Panduan Umum Umrah

Panduan umum ziarah Mekah & Madinah – Alumni Umrah Tarbawi 1/2012
Nota: Maklumat ini sekadar perkongsian umum yang dikumpul daripada pengalaman alumni yang sangat terbatas. Sebarang kemusykilan & bimbingan lanjut, sila rujuk ustaz pengiring.

Barang-barang yang penting dibawa bersama:
1
Adaptor
2
Bantal leher (Air neck pillow) – Penting untuk menambah keselesaan kerana waktu penerbangan dan perjalanan menaiki bas yang panjang.

3
Tali, sepit kain, penyangkut baju

4
Stokin kaki dan stokin tangan

5
Botol ‘spray’ kecil – untuk ambil wudhuk

6
Vaselin atau krim pelembab untuk badan

7
Pelembap bibir, strepsils


Panduan umum:
1.     Periksa waktu solat yang perlu dilakukan semasa dalam penerbangan atau tanya ustaz pengiring sebelum berlepas.
2.     Pastikan tag nama dibawa bersama selalu. Tuliskan juga nama, alamat hotel dan nombor telefon ustaz pengiring.
3.     Setiap kali masuk tandas, periksa dulu bekalan air sebelum qada’ hajat.
4.     Jika terjumpa penjual jubah secara lambak dan murah (10 Riyal), ada kemungkinan itu jubah terpakai, jadi berhati-hatilah agar tidak tertipu.
5.     Jika membeli barang daripada penjual secara lambak (tidak berlesen), bayar segera kerana ada kemungkinan mereka akan lari jika ada penguasa yang datang.
6.     Harga SMS roaming Maxis ialah RM1/sms.
7.     Semasa di airport Jeddah atau Amman, anda tak perlu habiskan air dalam botol yang lebih besar daripada 100ml kerana sekatan membawa cecair melebihi 100ml itu hanya untuk airport ke negara eropah dan US. Jadi bolehlah bawa bekal air zam-zam dalam botol air mineral untuk bekalan minum semasa perjalanan pulang. Daripada KLIA, tak pasti pula ada sekatan atau tak.
8.     Harga dobi agak mahal - dikira per helai. Purata 5 riyal sehelai, jadi sama ada sediakan bajet untuk dobi atau rancang untuk membasuh dan bawa 'hanger', tali, sepit untuk basuh baju di sana nanti.
9.     'Khomsah' riyal = 5 riyal, 'asharo' riyal = 10 riyal. Syukran = terima kasih, Afwan = sama2.
10.  Tandas dan tempat ambil wudhuk ada di luar masjid, Di Mekah:satu berhadapan Mecca Tower dan lagi satu di kawasan Marwah. Di Madinah ada lebih bayak tandas. Tandas terjaga kebersihannya. Cuma jika ingin mudah ambil wudhuk tanpa perlu ke tandas, bawa air dalam botol/spray kecil bersama sehelai tuala kecil.
11.  Untuk kad telefon 'pre-paid', daripada pengalaman ahli rombongan, jenama mobily adalah yang terbaik.
12.  Kadar tukaran wang asing adalah lebih baik di sana dan jika ingin tukar di Malaysia kebanyakan tempat hanya menukar dalam gandaan 500 Riyal. Daripada pengalaman, tiada wang diperlukan dalam perjalanan sebelum sampai kerana makan/minum semuanya disediakan.

Panduan umum khusus di Madinah:
1.     Untuk waqaf Al-Quran ke Masjid, hanya Quran yang dibeli di kilang percetakan Al-Quran sahaja yang diterima. Jadi ketika melawat kilang Al-Quran, pastikan bawa wang yang cukup untuk membeli Al-Quran. Tiada 'money changer' di situ. Al-Quran yang biasa dijadikan waqaf berharga 31 Riyal senaskah. Al-Quran yang dibeli bukan dari kilang ini akan dikeluarkan dari masjid. Anda mungkin boleh juga beli lebih untuk diwaqafkan di Masjidil Haram juga kerana lawatan ini hanya di Madinah, dan sekali sahaja.
2.     Kurma, kacang dan manisan yang dijual di 'ladang' ketika lawatan ladang adalah mahal berbanding kurma di pasar lama Madinah. Mungkin kerana ianya lebih segar. Jika ingin jimat minta ustaz bawa atau tunjukkan lokasi pasar lama Madinah. Jika ingin beli di kedai biasa, daripada pengalaman, kedai kurma di kawasan hotel Dar Al Taqwa lebih murah berbanding kedai di kawasan luar Baqi'. Beli yang timbang lebih segar berbanding yang telah sedia dipek.
3.     Wanita - Rancang masa anda dengan baik. Jika ingin solat di saf hadapan dalam kawasan wanita, anda perlu pergi ke masjid awal sekurang-kurangnya 30 minit sebelum azan dilaungkan kerana jika terlewat mungkin anda hanya dibenarkan solat di dataran. Solat jemaah bermula lebih kurang 20 minit selepas azan.
4.     Wanita: jika ingin bawa handphone, ada beberapa cara yang boleh dicuba - antaranya boleh cuba letak dalam stokin. Atau bawa 'sling bag' dan pusingkan beg ke belakang agar tidak diperiksa. Sambil2 tu berdoalah juga minta dipermudahkan. Jika tak bernasib baik dan pengawal melihat anda membawa handphone, ada kemungkinan anda akan diminta meninggalkannya di peti keselamatan. Tetapi ada juga pengawal yang tidak kisah, jadi anda kena perhatikan pengawal pintu mana yang lebih 'sporting' ;)
5.     Air di pancuran di dataran masjid Nabawi bukan air zam-zam, tetapi boleh diminum. Ia sebenarnya khas untuk ambil wudhuk. Hanya air dalam tong air berwarna 'beige' merupakan air zam-zam.
6.     Jika ada peluang, cubalah rasa ayam goreng Al-Baik. Ramai kata sedap.
7.     Untuk wanita: Raudah dibuka selepas Subuh, Zuhur & Isyak (tertakluk pada perubahan). Tunggu dalam kawasan berpagar ‘Women without children’. Jemaah perlu berkumpul mengikut negara masing-masing dan orang Malaysia akan diminta berkumpul bersama warga Indonesia. Tanya pengawal yang bertugas (beritahu saja yang anda Melayu). Waktu menunggu akan diisi dengan tazkirah oleh mutawifah Indonesia. Orang sangat ramai, lebih baik bergerak berdua-duan. Jika terlalu sesak, bila sampai ke Raudhah, beri salam dan berdoa saja dan terus keluar dahulu ke karpet merah bersebelahan. Daripada situ perhatikan jika ada ruang di Raudhah (karpet hijau) dan cuba masuk semula untuk solat sunat. Banyakkan berdoa semoga diberi ruang dan peluang.
8.     Jemaah wanita: jika selipar/kasut hilang, ia akan dikumpulkan di pintu 26 (kalau x silap) selepas Isya'. Boleh cuba cari di situ. Atau untuk kepastian pintu mana, boleh bertanya pada petugas masjid yang kebanyakannya datang dari Indonesia.
9.     Wanita: Ingat nombor pintu dan nombor rak kasut kerana semua pintu kelihatan sama saja.

Panduan umum khusus di Mekah:
1.     Untuk bergambar atau naik unta - Berhati-hati jangan sampai ditipu kerana peniaga akan ambil kesempatan. Anda akan dicaj berasingan untuk ambil gambar saja, naik unta saja, naik dan bergerak dekat atau naik dan bergerak jauh. Pastikan tanya harga sebelum buat apa-apa. Elok rujuk ustaz untuk mengetahui harga semasa yang berpatutan.
2.     Jangan letak selipar atau kasut di tepi tiang atau selipar/kasut anda akan dibuang. Letak pada rak yang disediakan atau bawa bersama anda.
3.     Jika telah tamat tawaf dan ingin mudah keluar, angkat tangan kanan ke sisi dan ulang sebut 'Toriq' dan orang akan faham yang anda ingin keluar.
4.     Jika anda berada dekat dengan Hajarul Aswad, mungkin akan ada orang Indonesia bertanya jika anda ingin bantuannya untuk mencium Hajarul Aswad. Berhati-hati kerana jika anda bersetuju menerima bantuannya, setelah berjaya anda akan diminta bayaran yang tinggi.
5.     Jangan lupa makan aiskrim di Mekah - murah je 2.50 atau 3 riyal. Cuba juga jus segar mangga, memang sedap!
6.     Ketika dalam ihram, jika anda ingin tidur, berjaga-jaga agar tidak menutup muka dengan selimut.
7.     Kawalan di masjidil Haram agak longgar – boleh bawa handphone dengan lebih mudah. Wanita jika tidak mahu diperiksa cuba masuk ikut pintu lelaki (pintu perempuan kadang-kadang ada pengawal yang menunggu).

Setiap kali selepas solat berjemaah akan dilakukan solat jenazah. Berikuat ialah cara solat jenazah yang ringkas*
1. Niat dalam hati sambil lafaz takbir ‘Allahu Akbar’.
    Sahaja aku solat jenazah terhadap mayat ini, 4 takbir, fardhu kifayah kerana Allah Ta’ala.
2. Kemudian baca Fatihah.
3. Setelah, takbir kedua, baca selawat ke atas Nabi (selawat tahiyat Akhir).
4. Selepas takbir ketiga, baca doa keampunan untuk si mati.
    Allahummargh firlahu war hamhu (mayat lelaki)
    Allahummargh firlaha war hamha (mayat wanita)
5. Selepas takbir keempat, beri salam kiri dan kanan.
Nota: * sila rujuk ustaz/buku untuk cara yang lebih sempurna.

PENTING UNTUK WANITA: NIAT IHRAM BERSYARAT
Bagi wanita yang dijangka kedatangan haidhnya agak panjang, dan dikhuatiri tidak suci sehingga tarikh penerbangan balik ke tanah air, maka dicadangkan agar mereka berniat ihram bersyarat supaya mudah untuk bertahallul.  Maka dalam situasi sebegini, walaupun dia tidak sempat tawaf, sai'e dan bergunting, dia boleh bergunting untuk keluar daripada ihram tanpa perlu membayar dam. Niat bersyarat hanya bagi orang yang terpaksa sahaja.

Niat bersyarat tersebut ialah:
"Aku berniat mengerjakan umrah dan berihram dengannya, jika aku terhalang oleh halangan syara' maka ketika itu aku bertahallul kerana Allah Taala."

PENTING: Kesalahan utama semasa tawaf
1.   Terkejar-kejar ikut mutawif takut tersesat atau ketinggalan.
2.   Berdoa dengan suara yang nyaring.
3.   Kucup hajar aswad tanpa membetulkan bahu.
4.   Menyentuh dinding kaabah atau hijir Ismail.
5.   Menyentuh syazarwan (bingkai kaabah) atau kelambu kaabah.
6.   Istilam tanpa membetulkan bahu.
7.   Membawa beg di dalamnya diletak selipar atau kasut yang bernajis.
8.  Mendukung anak lelaki yang belum berkhitan semasa tawaf.
9.  Mendukung anak kecil yang bernajis dalam pampers.
10. Wanita yang melambai atau istilam hajar Aswad dan ternampak lengan tangannya.

Untuk rujukan tambahan, boleh juga lawati:
http://msaadhamid.blogspot.com/2010/03/panduan-menunaikan-umrah-07-persiapan.html


Peta Masjidil Haram:




Peta Masjid Nabawi:




Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab