Jalan Hidup Islam – Mukmin Profesional 26.03.2012
Ustaz Pahrol Mohd. Juoi
Semoga kita dikurniakan hati yang
sentiasa mengingati Allah agar jiwa kita menjadi lebih tenang, dan
mempunyai lidah yang sentiasa berzikir kepada Allah supaya kita
sentiasa menuturkan perkataan-perkataan yang baik dan ucapan yang
boleh memberi manfaat bukan saja kepada diri sendiri malah kepada
orang lain juga. Seorang mukmin, cakapnya itu zikir, dan diamnya
berfikir.
Mari sama-sama imbau kembali
perbincangan minggu lepas di bawah tajuk: Ibadah Pemacu Tamadun
Rohani & Material. Kesimpulan daripada minggu lepas – pohon
ibadah yang rendang mempunyai akar yang kuat, batang yang besar,
dahan dan daun yang banyak serta buah-buahan yang lebat. Pohon
rendang ini seumpama kesyumulan ibadah yang kita lakukan – akar
yang kuat seperti rukun iman yang enam yang merangkumi ibadah asas.
Walaupun tidak kelihatan, ia memberikan sokongan padu pada pokok itu.
Batang pokok pula menggambarkan ibadah asas yang merangkumi rukun
Islam yang lima – mengucap, solat, puasa, zakat dan mengerjakan
haji. Dahan-dahan besar dan kecil pula menggambarkan ibadah umum atau
kita kenali sebagai fadhu kifayah. Dalam kalangan masyarakat,
majoriti memahami fardhu kifayah sebagai solat jemaah dan solat
jenazah sahaja. Tetapi dalam Islam, fardhu kifayah merangkumi semua
aspek kehidupan, antaranya termasuklah pendidikan, ekonomi, hiburan
dan sebagainya. Daun-daun yang banyak seumpama ibadah-ibadah sunat.
Ibadah sunat tidak boleh dipandang ringan. Sepertimana pentingnya
daun untuk menjana makanan kepada pokok, ibadah sunat perlu kita
lakukan untuk mendapat kasih-sayang Allah. Akhirnya pokok yang rendang itu pasti mempunyai buah yang lebat dan manis rasanya.
Buah-buah ini inilah hasil ibadah yang
diperolehi iaitu tamadun rohani, di mana masyarakat menjadi lebih
berakhlak, berkeperibadian tinggi, dan pada masa yang sama mengecap
tamadun material dan fizikal yang tinggi. Pokok yang rendang bukan
saja memberi kekuatan pada diri sendiri, namun ia juga boleh memberi
sokongan pada orang lain. Contohnya di bawah pokok yang rendang,
pasti ramai yang ingin tumpang berteduh, dan juga singgah untuk makan
buahnya yang manis. Pokok yang rendang ini jika dibaling batu
sekalipun, ia tetap akan membalas dengan kebaikan iaitu dengan
menggugurkan buahnya.
Inilah metafora umat Islam yang berjaya
melaksanakan ibadahnya dengan sempurna. Walaupun orang buat jahat
padanya, bukan setakat kejahatan itu tidak merosakannya, malah dia
boleh pula memberi kebaikan kepada orang yang berbuat jahat
kepadanya. Inilah sifat Islam – 'Selamat dan menyelamatkan'. Islam
itu umpama pohon besar, yang tahan ujian dari luar, ataupun dari
dalam. Jadi alangkah beruntungnya dunia, bukan hanya untuk orang
Islam sahaja, sekiranya umat Islam dapat melakukan ibadah dengan
sempurna. Islam yang syumul sentiasa memayungi orang lain.
Sayang sekali, realitinya tidak begini.
Dalam masyarakat hari ini, berlaku dua kumpulan kecenderungan yang
melampau ('extreme'). Kumpulan pertama 'extreme' dalam menjaga soal
akar dan batang sahaja, mereka sekadar pentingkan rukun iman dan
rukun Islam sahaja. Mereka ini cuma menegakkan fardhu ain sahaja
tanpa mengambil peduli fardhu kifayah. Pokok yang cuma tinggal akar
dan batang, tanpa dahan, daun apatah buah, bukan lagi pokok namanya
tapi dipanggil tunggul. Inilah umpama orang yang hanya fokus pada
perkara fardhu ain sahaja, keindahan Islam sebagai 'way of life'
tidak akan kelihatan padanya dan dia akan dipandang lemah.
Golongan 'extreme' kedua hanya
pentingkan soal-soal fardhu kifayah iaitu isu berkaitan sistem sahaja
lalu menjalankan sistem ekonomi, pendidikan dan lain-lain berteraskan
Islam. Mereka meminggirkan soal-soal rukun iman dan rukun Islam.
Solat entah ke mana, zakat entah ke mana. Mereka ini seumpama
mengharapkan pokok yang tiada akar dan batang yang kuat untuk berbuah
lebat. Pokok mereka bukan sekadar tidak berbuah, bahkan jika ditiup
angin yang biasa sahaja sudah boleh tumbang menyembah bumi. Mereka
beria-ia menegakkan sistem berteraskan Islam, namun tanpa akidah yang
kuat, belum pun sempat maju, akidah sudah goyang lalu berleluasalah
masalah sosial dalam masyarakat. Kita sepatutnya menjaga ibadah
secara syumul (sempurna), barulah Islam boleh menjadi selamat dan
menyelamatkan.
Sehingga kini, kita barus habis
membincangkan 'tujuan hidup', iaitu langkah pertama sebagai Mukmin
Profesional. Kesemuanya ada tujuh langkah untuk menjadi Mukmin
Profesional, antaranya: Tujuan Hidup, Jalan Hidup, Penghalang Hidup,
Pendorong Hidup sampailah kepada Akhir Hidup. Oleh itu, perbincangan
seterusnya adalah berkaitan 'Jalan Hidup'. Mengetahui tujuan hidup
sahaja tidak memadai. Kita perlu tahu juga jalan yang perlu diambil.
Contohnya, katakan kita ingin ke Johor Baru, dan kita sudah ada
alamat penuhnya, namun kita takkan sampai sekiranya kita ambil bas
menuju arah utara. Jadi, walaupun tujuan kita jelas, jalan yang
diambil juga mestilah jalan yang betul. Peri-pentingnya 'jalan' ini
dapat dilihat daripada ayat dalam surah Al-Fatihah: “Tunjukkanlah
daku jalan yang lurus”. Allah mewajibkan kita membaca ayat ini
paling kurang 17 kali sehari, dan ini menjadi bukti kepentingannya,
kerana Allah Maha Mengetahui daripada kita, insan yang kerdil ini.
Kita wajib minta doa ini ketika solat.
Kita minta berulang-kali, minima 17 kali sehari. Jika kita mula solat
pada umur 15 tahun, setelah 40 tahun, kita telah meminta doa ini
sebanyak 155, 125 kali. Begitu banyaknya kita meminta. Persoalannya
pula – adakah kita minta secara bersungguh-sungguh atau secara
sambil lewa saja? Mari bandingkan dengan kisah berikut: Contohnya
jika kita buat permohonan pinjaman Islam untuk beli kereta atau
rumah. Selagi belum diluluskan, kita pasti resah dan terus-menerus
'follow-up' dengan pihak bank. Tapi bagaimana pula dengan sikap kita
setelah berkali-kali memohon jalan yang lurus? Adakah kita pernah
bertanya – sudahkah Allah memakbulkan permintaan kita? Ataupun
adakah kita tidak perasan bahawa Allah telah mengabulkan permintaan
kita? Ada satu perumpamaan dalam Bahasa Inggeris – 'When you ask,
listen'. Itu maknanya kita perlu prihatin dengan 'jawapan' yang Allah
beri. Jangan pula kita membiarkan diri menjadi alpa dan tuli dengan
jawapan yang telah Allah beri. Jika itu yang berlaku, kita sebenarnya
seorang peminta yang ego. Kita hanya meminta di bibir, tidak di hati.
Sebab itu salah satu adab berdoa yang paling penting ialah mempunyai
sifat kehambaan dalam hati kita semasa berdoa, kita perlu rasa kecil,
rasa kurang, rasa lemah, rasa jahil dan sangat-sangat mengharap pada
bantuan Allah. Tapi jika kita ego, kita mungkin takkan nampak jawapan
yang Allah beri.
Kenapa kita perlu mohon jalan dari
Allah? Tak bolehkah jika kita buat jalan sendiri? Kadang-kadang kita
terlupa bahawa kita tidak layak untuk buat jalan sendiri. Kita cuma
layak minta Allah tunjukkan jalan yang telah dibuat untuk kita.
Kenapa? Sebab Allah SWT telah tegaskan dalam surah Al-Baqarah, ayat
284 yang bermaksud seluruh alam dan bumi ini kepunyaan Allah. Oleh
kerana itu, kita manusia ini hanyalah menumpang di bumi ini.
Perhatikan metafora ini: Seorang anak kecil jumpa duit 50 sen dan
memberitahu ayahnya yang dia ingin membelanjakan wang tersebut.
Sebagai ayah yang soleh, ayah akan melarang anaknya daripada berbuat
begitu. Anak cuba berbahas dengan menyatakan duit itu dia yang jumpa,
namun ayah akan menjelaskan bahawa duit itu tetap bukan milik anaknya
walaupun dia yang menjumpainya. Jadi samalah seperti manusia di bumi
ini, kita datang ke dunia dan semua makhluk lain seperti tumbuhan,
binatang telah sedia ada. Walaupun kita menjumpai sumber-sumber ini,
namun hanya Allah yang berhak mentadbir alam ini mengikut
hukum-hukum-Nya. Oleh sebab itu, manusia tidak layak membina jalan
kehidupan sendiri – ini bermakna segala x'sme (contoh nasionalisme,
kapitalisme dsb.) bukan contoh terbaik untuk dijadikan ikutan. Satu
lagi metafora sebagai renungan: Seorang sahabat datang ke rumah kita,
dan mula mengubah susun-atur kediaman kita. Bagaimana agaknya
perasaan kita ketika itu? Pasti kita rasa tak senang dengan tetamu
tak beradab sebegini. Jadi kita juga janganlah jadi hamba Allah yang
tak beradab dengan mengabaikan jalan Islam yang Allah telah tetapkan.
Soalan & Jawapan:
S: Mohon petua bagaimana nak mujadah
dalam beribadah?
J: Mujahadah merupakan usaha gigih yang
memerlukan pengorbanan demi mencari keredhaan Allah. Kita sedia
maklum jalan menuju Allah dipagari kesusahan. Manakala jalan menuju
neraka pula dipagari keseronokan. Jadi kita perlu bersedia bahawa
susah itu satu sunnatullah. Jadi apabila kita rasa susah dalam
bermujahadah, maknanya kita berada di jalan yang benar dan kita
sedang diuji. Oleh itu, langkah-langkah untuk menguatkan diri dalam
bermujahadah:
- Pertama: kita kena siapkan hati kita dari awal-awal lagi. Para sahabat Nabi SAW, apabila ditimpa kesusahan akan berkata “Sesunggguhnya, telah berlaku janji Allah”. Mereka tak pula mempersoalkan mengapa mereka yang yang diuji. Sebagai contoh, jika kita nak ke Bentong, kita sudah tahu bahawa kita akan perlu bayar tol. Jadi kita takkan terkejut lagi dan akan menyediakan bayaran yang diperlukan. Begitulah dalam bermujahadah, kita perlu tetapkan 'mindset' bahawa kita akan menempa kesusahan.
- Kedua, kita perlu banyak berdoa memohon Allah permudahkan jalan itu. Nabi SAW sendiri mengajar sahabatnya, Sayyidina Mu'az bin Jabal, agar berdoa: “Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu.” Maksudnya, hatta untuk mengingati Allah sekalipun kita perlu berdoa. Apabila kita selalu berdoa, jangan kecewa jika bantuan belum tiba, kerana bantuan Allah pasti akan tiba. Ketiga: kita perlu sering berzikir kerana ianya akan memberi kekuatan pada jiwa kita. Bila menang, kita perlu bersyukur dengan nikmat dan kekuatan yang Allah beri. Sebaliknya, jika kita terlanjur berbuat dosa, kita kena cepat-cepat bertaubat. Jangan putus asa dengan diri sendiri walaupun kita sering kalah dalam mujahadah. Biar kita kalah, tapi jangan kita mengalah. Allah telah berjanji bahawa jika kita benar-benar berusaha untuk menempuh jalan Allah, Allah akan tunjukkan jalan tersebut.
- Keempat: Jangan dedahkan diri ke tempat-tempat yang boleh merosakkan iman kita. Contoh: jangan pergi tempat maksiat. Cari program yang mendekatkan diri kepada Allah. Sebab itu Allah sendiri berfirman: 'Jangan kamu hampiri zina'. Allah tak benarkan kita hampir sekalipun, kerana Allah tahu kelemahan kita. Pilih rakan yang baik dan sertai jemaah untuk tambah kekuatan.
S: Ustaz sebut tadi yang kita kena
tolak x'sme yang ada termasuklah nasionalisme. Mohon pencerahan ustaz
kerana ketika Rasul SAW datang, baginda memperkuatkan jati diri
bangsa Arab sehingga terbinanya nasionalisme bangsa Arab. Allah juga
telah berfirman bahawa manusia itu dijadikan berpuak-puak agar kita
saling mengenal antara satu sama lain. Jadi adakah wajar kita menolak
nasioanlisme dan hanya menggunakan Islam sebagai platform? Tidakkah
tindakan ini boleh menyebabkan orang Islam negara lain menuntut hak
mereka di Malaysia?
J: Bila saya sebut nasionalisme tadi,
bukan maksudnya kita tolak secara keseluruhan, cuma kita perlu letak
Islam lebih tinggi daripada segala-galanya. Betul, nasionalisme telah
memperkuatkan bangsa Arab, yang sebelum itu cuma dilihat sebagai
'belalang padang pasir'. Kehadiran Islam membuatkan bangsa Arab mampu
mengalahkan bangsa Parsi dan bangsa Rom dan menjadi bangsa pembina
empayar. Kekuatan orang Arab ini datang daripada Islam, sebagaimana
yang disebut Sayyidina Umar sendiri bahawa mulianya Arab kerana
Islam. Bangsa itu bukan matlamat, cuma sebagai alat perjuangan. Apa
buktinya bangsa bukan matlamat? Ketika kafir Quraisy menguasai Mekah,
berlaku penindasan yang hebat terhadap orang Islam, lalu Rasul SAW
memerintahkan sahabat berpindah ke Habsyah (Utopia). Di situ terdapat
bangsa lain berkulit hitam, dengan rajanya, Raja Najashi. Jadi jelas
di sini bahawa Rasul SAW sanggup meminta sahabat meninggalkan
bangsanya sendiri dan berlindung dengan bangsa lain. Oleh itu,
perasaan untuk sayang bangsa kita dan membela nasib bangsa kita
sendiri tidaklah menjadi kesalahan. Bangsa ini merupakan anugerah
Allah kepada kita. Bangsa Melayu kita ketinggalan dalam banyak
bidang, jadi kita berharap agar bangsa kita boleh 'berdiri sama
tinggi, duduk sama rendah' dengan bangsa lain. Oleh itu, cara terbaik
untuk memajukan bangsa kita adalah dengan Islam. Ini keraja bangsa
yang menerima Islam akan menerima kemuliaan. Namun jika kita cuma
memperjuangkan semangat kebangsaan, tanpa menjadikan Islam sebagai
asas dan terasnya, ianya akan berubah menjadi 'Assobiyyah'. Ini akan
menyebabkan kita terus sokong walaupun bangsa kita melakukan
kesalahan atau kejahatan. Ini tidak berlaku pada zaman Rasul SAW.
Ukurannya ialah syariat, yang salah tetap salah. Jadi bila orang
Melayu buat silap, dan orang Cina betul, kita perlu sokong orang
Cina, dan itu bukan bermaksud kita tak sayangkan bangsa kita, tetapi
itu kerana kita cintakan keadilan dan kita berpegang dengan konsep
siapa yang lebih dekat dengan Islam. Oleh sebab sayangkan kaum
Arablah, Nabi bawa agama Islam kepada mereka. Oleh kita tak boleh
menyokong bangsa kita sehingga tidak berlaku adil kepada bangsa lain.
S: Apakah hukum seorang Islam yang
meninggalkan cara hidup Islam? Bagaimana cara menasihatinya agar
kembali?
J: Nasihat ada dua bentuk iaitu
perkataan dan amalan, dan yang paling penting ialah dalam bentuk
amalan. Kita pun sedia maklum bahawa 'Action speaks louder than
words'. Oleh itu jika kita dapat pamerkan Islam dalam cara hidup
kita, kita cakap sikit saja, orang dah mudah ikut. Tapi jika kita
sendiri tak buat, orang akan susah nak ikut, Manusia lebih percaya
matanya daripadanya telinganya. Oleh itu cara terbaik menasihati
rakan adalah dengan mempamerkan akhlak yang baik. Seterusnya, kita
perlu doakan dia juga sebagaimana Rasul SAW mendoakan Umar, penduduk
Taif agar diberi pentunjuk. Inilah dua kekuatan Rasul SAW dalam
berdakwah – akhlak dan doa. Jadi jika juga kena laksanakan
kedua-duanya.
S: Mengapa kita selalu lalai? Adakah
hati kita belum cukup kuat? Bagaimana menghadirkan hati untuk
mengingati Allah?
J: Kita perlu berterusan ingat Allah,
walaupun kadang-kadang mulut kita menyebut Allah, tapi hati kita
lalai. Imam Ghazali ada berkata: “Walaupun hati kita lalai,
teruslah menyebut Allah kerana sekurang-kurangya mulut sudah
terselamat daripada mengatakan yang buruk”. Bak kata pepatah –
'Kalau kita tak dapat jadi garam yang memasinkan ikan, kita jangan
jadi lalat yang membusukkannya.' Kita perlu juga bergaul dengan
rakan-rakan dan pergi ke tempat yang memudahkan kita mengingati
Allah.
S: Mohon nasihat menghadapi situasi
menegur orang tapi dia tak nak dengar.
J: Teruskan menegur, jangan putus asa.
Rasul SAW sendiri berdakwah berkali-kali sebelum diterima. Dalam
kaedah pendidikan, mengikut kajian, setelah dicakap 300 kali baru
masuk ke hati seseorang. Sebab itu seorang ibu boleh bercakap
berulang-ulang benda yang sama kerana dalam dirinya ada 'rahim' iaitu
kasih sayang. Manakala seorang bapa pula takkan bersabar untuk
mengulang terlalu banyak kali. Disamping itu, jangan lupa saranan
kepada soalan sebelum ini iaitu berdakwah melalui akhlak yang baik
dan doakan.
S: Bagaimana komen tentang jalan hidup
seperti dalam surah Al-'Asr di mana Allah isytiharkan manusia berada
dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh dan
berpesan kepada kebaikan.
J: Manusia biasanya melihat yang
tersurat sahaja, tapi tidak melihat yang tersirat. Sebagai contoh,
Nabi Muhammad SAW tidak pernah meninggalkan solat sunat Fajar kerana
ianya lebih bernilai daripada dunia dan seluruh isinya. Namun berapa
ramai daripada kita yang ghairah mengerjakan solat sunat ini? Kita
lebih ghairah apabila mendengar tawaran jualan di 'shopping complex'.
Kita tak rasa kerugian apa-apa yang berharga apabila meninggalkan
solat sunat, solat fardhu, sedangkan orang yang solat akan mendapat
banyak bentuk perlindungan daripada Allah. Jadi kita perlu celik mata
hati agar nampak dunia sebagai alat untuk sampai ke syurga. Kita
jangan hanya nampak yang dekat (dunia), tapi tak nampak yang akhirat.
Kita nampak nikmat, tapi tak nampak hakikat bahkan kita lupa kepada
pemberi nikmat. Iman adalah percaya kepada perkara-perkara yang tak
nampak (tersirat) – percaya kepada syurga, neraka, pahala, dosa.
Hanya orang yang beriman mampu 'melihat' ini semua. Manusia mudah
tertipu kerana dunia ini ibarat fatamorgana, kelihatan seperti ada
segala-galanya, tapi sebenarnya tiada apa-apa kecuali bagi mereka
yang beriman, beramal, dan yang berpesan dengan kebenaran dan
kesabaran.
S: Berkaitan pohon ibadah - bukankah
apabila kita solat, Allah akan memberi pertolongan dan keberkatan
dalam rezeki kita? Adakah apabila kita melakukan ibadah asas akan
mendatangkan ibadah sunat pula?
J: Berkaitan pohon ibadah, apabila akar
dijaga dengan baik, akan tumbuh batang, dahan, ranting yang banyak.
Tapi tak cukup berhenti di situ sahaja. Rezeki pula adalah sesuatu
yang Allah telah tentukan. Perhatikan cicak – rezekinya adalah
binatang yang terbang, jadi jika kita fikir secara logik, cicak perlu
ada sayap juga agar dapat kejar makanannya. Namun All tak jadikan
cicak begitu dan cicak tetap dapat rezekinya. Begitu juga dengan
pokok periuk kera. Walaupun ianya tak dapat bergerak, rezekinya Allah
jadikan datang daripada haiwan yang bergerak. Tetapi untuk manusia,
Nabi tidak menggunakan cicak atau pokok periuk kera sebagai kiasan,
tapi Nabi SAW menggunakan burung. Selalu ada hadis yang menyebut
tentang burung keluar pagi dengan perut yang kosong namun pulang pada
waktu senja dengan perut yang berisi. Jadi inilah yang perlu kita
faham, sepertimana burung yang perlu keluar mencari rezeki yang telah
ditentukan untuknya, manusia juga perlu berusaha untuk mendapatkan
rezekinya. Inilah yang dikatakan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah, kita
perlu berusaha, namun yang memberikan rezeki itu Allah. Di situ ada
dua kewajipan kepada manusia – pertama: berusaha dan kedua:
menerima takdir yang telah ditetapkan. Kita tak boleh berusaha dan
yakin dengan usaha atau tak berusaha dan mengharap sahaja, perlu ada
kombinasi kedua-duanya. Dalam satu ayat Al-Quran ada disebutkan
bahawa selepas solat Jumaat, bertebaranlah kamu mencari rezeki Allah
dan sebutlah nama Allah banyak-banyak. Maksudnya, selepas solat kita
tak boleh duduk diam, kita perlu berusaha mencari rezeki di samping
mengingati Allah banyak-banyak. Mencari rezeki yang halal untuk diri
dan keluarga adalah sebaik-baik amalan selepas amalan yang fardhu,
dan juga dianggap sebagai jihad. Oleh itu disamping menjaga akar dan
dahan, kita perlu juga jaga ranting, daun dan buah. Cuma kita perlu
tahu prioriti yang mana perlu didahulukan.
S: Bagaimana dengan orang yang ditimpa
musibah, namun dia tak redha dan sekadar pasrah sahaja?
J: Kedudukan orang yang redha lebih
tinggi berbanding orang yang sabar. Orang yang redha, bila menghadapi
musibah, dia ucap 'Alhamdulillah'. Dia terasa 'manis' dengan
kepahitan ujian yang diberikan. Orang sabar pula ucap 'Innalillahi
waninna ilai hiroji'un' bila diuji kerana dia menderita di dalam
hati, cuma tak terucapkan dengan kata-kata. Jadi tingkat pasrah
tertinggi ialah redha, tapi jika tak mampu, kita cuba bersabar
dahulu.