Mencari Hidayah (1) - Tanyalah Ustaz 06.02.2013
Ustaz Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim
Bacaan surah Al-Qasas, ayat 56-57:
Alhamdulillah dapat bertemu dalam majlis untuk saling
ingat-memperingati.
Ayat yang dibacakan tadi menunjukkan jelas bahawa hidayah
milik mutlak Allah. Tetapi hidayah boleh dicari jika kena caranya. Nabi
Muhammad SAW sangat sedih kerana bapa saudaranya, Abu Talib, tidak masuk Islam
walaupun bapanya itu sangat mengasihi dan menjaganya. Oleh sebab itu,
diturunkan ayat 56, di mana Allah nyatakan bahawa Nabi SAW tidak dapat memberi
hidayah kepada orang yang dikasihnya. Hidayah juga boleh ditarik balik
seandainya kita tidak menjaganya dengan baik. Dalam ayat 57 pula, Allah
mengingatkan agar kita tidak menjadi seperti orang kafir Quraisy yang tidak
mahu menerima Islam kerana takut kehilang harta-benda dan takut Islam
menyusahkan kehidupan mereka dengan peraturan-peraturannya.
Senarai soalan dan
jawapan:
S: Apakah yang boleh dilakukan untuk mendapatkan hidayah?
J: Imam Ghazali r.a. memberikan beberapa garis panduan
iaitu:
1. Banyakkan berdoa – ini merupakan asas yang paling penting.
Inilah pesan Allah SWT agar Nabi SAW memberitahu kepada kita bahawa Allah itu
dekat dan Allah mengkabulkan doa hamba-hambanya. Oleh itu, amalkan doa berikut:
Maksudnya, “Ya Allah Ya Tuhanku, Aku memohon kepadaMu
hidayah daripada-Mu, dan kekal dengan ketaqwaan, dan suci daripada maksiat, dan
kesenangan di dunia dan akhirat”.
Nabi SAW mengajar agar kita meminta kesenangan di dunia dan
akhirat. (p/s: Maklumat lanjut tentang doa ada saya jumpa di sini)
2. Perlu mujahadah iaitu dengan memperbaharui niat untuk
mendapat hidayah setiap masa.
3. Menunaikan suruhan dan meninggalkan larangan Allah SWT.
S: Ada orang kata untuk dapat hidayah, perlu istiqamah. Mohon ustaz
jelaskan.
J: Betul. Antara yang perlu dilakukan ialah membaca
Al-Quran. Kita perlu baca setiap hari, bukannya setahun sekali sahaja. Inilah
satu bentuk mujahadah – berterusan melakukan ibadah yang Allah suka. Begitu
juga dengan amalan lain yang wajib dan yang sunat. Kedua, perlu putuskan
hubungan dengan segala perkara maksiat.
S: Bolehkah seseorang dapat hidayah sedangkan dia masih berterusan
buat dosa?
J: Secara umumnya, Allah tidak beri hidayah kepada orang
yang tak bersungguh-sungguh dan pada orang yang berterusan melakukan maksiat
pada Allah, kecuali kepada mereka yang bertaubat kepada Allah dengan taubat
Nasuha.
S: Adakah benar orang yang tidak mengenali Allah tidak akan mendapat
hidayah?
J: Benar, buktinya, dalam surah Al-‘Araf, ayat 180:
Allah ada 99 nama. Contohnya: Ar-Rahman iaitu Maha Pengasih
untuk semua makhluk. Ar-Rahim pula Yang Maha Penyayang dan khusus untuk orang
Islam sahaja. Oleh itu, tak perlulah kita dengki dengan kelebihan yang Allah
beri pada orang bukan Islam di dunia. Allah ingin menguji kita. Kadang-kadang
Allah beri kekayaan, tapi Allah tak beri hidayah.
S: Apakah asas-asas terpenting untuk mendapat hidayah Allah?
J: Pertama: Taat kepada Allah, patuhi suruhan dan tinggalkan
larangan. Kedua: taat kepada Rasulullah SAW. Dua ini pun sudah cukup jika
betul-betul diamalkan.