Kejadian Nabi Adam a.s (2) - Tanyalah Ustaz 29.05.2012
Ustaz Dato’ Abu Hassan Din
Nabi Adam diciptakan di dalam syurga, dalam keadaan yang
penuh kenikmatan tanpa apa-apa suruhan atau larangan. Namun Allah melarang Nabi
Adam memakan buah khuldi untuk mengujinya.
Proses penciptaan manusia semuanya sama seperti kejadian
Nabi Adam a.s, kecuali beberapa kejadian ‘nadir’. Nadir berlaku apabila
contohnya jari ada 6, atau 4 dan sangat jarang berlaku. Kebijaksanaan Allah
bukan terletak pada harta yang banyak, tapi pada kebolehannya mencipta kejadian
manusia dan seluruh isi alam. Sebagai contoh, perhatikan buah rambutan sahaja
ada banyak jenis, bentuk, warna dan rasa yang berbeza. Begitu juga durian,
orkid dan banyak lagi contoh lain.
Senarai soalan dan jawapan:
S: Adam dijadikan daripada tanah, jin daripada cahaya, iblis
daripada api. Bagaimana pula dengan haiwan?
J: Wallahu’alam. Saya tidak ada berjumpa nas yang menyebut
tentang pencipataan haiwan daripada apa. Tetapi dalam surah Yaasin, ayat 82
yang bermaksud. “Sesungguhnya keadaan
kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman
kepada (hakikat) benda itu: " Jadilah engkau! ". Maka ia terus
menjadi”. Jadi apa-apa yang Allah kehendaki, maka sesuatu itu akan terjadi.
S: Saya ada mendengar pendapat yang mengatakan bahawa Nabi
Adam itu tinggi berhasta-hasta. Jika benar kenapa cucu Nabi Adam kecil-kecil
belaka?
J: Benar, itu diceritakan dalam satu hadis sahih yang
diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud, “Allah menciptakan Nabi Adam
setinggi 60 hasta.” Dalam hadis ini juga disebut bahawa orang yang akan masuk
syurga akan dijadikan setinggi Nabi Adam. Ada juga pendapat mengatakan yang
rupa penghuni syurga akan dijadikan seperti rupa Nabi Yusuf. Seterusnya Nabi
Muhammad SAW juga pernah mengusik seorang tua dengan mengatakan yang orang tua
sepertinya tidak akan masuk syurga. Makcik tua itu menangis lalu Nabi SAW menyatakan
bahawa semua orang yang masuk syurga akan dimudakan kembali menjadi 33 tahun. Sejak
kejadian Nabi Adam, ketinggian keturunannya semakin lama semakin dikurangkan.
Begitu juga dengan umur. Ketinggian kita hari ini tinggal 4 hasta sahaja.
S: Ada pendapat mengatakan semasa penciptaan Nabi Adam,
rohnya ditiup melalui hidung. Jadi ketika roh keluar, adakah akan melalui
hidung juga?
J: Tiada nas yang menyebut tentang tempat masuk roh. Cuma
ada satu hadis meriwayatkan ketika Nabi Adam dicipta, setelah roh ditiup,
anggota pertama yang terbentuk ialah dua lubang hidung. Oleh sebab itu, ulama
berpendapat yang ada kemungkinan roh ditiup melalui hidung. Jadi bagaimana pula
roh keluar? Dalam surah Al-“Alaq, ayat 15, Allah berfirman yang bermaksud:
“Jangan sekali-kali
berlaku derhaka! Demi sesungguhnya jika ia tidak berhenti (dari perbuatannya
yang buruk itu), nescaya Kami akan menyentap ubun-ubunnya (dan menyeretnya ke
dalam neraka).”
Daripada ayat di atas, ada ulama berpendapat roh mungkin
keluar melalui ubun-ubun. Namun ada pendapat mengatakan bahawa ayat itu hanya
untuk Abu Lahab. Nabi SAW ada bersabda dalam hadisnya yang panjang yang
ringkasannya bermaksud, “Roh akan mengalir keluar seperti mengalirnya air
keluar daripada bekas.” Namun, tidak pula disebut tempat roh keluar daripada
mana. Jadi saya pun tak boleh jawab.
S: Kenapa Hawa tidak dijadikan daripada tanah, tetapi
daripada tulang rusuk Adam?
J: Ulama ada mempertikaikan sumber kejadian Hawa. Ada yang
kata Hawa dijadikan daripada tulang rusuk lelaki dan ini dibuktikan melalui
bukti sains. Apabila dikira bilangan tulang rusuk lelaki, betul kurang satu dan
dikatakan daripada itulah dijadikan wanita. Dalam satu hadis, Nabi SAW bersabda
yang bermaksud, “Perempuan itu dijadikan daripada tulang rusuk yang paling
bengkok. Jika kamu cuba memperbetulkannya, ia akan patah. Jika kamu biarkannya,
ia akan terus bengkok.” Tetapi ada pula ulama yang mengatakan bahawa ‘tulang
rusuk’ ini cuma simbolik sahaja.
S: Ketika Nabi Adam dihidupkan, kenapa Allah perintahkan
semua malaikat menyembah Adam sedangkan makhluk sepatutnya hanya menyembah
Allah, bukan makhluk?
J: Ketika Nabi Adam dihidupkan, hidungnya terbentuk dan dia
bersin. Setelah bersin, dia menyebut “Alhamdulillah”. Lalu Allah menjawab “Ya
harmukallah”. Kemudian Allah perintahkan Adam memberi salam kepada para
malaikat. Jadi perkataan kedua yang Nabi Adam sebut ialah “Assalamualaikum”.
Seterusnya Allah perintahkan semua malaikat untuk sujud kepada Adam. Namun
sujud ini bukanlah sujud seperti kita solat, tetapi sekadar tunduk hormat. Kita
boleh tunduk hormat sesama manusia selagi tidak serendah melakukan rukuk. Jadi
ini menunjukkan manusia lebih hebat daripada malaikat. Tetapi manusia yang
hebat kenalah manusia seperti Nabi Adam atau nabi-nabi lain dan Nabi Muhammad
SAW.
S: Berapa lamakah jarak antara kejadian Adam dan Hawa?
J: Saya belum berjumpa jarak antara kejadian Adam dan Hawa.
Ulama ada membincangkan adakah sama syurga yang kita akan masuk dengan syurga
tempat Adam dan Hawa dulu. Ada disebutkan jika kita masuk ke dalam neraka –
satu hari bersamaan dengan seribu tahun di dunia. Jadi ukuran masa di syurga
tidak sama seperti ukuran masa kita hari ini. Apa yang diceritakan ialah
setelah dicipta, Adam berasa kesunyian. Dalam riwayat diceritakan, Allah
tidurkan Adam, lalu Allah ambil tulang rusuknya dan jadikan Hawa disebelahnya.
Setelah sedar dari tidur, Hawa sudah ada di sebelahnya. Namun tidak dinyatakan jarak
masa yang berlalu ketika Adam tidur.
S: Apa komen ustaz tentang teori Darwin?
J: Ini merupakan teori orang Orientalis yang mengatakam
manusia dijadikan daripada monyet. Namun, kita berpegang dengan ayat 59, surah Ali-Imraan,
yang bermaksud:
“Sesungguhnya
perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian)
Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya:
"Jadilah engkau!" maka menjadilah ia.”
Kita perlu percaya ayat Al-Quran daripada kata-kata manusia.
S: Kenapa Allah melarang Adam dan Hawa memakan buah khuldi
di syurga?
J: Mereka diuji dengan larangan memakan sejenis buah.
Dikatakan bahawa Hawa makan dahulu dan tidak jadi apa-apa. Kemudian, Hawa pujuk
Adam untuk memakan buah tersebut. Setelah Adam memakannya, ketiga-tiga – Adam,
Hawa, dan iblis dihalau keluar daripada syurga. Jadi sebab mereka dihalau
adalah kerana melanggar perintah Allah yang melarang mereka memakan buah itu.
S: Adakah benar pendapat yang menyatakan Nabi Isa disalib
untuk menebus dosa Nabi Adam?
J: Itu kepercayaan orang Nasrani. Tetapi dalam kepercayaan
Islam, pertama sekali, Allah sebut bahawa Nabi Isa tidak disalib. Orang yang
disalib itu mukanya sahaja menyerupai Nabi Isa, sepertimana firman Allah dalam surah
An-Nisa’ yang bermaksud:
[157] “Dan juga
(disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan: "Sesungguhnya kami telah
membunuh Al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasul Allah". Padahal mereka tidak
membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang - salib), tetapi diserupakan
bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa). Dan Sesungguhnya
orang-orang yang telah berselisih faham, mengenai Nabi Isa, sebenarnya mereka
berada dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya). Tiada
sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut
sangkaan semata-mata; dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin.”
[158] “Bahkan Allah
telah mengangkat Nabi Isa kepadaNya; dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana.”
Yang kedua, dalam Islam seseorang tidak
dipertanggungjawabkan atas kesalahan orang lain. Ada diriwayatkan bahawa Adam
menyesal selama 40 tahun kerana kesalahan yang dilakukan lalu Allah mengajar
Adam cara bertaubat dan Allah mengampunkan kesalahan dan menerima taubatnya
seperti yang disebut dalam surah Al-Baqarah, ayat 37 yang bermaksud:
“Kemudian Nabi Adam
menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang
diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dia lah yang
Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.”