Remaja Berilmu & Beramal (2) – Tanyalah Ustaz 31.05.2012
Ustaz Zamri Zainuldin
Bacaan surah Al-Kahfi ayat 13-14 yang
bermaksud:
[13] Kami ceritakan kepadamu (wahai
Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu
orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi
mereka dengan hidayah petunjuk.
[14] Dan Kami kuatkan hati mereka
(dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan
tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan
mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah
Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya
bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari
kebenaran."
Ayat yang dibacakan tadi merupakan
pengiktirafan Allah terhadap Ashabul-Kahfi, iaitu 7 orang anak muda.
Mereka ini orang muda, remaja yang mengatakan bahawa Allah itu benar
dan mereka dikejar, lalu mereka bersembunyi bersama anjing-anjing
mereka di dalam sebuah gua. Allah menidurkan mereka selama 309
mengikut satu riwayat, sebelum dibangkitkan semula. Banyak lagi kisah
pemuda hebat dalam Islam. Contohnya Salahuddin Al-Ayubi yang
merupakan pemimpin dan pahlawan Islam terkemuka juga merupakan
seorang pemuda ketika mengetuai peperangangan dan membuka Baitul
Maqdis. Muhammad Al-Fateh juga membuka Konstantinopel ketika berumur
belasan tahun dan masih lagi remaja. Nabi Muhammad SAW mengatakan
bahawa pembuka kota Konstatinopel merupakan sebaik-baik pemimpin, dan
pengikutnya merupakan sebaik-baik pengikut. Penonton di studio
bersama hari ini merupakan remaja-remaja yang baik juga dan sukakan
ilmu.
Senarai soalan & jawapan:
S: Bolehkah berdoa dalam Bahasa Melayu
ketika sujud?
J: Nabi menegaskan dalam satu hadis
yang bermaksud, “Sedekat-dekat manusia kepada Allah ialah ketika
sujud.” Oleh sebab itu dianjurkan untuk banyak berdoa ketika kita
sujud. Jika doa itu di dalam bahasa Arab, bolehlah dilafazkan. Jika
dalam bahasa lain, cukuplah sekadar di dalam hati. Allah tidak pernah
marah jika kita suka meminta, jadi banyakkanlah meminta pada Allah.
S: Adakah isteri dikira derhaka
sekiranya tidak diizinkan oleh suaminya untuk tinggal bersama ibunya?
J: Sebagai manusia, kita patut taat
yang pertama Allah dan kedua Rasul. Orang ketiga yang kita perlu taat
pula berbeza mengikut jantina dan status. Bagi anak lelaki dan
perempuan yang belum berkahwin, orang ketiga yang wajib ditaati ialah
ibu. Bagi perempuan yang sudah berkahwin pula, orang ketiga yang
perlu ditaatinya ialah suaminya. Oleh itu ibu perlu faham bahawa anak
perempuannya perlu mentaati suaminya melebihi ibunya. Namun, sebagai
anak, isteri perlulah pandai memujuk suami untuk kerap melawat ibunya
sendiri dan supaya ibu tidak dilupakan terus.
S: Apakah hukum menulis dan menggunakan
tangkal?
J: Berkenaan tangkal, Islam memandang
tangkal dalam dua perkara. Pertama: Nabi SAW ada bersabda dalam hadis
yang bermaksud, “Sesungguhnya jampi, tilawah (menjadikan isteri
mencintai suami seperti penggunaan minyak dagu) adalah berbentuk
kesyirikan”. Jadi bila syirik automatik jadi haram dan berdosa.
Tetapi ada satu lagi hadis sahih, riwayat Bukhari menceritakan
apabila Nabi ditanya tentang jampi yang pelik-pelik. Lalu Nabi
menjawab bahawa ia adalah amalan syaitan. Kemudian ada lagi satu
hadis sahih, riwayat Abu Daud yang bermaksud, “Tidak salah
menggunakan tangkal selagi tidak syikrik.” Jadi pada dasarnya boleh
jika tidak mengandungi unsur syirik. Tetapi jika diperhatikan
betul-betul, 80-90% tangkal merupakan sesuatu yang disalah gunakan.
Walaupun ada yang menggunakan ayat Al-Quran, namun ada yang dicampur
dengan benda-benda yang kotor seperti darah haid dan lain-lain dengan
tujuan yang jahat. Ini yang menjadikan penggunaanya bermasalah. Jadi,
kesimpulannya, boleh digunakan jika menggunakan ayat Quran yang betul
dan tidak membawa syirik. Tetapi ramai ulama lebih gemar memilih
untuk 'jalan yang menutup kepada jalan-jalan syirik' dan menolak
penggunaan tangkal. Ini kerana kebiasaanya jika orang menggunakan
tangkal, orang itu biasanya akan lebih bergantung kepada tangkal dan
tidak pada Allah. Walaupun ada yang menggunakan Al-Quran, ulama
berpendapat Al-Quran adalah untuk dibaca dan bukan untuk digantung
dan dijadikan azimat. Jangan sekali-kali bawa Al-Quran ke dalam
tandas.
S: Apakah maksudnya jika saya bermimpi
dipatuk ular?
J: Berdasarkan sedikit ilmu yang pernah
dipelajari, mimpi tersebut mungkin berkaitan sihir jika ular
itu ular yang hitam, mimpi tersebut berulang-ulang dan ular itu
seolah-olah mengejar. Walaubagaimanapun dapatkan rawatan doktor
terlebih dahulu dan jika sudah dipastikan tiada penyakit, usahakanlah
bertemu pengamal perubatan Islam. Mimpi sendiri terbahagi kepada 3.
Pertama: mimpi yang benar dan biasanya berlaku kepada para Nabi, dan
amat sukar berlaku kepada orang umum. Kedua pula mimpi daripada
syaitan ialah mimpi-mimpi yang buruk. Ketiga pula ialah mimpi kerana
psikologi. Contohnya jika terlalu banyak memikirkan sesuatu sehingga
terbawa-bawa ke dalam tidur. Jadi, jangan terlalu percaya kepada
mimpi.
S: Bagaimana untuk membantu rakan yang
bergaduh? Antara mereka ada yang suka 'bawa mulut, panas baran dan
sukar bekerjasama. Saya cuba boleh menyuruh rakan sabar.
J: Pertama, cuba memahami masalah di
kedua-dua belah pihak, jangan dengar pihak rakan kita sahaja. Jika
masih panas baran, ketika marah, pegang dada dan ucapkan
'Astagfirullah hal 'azim'. Cuba 'pause' dulu dan beristighfar
berulang-kali. Bila dengar orang mengutuk kita pun, ucapkanlah
istighfar. Langkah kedua, tapis dengan iman tindakan yang ingin kita
lakukan. Fikirkan dahulu adakah baik atau buruk tindakan yang ingin
kita lakukan. Jika tindakan itu sesuatu yang jahat hati kita akan
gelisah dan kita malu jika orang tahu perbuatan itu. Jika sudah
begitu, lebih baik tinggalkan. Langkah ketiga pula gunakan imaginasi.
Bayangkan apa kesan tindakan kita kepada pihak lain. Contoh, jika
ingin bergaduh, bayangkan apa kesannya kepada orang sekeliling. Jika
kita bergaduh dengan seseorang, tidakkah rakan-rakannya akan
menyerang kita pula? Setelah membuat ketiga-tiga langkah ini, buatlah
pilihan yang baik. Sesungguhnya dalam hidup ini kita selalu membuat
pilihan, jadi pilihlah yang baik-baik. Erti hidup itu pada membuat
pilihan, sepertimana firman Allah dalam surah As-Shams, ayat 9-10
yang bermaksud:
[9] Sesungguhnya berjayalah orang yang
menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih
(dengan iman dan amal kebajikan),
[10] Dan sesungguhnya hampalah orang
yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan
terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).
Oleh itu cuba amalkan ketiga-tiga
langkah tadi sebelum membuat sesuatu tindakan. Amalkan banyak senyum,
tapi bukan sebarang senyum, senyum sambil sebut tiga (ikut dialek KL
dan Selangor). Semoga dengan senyum tak jadi nak gaduh :D
S: Bolehkan orang Islam itu mencuri dan
menggunakan barang dicuri itu untuk berdakwah?
J: Dalam Islam, matlamat tidak
menghalalkan cara. Islam menghormati hak orang lain dan masih ada
banyak alternatif lain untuk berdakwah.
S: Bolehkah mewarnakan rambut?
J: Pada asalnya, di zaman Nabi dulu ada
sahabat mewarnakan rambut menggunakan inai. Tujuan mereka adalah
untuk menampakkan seolah-olah tentera Islam muda-muda semuanya. Apa
yang dilarang ialah mewarnakan uban dengan warna hitam kerana uban
itu mengingatkan kita kepada mati. Jadi pada dasarnya hukum
mewarnakan rambut harus, dengan syarat pertama: bahan pewarna tidak
mengandungi najis, kedua: pewarna tidak menghalang air sampai kepada
rambut dan ketiga: tengok keadaan. Contohnya jika tiba-tiba Ustaz
Zamri mewarnakan rambut warna pink – sangatlah tidak sesuai. Begitu
juga jika perbuatan itu menyerupai gaya atau perbuatan orang beragama
lain, ianya boleh jadi haram. Terpulanglah pada semua untuk
menimbangkan ketiga-tiga syarat ini dan buatlah keputusan sendiri.
Kesimpulan:
Ilmu itu amat penting sebelum kita
bertindak atau beramal. Sebab itu Allah SWT menegaskan dalam
firmannya “Adakah sama orang berilmu dengan orang yang tidak
berilmu?”. Tentulah tidak sama. Namun, orang yang berilmu sahaja
juga tidak berguna jika tidak diamalkan. Allah juga berfirman
“Beramallah dan amalan kamu itu Allah, Rasul dan orang -orang
mukmin akan melihat. Amalan itu akan dikembalikan kepada alam ghaib
dan penyaksian. Ketika itu kamau dikhabarkan satu persatu apa yang
kamu amalkan”. Semua amalan akan ditunjukkan kembali kepada kita di
hari akhirat. Ketika itu jika kita tiada amalan, kita akan merayu
memohon untuk dikembalikan ke dunia. Tapi bolehkah? Tentulah tidak
boleh. Jadi beramallah dengan ilmu yang ada.