Solat Sebagai Bekalan Hidup – Mukmin Profesional 16.04.2012
Ustaz Pahrol Mohd. Juoi
Alhamdulillah kita terus diberi peluang
untuk hidup oleh Allah SWT. Jika kita sedang berada dalam kebenaran,
kita mohon semoga kebenaran ini berterusan. Kalau kita berada di
jalan yang menyimpang, semoga kita dapat perbetulkan kembali jalan
kita. Walau apa jua keadaan yang kita alami, semoga kita terus
kekalkan bersangka baik kita kepada Allah SWT. Jika kita menghadapi
kepayahan, kesedihan, sebenarnya Allah sedang mendidik kita erti
kesabaran. Jika hari ini kita dalam kegembiraan, keceriaan, itu
maknanya Allah sedang mendidik kita erti kesyukuran. Sangka baik pada
Allah merupakan punca kebaikan dalam kehidupan, jadi kekalkan diri
kita sebegini.
Minggu lalu kita telah selesai
memperkatakan jalan-jalan menuju Allah, bermula dengan syariat,
tarikat, hakikat dan makrifat. Bagi mereka yang mengikuti
perbincangan Mukmin Profesional sedari awal, kita sebenarnya telah
selesai membincangkan tentang arah hidup, tujuan hidup, jalan hidup.
Dalam arah hidup, telah dibincangkan tentang hidayah. Dalam tujuan
hidup, kita telah bincangkan tentang ibadah. Manakala dalam jalan
hidup, telah dibincangkan tentang syariat, tarikat, hakikat dan
makrifat. Hari ini kita masuk kepada modul keempat iaitu bekalan
dalam kehidupan kita – solat. Tetapi kita takkan membincangkan soal
hukum-hakam atau cara-cara solat, sebaliknya kita akan bincangkan
kenapa perlu solat, apakah falsafah di sebalik perlaksanaan solat.
Hari ini, jika diperhatikan orang tak
rasa rugi kalau tak solat, tapi kalau tak makan, dia akan rasa rugi
(lapar). Perjalanan hidup kita ini makin lama semakin meletihkan,
pangkal sudah jauh ditinggalkan namun hujungnya belum kelihatan.
Bebanan semakin bertambah – dari seorang anak kepada dua dan
seterusnya. Umur meningkat dan tenaga semakin berkurangan, sebab
itulah kita perlukan bekalan. Sepertimana seorang musafir, walaupun
sudah tahu tujuan dan ke mana yang ingin dituju, tanpa bekalan
mencukupi, dia takkan sampai. Jadi solat merupakan makanan rohani
dalam perjalanan kita menuju Allah SWT. Tanpa makanan rohani, kita
akan berasa lesu, jemu dan sebagainya. Solat juga merupakan 'talian
hayat' kita dengan Allah SWT. Tanpa solat, kita seumpama
layang-layang tanpa tali, yang bila-bila masa saja boleh jatuh
tersangkut di pokok ataupun terhempas ke bumi. Solat juga merupakan
'silah' (hubungan) kita dengan Allah. Allah akan menjaga kita
sebagaimana kita menjaga Allah. Oleh itu cara menjaga Allah ialah
dengan menjaga solat.
Solat juga dikatakan sebagai tiang
agama (Diin). Agama di sini merangkum sistem hidup yang luas termasuk
sistem pendidikan, politik, ekonomi, hiburan dan sebagainya. Jadi
tanpa solat, sistem kehidupan kita akan goyah dan menjadi kucar-kacir
– contohnya ekonomi akan jatuh, gejala sosial berleluasa, kejahatan
bermaharajalela. Jadi bila kita lihat permasalahan sebegini di
sekeliling kita, itu sebenarnya merupakan satu petunjuk bahawa solat
di kalangan masyarakat tidak 'selesai'. Ada satu ungkapan orang
bijksana: 'Untuk baiki dunia, perlu baiki manusia. Untuk baiki
manusia, perlu baiki hatinya. Dan untuk baiki hati manusia, kena
baiki solatnya.' Orang yang solat, hatinya dekat dengan Allah. Jadi,
jika kita sendiri atau ada orang datang kepada kita, mengadu yang
kehidupannya kucar-kacir dan bagaimana cara untuk memperbetulkannya.
Jawapan yang paling baik untuk diberikan adalah perbaiki solat. Jika
solat dijaga dengan baik, InsyaAllah akan ada kesan secara langsung
untuk kita mengubah aspek lain dalam kehidupan. Oleh itu, perlu
dimulakan dengan solat.
Kita ada mendengar daripada dapatan
kajian yang dilakukan di Malaysia yang menyatakan setiap 15 minit,
berlaku satu perceraian, dan setiap 18 minit, seorang anak luar nikah
dilahirkan. Jadi penyebab utama kepada perkara ini adalah urusan
solat yang tidak selesai. Allah telah berjanji bahawa solat akan
membantu kita mencegah perkara mungkar seperti zina, pergaulan bebas
dan sebagainya. Jika dilihat dalam sejarah yang diriwayatkan dalam
satu hadis yang panjang lebar, mafhumnya: Abu Hurairah bertanya
kepada Nabi SAW: “Bagaimana keadaan seorang yang solat tapi masih
mencuri?” Nabi menjawab, “Solat itu akan lambat-laun mencegahnya
daripada mencuri.” Jadi ertinya, dalam solat itu ada 'kuasa' untuk
membuatkan seseorang itu meninggalkan kejahatan. Oleh itu perlunya
kita berterusan solat.
Dalam satu kisah lain pula, Sayyidina
Umar Al-Khattab, ketika ingin memilih pegawai penting semasa
pemerintahannya, menjadikan solat sebagai penanda-aras atau 'KPI'.
Beliau percaya bahawa sesiapa yang menjaga solat akan menjaga
hukum-hukum Allah yang lain. Sebaliknya orang yang berani
meninggalkan solat, berkemungkinan tidak akan menjaga hukum-hukum
Allah yang lain pula. Sebab itulah solat itu dikatakan sebagai
'kepala' ibadah. Sebagai analogi, setiap negara ada angkatan
tenteranya sendiri untuk menjaga keselamatan negara. Bahkan ada
ungkapan bijak-pandai yang mengatakan bahawa cara terbaik menjaga
keamanan adalah dengan sentiasa bersiap-sedia untuk berperang. Jadi
tentera perlu sentiasa berlatih dan berada dalam keadaan siap-sedia.
Tiada kompromi untuk mereka walaupun dalam realitinya negara berada
dalam keadaan aman dan peperangan yang pernah berlaku sedikit sekali.
Jadi kita sebagai manusia sebenarnya sentiasa berperang dengan
syaitan yang tak pernah tidur atau letih untuk menyesatkan kita. Oleh
itu kita perlu lebih bersiap-sedia daripada askar yang berlatih
setiap hari walaupun tidak tahu bila akan berperang. Jadi latihan
terbaik bagi kita adalah semasa kita solat. Syaitan sangat licik, tak
pernah mengalah, jadi cara terbaik untuk kita berlindung daripadanya
adalah dengan berlindung dengan Allah. Jadi jika kita dekat dengan
Allah, syaitan akan 'takut' untuk mendekati kita. Solat itulah
angkatan tentera untuk kita. Sebab itulah dikatakan 'When God is your
friend, who is your enemy?'.
Apabila kita akrab dengan Allah, kita
akan dekat dengan kekayaan. Kekayaan ini tak semestinya kekayaan
material tetapi kekayaan yang lebih utama seperti ketenangan jiwa,
kebahagiaan, kemudahan rezeki, kemuliaan dan kejayaan. Inilah bentuk
kejayaan yang lebih sempurna kerana merangkumi kejayaaan material dan
rohani. Sebab itulah dalam laungan azan, kita diseru untuk solat agar
mendapat kejayaan. Dalam surah Al-Mukminun, ayat 1-2 yang bermaksud:
“ Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka
yang khusyuk dalam sembahyangnya;”
Soalan & Jawapan:
S: Terima kasih, penjelasan ustaz mudah
difahami. Zaman sekarang, ramai tidak perasan yang dia telah berkawan
dengan syaitan. Jadi bagaimana untuk mengatasinya, adakah perlu ada
roh dalam solat kita? Atau perlukan gabungan ilmu, iman, amal dan
taqwa untuk mengatasinya?
J: Ada dua musuh dalam diri (batin)
kita iaitu nafsu dan syaitan. Jika kita berjaya kalahkan musuh batin,
akan mudahlah untuk mengalahkan musuh luaran. Tetapi, kadang-kadang
manusia tertipu dan mampu membakar bendera Yahudi tetapi tidak mampu
menolak selimut untuk bangun solat Subuh. Syaitan sangat licik dan
kita takkan mampu melawannya. Nabi Adam dan Siti Hawa juga termakan
pujukan syaitan. Walaupun Allah izikan syaitan menggoda kita, tapi
Allah janjikan perlindungan kepada mereka yang hatinya ikhlas kerana
Allah SWT. Bab berkaitan ikhlas telahpun dibincangkan dalam tajuk
tujuan hidup sebelum ini. Untuk ikhlas bukanlah kita semata-mata
menanti, tetapi kita perlu mencarinya. Ikhlas ada kaitan dengan
pelajaran tauhid dan perlu melalui proses penghayatan, mujahadah,
muqarrabah. Sila rujuk kuliah sebelum ini untuk perincian.
Dalam konteks perbincangan petang ini,
untuk menghadapi syaitan, kita mohon berlindung dengan membaca
A'uzubillahiminassyaitonirrajim. Imam Ghazali juga meminta kita
membaca surah An-Nas sebelum memulakan solat sebagai pendinding.
Sebagai metafora, jika ada anjing yang besar menyalak kepada kita,
pastinya kita takut untuk menghadapinya. Tapi jika kita boleh
beritahu tuan punya anjing untuk memanggil anjing tersebut, tentulah
hilang rasa takut tadi. Begitulah juga dalam menghadapi syaitan, kita
mohon perlindungan dengan Allah dan InsyaAllah kita akan diberi
kekuatan.
Cara terbaik untuk dekat dan mohon
perlindungan pada Allah adalah melalui solat. Godaan syaitan
bertujuan mengganggu hati kita. Jadi hati menjadi rebutan antara
syaitan dan malaikat. Bila hati mengingati Allah, InsyaAllah bisikan
malaikat dan ilham-ilhamnya yang baik yang akan kita dengar.
Sebaliknya tanpa solat, bisikan jahat syaitan yang akan menang. Sebab
itulah dikatakan hati kita ini berbolak-balik sifatnya.
Rangkuman
ilmu, iman, amal dan taqwa penting menghadapi syaitan. Untuk solat
contohnya, perlu ada ilmu dahulu. Tapi dengan hanya ilmu tanpa iman,
seseorang takkan solat juga. Jadi amal juga penting untuk dilakukan.
Setelah itu baru akan datang taqwa sebagai kekuatan kita. Sebab itu,
Nabi SAW pernah menunjukkan bahawa taqwa itu berada di dalam dada dan
itu boleh menjadi kekuatan untuk kita menghadapi syaitan. Kita takkan
mampu berdepan secara terus kerana kita tak nampak syaitan tapi
syaitan nampak kita. Sepertimana dua orang peninju yang seorang
matanya dibuka dan seorang lagi ditutup, sudah pastilah peninju yang
terbuka matanya akan menang. Oleh sebab itulah kita perlu akrab
dengan Allah melalui solat agar kita diberi perlindungan.
S: Saya solat tapi kadang-kadang
tertinggal. Rasanya banyak yang dah ditinggalkan, saya rasa bersalah
tapi tak mampu mengqada'kan. Jadi apa yang perlu dilakukan?
J: Mengikut mazhab Syafie, solat yang
ditinggalkan perlu diqada'. Bagaimana banyak sekalipun, qada'lah yang
termampu kerana itu adalah hutang kita dengan Allah. Jika rasa
bersalah tapi rasa berat untuk mengqada', itu sebenarnya belum
benar-benar rasa bersalah lagi. Sepatutnya jika betul rasa bersalah,
kita mesti bersemangat untuk memperbetulkan kesalahan. Bak kata
pepatah 'Love is a verb, not a word'. Oleh itu sebagai bukti cinta
kepada Allah, kena ada tindakan yang menyusul. Jika hanya menyebut di
bibir, itu hanya sekadar justifikasi kita mencari alasan untuk tidak
mengerjakannya. Jika betul rasa bersalah timbul dari hati, hati akan
mengarah anggota untuk melakukan sesuatu.
S: Mohon pandangan ustaz adakah benar
solat yang dikerjakan adalah yang tersurat, dan usaha dan ikhtiar
kita merupakan yang tersirat?
J: Mungkin soalan yang ditanya: Adakah
solat itu terjemahan kehidupan kita? Namun, saya lebih suka untuk
menghuraikan apakah hubungan solat dengan kehidupan luar solat kita.
Dalam Al-Quran, kita diminta untuk 'mendirikan' solat, bukan
mengerjakan solat. Ada beza antara keduanya.
Mendirikan solat tidak sekadar
melakukan solat dengan sempurna rukun dan tertibnya, tetapi termasuk
menghidupkan roh solat ketika di luar solat. Contohnya, kita kena
kusyuk dalam solat kerana kusyuk itulah roh solat. Andainya kita
lalai dalam solat, bermakna kita mempersembahkan jasad tanpa roh,
seumpama bangkai, kepada Allah. Ini sungguh biadab dan salah untuk
dilakukan. Kusyuk bermaksud hati, dan seluruh pancaindera fokus patuh
mengingati Allah. Kepatuhan ini akan menjadikan kita juga patuh pada
Allah di luar solat. Dalam solat kita kena jaga 3 fokus: mata supaya
memandang tempat sujud, dada supaya menghadap kiblat dan hati kita
supaya mengingati Allah. Mata yang liar ketika solat, makruh
hukumnya. Dada, jika teralih daripada kiblat, akan membatalkan solat.
Jika hati pula yang teralih daripada mengingati Allah, solat kita
akan hilang nilainya. Sebagai kesan di luar solat pula, kekusyukan
kita akan membantu kita fokus dengan tujuan hidup kita. Maksudnya
seluruh tenaga kita akan dikeluarkan untuk beribadah kepada Allah
SWT. Tetapi mengapa walaupun kita sudah berpuluh tahun solat dan
berlatih fokus, mata kita masih liar di luar solat. Ini menunjukkan
telah terputus hubungan antara ibadah dengan kesannya di luar solat.
Sepatutnya hubungan ini berterusan, jadi betullah bahawa cara
kehidupan kita merupakan kesan ibadah kita. Masa kita sujud, kita
buang semua keegoan dengan meletakkan kepala yang kita hormati ke
tanah. Masa ini jugalah seseorang hamba itu paling hampir dengan
Allah SWT. Jadi bagaimana kesan sujud itu di luar solat? Sepatutnya
kesan tunduk kepada Allah itu juga kita praktikkan dalam semua bidang
kehidupan yang lain. Contohnya, sistem kewangan, hiburan dan semuanya
mesti tunduk pada hukum Allah. Sebab itu jika seseorang itu menjaga
bilangan rakaat solatnya betul-betul, mengapa ketika bekerja timbul
isu curi tulang? Ini menunjukkan impak solat tidak kelihatan di
tempat kerja, sedangkan kita ingin menjadikan kerja sebagai ibadah
dan pejabat sebagai sejadah.
S: Mengapa ramai pesakit (yang tidak
serius sekalipun) mengabaikan solat dan bagaimana mengatasinya?
J: Pada pendapat saya, penyakit paling
banyak yang dihidapi rakyat Malaysia ialah penyakit hati – iaitu
apabila seseorang itu tidak mengenal Allah, dan tidak akur dengan
perintah Allah. Solat ini tiada alasan untuk meninggalkannya, tak
kita ketika sakit atau sihat. Walau dengan isyarat mata sekalipun
kita wajib tunaikan solat. Kenapa? Hati yang tidak mengingati Allah
akan mati. Bila hati mati, hati menjadi lemah dan menjadi seumpama
layang-layang yang putus tali. Jika kaya sekalipun, jiwanya akan
kosong. Jika miskin pula, jiwanya menderita dan tertekan dengan
kemiskinan yang dihadapi. Orang yang jauh dari Allah, takkan berasa
tenang dalam apa jua keadaan. Tetapi orang yang akrab dengan Allah,
jika kaya dia bersyukur, jika miskin dia sabar, jika jadi pemimpin
dia adil, jika jadi pengikut, dia setia, jika seorang suami, dia
penyayang, jika seorang isteri, dia taat. Jadi saya menyeru kepada
pesakit dan orang yang menjaga orang sakit, ingatlah untuk mendirikan
solat. Bahkan ketika sakitlah paling utama untuk mengingati Allah.
Kesakitan itu sebenarnya sebagai ujian untuk mengingati Allah.
S: Mohon petua untuk tidak tinggalkan
solat?
J: Tiada petua sebenarnya, sebab segala
yang Allah perintahkan, kita wajib laksanakan. Cuma sebagai motivasi,
jika seseorang tidak dapat melakukan sesuatu perkara, ada dua saja
sebab. Satu, dia tidak betul-betul menginginkan perkara itu, atau
tiada 'burning desire'. Jadi jawapan jujur kenapa kita tak solat
adalah kerana kita tak rasa kita perlukan Tuhan. Cuba kita wujudkan
perasaan perlukan Tuhan dalam diri. Sebagai analogi, katakan hari ini
kita tertinggal 'handphone' di rumah, pasti kita resah-gelisah duduk
di pejabat. Sepatutnya kita juga begitu dengan Allah. Solat itu
sebagai penghubung dengan Allah. Orang yang rasa tak perlukan Tuhan
merasakan dirinya kuat. Sepatutnya sebagai hamba yang lemah, kita
perlukan bantuan Allah Yang Maha Kuat, Maha Kaya.
Kedua, dia tak 'pay the price' untuk
perkara itu. Sepertimana 'handphone' yang perlu dibeli, dicaj, kita
juga mengorbankan sesuatu (masa, tenaga) untuk solat. Kita kena
letakkan Allah sebagai perkara terpenting dalam hidup, barulah
perkara lain boleh ditinggalkan demi mengerjakan solat.
S: Mohon pencerahan ustaz tentang
persoalan solat sunat terawih. Kita dikhabarkan bahawa fadhilat solat
sunat seperti yang diberitahu sebelum ini merupakan hadis palsu.
Tetapi untuk fadhilat solat tahajjud pula ada nasnya dalam Al-Quran.
Jadi bagaimana kedudukan solat sunat terawih ini?
J: Ini soal hukum dan telahpun
dibahaskan. Betul tentang fadhilat yang dikabarkan sebagai hadis
palsu. Namun, kita bukan sekadar tengok Al-Quran dan hadis, tetapi
kita juga tengok contoh yang ditunjukkan oleh para sahabat. Dalam
sirah, Sayyidina Umar sendiri melakukan solat sunat terawih secara
berjemaah. Jadi siapalah kita untuk membandingkan diri dengan
Sayyidina Umar? Jadi eloklah kita ikut apa yang ditunjukkan dan jika
terdapat perbezaan pandangan, eloklah kita berlapang dada sahaja.
Kesimpulan:
Saya ingin berpesan pada diri dan
semua, agar kita meletakkan solat sebagai perkara terpenting dalam
kehidupan. Kemungkaran terbesar yang kita hadapi hari ini ialah
kemungkaran meninggalkan solat. Mengikut kajian hari ini, 80% rakyat
Malaysia tidak solat. Ini nombor yang sangat besar. Orang yang tidak
solat sedang membakar dirinya, dan orang sekelilingnya. Jadi marilah
semua kembali kepada Allah dan wujudkan keperluan kita kepada Allah.
Ramai orang meninggalkan solat kerana merasakan tidak memerlukan
Tuhan dalam kehidupan mereka. Allah SWT lebih daripada
segala-galanya, dan kita perlu bergantung sepenuhnya dengan Allah.
Jagalah Allah, Allah pasti menjagamu. Jaga solat, pasti Allah menjaga
hubunganmu dengan orang lain.