Rukun & Pergerakan Dalam Solat (3) – Tanyalah Ustaz 13.05.2012
Ustaz Dr. Zahazan Mohamed
Bacaan surah An-Nisa', ayat 102 yang
bermaksud:
“Dan apabila engkau (wahai
Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau
mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah
sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu,
dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian
apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke
belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan hendaklah datang pula
puak yang lain (yang kedua) yang belum sembahyang (kerana menjaga
serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjamaah)
bersama-samamu, dan hendakah mereka mengambil langkah berjaga-jaga
serta menyandang senjata masing-masing. Orang-orang kafir memang suka
kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya
dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan
serentak. Dan tidaklah kamu berdosa meletakkan senjata masing-masing,
jika kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan disebabkan hujan atau
kamu sakit. Dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-jaga.
Sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab
seksa yang amat menghina.”
Sebagai rujukan tafsir yang baik,
dapatkanlah Tafsir Ibu Katsir. Tafsir ini banyak menghuraikan ayat
Al-Quran menggunakan hadis dan dalil yang sahih. Ayat yang dibacakan
tadi menunjukkan bahawa solat tetapi wajib walaupun ketika berperang
dan berada dalam ketakutan. Keringanan solat yang ada hanyalah dalam
bentuk Qasar dan Jamak. Selain daripada ketika musafir, boleh juga
dilakukan solat Jamak jika suhu sejuk yang melampau atau hujan yang
lebat.
Solat sangat penting dan menjadi
pembeza antara orang Islam dan orang kafir. Tidak ada tempat dalam
Islam bagi mereka yang tidak solat. Solat merupakan penhubung antara
kita dengan Allah, jadi jika ditinggalkan, akan terputuslah hubungan
dengan Allah.
Ustaz menunjukkan 'slide' cara solat
khauf, cara duduk, cara berbaring, cara mengiring, yang dipetik
daripada buku 'Ensiklopedia Solat' dan buku 'Indahnya Hidup
Bersyariat', hasil tulisan Ustaz Ismail Kamus.
Mari kita jadikan membaca sebagai
tabiat. Cuba kita jadikan amalan untuk tidak tidur selagi belum
belajar sesuatu yang baru pada hari tersebut. Kepentingan melakukan solat ada banyak,
seperti yang ditulis dalam buku 'Keindahan Islam', tulisan Dr. Abdul
Basit Abdul Rahman, antaranya:
- menyucikan hati
- menghubungkan hamba dengan Allah
- merehatkan minda
- menenangkan hati
- sebagai tanda kesyukuran
- menerangkan hati
- menghapuskan dosa dan meninggikan darjat dan sebagainya
Soalan & Jawapan:
S: Bagaimana untuk solat dalam keretapi
kerana tidak dapat mengetahui kiblat?
J: Pilihan pertama, jika masih musafir
setelah sampai, boleh buat Jamak Takkhir. Jika setelah sampai bukan
lagi seorang musafir, boleh solat dalam keretapi dan menghadap kiblat
ketika takbir sahaja. Selepas itu boleh mengubah arah badan.
S: Perlukah orang tua yang uzur dan
solat duduk atas kerusi berdiri ketika takbir pada rakaat yang
pertama?
J: Sedaya upaya, cuba berdiri pada
takbir rakaat pertama. Tetapi jika betul-betul tak mampu, boleh solat
duduk. Allah tidak menjadikan Islam untuk menyusahkan kita.
S: Benarkah tiap-tiap pergerakan solat
ada takbir intikali (sebutan 'Allahuakbar')?
J: Seeloknya, bacaan 'Allahuakbar' itu
dilakukan seiring dengan pergerakan kita agar kita tidak sunyi
daripada berzikir kepada Allah.
S: Sahkan solat jika mendahului imam
semasa memberi salam kerana menyangka imam telah beri salam?
J: Ada satu hadis mengatakan bahawa
orang yang mendahului imam secara sengaja akan ditukar mukanya
menjadi khinzir atau kera. Semasa berjemaah, ada orang yang
mendahului imam, menyaingi imam, berlumba-lumba atau tertinggal jauh
daripada imam. Cara yang betul adalah membiarkan imam mendahului dan
kemudian makmum mengikut (jarak tidak lebih daripada 3 rukun). Tetapi
jika tak sengaja mendahului, tidak mengapa dan solat sah.
S: Saya ada membaca buku berkaitan –
'400 Kesalahan Dalam Solat'. Ada ditulis bahawa Allah takkan
memandang golongan yang melabuhkan kain melebihi buku lali. Mohon
penjelasan ustaz.
J: Memakai kain yang melabuhi buku lali
boleh menimbulkan perasaan sombong. Khalifah Umar, ketika hampir
wafat, tetap menegur seorang anak muda yang datang kepadanya dengan
memakai jubah yang labuh melebihi buku lali. Begitu juga jika memakai
seluar, lipatlah agar tidak melebihi paras buku lali. Ini juga
penting untuk menjaga kebersihan.
S: Bolehkan mengikut mazhab-mazhab yang
berbeza?
J: Jika fatwa yang dikeluarkan oleh
mufti yang berbeza, ada kalanya kita masih ada pilihan untuk mengikut atau tidak.
Tetapi jika kita memilih untuk mengikut setengah-setengah mazhab kerana nafsu dan keseronokan, itu tidak dibenarkan. Contohnya ada mazhab yang membenarkan kahwin tanpa saksi.
S: Saya perhatikan ada juga wanita yang
solat tanpa menutup kaki. Adakah perbezaan batasan aurat wanita dalam
mazhab lain?
J: Tidak, kaki wanita termasuk aurat
dan wajib ditutup di dalam dan di luar solat.
S: Apakah hukum memandang kaabah ketika
solat di Masjidil Haram?
J: Harus dan amat digalakkan kerana
rahmat Allah turun sebanyak 120 kepada Kaabah – 60 kepada orang
tawaf, 40 kepada orang yang tawaf dan 20 kepada orang yang melihat
Kaabah.
S: Apakah hukum meletakkan kain di
tempat sujud. Bagaimana pula dengan mereka yang meletak benda kecil
seperti batu, ketulan tanah di atas tempat sujud?
J: Boleh guna kain sebagai sutrah.
Tetapi jika menggunakan batu, tanah atau daun, itu boleh menyerupai
amalan Syiah dan perlu dijauhi. Jangan ikut perbuatan orang tanpa
mengetahui hukum-hakamnya.