Rukun & Pergerakan Dalam Solat (2) – Tanyalah Ustaz 12.05.2012
Ustaz Dr. Zahazan Mohamed
Bacaan surah Al-Baqarah, ayat 143, yang
bermaksud:
“Dan demikianlah (sebagaimana Kami
telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai
umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak
menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang
yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan
menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya
kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang
engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk
menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang
benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang
berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal
peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali
kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan
Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah
Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang
beriman).”
Semasa di Mekah, setelah solat
difardhukan, kiblat diarahkan ka arah Baitul Maqdis dan itu
menjadikan Kaabah berada di tengah-tengah dan dihujungnya ialah
Baitul Maqdis. Namun, setelah berpindah ke Madinah, Nabi SAW tidak
lagi dapat menjadikan Baitullah berada ditengah-tengah antara Baitul
Maqdis dan sekaligus terhalang daripada menghadap kedua-dua Baitullah
dan Baitul Maqdis serentak. Nabi SAW berasa sedih kerana baginda
sangat cintakan Kaabah yang dibina oleh datuknya Nabi Ibrahim dan
anaknya Nabi Ismail. Setelah 14 atau 17 bulan, Allah turunkan ayat
memerintahkan agar kiblat ditukar ke arah Baitullah. Peralihan
berlaku ketika Nabi dan sahabat solat berjemaah di Masjid Qiblatain.
Peralihan berlaku sehingga hampir 190 darjah, sehinggakan jemaah
lelaki dan perempuan terpaksa bertukar tempat. Masjid ini merupakan
salah satu tempat yang biasanya diziarahi dalam pakej Umrah. Tiada
kelebihan tertentu melawati masjid ini, tetapi jika melawat Masjid
Quba', ada hadis mengatakan jika pergi dalam keadaan berwuduk
daripada rumah dan kemudian solat 2 rakaat di situ akan mendapat
pahala seumpama mengerjakan umrah. Sebagai rujukan sebelum melakukan
umrah atau haji, bolehlah rujuk dua buah buku yang sangat penting –
'Mekah – Sejarah dan Kelebihan' dan 'Madinah – Sejarah dan
Kelebihan'. Buku-buku ini dipenuhi fakta menarik dan illustasi hasil
tulisan Dr. Abdul Basit Abdul Rahman, seorang ustaz yang tidak asing
lagi di negara kita.
Oleh kerana berlaku pertukaran kiblat
ini, sahabat tertanya-tanya bagaimana keadaan orang-orang sebelum ini
yang telahpun meninggal dunia dan solat ke arah Baitul Maqdis. Kisah
yang sama berlaku juga kepada seorang sahabat yang menelefon semalam.
Katanya sebuah masjid di KL telah tersilap arah kiblat, jadi
bagaimana solat orang-orang disitu sebelum ini? Kadang-kadang perkara
begini boleh berlaku dan kiblat agak lari daripada arah sebenar.
Daripada surah Al-Baqarah, ayat 145, maksudnya: “Dan Allah
jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu
arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah
yang diredhai Allah; sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya dan
limpah kurniaNya), lagi sentiasa Mengetahui.” Oleh
itu janganlah risau kerana Allah takkan mensia-siakan iman
seseorang. Jadi tak perlulah kita saling berbalah. Lebih baik pihak
masjid mohon bantuan jabatan agama dan mufti untuk menetapkan memberi arah
kiblat yang tepat. Tak perlu robohkan masjid, cukuplah sekadar
menutup mihrab yang lama dan alihkan arah karpet jika boleh, atau
buat garisan baru dan buat tempat imam yang baru.
Antara perkara yang makruh yang
dilakukan ketika qiyyam adalah meletak tangan di pinggang. Perlakuan
ini seolah-olah bercekak pinggang dan sombong kepada Allah.
Meletakkan tangan antara pusat dan dada bertujuan mendatangkan kusyuk
dalam solat. Begitu jugalah kedudukan tangan kita ketika kita
meninggal.
Siwak atau bersugi merupakan sesuatu
yang Rasul SAW amat sukai, sehinggalah ketika hampir wafat sekalipun,
baginda masih lagi pegang kayu siwak. Ada banyak kelebihan bersugi,
antaranya mencerahkan mata, memudahkan menghafal Al-Quran dan
menghilangkan kahak berlebihan. Nabi SAW sendiri pernah bersabda yang
bermaksud, “Kalaulah tidak kerana memberatkan umatku, nescaya aku
akan wajibkan mereka bersiwak.” Mereka yang pergi ke tanah suci,
elok sekiranya bawa pulang kayu sugi dan perkenalkan kepada anak-anak
kecil.
//Ustaz menunjukkan illustrasi
pergerakan solat yang dipetik daripada buku 'Eksikopedia Solat'.
Buku
ini telah mendapat anugerah 'Buku Terbaik 2012'. Oleh itu, jadikanlah
ianya sebagai hantaran perkahwinan atau hadiah kepada anak-anak
supaya dapat menjadi rujukan berguna sekeluarga. Ulangkaji ilmu solat
kita dari semas ke semasa. Jangan pandang ringan ibadah solat kerana
ianya merupakan ibadah pertama yang akan Allah tanya. Dalam buku ini
dikumpulkan tentang fiqah, falsafah, sejarah dan saintifik ibadah
solat.
Soalan & Jawapan:
S: Adakah bersin atau batuk banyak kali
boleh membatalkan solat?
J: Tak batal jika tidak sengaja. Tetapi
jika sengaja berdehem-dehem, itu boleh membatalkan solat.
S: Jika menjadi imam dan kita sakit
perut, perlukah memberhentikan solat?
J: Perkara makruh yang dilakukan ketika
solat adalah menahan buang air besar atau kecil. Oleh itu, walaupun
jadi imam, lebih baik keluar dan katakan pada jemaah 'Sempurnakanlah
solat kamu'.Solat yang tidak kusyuk tiada nilai di sisi Allah.
Seeloknya orang di belakang imam menggantikan tempat imam untuk
meneruskan solat.
S: Batalkah solat seseorang yang
mengangguk terlalu banyak kali ketika membaca Fatihah?
J: Pergerakan kepala tidak membatalkan
solat kerana yang dimaksudkan berdiri tegak ialah tubuh badan kita.
Tetapi jika mendongak ke langit, itu makruh hukumnya. Kita perlu
tunduk dan lihat tempat sujud. Nabi SAW ada bersabda bahawa ketika
solat perhatikan 2 benda hitam iaitu kala jengking dan ular. Oleh
sebab dikatakan membuka mata ketika solat merupakan sunnah. Ramai
imam mengatakan jika menutup mata hukumnya makruh, tetapi Imam Nawawi
berkata sekiranya menutup mata boleh mendatangkan kusyuk, ianya tidak
menjadi makruh. Begitu juga jika bangun solat tahajjud, sekiranya
merasa lebih kusyuk dengan menutup lampu, tidaklah menjadi kesalahan
solat sebegitu.
S: Adakah wujud pergerakan solat antara
lelaki dan perempuan?
J: Benar, ada perbezaan dalam beberapa
perkara seperti duduknya, sujudnya dan sebagainya. Di dalam buku
'Formula Solat Sempurna' ada ditunjukkan perbezaan ini. Perbezaan
wujud kerana lelaki dan perempuan berbeza.
S: Jika seorang surirumah sedang solat,
dan kemudian anak kecilnya datang duduk diribanya, adakah batal
solatnya kerana ada kemungkinan ada najis dalam lampin anak itu.
J: Jika najis tidak keluar, tidak
mengapa dan boleh ditolak anak ini perlahan-lahan untuk meneruskan
solat. Tetapi jika najis itu terkeluar, perlu dibersihkan dahuu dan
diulang solat.
S: Bolehkah kita membaca doa-doa lain
selepas bacaan dalam sujud?
J: Dalam satu hadis sahih, Nabi
bersabda, “Sedekat-dekat kamu dengan Tuhanmu adalah ketika kamu
sedang sujud. Jadi perbanyakkanlah doa ketika itu”. Kita boleh doa
apa-apa saja. Jika boleh berdoa dalam bahasa Arab, boleh dilafazakan,
tetapi jika tidak boleh, berdoa dalam hati menggunakan Bahasa
Melayu. Doa boleh dilakukan pada setiap kali sujud. Ketika sujud kita
meletakkan diri sebagai seorang yang hina di sisi Allah.
S: Mohon pandangan ustaz tentang satu
saranan melakukan doa tahiyyat akhir seperti berikut:
"Allahumma 'auzubika min
'azaabi jahannam, wa 'auzubika min 'azaabil qabri, wa 'auzubika min
fitnatil mahyaa wal mamaat, wa min syarri fitnatil masiihid dajjal",
maksudnya:
"Ya Allah ya tuhanku, aku
berlindung dengan-Mu dari seksa Jahanam, dan aku berlindung denganMu
dari seksa kubur, dan aku berlindung dengan-Mu dari fitnah orang yang
hidup atau mati, dan aku berlindung denganMu dari fitnah al-Masih
Dajjal"
J: Memang ada hadis Nabi SAW berkenaan
doa ini. Doa ini memohon perlindungan daripada empat musibah – azab
api neraka, seksa kubur, fitnah kehidupan dan selepas kematian dan
fitnah dajjal. Nabi SAW juga menekankan yang doa pada waktu itu amat
mustajab. Sheikh Muhammad Ali Jumaah mengatakan bahawa Mazhab Hambali
mengutamakan berdoa sebelum memberi salam dan selepas memberi salam.
Doa selepas solat juga merupakan antara waktu mustajab doa. Ada satu
doa yang menjadi amalan Sayidina Abu Bakar dan Nabi SAW mengiktiraf
doa ini. Doa ini ada saya kumpulkan dalam buku tulisan saya bertajuk
'101 Doa Daripada Hadih Sahih'. Sila dapatkan di kedai buku terdekat.
S: Persoalan berkaitan dengan Qiyyam
selepas takbir.
J: Rukun yang penting dalam solat ialah
wuduk dan takbir. Takbir perlu dilakukan dalam keadaan berdiri tegak.
Ada orang yang kerana ingin mengejar imam dan takbir sambil bergerak
sebelum memasuki saf. Ini salah kerana perlu takbir dengan berdiri
tegak di tempat solat.
S: Bagaimana mendapatkan kusyuk dalam
solat?
J: Perlu ulang kaji semula cara solat
kita.Kusyuk bersifat rohaniah dan ianya merupakan sesuatu yang kita
tidak nampak. Ada satu hadis Nabi yang mengatakan bahawa di akhir
zaman nanti, di dalam sesuatu jemaah, ada kemungkinan tiada seorang
pun yang kusyuk.
S: Mohon penjelasan ustaz mengenai
'mencuri' dalam sembahnyang?
J: Ada satu hadis menyebut bahawa
seburuk-buruk kecurian adalah mencuri dalam sembahyang, iaitu apabila
pergerakan solat seseorang tidak dilakukan dengan sempurna. Seumpama
kita bina bangunan, jika simen tak cukup, besi tak cukup maka akan
runtuhlah bangunan itu. Begitu juga dengan solat yang dilakukan dalam
keadaan tergopoh-gapah, solat itu tidak berkualiti. Rukun penting
yang kita perlu pelajar ialah – Takmaninah iaitu berehat sebentar
dengan kadar membaca paling pendek “Subhanallah”. Jika takmaninah
lebih pendek daripada itu, solat tidak sah.
S: Ketika tahiyyat akhir, ramai orang
yang ibu jari kakinya tak tegak (terpacak) termasuklah imam. Apakah
hukumnya?
J: Memacakkan kaki ini berlaku ketika
sujud dan duduk tawarruk ketika tahiyyat akhir. Ketika tahiyyat
akhir, duduk tawarruk itu sunat sahaja. Cuma ketika sujud, perlu
dijaga tujuh anggota agar menyentuh bumi. Sila rujuk buku buku
'Formula Solat Sempurna', tulisan Dr. Zaharudin Abdul Rahmanm yang
juga ada versi Bahasa Inggeris di bawah tajuk 'Comprehensive Prayer
Formula'.
S: Adakah nas yang menyebut tentang
solat hormat waktu dan kemudian kita qada'.
J: Akan dijawab esok, InsyaAllah.