Indahnya Syariat Zakat (3) – Tanyalah Ustaz 06.05.2012
Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman
Bacaan surah Ma’un, ayat 1-7:
[1]
Tahukah engkau akan
orang yang mendustakan ugama (meliputi hari pembalasan)?
[2]
Orang itu ialah
yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim,
[3]
Dan ia tidak
menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.
[4]
(Kalau orang yang
demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan ugama), maka
kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang -
[5]
(laitu) mereka yang
berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya;
[6]
(Juga bagi) orang-orang yang
berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya),
[7]
Dan orang-orang
yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya).
Allah bukan saja beri kita sesuatu yang boleh menjana
kehidupan di dunia, bahkan Allah juga menurunkan syariat-syariat untuk
menunjukkan kita cara-cara untuk membelanjakan harta ke jalan yang Allah
redhai. Allah janjikan gandaan rezeki kepada orang yang membelanjakan harta
kepada jalan Allah. Setiap kebaikan ynag kita lakukan akan kembali kepada kita
juga. Allah Maha Kaya dan tidak memerlukan apa-apa daripada kita.
Nabi SAW sangat galakkan kita supaya sayang kepada orang
miskin. Ketika Nabi SAW duduk bersama isteri-isterinya, Aisyah bertanya:
“Siapakah di antara kami yang paling cepat bersamamu di hari akhirat nanti?
Nabi menjawab “Siapa yang paling panjang tangannya di kalangan kamu.” Lalu bagunlah
isteri-isteri Nabi SAW dan mendepakan tangan masing-masing untuk diukur. Lalu
Nabi SAW pun tersenyum dan berkata, “Bukan ini yang aku maksudkan, tetapi yang
aku maksudkan siapa yang panjang tangannya untuk sampai kepada orang miskin”.
Daripada surah Al-Ma’un tadi ada disebut tentang orang yang
menghalang bantuan kepada orang miskin. Janganlah kita termasuk dalam golongon
ini dengan menghalang pembayaran zakat daripada sebahagian harta kita yang
sebenarnya hak mereka.
Soalan & Jawapan:
S: Saya buat pinjaman untuk pelaburan ASB. Bagaimana
perkiraan zakatnya?
J: Untuk sebarang bentuk pinjaman yang digunakan untuk
pelaburan dan pinjaman perlu dibayar ansuran setiap bulan - jika bayaran
bulanan mengurangkan nisab zakat, maka tidak perlu zakat. Jika sebaliknya, baru
kena kira zakat. Dalam keputusan awal yang diambil mengatakan tak perlu bayar zakat
sebelum wang ASB itu matang. Namun, perbincangan baru menunjukkan bahawa tujuan
asal pinjaman adalah untuk mengembangkan harta dan ianya bukanlah satu
keperluan mendesak, jadi jika cukup nisab dan haul, wajib dizakatkan. Biasanya
pinjaman untuk melabur ASB datang daripada bank konvensional dan mengandungi unsur
riba. Membuat pinjaman yang mengandung riba seolah-olah kita berperang dengan
Allah dan Rasul-Nya. Jadi saya nasihatkan ikhlas dari hati supaya berhati-hati
dan perbaiki jika telah melakukan kesilapan.
S: Saya ada barang kemas, dan digadai. Jadi perlukah
dizakatkan?
J: Ada 2 jenis orang gadai emas: Mengikut pandangan Sheikh
Muhammad Salleh dalam fatwa berkaitan zakat: Sesiapa yang gadai, dan emas
berada sepanjang tahun sehingga berlalu haul pada pemajak, dia tetap kena bayar
zakat, kerana dia pemilik sempurna. Ada orang menggadai emas untuk menjana
modal kewangan dan ada orang menggadai kerana sudah tidak memiliki apa-apa.
Jadi melihat kecederungan ini, setakat ini pihak zakat mengambil keputusan
bahawa emas yang digadai tidak dimiliki secara sempurna oleh pemiliknya, jadi
tidak perlu dizakat sehingga ditebus balik.
S: Adakah bayaran zakat secara potongan bulanan sah?
J: Zakat ada dua syarat: Niat dan bayaran. Untuk niat, ketika
membenarkan pemotongan duit itu sudah pun dikira sebagai niat dan dianggap
sempurna.
S: Adakah saham yang dimiliki dan belum dijual perlu
dizakatkan dan bagaimana perkiraannya?
J: Bila kita beli saham, niatnya adalah untuk melabur, jadi
ada nilai zakat perniagaan di situ. Ada orang jenis beli sekali dan tunggu saja
setiap tahun laporan tahunan saham itu. Jadi tetap wajib zakat walaupun tidak
dijual. Pengiraan perlu dibuat berdasarkan harga semasa ketika zakat ingin
dikeluarkan.
S: Saya ada barang kemas yang cuma dipakai pada hari raya,
perlukah dizakatkan?
J: Zakat wajib dibayar jika cukup ‘uruf walau dipakai
setahun sekali.
S: Bolehkah menggunakan wang dividen KWSP untuk membayar
zakat kerana ada yang mengatakan hasilnya daripada sumber yang syubhah?
J: Saya
nasihatkan lihat website Dr. Zaharuddin tentang penjelasan kedudukan KWSP.
Sebenarnya apa sahaja yang dilakukan oleh KWSP bukan tanggungan kita, kerana
kita diwajibkan mencarum, dan ia bukannya satu pilihan. Jadi zakat KWSP akan
dikira sepenuhnya pada waktu ia dikeluarkan.
S: Bolehkan bayar zakat pada isteri?
J: Isteri merupakan ahli nafkah, tidak boleh terima zakat
daripada suami.
S: Ada yang kata jika barang kemas selalu dipakai tidak
perlu dizakat walaupun melebihi nisab?
J: Zakat emas perlu dibayar jika melebihi keperluan (150g).
Tujuan zakat dibayar adalah untuk mengelakkan orang miskin yang melihat emas
yang berlebihan berasa hasad kepada si pemakai.
S: Sahabat menerima harta peninggalan banyak dalam bentuk
hartanah. Dia was-was sama ada harta itu datang daripada sumber halal atau tidak.
Jadi, perlukah dizakatkan?
J; Apabila menerima harta pusaka, kita tak perlu lihat
sumbernya. Tak perlu dipersoalkan sumbernya dan jika ada dosanya tidak akan mengikuti
pemilik baru. Tanah, rumah, jika tidak mendatangkan hasil, walaupun nilainya
jutaan ringgit, tidak dikenakan zakat. Tetapi jika rumah atau tanah disewakan,
zakat daripada hasil sewaan itu perlu dikeluarkan.
S: Bagaimana dengan orang yang suka menangguh-nagguhkan
zakat? Benarkah orang yang tidak bayar zakat akan disempitkan rezeki?
J: Dalam satu hadis,
Nabi berkata bahawa takkan bergabung sifat kedekut dengan iman dalam
hati seorang hamba buat selama-lamanya. Jadi orang yang betul-betul beriman, dia
takkan kedekut. Allah SWT juga berfirman yang maksudnya orang yang bakhil
dengan hartanya akan dibelenggu dengan harta tersebut di akhirat nanti. Allah
juga menyuruh kita agar bersegera melakukan sesuatu amalan. Jadi orang yang menangguhkan
zakat kerana lalai dan sengaja, dia dianggap leka. Jika dia mati, dia mati
dalam keadaan mengingkari perintah Allah SWT. Bak kata Imam Yusuf Al-Qardawi: ‘Hidup
bukan milik kita, tapi milik Allah SWT. Maka tunaikanlah perintah Allah
seolah-olah kita tidak boleh buat lagi pada esok hari’. Jangan ada rasa kedekut. Harta itu
bukan milik kita, dan jangan halang hak orang. Menghalang pembayaran zakat akan
memusnahkan (menyempitkan) hartanya sendiri. Penyelesaian masalah orang lain
seperti orang yang susah, orang berhutang dan sebagainya berada dalam tangan
kita. Banyak lagi ancaman yang Allah beri kepada orang yang simpan harta tanpa
membelanjakan pada jalan Allah. Harta tersebut akan datang di akhirat dalam
bentuk ular yang besar. Jadi mari kita benarkan janji Allah kerana Allah
berjanji barang siapa yang memberi dan bertaqwa, dan dia membenarkan kebaikan
Allah yang dia dapat, akan dipermudahkan jalan untuknya ke syurga. Barangsiapa
yang bakhil dengan hartanya dan sentiasa membangga diri dengannya, dan dia
mendustakan kebaikan yang Allah beri, maka akan dipermudahkan jalannya untuk ke
neraka. Jadi gunakanlah harta yang Allah beri untuk kemudahan di akhirat,
bukannya kecelakaan di akhirat. Jangan kita tangguhkan hak orang lain, kerana
Allah juga boleh tangguh hak kita pula.