikan aku orang yang bertaubat, Ya Allah jadikan aku orang yang beramal soleh".



S: Apakah tujuan berkhatan?
J: Nabi SAW dilahirkan dalam keadaan sudah berkhatan. Jika tidak berkhitan (perempuan) atau berkhatan (lelaki), lebihan daging pada kemaluan itu akan menghalang najis keluar dengan sempurna. Oleh sebab itulah, ianya perlu dilakukan. Daripada pengalaman saya menjaga remaja yang mengandung sebelum nikah, ramai antara mereka yang ibu bapa lupa untuk mengkhitan mereka. Kerana tidak berkhitan, nafsu mereka lebih tinggi berbanding dengan mereka yang dikhitankan.

S: Kenapa orang putih nampak suci dan orang hitam nampak kotor?
J: Kita tak boleh kata begitu. Walaupun hitam, ada peribahasa kita menyebut yang “Hitam-hitam si tampuk manggis, walaupun hitam ku pandang manis”. Sahabat Nabi SAW iaitu Bilal, walaupun hitam rupanya, Nabi SAW mendengar bunyi terompahnya di syurga kerana kerajinannya mengambil wudhuk dan melakukan solat sunat selepas wudhuk. Ada beza cahaya orang yang berkulit gelap tapi berwudhuk, dengan orang berkulit gelap yang tak pernah berwudhuk.

S: Bagaimana mensucikan tilam yang terkena najis?
J: Buang najis yang nampak zahir dan kemudian lalukan dengan air sehingga hilang rupa, bau dan tandanya. Kemudian, selawatlah 3 kali. Jangan main sembur dengan penyembur ‘xyz’ sahaja.

S: Apakah yang perlu dilakukan ketika bersin?
J: Bersin merupakan perbuatan pertama yang berlaku pada Nabi Adam ketika dihidupkan dan perkataan pertama yang disebutnya ialah “Alhamdulillah”. Oleh itu, kita mesti sebut yang sama ketika bersin, dan bukannya sebut “Excuse me”. Ketika bersin, jantung kita berhenti sekejap. Oleh itu, kita mesti bersyukur dengan mengucapkan Hamdallah kerana diizinkan jantung kita berdegup semula.

Kesimpulan:
Jaganlah kebersihan sepertimana Nabi SAW menjaga kebersihan. Nabi SAW sangat suka bersiwak. Lelaki dan perempuan boleh bersiwak. Bersiwak dapat memberi kesihatan kepada gigi. Gigi merupakan pagar utama untuk makanan masuk ke dalam perut. Pastikan hanya makanan halal dan bersih saja yang kita makan.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab