Kusyuk Dalam Solat – Mukmin Profesional 23.04.2012
Ustaz Pahrol Mohd Juoi
Mukaddimah:
Alhamdulillah kita dipertemukan dan
diizinkan berada dalam kebaikan menimba ilmu. Ini adalah hidayah yang
sungguh berharga dan tandanya kita sudah ada niat untuk jadi baik.
Biarpun baru niat, ianya adalah sesuatu yang mahal di akhir zaman
ini, biarpun kita belum jadi baik lagi. Ahli-ahli sufi pernah
berkata, “Sekiranya hati kita terdetik untuk buat baik, itu
sebenarnya ‘ketukan’ atau 'jemputan' hidayah daripada Allah.”
Mudah-mudahan ‘jemputan’Allah ini kita dapat penuhi agar mendapat
kebaikan di dunia hingga ke akhirat.
Minggu lepas telah kita bincangkan
falsafah dan segala yang tersirat di sebalik solat. Selepas iman,
solat merupakan ibadah yang kedua terpenting dan juga dianggap
sebagai kepala segala ibadah. Solat merupakan ibadah pertama yang
akan dihisab di hari akhirat nanti. Solat merupakan ibadah yang
difardhukan terus kepada Nabi Muhammad SAW, tanpa melalui perantaraan
Jibril seperti ibadah-ibadah lain. Jadi kita perlu bertanya
mengapakah solat diistimewakan sebegitu rupa. Jika nak dibandingkan
dari segi masa dan perbelanjaan, solat sangat mudah sebenarnya. Waktu
yang diambil untuk solat sangat sekejap, tidak seperti puasa yang
berjam-jam lamanya. Perbelanjaan untuk solat juga sangat kecil jika
dibandingkan dengan haji dan zakat. Jadi mengapa solat yang menjadi
ibadah terpenting? Kerana solat melibatkan soal hati dan hati
merupakan raja kepada manusia. Ketika berpuasa manusia menahan lapar
dan ketika membayar zakat, manusia memberi hartanya. Tetapi hanya
ketika solat, manusia memberi hatinya. Allah berfirman dalam surah
Taha, ayat 14 yang bermaksud “Dirikanlah solat untuk
mengingati-Ku.” Jadi semasa solat hati mesti diserahkan sepenuhnya
untuk mengingati Allah. Hati jika telah diserahkan kepada seseorang,
bermakna orang itu telah jadi pemiliknya. Jadi sepertimana kita
menyerahkan hati ketika solat untuk Allah, begitu jugalah segala
perlakuan kita, masa yang kita ada, semuanya perlu diperuntukkan
semata-mata kerana Allah.
Tajuk yang akan dibincangkan petang ini
ialah kaedah mencapai kusyuk dalam solat. Sebenarnya saya malu untuk
bercakap tajuk ini kerana diri sendiri masih bertatih untuk
mendapatkan kusyuk dalam solat. Jadi saya harap kita semua dapat
sama-sama belajar dan menjadikan kusyuk sebagai agenda terpenting
dalam kehidupan kita kerana kejayaaan kita di dunia dan akhirat
bergantung kepada tahap kusyuk kita di dalam solat. Semua orang
maklum kusyuk itu sukar diperolehi, tapi kita kena ingat yang kusyuk
bukanlah sesuatu yang mustahil atau hak eksklusif kepada para Nabi,
sahabat atau ulama besar sahaja. Kusyuk juga merupakan satu
perjuangan orang awam seperti kita. Kegagalan mendapatkan kusyuk
boleh menyebabkan kita gagal di dunia dan akhirat.
Kita akan membincangkan enam langkah
untuk mendapat kusyuk di dalam solat seperti yang diajarkan oleh Imam
Ghazali. Fokus kita bukanlah semata-mata kepada kesan (effect) tetapi
lebih kepada usaha (effort), kerana Allah menilai usaha kita. Definasi kusyuk daripada segi bahasa
ialah tunduk, akur, patuh. Ini bermakna kita tunduk dari segi hati,
perasaan, fikiran dan seluruh pancaindera untuk mengingati Allah
ketika solat. Kusyuk ini juga akan memberi impak di luar solat.
Inilah erti kusyuk secara holistiknya. Jadi kusyuk ini membicarakan soal hati
sebenarnya, dan ia adalah sesuatu yang wajib dicari. Lawan kusyuk
ialah lalai, dan sebab itulah ada Allah berfirman bahawa neraka
“Wail” adalah untuk orang yang lalai dalam solatnya. Jadi kita
perlu berhati-hati dalam soal ini. Sebab itu kita kena terus belajar
dan kerana kita sedang belajar, moga-moga Allah maafkan kekurangan
dan kesalahan kita.
Enam langkah untuk mencapai kusyuk adalah seperti berikut:
- Mencari pengertian (faham)
- Pemusatan pemikiran (fokus)
- Membesarkan Allah (haibah)
- Kagum dan takut pada Allah
- Harap pada Allah
- Merasa malu dan hina pada Allah
Mencari pengertian (faham)
Kita cuba memahami bacaan dalam solat
secara keseluruhan ('summary') atau lebih baik lagi secara terperinci
‘word by word’. Ramai dalam masyarakat kita yang tidak memahami
bacaan-bacaan dalam solat sedangkan solat sepatutnya menjadi perkara
terpenting dalam hidup kita. Jangan kita jadi seperti burung kakak
tua yang tahu mengucapkan, tetapi tidak memahami. Seorang ulama
bernama Hakim mengatakan, “Kalau kamu nak dengar Allah bercakap
dengan kamu, bacalah Al-Quran. Dan sebaliknya jika kamu ingin
berbicara dengan Allah, dirikanlah solat.” Jadi solat sebenarnya
peluang untuk kita mengadu dan bermanja-manja dengan Allah. Tetapi
malanglah apabila kita tak memahami apa yang kita ucapkan. Termasuk
dalam memahami solat ialah keperluan memahami rukun fi’li yang
dilakukan. Contohnya, mengapa kita sujud? Sujud itu sebagai lambang
kehambaan kita kerana kita meletakkan kepala kita yang mulia di
bawah. Berdiri tegak ketika takbir pula menggambarkan lambang
kepatuhan dan keakuran kita kepada Allah. Rukuk pula simbolik kita
menghinakan diri juga, kerana ketika itu, kita menyamakan aras mulut,
kepala, perut dengan dubur kita. Yang tinggi hanyalah Allah Ta’ala.
Pemusatan pemikiran (fokus)
Jika sekadar memahami tetapi tidak
fokus tidak boleh jadi juga. Ia seumpama orang yang mengigau yang
tidak sedar apa yang dilakukannya. Apabila kita fokus, tidak bermakna
pula kita akan lupakan terus yang lain. Kita cuma mengutamakan
pemikiran kepada bacaan dan perlakuaan dalam solat. Sebagai
perbandingan, katakan kita ingin memandu ke Ipoh. Di sepanjang
perjalanan kita akan lalu dan nampak banyak tempat lain dulu. Kita
mungkin juga berhenti rehat dan makan. Namun apabila sampai ke Ipoh
kita akan berhenti. Orang yang lalai pula, akan terus-menerus memandu
dan sedar-sedar sudah terlepas dan sampai ke Pulau Pinang.
Ada satu lagi cerita untuk memudahkan
pemahaman berkaitan fokus. Ada 4 orang Profesor masuk ke dalam
restoran. Sambil membelek menu dan bercakap-cakap, masing-masing
memesan makanan. Setelah siap, jika tanya Profesor 1 apa yang
Profesor 4 pesan, mungkin dia tak boleh jawab. Tetapi jika ditanya
kepada pelayan yang mungkin sekadar lulusan SPM sahaja, dia pasti
boleh jawab. Kenapa? Kerana dia memberi fokus untuk mengambil pesanan
makanan & minuman tadi. Begitulah juga dalam solat. Walaupun kita
begitu bijak dan memahami bacaan dan rukun solat, tanpa fokus, kita
akan lalai dalam solat. Di Malaysia beruntungnya kita mendapat
ramai ulama yang sudi menyampaikan ilmu kepada kita. Kita sangat
terhutang budi kepada mereka. Para ulama telah memberikan beberapa
panduan untuk fokus dalam solat. Pertama – fokus tumpuan pada
tempat sujud. Kedua- fokus dada kearah kiblat dan ketiga – fokuskan
hati pada bacaan. Perbincangan ini hanyalah sebagai ulang-kaji
ringkas, jadi teruskan pengajian di tempat-tempat kerana
Alhamdulillah banyak masjid yang mengadakan kelas bimbingan kusyuk
solat hari ini.
Membesarkan Allah (haibah)
Setelah memahami makna dan fokus ketika
solat, secara automatik akan datang perasaan haibah kepada Allah.
Setelah kita rasa Allah itu besar, barulah sebutan ‘Allahu Akbar’
itu datang daripada hati. Sepertimana juga rasa sayang antara suami
isteri, kena ada rasa sayang dulu, baru boleh diucapkan 'I love you'.
Inilah yang dikatakan, ‘Apabila kita mengingati Allah, akan
gementarlah hati kita.’ Gementar itu kerana terasa yang Allah itu
besar, dan Allah itu hebat. Rasa gementar bukannya cuma rasa ketika
solat itu. Kita perlu buat ‘home work’ dengan mempelajari ilmu
tauhid, Asma'ul Husna dan mengenal sifat Allah. Tanpa ilmu ini sukar
untuk kita menghayati dan menghadirkan perasaan membesarkan Allah
ketika ingin solat. Tahap ilmu seseorang akan menentukan rasa
kehambaannya kepada Allah. Secara analoginya, apabila bertemu dengan
seorang raja yang kita tahu memiliki kerajaan yang luas dan
kaya-raya, kita pastinya akan menjadi lebih segan-silu dan
berhati-hati. Tetapi jika kita tidak kenal raja itu, kita akan
bercakap dengan nada biasa saja dengannya. Seperti peribahasa hanya
jauhari yang mengenal manikam, begitulah juga hanya orang yang
mengenal Allah akan mengetahui 'nilainya' dan akan membesarkan Allah.
Bagi orang yang tak mengenal Allah, solat jadi sekadar rutin harian
yang kosong dan tak bermakna. Oleh sebab itu, mengenal Allah adalah
amat penting, bak kata pepatah, ‘Awal agama ialah mengenal Allah.’
Hatta sebelum anak berumur 7 tahun dan diajar solat, dia perlu
dididik mengenal Allah SWT terlebih dahulu. Tahap ilmu inilah yang
akan menentukan tahap dia membesarkan Allah SWT.
Kagum dan takut pada Allah
Setelah rasa membesarkan Allah ada,
akan wujud perasaan takut kepada Allah SWT. Rasa takut kepada Allah
tidak sama seperti rasa takut kepada harimau. Takut pada harimau,
kita nak lari, tetapi takut pada Allah akan membuatkan kita ingin
lebih dekat lagi dengan Allah. Untuk menimbulkan rasa takut, kita
perlu terlebih dahulu mengenal sifat-sifat Allah dan menambah ilmu.
Rasa takut ini diterjemahkan melalui kita berdiri tegak, kepala
tunduk berteleku, rukuk, sujud dan juga perkataan-perkataan yang kita
ucapkan. Contohnya bacaan “Rabbigfirli, warhamni..”, kita mohon
pada Allah supaya kita diampunkan dan dikasihankan.
Cukup penjelasan setakat ini untuk memberi ruang kepada sesi soal-jawab dan perkongsian bersama pendengar.
Soalan & Jawapan:
S: Di masjid dan surau ada dibincangkan
bagaimana kusyuknya Sayyidina Ali sehinggakan beliau tidak sedar
panah yang melukainya ditarik keluar daripada betisnya. Saya pula
apabila solat ada bermacam-macam perkara yang terlintas dalam
fikiran. Jadi bagaimana untuk saya fokus dalam solat?
J: Kedua-dua masalah ini adalah masalah
yang sama yang kita semua hadapi, termasuklah saya. Kita semua sedang
berusaha bersama-sama sekarang. Jadi, saya kongsikan tip yang
diperolehi daripada pembacaan atau pengalaman orang-orang solah.
Antaranya ialah:
- Paling utama perlu jaga makan-minum. Jika kita tidak jaga makan-minum, hati kita akan susah dijaga ketika solat. Kita dapat perhatikan yang hari ini ramai yang tidak ambil peduli soal halal-haram makan-minum mereka. Ada satu kisah daripada kitab 'Munayatul Musolli' – pada 40 atau 50 tahun yang lalu, ada seorang yang soleh, apabila keluar dari pondoknya, dia akan bawa timun dalam begnya. Kenapa? Kerana dia tidak mahu makan di restoran yang tidak pasti halal-haramnya dan timun itu adalah timun yang ditanamnya sendiri. Tetapi kita taklah suruh buat sampai begitu sekali hari ini, tetapi pertimbangkanlah sebelum makan bahawa makanan itu akan membentuk hati dan hati ini akan dibawa ke dalam solat. Jadi kita kena jaga makanan kita.
- Kedua, kena jaga pandangan dan lidah kita. Ini sukar dilaksanakan tetapi kita mesti cuba. Pelihara mata daripada memandang yang haram, contohnya wanita yang membuka aurat. Barangsiapa yang menjaga pandangan mereka, Allah akan beri 'halawah' (kusyuk) dalam ibadatnya. Mata ada kaitannya dengan jiwa kita. Sebab itu Sayyidina Umar berkata, “Barangsiapa yang menjaga mata, akan diberi kepadanya kemantapan jiwa". Jadi, banyak perkara yang kita kena buat untuk solat sebenarnya. Solat bukan semata-mata pergerakan selama 5-7 minit itu sahaja, tetapi sebelum solat lagi kita sudah perlu bersedia. Kita juga perlu jaga lidah daripada mengucapkan perkataan yang sia-sia atau mengumpat kerana ianya boleh mengeraskan hati dan akan menyukarkah ketika solat. Hubungan hati dan lidah sangat rapat, jika hati baik, lidah pun jadi baik dan begitulah jika sebaliknya.
- Tip ketiga kita 'pause' dulu sebelum solat. Kita kena 'jarakkan' perbuatan solat dengan perbuatan lain, contohnya berzikir atau membaca Al-Quran dahulu. Sepertimana kita perlu memanaskan enjin kereta sebelum bergerak, kita juga perlu 'warm-up' sebelum solat untuk bertemu Allah. Jangan kita solat sejurus meninggalkan sesuatu kerja. Jika kita seorang akauntan, dibimbangi akan terbayang-bayang pula angka pengiraan kita di dalam solat nanti. Sebab itulah dalam Islam seelok-eloknya kita menanti waktu solat.
- Tip keempat pula ialah cuba perlahankan atau tenangkan pergerakan solat kita. Jangan terlalu tergesa-gesa. Kalau boleh, jangan lepas letak kepala untuk sujud, terus baca bacaan sujud. Beri sedikit masa untuk menstabilkan kedudukan sujud dahulu, bila dah stabil barulah mulakan bacaan. Bila rukuk pun begitu juga. Tunggu setelah sempurna rukuk baru kita mulakan bacaan. Ini tidak, kita biasanya ketika masih dalam perjalanan untuk rukuk pun sudah memulakan bacaan. Inilah solat yang tergesa-gesa dan kelihatan seperti ayam patuk makanan. Tenangkan sedikit diri dan lakukan perlahan-lahan. Sempurnakan pergerakan dahulu, baru mulakan bacaan.
- Tip kelima cuba hadkan pergerakan fizikal kerana jika hati itu kusyuk, fizikalnya tidak akan banyak bergerak-gerak. Memanglah tidak sampai membatalkan solat jika kita bergerak-gerak yang minima, tetapi kita hendak kejar solat yang kusyuk, bukan solat yang sah semata-mata. Solat yang kusyuk mesti sah, tetapi solat yang sah belum tentu kusyuk.
- Tip keenam pula ialah sempurnakanlah wudhuk dengan penuh penghayatan. Baca surah An-Nas, bacaan ta'awuz untuk menghindarkan gangguan syaitan. Inilah hanyalah kaedah-kaedah yang boleh diusahakan, tetapi bukanlah jaminan untuk mendapat kusyuk.
Berkenaan perihal Sayyidina Ali yang
tidak sedar panah dicabut dari betisnya: Ini merupakan hal di mana
roh itu sudah menguasai jasadnya. Jadi jasadnya tidak merasa apa-apa
lagi ketika itu. Kita hari ini lain pula ceritanya. Kita mungkin
takkan sedar jika nyamuk menggigit sekiranya sedang asyik menonton
wayang. Itulah hakikatnya kita kusyuk dalam perkara lara', manakala
sahabat pula kusyuk dalam solat.
S: Bila solat, saya cuba untuk fokus
tapi tersasul juga dan kadang-kadang tertinggal doa qunut atau
tersilap bilangan rakaat solat. Bagaimana untuk mengatasinya?
J: Solat ini ada markahnya. Markah
diberi sesuai dengan ingatan orang yang solat kepada Allah atau
kualiti solat itu. Oleh kerana hati itu berbolak-balik sifatnya, kita
kadang-kadang mudah lupa atau hilang fokus.
S: Adakah suasana sunyi diperlukan
untuk mendatangkan kusyuk, kerana saya rasa lebih mudah kusyuk ketika
solat tahajjud di malam hari berbanding solat fardhu di siang hari.
J: Kusyuk ini soal hati. Saya teringat
satu pepetah – 'What happen in you is more important than what
happen to you.' Oleh kerana itu, kita tak bolehlah nak bergantung
pada suasana yang sunyi untuk menghadirkan rasa kusyuk. Tambahan pula
sebagai orang lelaki, kita digalakkan untuk solat berjemaah dengan
orang ramai. Kita juga perlu ingat bahawa solat fardhu itu lebih
utama daripada solat sunat seperti solat tahajjud. Oleh itu
mendapatkan kusyuk di dalam solat fardhu adalah lebih utama. Jadi,
kita perlu cuba amalkan enam kaedah yang kita bincangkan tadi. Enam
kaedah ini boleh bertindak sebagai perisai agar kita mudah
'memisahkan' diri daripada hikuk-pikuk di luar untuk kusyuk dalam
solat. Sebagai metafora, sekiranya kita bawa kereta kecil, maaf
terpaksa gunakan contoh kereta Kancil, jika terlanggar sedikit pun,
sudah berlaku kerosakan. Tetapi jika kita bawa BMW, kita kurang
terkesan dengan pelanggaran yang kecil-kecil. Begitulah juga dengan
hati, jika hati kita masih rapuh, kita mudah terganggu dengan apa
yang berlaku di luar, sebaliknya jika hati kita kuat, kita takkan
mudah terpengaruh.
S: Mohon ustaz nasihatkan orang yang
terburu-buru dalam solat?
J: Apa yang utama dalam hidup kita?
Kita nak kejayaan, ketenangan, kebahagiaan kan? Bagi orang Islam,
semua ini ada hanya pada Allah. Akrabnya seseorang itu dengan
Allah akan memudahkan dia mendapat kejayaan, ketenangan dan
kebahagiaan. Cara untuk akrab dengan Allah adalah melalui solat.
Itulah hubungan paling rasmi dengan Allah SWT. Sekiranya kita gagal
mengingati Allah ketika dalam solat, apatah lagi bila kita berada di
luar solat. Solat itu sebenarnya latihan mengingati Allah, agar kita
juga mengingati Allah di luar solat. Tetapi jika kita menganggap
perkara lain lebih penting daripada solat, kita sebenarnya hanya
mengejar fatamorgana. Di dalam suatu hadis yang panjang, diriwayatkan
bahawa jika Allah telah mencintai seseorang, Allah akan beritahu
Jibril dan perintahkan semua makhluk untuk mencintai orang itu. Jadi
cinta Allah adalah sumber cinta semua makhluk. Tetapi jika kita putus
hubungan dengan Allah, walaupun kita rasa kita ada harta dan
kekayaan, hakikatnya kita takkan bahagia kerana kita tidak mempunyai
cinta Allah. Allah lebih menyayangi kita berbanding ibu yang paling
penyayang.
Kesimpulan:
Solat yang kusyuk bukanlah sesuatu yang
'personal'. Ianya merupakan kewajipan kepada seluruh ummah. Orang
yang meninggalkan solat telah melakukan kemungkaran yang terbesar.
Tidak kusyuk dalam solat pula merupakan masalah yang terbesar dala
kehidupan kita. Masalah-masalah seperti masalah ekonomi, sosial dan
banyak lagi, semuanya bertitik-tolak daripada sikap meninggalkan
solat dan tidak kusyuk dalam solat. Jadi, 'first thing first' ialah
menyelesaikan solat. Solat yang sebenar akan dapat mencegah perbuatan
fasha' dan mungkar. Jadi solat bukan soal peribadi, tetapi soal
ummah. Jadi kita mesti menjadikannya sebagai agenda ummah. Apabila
kita menjadikan solat itu sebagai perkara yang pertama dan utama,
InsyaAllah kita akan nampak kesan-berantai (chain-reaction) positif
yang akan berlaku kepada seluruh sistem dalam kehidupan kita.