Mengapa Jahil (3) – Tanyalah Ustaz 27.05.2012
Ustaz Roslan Mohamed
Alhamdulillah kita telah mulakan pagi hari ini dengan
merintih pada Allah ketika menunaikan solat Subuh tadi. Antara doa yang kita
pohon dalam solat Subuh tadi “Allahhummah dina fiman hadait” yang maksudnya “Ya
Allah berikanlah kami hidayah”. Jadi di pagi-pagi hari kita sudah memohon agar
Allah jauhkan kita daripada kejahilan. Kita Imam Al-Shihab berkata
“Beruntunglah orang-orang yang beramal dengan ilmu yang dipelajari.” Ilmu akan
menjauhkan kita daripada kejahilan, atau menjadi orang yang ego, keras hatinya.
Ada beberapa bentuk kejahilan manusia. Pertama: Manusia
jahil yang dia dijadikan daripada sesuatu yang hina (air mani). Sepertimana
firman Allah dalam surah Al-Haj, ayat 5 yang bermaksud:
[5]
Wahai umat
manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk
(hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian
manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian
dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul
daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami
jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu
(kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang
mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan
lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu
dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di
antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang
dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi
akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi);
Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan
menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh),
dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman
yang indah permai.
Jadi jika manusia sedar,
tentulah dia tidak akan sombong dengan Allah. Allah juga berfirman dalam surah
Az-Zariyat, ayat 56 bahawa “Dan
(ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka
menyembah dan beribadat kepadaKu.”
Jahil yang ketiga ialah apabila manusia tidak mengetahui ke
mana hujungnya kehidupan. Dia tidak sedar bahawa kita akan kembali kepada
Allah. Dalam surah Az-Zumar, Allah SWT memberi kita amaran, yang bermaksud:
“Kalaulah kamu kufur
ingkar (tidak bersyukur) akan nikmat-nikmatNya itu, maka ketahuilah bahawa
sesungguhnya Allah tidak berhajatkan (iman dan kesyukuran) kamu (untuk
kesempurnaanNya); dan Ia tidak redakan hamba-hambaNya berkeadaan kufur; dan
jika kamu bersyukur, Ia meredainya menjadi sifat dan amalan kamu. Dan
(ingatlah) seseorang yang memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain
(bahkan dosa usahanya sahaja). Kemudian
kepada Tuhan kamulah tempat kembalinya kamu, maka Ia akan memberitahu
kepada kamu tentang apa yang kamu telah kerjakan. Sesungguhnya Ia Maha
Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.”
Beberapa bahaya kejahilan adalah seperti berikut:
- Mematikan hati
- Memesongkan pemikiran – jadi tak tahu membezakan yang mana baik, yang mana jahat, yang mana pahala, yang mana dosa.
- Menghilangkan keberkatan dalam hidup
- Menghilangkan nikmat beribadat –ibadah jadi kosong dan mudah hilang minat
- Membuka ruang berlaku kemaksiatan dan kecurangan dengan mudah.
- Menjauhkan hidayah daripada Allah
- Mendekatkan diri ke jurang api neraka – boleh terjatuh bila-bila masa, apatah lagi jika mati sebelum sempat bertaubat.
- Menghilangkan maruah diri yang sebenar – maruah kita adalah iman dan taqwa, tanpa agama hilanglah maruah diri.
- Tidak mendapat rahmat Allah.
Seperti yang saya sebut semalam – Kita bimbang rumah
dimasuki dengan perompak dan penyamun, namun kita tak kunci hati daripada
dimasuki sifat kufur dan munafik. Kita tak takut apabila kita menghidapi ‘virus’
jahil. Syukur juga merupakan satu kewajipan kepada Allah, jadi kita
hendaklah menjadi hamba yang bersyukur.
Saya minta maaf kerana tidak dapat menjawab semua panggilan
dan soalan yang diberikan. Semoga semua usaha anda dikira sebagai ibadah kepada
Allah SWT. Marilah bersama membasmi kejahilan kerana ia merupakan kewajipan ke
atas kita semua.
Senarai soalan & jawapan:
S: Adakah gejala zina, membuang bayi berlaku kerana
kejahilan?
J: Maksiat takkan berlaku jika seseorang itu berilmu dan
beragama. Jika paksi kehidupan seseorang adalah agama, dia akan mengetahui dan
mematuhi apa yang disuruh dan apa yang dilarang. Tetapi jika mereka tidak
berilmu, syaitan akan mendampingi lalu dia pun tak mengira lagi dosa atau
pahala. Perjalanan hidup kita bukan milik mutlak kita, ianya adalah milik
Allah. Jadi kita kena ikut panduan dan petunjuk yang Allah beri dalam A-Quran
dan sunah-sunnah Nabi SAW. Anggaplah kejahilan itu sebagia musuh sengit kita
dan cubalah sedaya upaya untuk memeranginya.
S: Jika seseorang sudah mengetahui ilmu agama tetapi masih
melakukan maksiat, adakah dia masih jahil?
J: Inilah yang saya sendiri pun takutkan. Banyak hadis
menyatakan bahawa orang-orang yang alim (berilmu) tetapi dia masih membuat
maksiat, dia akan terlebih dahulu disiksa. Allah akan bertanya kelak “Kenapa kamu
menyeru orang kepada kebaikan tetapi kamu sendiri tidak melakukannya?”. Mereka
ini tidak jahil tetapi tidak menggunakan ilmu yang dimilikinya. Nabi SAW juga
bersabda “Jika kamu dapat pimpin orang kepada kebaikan, kamu juga akan mendapat
kebaikan”. Semoga semua rakan-rakan yang berilmu saling menjaga akhlak dan
amalan kita.
S: Saya terharu kerana masih ramai wanita yang masih tidak
menutup aurat dengan sempurna. Ada yang bertudung tetapi jambul rambut terkeluar,
atau memakai baju lengan pendek dan berseluar ketat. Mereka ini tergolong dalam
golongan bijak-pandai dan jika ditegur mereka marah. Bagaimana cara untuk saya
menegur mereka?
J: Betul, mereka akan marah jika kita menegur. Ada orang
yang boleh menerima apabila ditegur, tetapi ramai yang akan marah. Jadi saya
ingin menyeru kepada semua wanita, isu aurat bukanlah hak asasi manusia, tetapi
hak asasi Allah. Ini soal iman dan taqwa. Sepertimana diwajibkan kita solat,
puasa, zakat dan sebagainya, begitulah juga dengan arahan menutup aurat. Bagi
mereka yang bertudung tetapi berpakaian ketat – bagi saya mereka ini bukan
menutup tetapi ‘membungkus’ aurat. Menutup dan membungkus banyak bezanya. Jika
kita bercita-cita melakukan solat yang Allah terima, jagalah aurat kita dahulu.
Jadi cubalah menegur dan teruskan berdoa. Semoga sampai hidayah kepada hati
mereka. Ibu bapa, suami-suami perlu tegas dalam hal ini. Jangan sampai kita
dijemput pulang dalam keadaan melakukan maksiat.
S: Saya seorang pekebun, tetapi tidak membuat kerja. Isteri
dan anak-anak yang melakukan kerja dan hasilnya saya ambil. Adakah saya jahil?
J: Ini bukan saja jahil, tetapi berdosa kerana memberi
nafkah adalah tanggungjawab bapa, bukan isteri dan anak-anak. Jadi semoga
saudara berubah dan mengambil-alih tanggungjawab bekerja untuk mencari nafkah.
S: Apa beza jahil sebelum kebangkitan Islam dan selepas
kebangkitan Islam? Hari ini dapat dilihat berlaku banyak maksiat zina, minum
arak dan sebagainya.
J: Zaman jahiliyah merupakan fakta sejarah yang tidak pernah
mati. Allah menyebut dalam surah Ahzab, ayat 33 yang bermaksud:
“Dan hendaklah kamu
tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang
dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang
serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya
Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak
menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu - wahai
"AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari
segala perkara yang keji).”
Apabila manusia hidup tanpa ilmu, tanpa iman, tidak pelik
yang sejarah jahiliyah akan berulang kembali. Ini merupakan satu musibah dan
kita takut akan kemurkaan Allah akan menimpa kita. Allah berfirman “Berlaku
kemusnahan itu adalah kerana tangan manusia sendiri. Bila kamu dustakan Aku,
Aku ambil kebaikan dan gantikan dengan kejahatan”. Jadi marilah kita semua
mencari jalan pulang kepada Islam. Jalan Islam masih luas terbentang. Mari kita
basmi kejahilan, ganti dengan ilmu, keimanan, ketaqwaan. Mari kita pilih jalan
orang yang soleh dan orang yang berada di jalan kebenaran.
S: Mengapa masih ada orang yang masih jahil walaupun banyak majlis
ilmu banyak boleh didapati di TV dan radio?
J: Siapa yang dapat berperanan memerangi ‘penyakit’ jahil
ini? Saya sebut jahil sebagai penyakit, kerana ia boleh menyusahkan di dunia
dan akhirat. Penyakit fizikal akan habis dengan mati, tetapi kesan penyakit
jahil boleh menyeret kita ke neraka. Paling penting ialah diri sendiri – kita
mesti berubah untuk mencari ilmu. Ilmu banyak didapati hari ini – dari TV,
kuliah agama di masjid. Ibu bapa perlu beri teladan yang baik dan beri
pengingatan setiap hari. Pemimpin masyarakat pula perlu memberi ruang majlis
ilmu dan memberhentikan kemungkaran. Begitu juga dengan pihak NGO. Media massa
pula perlu membanyakkan progam yang membangun jiwa agama dalam masyarakt dan
bukan progam hiburan semata yang merosakkan pemikiran masyarakat.