Reset Minda Pengguna Jalan Raya – Islam Itu Indah 25.04.2012
Prof. Dr. Muhaya Muhamad
Saya terpanggil untuk bincang isu ini
kerana semalam, ketika dalam perjalanan pulang, saya ternampak seorang pegawai
polis trafik bertugas di tengah-tengah jalan raya ketika hujan
renyai-renyai. Bajunya basah kerana hujan. MasyaAllah tersentuh hati
saya bila mengenangkan yang saya ketika itu selesa menaiki kereta,
sedangkan pegawai polis ini berpanas, berhujan untuk memudahkan
laluan kepada orang ramai yang ingin pulang bertemu keluarga. Kita
pun tak tahu sama ada dia sihat atau tidak, hauskah, atau laparkah
dia? Demi kelancaran perjalanan orang ramai, dia sanggup berkorban
berdiri di tengah-tengah jalan raya. Berapa ramai daripada kita yang
pernah mengucapkan terima kasih kepada mereka? Saya pernah bertanya
kepada seorang ASP polis: “Adakah dikira rasuah jika kita beri
mereka air?”. Jawabnya tidak dan boleh diberikan. Tetapi sukar juga
untuk dilakukan kerana jika kita berhenti mungkin akan menyebabkan
kesesakan lalu-lintas pula. Jadi saya seru agar kita, apabila melihat
polis, atau pekerja pembinaan di jalan raya, janganlah mencemuh
mereka sebagai penyebab yang melambatkan perjalanan kita. Mereka cuma
menjalankan tanggungjawab untuk kepentingan umum.
Setiap perkara yang
ingin kita buat, tanya diri dulu, adakah ianya untuk kepertingan
peribadi atau kepentingan orang lain. Orang beriman akan sentiasa
muhasabah dan memerhati diri sendiri. Roh kita akan memerhati apa
yang kita fikir, rasa dan lakukan. Jika di jalan raya, kita seorang
yang pentingkan diri sendiri dan tidak bersopan, itulah diri kita yang
sebenar. Kenapa? Kerana ketika berada di dalam kereta, orang lain tak
nampak kita, dan kita tak perlu berpura-pura. Andainya kita berkereta
besar, dan marah jika ada kereta kecil potong kita, itu maknanya kita
sombong. Sebaliknya pula jika kita berkereta kecil, marah pada kereta
besar yang potong kita, itu maknanya kita mempunyai perasaan dengki.
Orang kita cukup 'kedekut' untuk beri laluan kepada kereta lain. Apa
yang kita buat itulah yang kita dapat. Jika kita susah untuk beri
kereta lain lalu dulu, kereta lain pun akan susah untuk beri kita
lalu dulu. Jadi marilah saling memberi ketenangan kepada sesama
pengguna jalan raya.
Kemudian, bila ternampak kemalangan
pula, biasanya kita akan mencemuh dan merungut kerana ianya
melambatkan perjalanan kita. Itulah manusia yang kotor hatinya.
Manusia yang positif mindanya akan melihat situasi ini sebagai
peluang berbuat kebaikan. Oleh itu dia akan mendoakan keselamatan,
kemudahan urusan untuk mereka yang terlibat dengan kemalangan
tersebut. Begitu juga jika ternampak orang yang terpaksa berhenti
kerana kereta mereka rosak di tepi jalan. Doakanlah kebaikan dan
keselamatan untuk mereka. Orang yang mendoakan seseorang tanpa
pengetahuannya, akan didoakan pula oleh malaikat.
Ada juga orang yang gemar 'potong
queue'. Adakalanya jika terpaksa, angkatlah tangan sebagai
menunjukkan rasa terima kasih kepada mereka yang memberi laluan. Jadi
renungkan bagaimana perangai kita ketika di dalam kereta, apabila
orang lain tak nampak atau kenal siapa kita. Selalunya ketika di
dalam majlis, kita boleh mengawal diri untuk bersikap lemah-lembut,
tetapi bila orang sudah tidak nampak kita, berubah langsung
keperibadian kita.
Apabila kenderaan kita dipotong dengan
cara yang tidak sopan, berusahalah untuk bersangka baik dengan
pemandu tersebut. Mungin juga dia mempunyai kecemasan tertentu.
Ataupun mungkin dia inginkan perhatian. Sepertimana mereka yang
'over' ubahsuai kereta biasa dengan sistem bunyi melampau, atau ekzos
yang besar, kebiasannya mereka ini ingin menunjuk-nunjuk dan
mendapatkan perhatian. Perhatikan pula orang yang berkereta mewah,
lagi mewah kereta tersebut, lagi senyap bunyi enjinnya. Sebaliknya,
mereka yang 'tak ada apa-apa' yang sibuk-sibuk ubah suai kereta untuk
menjadi lain daripada yang lain. Sepatutnya wang itu disalurkan ke
jalan yang lebih berfaedah seperti memperbaiki diri dan pengetahuan
mereka. Inilah keeogaan namanya. Jadi janganlah terlalu pentingkan
luaran sahaja. Orang lelaki biasanya leka dengan kereta dan wanita
pula dengan beg tangannya dan sebagainya. Perhatikan diri kita,
setiap kali kita buat benda pelik, kita sebenarnya mencari perhatian
orang lain. Orang yang tenang akan memberi lebih perhatian, bukannya
mencari perhatian. Semakin kita mencari perhatian, semakin kita
inginkan perhargaan manusia dan akan semakin rendahlah imej diri
kita. Kita sepatutnya hanya fokus kepada mencari perhargaan Allah dan
redha-Nya.
Soalan & Jawapan:
S: Saya pernah mempunyai pengalaman
kemalangan jalan raya dan ditinggal begitu saja. Apa pandangan Prof.?
J: Kita perlu ingat apa kita buat,
itulah yang kita dapat. Jika tak kena pada kita, mungkin pada
anak-cucu kita. Kepada yang menerima musibah pula, tanya diri apa
yang boleh dipelajari daripada musibah tersebut. Ada tiga cara untuk
hidup dengan tenang:
- Pertama: Mengambil pengajaran setelah musibah berlaku.
- Kedua: Mengambil pengajaran ketika musibah berlaku.
- Ketiga: Mengambil pengajaran sebelum musibah berlaku, iaitu dengan berusaha mencegah musibah dengan memandang semua perkara sebagai kebaikan.
S: Saya seorang ibu tunggal. Bagaimana
untuk mendidik anak yang ditinggalkan jauh di Indonesia?
J: Saya nak memperkalkan istilah baru –
'Ibu Berdikari' sebagai ganti ibu tunggal. Kita tak pernah tunggal
kerana kita sentiasa ada Allah. Bila kita sebut ibu berdikari, imej
diri akan jadi lebih positif. Allah takkan uji kita dengan sesuatu
yang kita tak mampu. Jika kita cakap kita tak boleh, imej diri akan
terus jadi lemah. Kita perlu berusaha untuk mengambil pengajaran
sebelum sesuatu musibah berlaku. Contohnya sebagai seorang isteri,
berusaha agar tidak berlaku perceraian dalam keluarga. Tetapi jika
kita seorang balu, kita sebenarnya menjaga anak yatim. Nabi SAW
pernah bersabda bahawa sesiapa yang menjaga anak yatim akan berada
dekat dengannya. Jadi mereka yang mendapat peluang ini sangat
beruntung sebenarnya. Jadi ubah cara kita memandang sesuatu agar
dapat melihat kebaikan dalam setiap perkara. Kita perlu fokus untuk
cari redha Allah dan jangan perbesarkan masalah yang kita hadapi.
Segala ujian yang diberikan, kita tukar kepada peluang mencari redha
Allah. Jika kita marah apabila ditimpa masalah, kita ego sebenarnya.
Tetapi jika kita ada sifat kehambabaan, kita akan lebih redha dalam
menghadapi ujian yang Allah beri. Ramai orang yang betul-betul
'sedar' setelah diuji berapa di kedudukan terendah dalam hidupnya.
Jadi lebih baiklah kita diberi musibah sebagai punca mendapat hidayah
daripada kita 'dilupakan' Allah.
S: Mohon pandangan Prof. untuk
menghadapi pertelingkahan politik yang berpanjangan dan merugikan
orang ramai.
J: Pada pandangan saya, keutamaan kita
adalah menjadi hamba Allah yang baik dan menjadi khalifah yang baik
tak kira apa sekalipun yang kita lakukan. Politik Islam mentadbir
dunia dengan adil agar manusia mendapat haknya. Politik barat pula
mengejar kuasa dan menjatuhkan orang lain. Politik pada dasarnya
adalah ilmu mentadbir. Apabila seseorang itu bercakap, adakah
tujuannya? Adakah untuk menunjukkan yang dirinya hebat atau untuk
memberi faedah kepada orang ramai? Ada dua cara meninggikan bangunan
kita – pertama: meruntuhkan bangunan orang lain supaya bangunan
kita tetap tinggi, atau kedua: kita teruskan membina tanpa
memperdulikan apa orang kata. Kejayaan sebenar bukanlah apabila kita
lebih baik daripada orang lain, tetapi apabila diri kita hari ini
lebih baik daripada diri kita yang semalam. Jadi sekiranya kita hari ini lebih teruk
daripada semalam, kita sebenarnya telah gagal. Jadi, sesiapa pun yang
terlibat dalam politik atau perkara lain, berhati-hati agar tidak
menzalimi orang lain atau menyalah-gunakan kuasa yang diberi. Jika
kita buat jahat, pasti kita akan dapat balasan yang setimpal. Kita
hanya akan dapat apa yang kita beri. Contoh, jika berlaku sesuatu
musibah, contohnya rumah dimasuki pencuri, cuba tanya diri, apa
agaknya kesalahan yang telah dilakukan sehingga Allah 'izinkan'
musibah berlaku ke atas kita. Mungkin juga kita sudah untung banyak
dalam perniagaaan, namun tidak mahu keluar zakat. Zakat itu bukan hak
kita, jadi Allah ambil harta tersebut secara 'paksa'. Kita jangan
'takut' nak bagi orang lain senang. Apalah gunanya duit yang banyak
tetapi susah untuk keluarkan sedekah. Saya ingin menyeru supaya kita
'ringan tangan' untuk memberi sedekah terutamanya kepada golongan
tukang cuci, pembantu rumah, orang yang angkat sampah daripada rumah
kita dan lain-lain. Saya juga ingin sarankan alangkah baiknya jika
kita dapat memperkanalkan 'Indeks Kemurahan Hati, Indeks Kasih
Sayang, Indeks Memberi, Indeks Kasihankan Orang' sebagai rekod KPI di
pejabat. Indeks ini mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi, dan jika
kita dapat jadikan seluruh rakyat Malaysia mempunyai nilai-nilai
sebegini, akan hilanglah masalah di kalangan masyarakat. Biasanya
orang yang ingin buat lastik akan mengadu takut kepada saya. Saya
akan katakan “Simpan takut hanya kepada Allah.” Orang yang takut
adalah orang yang banyak dosa, yang banyak menzalimi orang lain. Jika
kita menjaga hukum-hukun yang Allah tentukan, kenapa kita perlu rasa
takut. Jadi kita semua perlu berhati-hati dan menjaga perlakuan kita.
Sesiapa yang ingin bahagia esok mesti bersyukur pada hari ini. Walau
apa sekalipun yang kita lakukan, tak kiralah sebagai ahli politik
atau tidak, kita mesti ingat yang kita pasti akan melutut suatu hari
nanti di hadapan Allah SWT, sepertimana yang disebut dalam surah
As-Sajadah, ayat 15 yang bermaksud: “Sesungguhnya yang
sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah
orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan
ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan
taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji
Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur.”
S: Bagaimana dengan
sikap ramai ibu bapa membenarkan anak-anak memandu kenderaan sebelum
mendapat lesen?
J: Ibu bapa jika
betul-betul sayangkan anak, berilah mereka pendidikan tentang nilai.
Apa yang diberi secara fizikal tidak sehebat kesan dengan apa yang
diberi dalam jiwa mereka. Remaja sekarang ramai yang tidak lagi
berbudi-bahasa, menggunakan bahasa-bahasa yang kasar dan tidak tahu
menghormati orang yang lebih tua. Tiada guna kita menjaga solat dan
ibadah khusus sekiranya kita tidak berakhlak. Nabi Muhammad SAW amat
disanjungi kerana akhlaknya yang mulia. Yang dikatakan akhlak
termasuklah memek muka, bahasa badan, bahasa yang digunakan dan
sebagainya. Mereka yang bahagiakan diri sendiri sahaja takkan bahagia
sebenarnya.
S: Bagaimana pula
dengan sikap sesetengah ibu bapa yang bawa anak kecil mereka bawa
motosikal, tetapi tidak menitik-beratkan soal keselamatan seperti
pemakaian topi keledar kepada anak mereka?
J: Saya pun tak
tahu buat macam mana kerana selalunya mereka yang menggunakan
motorsikal ini kurang mampu sebenarnya. Anak kecil biasanya tak ada
topi keledar yang sesuai dan risiko kemalangan penunggang motosikal
memang lebih tinggi. Oleh itu, bila kita nampak mereka, kasihanilah
mereka dan berilah mereka laluan. Penunggang motosikal elok juga
mulakan perjalanan dengan bacaan ayat kursi dan doa naik kenderaan.
Marilah kita doakan mereka agar mereka dapat berubah dan reset minda
agar dapat perbaiki taraf hidup mereka. Kita yang kaya ini pula
janganlah berbelanja berlebihan sangat. Lebih baik memanfaatkan duit
yang ada untuk membantu orang lain yang lebih memerlukan. Ada satu
kisah yang berlaku di luar negara, seorang kaya memandu Lamborgininya
dengan begitu laju. Tiba-tiba ada satu batu dibaling mengenai
keretanya. Dia pun berhenti dan ternampak seorang anak kecil di situ.
Dia pun terus memarahi anak kecil tersebut. Anak kecil lalu berkata,
“Maaf Tuan, saya sedang tolak adik saya menggunakan kerusi roda.
Tapi dia terjatuh dan saya tak larat nak angkat seorang. Saya dah
penat menahan kereta tapi tiada seorang pun yang berhenti. Jadi saya
terpaksa baling batu agar Tuan berhenti.” Mendengar itu, lelaki itu
terkedu dan menangis mengenangkan dirinya yang cuma mementingkan diri
sendiri selama ini. Dia pun menolong anak kecil itu dan memberi wang
kepada mereka. Keretanya yang kemek sengaja tidak dibaiki untuk
menjadi pengajaran kepada dirinya. Oleh itu, saya ingin menyeru agar
kita jangan memikirkan kehendak kita sahaja, perhatikan juga
orang-orang di sekeliling kita dan bantulah mana yang kita mampu.
S: Saya jaga anak
sakit mata, dan sekarang mata saya pun sakit juga. Doktor dah bagi
ubat tapi mata saya nampak kabur. Mohon penjelasan Prof.
J: Antara ibu dan
anak yang sakit, siapa akan baik dulu? Anak akan baik dahulu. Kenapa?
Kerana anak tiada rasa risau dan bimbang, dan yakin pada Allah.
Tabiat kita terutamanya wanita memang suka risau. Contohnya bangun
pagi-pagi sudah risau fikir nak masak apa hari ini. Penyakit mata ada
2 jenis – disebabkan bakteria atau virus. Jika disebabkan bakteria,
akan banyak tahi mata dan baik selepas 3-4 hari. Ia takkan mengenai
kornea jadi pandangan takkan terganggu. Jika disebabkan virus pula,
tak ada tahi mata tetapi berair dan gatal. Oleh itu selagi pandangan
tak terganggu tak perlu jumpa pakar. Jika sebaliknya perlu jumpa
pakar untuk pemeriksaan lanjut.
S: Mohon pencerahan
tentang bagaimana untuk menjadikan sikap pengguna jalan raya yang
melakukan kesalahan sebagai 'kebun pahala' kita?
J: Contohnya: jika
kita nampak orang kasar di jalanan, kita jangan jadi reaktif kerana
itu sifat kehaiwanan. Sebaliknya, jika orang nak potong kita, bila
kita beri laluan, kita dapat pahala. Jika nampak kemalangan pula,
bila kita doakan mereka yang terlibat, kita pun dapat pahala. Bila
nampak polis yang bertugas, kita berterima kasih pada mereka dan
tidak mencemuh. Ini juga pahala. Kita jangan biarkan suasana
menentukan emosi kita, sebaliknya kita yang mengawal emosi dan
suasana sekeliling kita. Dalam kereta pula, perhatikan muzik apa yang
kita dengar? Saluran radio mana yang kita pilih? Pilihan hari ini
menentukan di mana kita berada 20 tahun nanti. Macam saya dulu, saya
sangat sukakan ilmu dan banyak mendengar CD-CD agama dalam kereta.
Kerana saya buat perubahan itulah saya berada di sini hari ini. Kita
perlu membuat pilihan yang baik agar hasilnya baik. Masalah rugi masa
kerana terperangkap dalam kesesakan juga boleh diatasi dengan
memasang CD agama atau motivasi di dalam kereta. Begitu juga jika
anda ingin berjalan jauh, sedikan bahan mendengar/membaca yang baik
agar tidak berlaku pembaziran waktu. Saya sediakan banyak bahan dalam
iPod untuk didengari dan tidak pernah rasa rugi jika perlu beratur
lama atau menunggu kerana telinga saya 'diisi' dengan ilmu-ilmu
bermanfaat.
S: Mengapa pengguna
jalan raya di luar negara lebih beretika berbanding kita?
J: Kita perlu ingat
yang syaitan telah berjanji akan mengganggu kita. Jadi kita jangan
mengutuk diri sendiri dan cuba mempelajari teladan yang baik daripada
orang luar negara. Mari kita sibukkan diri untuk memperbaiki diri dan
akhlak kita.
S: Saya pemandu
teksi dan biasanya 'dipotong' oleh kenderaan lain. Jadi bagaimana nak
pujuk hati supaya tak cepat marah?
J: Saya rasa
seronok kerjaya sebagai pemandu teksi kerana boleh berhenti di masjid
yang berbeza-beza untuk solat berjemaah. Pemandu teksi juga jumpa
ramai orang, jadi bolehlah bertukar-tukar pengalaman dan ilmu.
Sebagai perkongsian, sepupu saya juga seorang pemandu teksi dan dia
menceritakan bahawa semenjak dia menunaikan solat sunat Dhuha,
rezekinya semakin melimpah-ruah. Jadi saya ingin menyeru agar semua
pemandu teksi agar jangan tinggal solat lima waktu dan usahakan agar
dapat solat berjemaah. Cuba juga buat solat sunat Dhuha kerana itu
merupakan sunat muakkad yang Nabi SAW sendiri tidak pernah tinggal.
Apabila 'dipotong' kenderaan lain, doakan dalam hati agar Allah ganti
dengan permudahkan rezeki, diberi keselamatan dan berbagai kebaikan
lain berkat bersabar atas kekasaran pengguna jalan raya yang lain.
Kesimpulan:
Sama-sama kita
berdoa dan mesyukuri kemudahan jalan raya yang kita miliki berbanding
pada suatu masa dahulu. Bagi yang memandu laju sangat itu, nak kejar
apa sebenarnya? Adakah untuk bekerja dengan lebih efektif? Kebanyakan
yang saya perhatikan, bila dah pecut laju dan sampai tempat kerja,
mereka pergi melepak dan merokok terlebih dahulu. Ini bukanlah satu
sesuatu yang bermanfaat pun. Saya juga galakkan agar ibu bapa memupuk
minat membaca di kalangan anak-anak sedari mereka kecil. Jika kita
cuma baca suratkhabar, kita hanya akan tahu perihal orang. Tetapi
bila kita membaca buku-buku yang baik, InsyaAllah ianya boleh
membantu membina peribadi kita di dunia dan di akhirat. Bagi setiap
perbuatan yang kita lakukan, tanya balik diri adakah ianya bertujuan
mencari redha Allah atau sebaliknya.