Mencari Bahagia - Mukmin Profesional 07.05.2012
Ustaz Pahrol Mohd Juoi
Alhamdulillah Allah izinkan kita
dipertemukan dalam majlis ilmu. Mudah-mudahan ilmu yang diperolehi
dapat membantu kita mengenal kebenaran dan mengikutinya, dan mengenal
kebatilan dan meninggalkannya. Barangsiapa yang mencari kebenaran,
InsyaAllah akan bertemu kebahagiaan. Walaupun mungkin hari ini sedang
menghadapi ujian yang menyakitkan atau menyukarkan, tepuk dada dan
bisik pada hati yang ini cuma sementara. InsyaAllah mendung akan
berlalu dan cahaya akan datang dalam kehidupan kita kerana Allah
telah berjanji setelah kepayahan pasti akan datang kesenangan.
Mudah-mudahan ujian yang menyedih dan menyakitkan kita tidak
menjejaskan hati kita daripada terus mensyukuri nikmat Allah. Apabila
kita mensyukuri yang sedikit, biarpun yang sedikit itu bukanlah yang
kita idam-idamkan, InsyaAllah akan ditambah nikmat buat kita.
Lebih-lebih lagi jika kita dapat bersyukur ketika menghadapi
kesukaran, InsyaAllah akan dipermudahkan kehidupan kita kelak.
Tajuk petang ini agak mudah, iaitu
mencari bahagia. Seperti yang telah ditegaskan sebelum ini, seorang
mukmin profesional mestilah celik mata hatinya (bashirah) dan melihat
hidup melalui pandangan Pencipta-Nya, bukan pandangan peribadinya.
Inilah yang dinamakan 'tauhidic mindset' – melihat berasaskan
pandangan tauhid. Inilah sifat orang yang beriman. Apabila sudut
pandangan kita tepat, InsyaAllah kita akan mendapat kehidupan yang
tepat juga. Walaupun kehidupan di dunia ini singkat, ianya penting
kerana akan menentukan sama ada kehidupan kita bahagia atau merana
selama-lamanya di hari akhirat nanti. Pandangan hidup yang tepat
merangkumi mengetahui dengan jelas tentang:
- arah hidup – telah dibincangkan sebelum ini hal-hal berkaitan hidayah
- tujuan hidup - telah dibincangkan sebelum ini hal-hal berkaitan ibadah
- jalan hidup - telah dibincangkan sebelum ini hal-hal berkaitan syariah
- bekalan hidup - telah dibincangkan sebelum ini hal-hal berkaitan solat
- dorongan hidup - akan dibincangkan hal-hal berkaitan zikrulah
- halangan hidup – akan dibincangkan hal-hal berkaitan dosa
- akhir hidup – akan dibincangkan hal-hal berkaitan kematian
Jadi sebelum kita membincangkan langkah
kelima yang berkaitan tentang zikrullah – iaitu langkah untuk
mencelikkan mata hati kita. Sebagai mukadimmah langkah ini kita
bincangkan tajuk hari ini iaitu 'Mencari Bahagia.' Fitrah manusia
semuanya ingin bahagia, tak kitalah yang miskin, yang kaya, yang
berkuasa ataupun rakyat jelata. Tiada orang yang tak ingin bahagia.
Andainya ada yang berkata “Alangkah bahagia jika saya tak bahagia,”
maka layaklah dia tinggal di Hospital Bahagia :D. Memang semua orang
ingin bahagia, tetapi sedikit sahaja manusia yang mendapatnya.
Kenapa? Ada dua sebab utama. Pertama: kerana manusia tidak tahu apa
ertinya bahagia itu. Oleh kerana manusia memburu sesuatu yang tak
pasti, sampai bila-bila pun takkan berjumpa. Begitulah jika kita
kehilangan sesuatu tetapi kita tak tahu apa bentuknya, apa warnanya,
bagaimana nak cari? Jadi manusia tak jumpa kebahagiaan kerana manusia
tak tahu apa erti kebahagiaan. Sebab kedua kerana manusia tak tahu
kaedah yang betul mencari kebahagiaan. Mudah-mudahan Allah izinkan
kita berbincang tentang bahagia petang ini kerana kebahagiaan itu
fitrah kita semua.
Apa erti bahagia? Ada orang kata
bahagia itu relatif dan subjektif. Maksudnya ianya tidak tetap dan
berubah-ubah. Contohnya: seorang yang sakit merasakan sihat itu
bahagia. Manakala seorang yang sihat pula inginkan benda lain pula
untuk rasa bahagia. Begitu juga orang yang miskin merasakan kaya itu
bahagia, manakala si kaya pula menginginkan benda lain pula untuk
bahagia. Saya teringat satu kisah yang dibawa di dalam buku Tasawwuf
Moden, karya Hamka, mengenai sebuah keluarga pesawah, suami, isteri
dan anaknya yang dalam perjalanan pulang setelah bekerja. Mereka
sekeluarga ternampak seorang kaya yang sedang berehat minum kopi di
hadapan rumahnya yang besar. Petani itu melihat orang kaya itu
bahagia kerana mempunyai rumah yang besar dan tidak sepertinya yang
perlu membanting tulang empat kerat untuk menyara keluarga dan
mempunyai pondok buruk sahaja. Orang kaya itu pula melihat melihat
petani itu beruntung kerana dengan kerjanya yang berat, tubuhnya
menjadi sihat dan kuat, tidak sepertinya yang berpenyakit. Petani itu
bekerja bersama keluarganya, jadi sudah tentu hubungan mereka rapat
dan tidak sepertinya yang selalu bertelingkah dengan isterinya.
Inilah yang dikatakan bahagia itu sesuatu yang relatif. Kita juga
selalu terjebak dalam pemikiran sebegini dan selalu merasakan bahawa
orang lain lebih baik daripada kita. Kita selalu melihat yang pelangi
itu berada di atas kepala orang lain, tetapi kita tidak sedar bahawa
pelangi itu juga berada di atas kepala kita sebenarnya. Jadi dalam
kehidupan ini, kita perlu lihat sisi kelebihan diri kita juga dan
jangan fokus pada sisi kekurangan kita.
Ada juga golongan yang melihat bahagia
ini sebagai sesuatu yang mutlak, tetap, dan tidak berubah-ubah. Oleh
itu ianya perlu dicari. Ada juga orang yang begitu pesimis sehingga
tak percaya ada kebahagiaan di dunia. Mereka sudah mengalah dari awal
dan menganggap hidup ini untuk menderita. Ada juga yang begitu
optimis dan yakin ada kebahagiaan di dunia dan mereka berterusan
mencarinya. Golongan ini pula terbahagi kepada dua kumpulan. Pertama,
mereka yang mempercayai kebahagian itu datang dari luar ke dalam,
atau dengan kata lain kebahagiaan terletak kepada keupayaan memiliki
sesuatu berbentuk material. Kedua pula, mereka yang bahagia dari
dalam ke luar. Bagi mereka, kebahagiaan bukan berbentuk fizikal dan
material tetapi ianya datang dari dalam diri dan berkaitan dengan
hati dan perasaan.
Mari bincang selanjutnya dengan dua
golongan ini. Bagi golongan yang pertama, mereka meletakkan bahagia
pada banyaknya harta, kuasa, rupa dan nama. Oleh itu, bermacam-macam
cara mereka gunakan untuk mencapai maksud ini. Bagi yang mengejar
harta, semakin banyak harta yang dimiliki semakin mereka bahagia.
Bahagia mereka ditentukan oleh jatuh naiknya indeks Bursa Saham. Jika
naik, naiklah kebahagiaan mereka, namun jika jatuh pula, mereka pun
ikut jatuh sehingga ada yang sanggup bunuh diri dengan terjun
daripada bangunan. Bagi yang merasakan kuasa boleh memberikan mereka
kebahagiaan pula, mereka mengejarnya sehingga sanggup menjatuhkan
orang lain, saling memfitnah dan mengamalkan prinsip 'matlamat
menghalalkan cara'. Bagi yang rasa bahagia dengan kecantikan pula,
mereka sanggup berbelanja untuk mengubah rupa fizikal yang tidak
disukai agar menjadi lebih cantik. Mereka melakukan pembedahan
plastik, menanam silikon dalam badan dan menggunakan pelbagai cara
lain lagi. Bagi yang mengejar populariti pula, mereka inginkan
sanjungan dan pujaan manusia untuk rasa bahagia. Jadi mereka sanggup
melakukan macam-macam perkara pelik. Contohnya untuk meletakkan nama
dalam 'Guinness World Book of Record' ada yang sanggup duduk dengan
kala jengking, ada yang sanggup berjalan terbalik dan macam-macam
lagi.
Jadi mari kita lihat adakah mereka ini
betul-betul bahagia? Mari lihat orang yang betul-betul mempunyai
harta, nama dan kuasa. Mari perhatikan kehidupan jutawan-jutawan dan
selebriti yang terkenal. Kita semua sedia maklum yang Al-Quran telah
menjelaskan bahawa barangsiapa yang mencari perlindungan selain
daripada Allah, mereka akan mendapat kehidupan yang sempit seumpama
sarang labah-labah. Jadi hari ini, saya ingin menggunakan contoh
daripada majalah-majalah kontemporari seperti Cosmopolitan, Galaxy,
atau Fortune agar majlis ilmu kita lebih santai. Saya minta maaf
kerana saya terpaksa mengambil contoh daripada Hollywood kerana ramai
remaja kita hari ini yang menjadikan bintang-bintang Hollywood
sebagai idola mereka. Saya ingin mereka sedar bahawa idola yang
mereka ikut atau begitu minati ini bukanlah satu personaliti atau
contoh yang baik. Contohnya Britney Spears – dia cantik, kaya dan
ternama. Tetapi bagaimana kehidupannya? Dia telah bercerai dengan
suaminya, kemudian kita banyak dengar cerita tentang dia menggunakan
dadah dan arak kerana tekanan hidup sehinggakan mahkamah memutuskan
dia tidak layak untuk menjaga anaknya sendiri. Begitu juga dengan
Whitney Houston yang terbaru sekali mati kerana dadah. Banyak lagi
barisan bintang Hollyword ternama yang mati sebegini rupa, contohnya
Elvis Presley, Kurt Cobain, Marylin Monroe. Mereka ini semuanya kaya,
tetapi menderita dan kehidupan mereka berkesudahan dengan tragedi.
Kejadian yang paling tragis dan menyedihkan ialah kisah Puteri Diana.
Orangnya rupawan, mempunyai harta dan terkenal, tetapi dia mati
kemalangan di dalam terowong dalam mencari cinta dari seorang lelaki
kepada lelaki yang lain yang tidak kesampaian.
Majalah Fortune juga pernah membuat
kajian dan dapatan menunjukkan hanya 10% daripada kalangan CEO yang
bertaraf 'world class' yang tidak mengalami keruntuhan rumah tangga.
90% lagi hancur rumahtangganya, dan yang lain-lain juga mengambil
dadah dan sanggup membunuh diri. Orang sebegini pastilah tidak
bahagia kehidupannya. Jadi mengapa mereka ini tidak bahagia sedangkan
mereka mempunyai harta, rupa, kuasa dan nama? Mungkin ada yang boleh
berhujah bahawa mereka ini ditimpa ujian-ujian hidup seperti
dijatuhkan, ditimpa penyakit dan sebagainya. Tetapi persoalannya:
Benarkah ujian hidup menyebabkan seseorang tidak bahagia? Mari
bandingkan dengan metafora ini. Bayangkan, jika kita tuang air limau
keatas tangan yang sihat, kita tidak akan rasa apa-apa. Tetapi jika
tangan itu luka, air limau itu akan menyebabkan rasa pedih. Jadi rasa
pedih itu bukanlah disebabkan air limau, tetapi sebab tangan yang
luka itu. Jadi jika kita umpamakan air limau itu seperti ujian hidup
dan tangan pula seperti hati, hanya hati yang terluka akan merasa
pedih apabila menerima ujian. Tetapi rasa pedih itu bukanlah berpunca
daripada ujian, tetapi oleh kerana hati itu memang tidak bahagia.
Ujian itu hanya sebagai 'indicator' bahawa hati itu sememangnya tidak
bahagia selama ini. Hati yang 'sihat' pula takkan merasa apa-apa,
bahkan dapat menyerap kebaikan pula daripada 'air limau' tersebut.
Oleh itu ujian hidup bukanlah penyebab hilangnya bahagia. Sebaliknya
ia adalah hukum dunia dan pasti akan dilalui oleh sesiapa sahaja.
Jika kita tidak mahu diuji, jangan datang ke dunia ini. Ujian akan
datang dalam berbagai bentuk – cacian orang, miskin, kaya, sakit,
sihat dan banyak lagi. Namun yang pasti ujian hidup bukan penyebab
hilangnya bahagia. Jadi kita perlu belajar bagaimana untuk terus
mendapatkan kebahagiaan walaupun tahu bahawa dalam hidup kita ini
pasti akan diuji.
Limau yang pedih atau hati kita yang 'pedih' sebenarnya? |
Soalan & Jawapan:
S: Salahkah jika saya mencari duit
lebih agar masa depan zuriat lebih terjamin?
J: Mencari harta yang halal merupakan
tuntutan dalam Islam. Bahkan ada satu hadis yang menyebut bahawa
kebahagiaan di dunia adalah apabila kita mempunyai rumah yang lapang,
kenderaan yang besar dan jiran yang baik. Jadi tidak salah mencari
harta untuk memenuhi keperluan hidup selagi kita mengikut syariat
yang ditetapkan. Untuk mencapainya, kita perlu jaga 2i dalam apa jua
yang kita lakukan. Pertama – ikhlas kerana Allah semata-mata. Kedua
– 'iktibak' yang bermaksud mengikut jalan yang ditunjukkan oleh
Rasulullah SAW. Tetapi yang menjadi kesalahan adalah apabila harta
dijadikan sebagai matlamat, bukan alat. Kita perlu menggunakan harta
kita untuk mencapai matlamat mencari keredhaan Allah. Sebagai
metafora, bayangkan harta yang kita cari itu sebagai galah, manakala
buah yang ingin dipetik itu pula adalah kebahagiaan dan keredhaan
Allah. Jadi galah penting untuk kita mendapatkan buah, tetapi perlu
diingat bahawa kita takkan mendapat buah dengan hanya mengumpul
galah. Oleh sebab itu, rumah yang besar itu penting, tetapi apa yang
kita isi di dalam rumah itu jauh lebih penting. Begitu juga dengan
kereta, yang penting ke mana kita bawa kereta kita itu. Jadi,
kesimpulannya tidak salah memiliki 'alat' yang banyak, tetapi
pastikan bahawa tujuan hanyalah untuk mencari keredhaan Allah. Jadi
belanjakanlah harta kepada jalan Allah kerana hanya harta inilah yang
akan kekal bersama kita di hari akhirat nanti.
S: Saya ingin berkongsi 3 pesanan arwah
guru saya: Pertama – binalah jalan hidup kamu atas jalan Allah.
Kedua – sediakan bekalan hidupmu sebaik mungkin kerana kamu pasti
takkan dapat kembali kepada permulaan kehidupan kamu. Ketiga –
tundukkan matamu daripada kemaksiatan dan dongakkan pandanganmu
kepada kebaikan insan lain.
J: Alhamdulillah, ini merupakan satu
perkongsian yang baik. Namun begitu ini semua perkara yang hanya
boleh dilihat dengan mata hati. Kita juga pernah bincangkan sebelum
ini bahawa permusafiran kita bermula semenjak kita dilahirkan dan
kita seterusnnya akan menuju ke alam barzakh, sebelum kita menuju
alam akhirat. Jadi kehidupan di dunia ini adalah untuk menyiapkan
bekalan. Kita tahu pangkal permusafiran telah lama kita tinggalkan,
namun hujungnya kita belum sampai. Tenaga kita pun semakin kurang
tetapi beban kita semakin bertambah. Jadi bagaimana untuk kita nak
minta bantuan daripada Allah? Jadi kita kena ikut ketiga-tiga pesanan
yang diberikan tadi. Ianya selari dengan apa yang selama ini kita
bincangkan dalam Mukmin Profesional ini.
S: Mohon pencerahan ustaz tentang
berbagai bentuk rezeki yang Allah kurniakan kepada kita – contohnya
akal fikiran, alam sekeliling, dan yang paling utama nikmat hidayah
agama Islam yang memandu kehidupan kita.
J: Semua ini termasuk dalam hidayah
yang pernah kita bincangkan sebelum ini, cuma kita kaitkan dengan
kebahagiaan sekarang ini. Ahli Sufi ada berkata bahawa cuma orang
yang bahagia di dunia sahaja yang akan berbahagia di akhirat. Jadi
seseorang itu perlu merasa syurga yang disegerakan di dunia sebelum
dapat merasa syurga hakiki di akhirat nanti. Ulas mereka lagi, di
dunia ini ada satu syurga yang disegerakan iaitu 'hati yang sejahtera
– qalbu saalim'. Itulah juga yang saya selalu bincangkan bahawa
kaya yang sebenarnya ialah kaya hati. Jadi supaya hati kita tenang
menghadapi ujian, ingatlah kata Nabi SAW dalam satu hadis yang
diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, “Lihat orang yang di bawah kamu
dan jangan melihat orang yang di atas kamu, kerana itulah yang lebih
layak agar kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya ke
atas kamu.” Jadi kita kena selalu lihat orang yang di bawah kita
agar kita menjadi lebih bersyukur. Jangan dilihat orang yang di atas
kerana setiap orang pasti ada masalahnya yang tersendiri.
S: Apakah amalan yang boleh membuatkan
Allah sayang kepada remaja dan bagaimana untuk mengekalkan
kebahagiaan?
J: Remaja merupakan golongan yang
meninggalkan alam kanak-kanak tetapi belum dewasa sepenuhnya. Jika
dibandingkan dengan cecair, sebelum bertukar kepada wap, cecair itu
dipanaskan dan molekul-molekulnya akan bergerak laju dan tidak stabil
sebelum berubah. Begitulah juga dengan remaja – di dalam diri
mereka berlaku pergolakan yang sangat hebat. Mereka suka mencuba
sesuatu yang baru dan bersifat dinamik dan 'adventureous'. Emosi
mereka juga tidak stabil – ada kalanya ingin bebas, ada kalanya
inginkan perlindungan. Golongan ini ada 2 nikmat yang sering
melalaikan manusia iaitu badan yang sihat dan masa lapang. Jadi
sebaik-baiknya, remaja perlu mengisi masa lapang dan menggunakan
kesihatan tubuh badan yang ada pada mereka sepenuhnya. Sibukkan diri
berbuat kebaikan sehingga letih untuk membuat kejahatan atau
kemaksiatan. Jangan biarkan ada masa lapang yang tak terisi. Jangan
duduk bersendirian, sebaliknya sertai kawan-kawan yang sefahaman,
ikuti program-program yang baik. Tempat yang baik tidak semestinya
masjid dan surau sahaja, bahkan remaja boleh juga terlibat dalam
aktiviti kemasyarakatan yang lain. Remaja perlu juga menghidupkan
budaya membaca dalam hidup mereka. Jadi bentuklah rangkaian
('network') iaitu rakan, jemaah dan program yang baik.
S: Bagaimana untuk menjaga hati agar
tidak terluka supaya terlindung daripada 'pedihnya' ujian?
J: Saya selalu katakan yang kita kena
berhati-hati menjaga hati ;D. Hati merupakan anggota dalaman yang
paling berpotensi untuk tidak konsisten. Rasulullah SAW sendiri
pernah mengumpamakan hati seperti kuah yang mendidih – sifatnya
sekejap naik, sekejap turun, sekejap baik, sekejap sebaliknya. Cara
menenangkan hati ada lima (seperti nasyid yang sering dinyanyikan)
iaitu pertama – bawa hati untuk sentiasa mengingati Allah. Jadi
sekiranya kita betul-betul resah dan gelisah, ambillah wudhuk,
tunaikan solat sunat 2 rakaat dan mengadulah pada Allah. Kedua - baca
dan fahami kandungan Al-Quran. Ketiga – berkumpul dan berkawan
dengan orang soleh. Orang yang soleh ada auranya yang tesendiri dan
boleh membuatkan kita merasa tenang apabila melihat wajah mereka.
Keempat - kita boleh melakukan puasa sunat. Apabila berpuasa, fizikal
kita menjadi lemah, nafsu ditekankan dan hati akan menjadi lebih
bercahaya. Kelima – banyakkan menghadiri majlis-majlis ilmu. Ilmu
akan memberi ketenangan kepada hati.
S: Jika tidak mati di medan perang,
mati ketika menuntut ilmu juga dikira sebagai mati syahid. Kita rasa
syukur dan bahagia kerana kita hidup bertauhid kepada Allah. Mohon
penjelasan ustaz.
J: Ilmu merupakan jalan menuju iman,
jadi untuk menambah iman, kita perlu menambah ilmu. Hakikat ilmu
bukanlah apa yang singgah di kepala, tetapi apa yang singgah di hati.
Apabila ilmu singgah di hati barulah ada penghayatan, dan setelah itu
barulah datang amalan. Bila ada amali, baru akan datang alami dan
alami inilah yang akan mendatangkan kebahagiaan dalam kehidupan kita.
Oleh sebab itulah orang yang menuntut ilmu itu dikira sebagai orang
yang mujahid dan mereka didoakan oleh seluruh makhluk Allah.
Kesimpulan:
Syukur yang paling utama ialah
kesyukuran atas nikmat iman dan Islam. Apabila dikatakan kita
bertauhid kepada Allah, itu maknanya kita tidak mensyirikkan Allah.
Dr. Yusuf Al-Qardawi berkata, “Masalah manusia dari dulu hingga
sekarang bukanlah kerana manusia tiada Tuhan, sebaliknya manusia
mempunyai terlalu banyak 'tuhan'. Bila banyak 'tuhan', banyaklah yang
dia kena jaga. Nak kena jaga apa orang kata, bos kata, isteri kata
dan banyak lagi. Jadi orang begini sukar untuk membuat keputusan
dalam hidupnya. Sebab itu apabila ditanya apa rahsia kejayaan orang
yang berjaya, jawabnya, “Saya tiada rahsia kejayaan, tetapi saya
tahu rahsia kegagalan. Rahsia kegagalan ialah apabila kita cuba
menyukakan hati semua orang.” Seseorang yang membuat sesuatu ibadah
kerana orang lain sudah berlaku syirik, dan apabila dia meninggalkan
sesuatu ibadah kerana orang pula dia telah riak. Contohnya, ketika
menunggu solat berjemaah dalam masjid, jika seseorang berniat
meninggalkan solat sunat kerana takut nanti orang lain ingat dia
alim, itu menunjukkan yang dia riak. Kita sepatutnya membuat atau
meninggalkan sesuatu amalan hanya kerana Allah SWT. Jika kita hanya
ada Allah di hati kita, InsyaAllah hati akan tenang dan kita akan
mudah membuat keputusan. Apabila kita memburu cinta Allah, itulah
sumber segala dan semua cinta. Dalam satu hadis yang panjang, riwayat
Bukhari, Nabi SAW berkata, “Apabila Allah SWT menyayangi seseorang,
Allah memanggil malaikat Jibril dan mengatakan aku telah mencintai
hamba ini, jadi aku ingin seluruh makhluk cintakan hamba ini.” Oleh
itu mari kita buru cinta yang satu ini, InsyaAllah semua yang lain
akan datang kepada kita. Sebaliknya jika kita memburu cinta-cinta
lain yang banyak, akan celarulah hidup kita. Oleh sebab itu, saya dan
semua bersetuju bahawa sebesar-besar nikmat ialah nikmat bertauhid
kepada Allah SWT, kerana itulah punca ketenangan dan kebahagiaan kita
semua.