Rukun & Pergerakan Dalam Solat (1) - Tanyalah Ustaz 11.05.2012
Ustaz Dr. Zahazan Mohamed
Bacaan surah Taha, ayat 131-132,
maksudnya:
[131]
Dan janganlah engkau menujukan
pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami
berikan kepada beberapa golongan dari mereka yang kafir itu
menikmatinya, yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk
Kami menguji mereka padanya; sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat
lebih baik dan lebih kekal.
[132]
Dan perintahkanlah keluargamu
serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun
bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan)
Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang
baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.
Kenapa tajuk solat yang dipilih? Kerana
solat merupakan perkara pertama yang akan dihisab di sisi Allah
Ta'ala. Daripada maksud ayat yang dibacakan tadi, Allah mengingatkan
supaya kita tidak terpedaya dengan orang yang hidup dalam kemewahan
tanpa mengikut hukum Allah. Jangan kerana fulus, semuanya lulus.
Janganlah hati kita terpaut dengan dunia, sebalinya kembalilah kepada
jalan Allah dengan mendirikan solat. Itulah cantiknya Islam, hubungan
kita dengan Allah terjalin sepanjang masa. Namun antara Subuh dan
Zuhur, selang waktunya agak panjang, jadi amat digalakkan untuk kita
melakukan solat Dhuha. Begitu juga antara waktu Isyak dan Subuh,
amatlah digalakkan kita menambah dengan solat tahajjud untuk
mendekatkan diri kepada Allah.
Untuk dijadikan rujukan, dapatkan buku
'Formula Solat Sempurna', tulisan Ustaz Zaharudin Abdul Rahman.
Penerangannya jelas dan penuh illustrasi. Buku ini kecil tetapi
lengkap.
Sebagai ulangkaji ringkas, kita lihat
semula: Syarat sah solat adalah seperti berikut:
- Suci daripada hadath kecil dan besar.
- Suci tempat, pakaian dan tubuh badan daripada sebarang najis yang tidak dimaafkan.
- Mengetahui tentang masuknya waktu sembahyang sama ada dengan yakin atau jangkaan melalui ijtihad atau bertaqlid kepada orang yang tahu mengenainya.
- Menutup aurat.
- Menghadap ke arah qiblat (Ka‘bah).
- BERDIRI BETUL, jika tidak mampu boleh dengan duduk jika tidak mampu juga boleh sembahyang dalam keadaan berbaring.
- NIAT, dilafazkan sewaktu mengangkat takbiratul ihram.
- TAKBIRATUL IHRAM, mengucapkan perkataan Allahu Akbar.
- MEMBACA SURAH AL-FATIHAH, bermula dengan bacaan Bismillah… hinggalah Waladhaallin. RUKUK DENGAN THUMAKNINAH, membongkok 90 darjah.
- IKTIDAL DENGAN THUMAKNKNAH, berdiri betul selapas rukuk.
- SUJUD DUA KALI DENGAN THUMAKNINAH, membongkok sehingga dahi berada diparas lantai.
- DUDUK ANTARA DUA SUJUD DENGAN THUMAKNINAH, duduk sebentar selepas sujud yang pertama.
- DUDUK TAHIYYAT AKHIR.
- MEMBACA TAHIYYAT AKHIR.
- MEMBACA SELAWAT, membaca selawat keatas junjungan Nabi Muhammad s.a.w.
- MEMBERI SALAM, memalingkan muka kearah kanan dan memberi salam dan diikuti pula sebelah kiri juga dengan salam.
- TERTIB, mengikut aturan, turutan atau urutan seperti yang dahulu didahulukan dan yang kemudian dikemudiankan. Perkara lain yang dilakukan dalam sembahyang dari rukun ini dinamakan sunat.
Solat tetap wajib dilaksanakan walaupun
kita sakit, walaupun dah tak boleh berdiri. Tak kira yang tua atau
yang muda (yang telah akil baligh), semuanya wajib solat. Jangan bagi
alasan kesian anak masih muda lagi untuk tidak solat. Di kesempatan ini, saya ingin
memperkenalkan satu majalah - 'Al-Ustaz'. Kandungannya berkisar
soalan dan jawapan tentang hukum-hakam dalam kehidupan seharian.
Penulisnya merupakan barisan ustaz-ustaz yang terkenal. Untuk
maklumat lanjut, sila layari Majalah Al-Ustaz.
Nabi SAW bersabda, "Solatlah kamu
sebagaimana kamu melihat aku solat". Solat antara umat Islam
tiada beza yang besar dan ini menjadi lambang keindahan Islam. Cuba
bandingkan dengan agama Nasrani, ada berbagai cara mereka sembahyang
– ada yang menyanyi, ada yang berdiri, ada yang duduk dan
sebagianya. Tetapi dalam Islam, hatta seorang anak kecil pun mampu
menegur jika dilihat orang yang lebih dewasa melakukan kesilapan
dalam ibadah. Itulah yang dapat kita pelajari daripada kisah cucu
Nabi SAW, Hassan dan Hussin yang menegur seorang tua yang tidak sempurna
wudhuknya dengan cara yang berhikmah.
Dilampirkan beberapa illustrasi pergerakan dalam solat. Untuk maklumat lengkap, boleh rujuk sumber asal: Makna Bacaan Dalam Solat
Esok, InsyaAllah akan ditunjukkan cara
sepatutnya tangan diletakkan – sama ada perlu direnggangkan atau
dirapatkan jari. Untuk takbir, jika diperhatikan, ada berbagai cara yang kita lakukan. Esok
saya akan tunjuk 'slide' yang lebih jelas. Jangan bergaduh jika ada
perbezaan dalam pergerakan solat kita, kerana setiap mazhab ada
rujukan dan tafsiran mereka yang tersendiri. Untuk jarak antara kaki
ketika berdiri, mengikut mazhab Syafie adalah lebih kurang sejengkal.
Semoga solat yang kita lakukan diterima
Allah Ta'ala. Jika sebaliknya, maka akan berleluasalah maksiat dan
kemungkaran dalam masyarakat. Terdapat satu kisah yang berlaku semasa
pemerintahan Saidina Umar ynag boleh kita jadikan pengajaran. Pada satu malam Sayyidina Umar bersama
khadamnya memantau keadaan rakyatnya di pinggir bandar Madinah.
Tiba-tiba beliau terdengar dua beranak berdialog: Berkata seorang perempuan penjual susu
kepada anak gadisnya, "Campurlah susu ini dengan air!",
katanya. Serta merta si anak membantah seraya bertanya: "Apakah
ibu tidak takut kalau hal ini diketahui khalifah Umar bin
Khattab? "Umar tidak akan tahu", jawab
ibunya spontan. Tetapi gadis itu pun menjawab, "Walau
pun Umar tidak mengetahuinya, apakah beerti Tuhan yang menciptakan
Umar juga tidak mengetahuinya?”. Si ibu terperanjat lalu terdiam
seribu bahasa dengan kata-kata anaknya.
Lalu bergegaslah Umar menanda rumah
tersebut. Keesokan harinya ia segera memanggil anak-anaknya dan
bertanya siapa yang ingin bernikah. Lalu Ashim dipilih dan dinikahkan
dengan gadis tersebut. Daripada pasangan inilah lahirnya Umar bin
Abdul Aziz. Klik untuk cerita penuh.
Senarai soalan & jawapan:
S: Saya agak tinggi, ketika rukuk, kaki saya sukar untuk
lurus, jadi sahkan solat saya?
J: Sah. Allah beri kelonggaran apabila
kita tidak mampu, dan Allah tak jadikan agama ini untuk menyusahkan
kita. Yang penting, kita perlu bertanya jika ada kegusaran, dan
teruskan menuntut ilmu.
S: Apabila solat, semasa membaca
Al-Fatihah, saya akan menjadi sangat sebak dan menangis. Apa hukum
solat sebegini?
J: Solat dalam keadaan menangis ada dua
hukum - Jika menangis itu dibuat-buat, boleh jadi batal solat. Tetapi
jika betul-betul hatinya tersentuh, itu maksudnya hatinya kusyuk,
maka tahniah dan tidak menjadi kesalahan. Jika seseorang itu berdoa
di tengah malam, sehingga menangis, itu tandanya Allah menerima doa
dan taubatnya. Mata yang menangis kerana takutkan Allah akan
terselamat daripada api neraka.
S: Mohon penjelasan berkaitan duduk
tahiyyat akhir. Saya berbadan besar dan sukar untuk duduk tahiyyat
akhir, jadi saya duduk tahiyyat awal.
J: Harus, duduk tawarruk itu sunat
sahaja.
S: Orang yang bergerak-gerak dalam
solat , apakah hukumnya?
J: Nabi SAW bersabda, "Jika
hatinya kusyuk, tentulah anggota badannya tidak liar". Mengikut
hukum mazhab Syafie, jika anggota besar seperti kaki, tangan bergerak
lebih daripada 3 kali, boleh membatalkan solat. Tetapi jika anggota
kecil, seperti jari, dibolehkan. Jika hati kusyuk ketika solat, badan
takkan terasa gatal atau sebagainya. Pernah diceritkan kisah seorang
sahabat yang mengawal ketika berlaku peperangan, beliau solat
sehinggakan tidak sedar ada harimau datang kepadanya.
S: Semenjak mencabut gigi hadapan, saya
menjadi semakin sukar untuk membaca Al-Quran dengan sempurna,
sehingga saya segan untuk menjadi imam. Mohon pandangan ustaz.
J: Solat tetap sah. Kaau sudah begitu,
eloklah beri laluan kepada orang lain yang lebih bagus bacaannya
untuk menjadi imam agar tidak menjadi fitnah kepada diri sendiri.
S: Bolehkan bacaan solat dibaca dalam
hati sahaja?
J: Tak boleh dan solat jadi tak sah.
Surah Fatihah wajib dibaca agar telinga kita dapat mendengar, tapi
tak perlu kuat-kuat.
S: Kita belajar solat ketika kecil
(7tahun), dan tidak pernah menambah ilmu solat tersebut setelah
meningkat dewasa. Apa pandangan ustaz?
J: Betullah, itu berlaku dalam
masyarakat kita. Perhatikan jika sesebuah bangunan yang hebat
sekalipun perlukan baik-pulih, apatah lagi kita sebagai manusia.
Setiap hari kita berdepan dengan berbagai gangguan, maka amat penting
untuk kita buat rujukan balik dan menambah ilmu untuk memperbaiki
kualiti solat. Rujuklah kitab yang baik seperti 'Minyatull musolli'.
Carilah ilmu tentang solat, kerana solat masih diambil secara sambil
lewa oleh majoriti masyarakat hari ini. Solat yang tidak mendekatkan
diri kita kepada Allah (manjauhi fasyak dan mungkat) menunjukkan
kemungkinan solat itu tidak diterima. Jadi amat perlu untuk belajar
balik.
Nota: Sumber rujukan (pautan) yang diberikan bukan daripada Ustaz Zahazan, tetapi yang saya jumpa dalam carian di 'Google' untuk meringkaskan nota ini. Harap maklum.