"Semakin diuji, semakin terserlah kesantunannya' - Perbahasan tafsir ayat 9-13, surah Ali Imran, MTDM 25.01.2013


Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid


Perbahasan ayat 9:

Orang yang mengucapkan ayat (dan doa daripada ayat 8) ini ialah orang yang rosih (orang yang mantap dan kuat ilmunya). Golongan ini ketika diberi ayat muhkaam, dan mutasyabih, mereka patuh pada keduanya. Mereka ini takut jika hati mereka yang pada asalnya percaya, berubah dan terpesong menjadi sebaliknya. Oleh sebab itu, mereka berdoa agar tidak dipesongkan hati mereka. Orang yang kuat imannya takut pada Allah, dan takut apabila memikirkan penghujung kehidupan yang hanya diketahui oleh Allah. Mereka takut jika hati mereka tergelincir di hujung kehidupan. Hati manusia itu berada di antara 2 'jari' Allah dan amatlah mudah dibolak-balikkan, jika Allah menginginkannya. Sebab itulah hati mudah berubah-ubah - hari ini suka/baik, esok tak suka/baik, hari ini tak suka/baik, esok boleh suka/baik.

Firman Allah dalam surah Al-Jathiya, ayat 23:

Sesat orang berilmu adalah lebih teruk berbanding sesat orang tak berilmu. Kaum Yahudi tahu akan kedatangan Nabi SAW kerana sifat-sifatnya telah digambarkan dengan jelas dalam kitab mereka.  Allah berfirman bahawa mereka mengenali Nabi SAW lebih daripada mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Ramai antara mereka yang masuk Islam, bukan kerana ajakan Nabi SAW, tetapi kerana ciri-ciri yang mereka lihat pada Nabi SAW, seperti yang mereka pelajari daripada kitab Taurat mereka. 

Salah seorang daripadanya ialah Zaid Ibnu Sa’na. Dia tahu bahawa salah satu sifat Nabi ialah sangat penyantun, dan jika dia dicabar, maka akan makin bertambah santunnya. Oleh itu, Zaid mencabar Nabi SAW yang ketika itu ada berhutang dengannya. Dia pergi kepada Nabi SAW menuduh yang Nabi SAW sengaja melewatkan bayaran hutangnya, padahal waktu penjanjian pembayaran masih belum tiba ketika itu. Nabi SAW bersama Umar ketika itu dan baginda tidak berkata apa-apa. Umar yang tidak tahan dan berkata, “Jika tidak kerana perjanjian Hudaibiyah, aku sudah potong lidah kamu”. 

Kemudian, Nabi SAW pun berkata, “Umar, yang aku perlukan dan dia perlukan bukan apa yang kamu cakap tadi. Yang aku perlukan ialah kamu tegur agar aku bayar hutang segera, dan nasihatkan dia agar minta hutang dengan sopan, tidak perlu guna perkataan kasar”. Kemudian, Nabi SAW menyuruh diambil 20 sak kurma (1 sak hampir 3kg -> jumlah 60kg) yang dihutangi dan digandakan lagi sebanyak 20 sak, kerana Umar telah menakutkan Yahudi dengan perkataannya. 

Walaupun geram, Umar membawakan kurma itu, dan Zaid bertanya jika Umar mengenalinya. Setelah disebut namanya, barulah Umar teringat yang nama itu ialah nama seorang ulama Yahudi. Zaid menceritakan tujuan dia berbuat begitu adalah untuk menguji kebenaran apa yang ditulis dalam kitabnya. Menurut kitab Taurat, dikatakan jika Nabi SAW ialah Nabi akhir zaman, semakin dia diuji, maka akan menjadi semakin santun. Kesabarannya akan mengatasi emosinya. Bagi kita manusia biasa, ada had sabarnya. Tetapi bagi Nabi SAW, semakin diuji akan menjadi semakin sabar. Dalam Al-Quran, kita disuruh bersabar, dan  berlatih untuk bersabar dan itu berat untuk dilakukan. Zaid pun akhirnya masuk Islam kerana sifat yang dikatakan dalam Taurat dapat dibuktikan ada pada Nabi SAW.

Namun begitu, ramai juga kaum Yahudi lain yang tahu tentang kenabian Nabi SAW, tapi masih angkuh menolak kebenaran kerana mengikut hawa nafsu mereka. Inilah yang dikatakan menjadikan hawa-nafsu sebagai Tuhan. Ini jugalah golongan yang berilmu (tahu tentang kenabian) tapi masih enggan menerima hakikat kebenaran.

Inilah kepentingan memohon doa agar tidak dipesongkan hati (seperti ayat 8 surah yang sama). Orang yang berilmu pun mengamalkan doa ini, apatah lagi orang yang kurang ilmunya.

Sesungguhnya Engkau yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk menerima balasan, pada hari yang tiada syak padanya.
Kiamat pasti berlaku, dan tidak bergantung pada umur seseorang. Oleh itu, jangan dianggap ianya takkan berlaku kerana tidak ditemui ketika seseorang itu hidup.

Perbahasan ayat 10 dan 11:

Orang kafir bangga dengan anak-anak dan harta mereka. Mereka berasa yakin untuk berbuat apa-apa saja dengan kedudukan yang mereka miliki. Namun, Allah katakan bahawa semua itu tidak boleh dijadikan sandaran yang memberi perlindungan kepada mereka, bahkan itu semua menjadi ‘waqud’ . Apa itu ‘waqud’? Itulah bahan bakar yang terdiri daripada orang-orang kafir sendiri.


Seterusnya Allah berikan contoh orang-orang terdahulu yang derhaka kepada Allah seperti Firaum, kamu "Adth dan sebagainya.

Perbahasan ayat 12:

Orang kafir yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah orang Yahudi. Selepas perang Badar yang dimenangi oleh pihak Islam, Nabi SAW pergi kepada kaum Yahudi dan menyeru mereka untuk beriman kepada Allah. Walaupun mereka tahu kebenaran kenabian seperti yang dikhabarkan dalam kitab Taurat mereka, mereka ingkar juga kerana tidak dapat menerima hakikat yang Nabi SAW tidak berasal daripada kaum mereka. Bangsa Yahudi mendakwa diri mereka merupakan rakyat Allah (mendakwa diri mereka anak-anak Allah) dan dengan itu, mereka mendapat keistimewaan lebih daripada Allah. Kaum lain dianggap kurang mulia berbanding mereka dan merupakan penolong kepada mereka.

Orang Yahudi terbahagi kepada 2 kelompok:
  • beriman kepada Nabi SAW, dan
  • Kelompok ‘Isawiyyah – mereka berasa cukup dengan beriman kepada Nabi Isa sebelum itu. Mereka percaya akan kehadiran Nabi akhir zaman, tapi mesti datang daripada kaum mereka sendiri. Nabi SAW adalah untuk orang Arab sahaja.

Baginda mengajak kaum Yahudi masuk Islam, dan mereka berkata, “Ketika perang Badar, kamu berdepan dengan orang yang tak pandai berperang. Tapi kalau kamu berdepan dengan kami, kamu akan tahu siapa kami”. Lalu, Allah jawab dalam ayat ini dengan mengatakan yang mereka (kaum kafir) akan dikalahkan di dunia dan diakhirat nanti dihimpunkan di seburuk-buruk tempat kembali iaitu neraka.

Perbahasan ayat 13:

Dalam ayat ini, Allah gunakan perkataan ‘bertemu’, sedangkan mereka sebenarnya berperang, kenapa? Jika perkataan  ‘berperang’ digunakan, ia boleh juga membawa makna berperang pada jarak yang jauh. Tetapi ‘bertemu’ dalam ayat ini menunjukkan yang mereka berperang berhadapan - satu lawan satu. Inilah ketelitian penggunaan perkataan dalam Al-Quran.

Dalam perang Badar, kaum muslimin cuma ada 8 pedang, 3 atau 4 pasang baju besi, tombak dan kayu, 70 unta, 2 ekor kuda kerana sebenarnya mereka keluar bukan untuk tujuan berperang. Lawan mereka ialah 900 (atau lebih) orang musyirikin yang lengkap peralatan peperangannya.

"Mereka melihat orang-orang Islam dengan padangan mata biasa dua kali ramainya.."
Ayat ini boleh jadi orang muslimin melihat kepada orang musyrikin dan sebaliknya. Ini kerana iblis juga boleh menyertai perbarisan orang musyrikin dan menjadikan mereka kelihatan ramai. Kaum muslimin pula disertai malaikat yang menjadikan mereka nampak lebih ramai.

“..dan Allah menguatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya, dengan memberikan pertolongan-Nya”

Bahagian ayat ini ditujukan kepada kaum Yahudi yang berlagak sombong untuk memerangi Nabi SAW. Ayat ini menjadi jaminan pertolongan kepada kaum muslimin terhadap peperangan dengan kaum kafir.

Untuk rujukan video asal, sila layari Darul Murtadza

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab