Kehidupan di Syurga (1)– Tanyalah Ustaz 23.05.2012
Ustaz Dato’ Abu Hassan Din
Bacaan surah Al-Baqarah, ayat 25
yang bermaksud:
“Dan berilah khabar
gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka
beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka
diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata:
“Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu”; dan mereka diberikan rezeki
itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk
mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih
suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.”
Syurga merupakan tempat menerima nikmat selama-lamanya.
Tiada kesakitan atau kesusahan dalam syurga, sepertimana yang disebut dalam
ayat 21, surah At-Taubah yang bermaksud:
“Mereka
digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredaan
serta Syurga; mereka beroleh di dalam Syurga itu nikmat kesenangan yang kekal.”
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Nabi
SAW bersabda, “Dalam syurga nanti ada pokok, yang bayangnya, jika kita naik
kereta, satu tahun baru habis.” Itu baru satu pokok, kalau banyak bagaimana? Surah
Al-Waqiah banyak memberi gambaran tentang keadaan syurga, contohnya dari ayat
27-33:
[27] Dan puak kanan, –
alangkah bahagianya keadaan puak kanan itu?
[28]
Mereka
bersenang-lenang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri.
[29]
Dan pokok-pokok
pisang yang tersusun rapi buahnya,
[30]
Dan naungan yang
tetap terbentang,
[31]
Dan air yang
sentiasa mengalir,
[32]
Serta
buah-buahan yang banyak,
[33]
Yang tidak
putus-putus dan tidak pula terlarang mendapatnya.
Huraian ayat – pohon bidara di syurga tidak mempunyai duri
seperti pohon bidara di dunia. Ayat 30 menerangkan tentang bayang pokok yang
disebut Nabi SAW dalam hadis sebelum ini. Di dalam syurga nanti tidak nampak
matahari, cuma bayangnya yang kelihatan. Terdapat banyak buah-buahan tanpa
mengira musim dan tidak lagi terdapat larangan untuk mendapatkannya. Nabi SAW juga pernah bersabda yang ringkasannya bermaksud,
“Jika hendak dibayangkan tentang syurga, terdapat benda yang mata tak pernah
lihat, telinga tak pernah dengar dan tak pernah terlintas pun di hati manusia.”
Gambaran yang diberikan tentang syurga memang indah semuanya, cuma
agaknya kita dapat masuk tak? Inilah yang perlu kita fokus sebenarnya dan
InsyaAllah kita doa beramai-ramai. Orang Islam, walaupun banyak buat maksiat,
tetapi selagi dia mati dalam Islam, InsyaAllah akan dimasukkan ke dalam syurga
juga akhirnya setelah diberi pembalasan atas perbuatan jahatnya di neraka. Jadi
ada orang tanya, “Bagaimana keadaan orang yang pernah disiksa di neraka ketika
mereka masuk syurga? Tidakkah mereka ini telah rentung dibakar?” Betul,
penghuni neraka ini rentung rupanya. Allah SWT ada berfirman dalam surah
An-Nisa’, ayat 45 yang bermaksud: “Sesungguhnya
orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan
membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus,
Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab
sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana.”
Jadi sebelum dimasukkan ke syurga, bekas penghuni neraka
akan dimandikan di sebatang sungai dan akan eloklah kembali rupa parasnya. Dia
akan menjadi muda kembali. Penghuni syurga semuanya sebaya, dan sama tinggi.
Ada diriwayatkan bahawa usia penghuni syurga adalah seusia Nabi Isa ketika
diangkat ke langit iaitu pada umur 33 tahun. Tinggi pula setinggi Nabi Adam
iaitu 60 hasta.
Keluasan syurga pula berdasarkan firman Allah dalam surah
Ali-Imran, ayat 133 yang bermaksud: “Dan
segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat)
keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala
langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.”
Senarai soalan & jawapan:
S: Bagaimanakah bentuk fizikal syurga dan kehidupan di
syurga?
J: Nak kata sama mungkin tak sama, jadi saya jawab sama tapi
tak serupa. Kenapa? Kerana di sana ada pokok, ada sungai, ada buah juga seperti
di dunia, tetapi rasanya dan siftanya tak sama. Di syurga juga ada bangunan,
tetapi bahan binaanya emas, perak, dan permata. Ada dalam satu hadis Nabi SAW mengatakan
yang lantai-lantai di syurga itu dibina daripada kasturi-kasturi yang wangi,
batu kerikilnya daripada permata-permata. Segala nikmat syurga akan berkekalan,
tiada perasaan putus asa, penghuni syurga ada sehelai baju saja. Baju itu
takkan hancur, atau lusuh. Manusia akan kekal muda. Pakaian orang syurga
berwarna hijau, dihiasi labuci-labuci dan diberi mahkota diperbuat daripada
permata, mudanya takkan menjadi tua. Ayat 11-13 surah Al-Insan menceritakan lebih
lanjut lagi seperti berikut:
[11] Dengan sebab
(mereka menjaga diri dari kesalahan), maka Allah selamatkan mereka dari
kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta memberikan kepada mereka
keindahan yang berseri-seri (di muka), dan perasaan ria gembira (di hati).
[12]
Dan kerana
kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya),
mereka dibalas oleh Allah dengan Syurga dan (persalinan dari) sutera.
[13]
Mereka berehat di
dalam Syurga dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias), mereka
tidak nampak di situ adanya matahari (usahkan hawa panasnya), dan tidak juga
merasai suasana yang terlampau sejuk;
Huraian ayat – syurga itu tidak panas, dan tidak sejuk.
Penduduk syurga duduk berehat di atas kerusi-kerusi yang empuk (pelamin).
S: Ada yang kata syurga ada 7 pintu, 7 tingkat atau 7
tempat. Mohon ustaz jelaskan.
J: Betul, saya juga pernah mendengar kenyataan ini, namun
masih belum berjumpa satu dalil mengenainya. Saya cuma berjumpa surah Al-Hijr,
ayat 44-45 yang bermaksud:
"Dan sesungguhnya
neraka Jahannam itu, tempat yang dijanjikan bagi sekalian mereka (yang
menurutmu). Ia mempunyai tujuh pintu; bagi tiap-tiap sebuah pintu ada bahagian
yang tertentu dari mereka (yang sesat dan menyesatkan itu)".
Ayat ini menerangkan bahawa neraka itu ada 7 pintu, tetapi
bukan syurga. Cuma, mengikut
pandangan para ulama, menurut hadis-hadis Nabi SAW, syurga itu ada banyak nama,
ada yang kata 6, ada yang kata 7 namanya. Ada yang kata berpandukan hadis Nabi
SAW bahawa syurga yang terbaik ialah Syurga Firdaus, yang rendah sedikit
Jannatul Ma’wa, kemudian Jannatul Na’im dan ada juga disebut Darussalam. Sabda
Rasulullah SAW: “Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup
pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana
pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.”
S: Apakah maksud ayat Al-Quran yang menyebut “Syurga-syurga
yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya”, contohnya
dalam surah Ali-Imran, ayat 136: “Orang-orang yang demikian sifatnya,
balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir
di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah
sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.”
J: Perkataan ‘dibawah’ bermaksud dalam syurga nanti akan
terdapat banyak sungai dan kedudukannya di bawah, bukanlah di atas. Sungai di
syurga tidak seperti syurga di dunia – ada sungai mengalirkan susu, arak atau
madu, tetapi sifatnya tidak seperti sifat susu, madu atau arak seperti di
dunia. Manusia takkan mabuk jika minum arak di syurga nanti.
S: Dalam syurga nanti bolehkan kita berbuat kerja seperti
bercucuk tanam?
J: Sebenarnya syurga tempat untuk berehat, tak perlu kerja,
tak perlu beribadat. Kalau rasa nak makan, makan. Tiada masa-masa tertentu. Apa
yang terlintas, akan terus Allah makbulkan. Dalam surah Al-Waqiah ayat 15-23
ada diceritakan terperinci keadaan di syurga.
15: (Mereka duduk di
dalam Syurga itu) di atas takhta-takhta kebesaran yang bertatahkan permata;
16: Sambil berbaring
di atasnya dengan berhadap-hadapan.
17: Mereka dilayani
oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang
sentiasa beredar di sekitar mereka,
18: Dengan membawa
piala-piala minuman dan tekoh-tekoh serta piala atau gelas yang berisi arak
(yang diambil) dari sungainya yang mengalir.
19: Mereka tidak
merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya.
20: Dan juga
(dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih,
21: Serta daging
burung dari jenis-jenis yang mereka ingini.
22: Dan (mereka
dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya,
23: Seperti mutiara
yang tersimpan dengan sebaik-baiknya.
Ayat 15-16, surah Al-Insaan juga menceritakan perihal bekas
minuman di syurga:
[15]
Dan (selain itu)
diedarkan kepada mereka (oleh pelayan-pelayannya): bijana dari perak dan
piala-piala minuman yang keadaannya laksana kaca (nampak jelas isinya)
[16]
(Keadaannya
laksana) kaca, (sedang ia) dari perak; pelayan-pelayan itu menentukan kadar
isinya sekadar yang cukup betul dengan kehendak penggunanya.
S: Di syurga nanti, adakah waktu siang untuk bekerja dan malam
untuk tidur?
J: Dalam surah Al-Insaan, ayat 14, Allah berfirman yang
bermaksud:
[13]
Mereka berehat di
dalam Syurga dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias), mereka
tidak nampak di situ adanya matahari (usahkan hawa panasnya), dan tidak juga
merasai suasana yang terlampau sejuk;
Daripada ayat ini dinyatakan dalam syurga tidak akan nampak
matahari, jadi Wallah A’lam, ada malam atau tak.
S: Siapakah dan berapa ramaikah yang akan dibawa terus ke
dalam syurga tanpa hisab?
J: Itu merupakan firman Allah dalam ayat 73, surah Az-Zumar
yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang
bertaqwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke Syurga dengan berpasuk-pasukan,
sehingga apabila mereka sampai ke Syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan
penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata:" Salam
sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam Syurga
ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya" (mereka pun masuk).”
Empat golongan utama ialah para Nabi, para Siddiqin, para
syuhada dan seterusnya orang yang soleh. Jadi soalannya kita termasuk dalam
golongan mana? Kita boleh cuba untuk masuk golongan orang soleh. Jadi apa ciri-ciri
isteri yang soleh? Rujuk ayat 34 surah An-Nisa’ yang bermaksud:
“Kaum lelaki itu
adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan,
oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa
keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki
telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu
ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan
dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama,
dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang
kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati
mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan
(kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang
bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah
kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha
Tinggi, lagi Maha Besar.”
Dalam satu hadis daripada Nabi SAW yang menceritakan bahawa
oleh kerana syafaat yang dimiliki oleh Nabi SAW, baginda dibenarkan membawa
bersamanya 70 ribu orang ke dalam syurga. Tetapi Nabi SAW memohon tambah lagi
kepada Allah SWT dengan mengatakan yang umatnya ramai. Jadi Allah izinkan
setiap seorang untuk bawa 70 ribu orang lagi.
Persoalannya bila golongan ini akan masuk syurga? Dalam
surah Al-Waqiah, ayat 7-10, Allah berfirman yang maksudnya:
[7]
Dan kamu pula
menjadi tiga puak (yang berlainan keadaannya);
[8]
Iaitu puak pihak
kanan; alangkah bahagianya keadaan puak pihak kanan itu?
[9]
Dan puak pihak
kiri; – alangkah seksanya keadaan puak pihak kiri itu?
[10]
Dan (puak yang
ketiga pula ialah) orang-orang yang telah mendahului (dalam mengerjakan
kebaikan di dunia), – yang akan mendahului (mencapai balasan yang
sebaik-baiknya di akhirat kelak);
Ayat 10 menyatakan bahawa golongan ini tidak perlu melalui
hisab dan akan mendahului dalam menerima nikmat syurga dari Allah SWT.
S: Betulkah orang dalam syurga kuat makan tetapi tiada
tandas?
J: Betul, ada hadis Nabi SAW yang menyebut yang orang di
syurga banyak makan kerana dengan setiap suapan, makanan menjadi semakin sedap. Jadi orang
Yahudi pernah bertanya Nabi, jika sudah makan banyak, tentulah mahu ke tandas,
tetapi di syurga dikatakan tiada tandas. Nabi SAW pun memberitahu bahawa orang
di syurga tidak perlu pergi ke tandas. Mereka cuma akan berpeluh, dan peluh
mereka itupun akan berbau lebih wangi daripada kasturi.