Reset Minda Wanita – Islam Itu Indah 09.05.2012
Prof. Dr. Muhaya Muhamad
Saya minta maaf dengan semua ustaz, ustazah dan orang lain yang lebih berilmu. Saya suka menerima teguran, jadi jika ada kesilapan mohon teguran.
Mukaddimah:
Hari ini saya bincangkan spesifik untuk wanita kerana saya
teringat kisah Nabi Adam yang berasa sunyi ketika di syurga lalu diciptakan
Hawa untuknya. Jadi wanita ini sangat penting sebenarnya, tetapi bukanlah saya
mengatakan yang kaum lelaki tidak penting. Daripada kaum wanitalah lahir
golongan ibu. Namun tak semua wanita Allah izinkan jadi ibu. Wanita, ketika dia
mengandung, segala yang dimakan, difikirkan, dirasakan, semuanya akan
mempengaruhi janin. Setelah melahirkan, ibu menyusukan. Jadi segala emosi,
perasaan dan makanan ibu akan mempengaruhi susu yang dikeluarkan yang digunakan
untuk tumbesaran otak dan fizikal anak. Wanita juga menentukan ‘mood’ di rumah.
Berapa ramai wanita yang jika dia ‘bad mood’ di rumah, habis satu rumah pun
‘bad mood’ kerananya? Suami biasanya akan mengikut ‘mood’ isteri.
Wanitalah yang menentukan menu keluarga. Jadi jika wanita
itu berilmu, dia akan memilih makanan yang baik dan sihat. Begitu juga makanan
rohani. Wanita yang akan menentukan rancangan tv dan radio mana yang akan
dipasang di rumah. Makanan rohani seperti emosi dan kasih sayang juga
ditentukan oleh wanita. Sama ada dia akan puji suaminya atau kejut anak dengan
kasih sayang, semuanya diputuskan oleh wanita. Begitu juga dalam soal kewangan.
Kebiasaannya wanita yang akan tentukan apa yang akan dibeli, makanan dari kedai
mana yang ingin dicuba, perabot apa yang diinginkan, langsir mana perlu ditukar
dan sebagainya. Orang lelaki biasanya baik dan mengikut sahaja. Oleh sebab itu
lelaki yang kaya ada tiga sifat – mempunyai hati yang sentiasa bersyukur, lidah
yang sentiasa berzikir dan isteri yang solehah. Sesiapa yang dapat isteri
solehah memang beruntung kerana apabila urusan akhirat dijaga, urusan dunia pun
terjaga sama, anak pun dididik dengan elok. Jadi saya ingin seru agar semua
wanita pasang niat untk jadi wanita solehah. Saya tulis di FB saya – “Hari ini
niat fikir baik, rasa baik, buat baik.” Hari ini siapa bekerja dengan baik,
InsyaAllah bahagia bila balik rumah nanti. Seterusnya lihat semua orang dengan
kebaikan. Jadilah pemerhari diri sendiri, bukan sibuk mencari kesilapan orang.
Jadi saya harap semua wanita yang mendengar hari ini, sama-sama kita berusaha
menjadi wanita mukminah.
Soalan & Jawapan:
S: Saya dan suami OKU penglihatan disebabkan ‘Glucoma’.
Suami rabun. Anak baru berumur setahun setengah. Matanya sekarang selalu merah
sebelah dan saya risaukan kesihatan matanya?
J: Betul, penyakit ‘glucoma’ ada sedikit peratusan untuk
diwarisi. Tetapi saya lebih suka ambil prinsip ini – Hidup kita adalah apa yang
kita jangkakan. Kerisauan ibu akan beri aura negatif pada anak. Jadi lebih baik
bayang dan fokuskan yang anak ini akan sihat. Jangan terlampau fokus pada
matanya yang merah, tetapi fokus pada kakinya yang boleh berjalan, jantungnya
yang sihat dan lain-lain lagi. Fokus pada kesyukuran, bukan kesukaran.
S:Saya seorang yang cepat marah sebab dibesarkan oleh ibu
bapa yang tegas, jadi bagaimana saya nak ubah?
J: Tentang marah pula – Kita mesti marah pada waktu yang
betul, pada orang yang betul, pada kadar yang betul dan dengan sebab yang
betul. Bila marah tanya diri kita – adakah kerana peribadi atau kerana agama?
Marah kerana agama dibenarkan, tetapi jika marah apabila orang tak buat sesuatu
mengikut citarasa kita, itu sebenarnya ego. Jadi bila ego, syaitan banyak
bersama kita. Jadi kita semua termasuklah saya ingin melawan marah kita. Jadi
kita kena selalu ingat bahawa hanya orang yang ego suka marah. Memang betul,
jika dibesarkan dalam suasana dimarahi, kita mudah mengikut cara yang begitu
juga. Tetapi bagus kerana Puan sudah sedar dan ingin perbaiki diri. Buat satu
jurnal dan catit berapa kali dan kenapa kita marah. Bila terasa nak marah anak
atau suami, bayangkan yang anak dan suami akan mati esok. Saya sendiri cuba
mengamalkan prinsip bahawa hari ini adalah hari terakhir saya hidup. Jadi bila
hari terakhir, kita akan optimumkan masa yang kita ada, tiada masa nak marah,
merajuk, mengumpat dan sebagainya.
S: Saya seorang isteri, ibu yang bekerja dan pelajar jarak
jauh. Kebelakangan ini saya agak tertekan dengan lambakan ‘assignment’ dan
pengurusan rumah tangga. Saya mencadangkan untuk makan di luar tetapi suami
tidak setuju dan ingin membantu menguruskan anak sambil saya memasak. Saya
tidak dapat membahagi masa dengan bijak dan rasa semua tugas saya nak
laksanakan. Mohon panduan Prof untuk cari penyelesaian.
J: Saya juga pernah mengalami situasi seperti ini. Bahagikan
kerja kepada apa yang hanya kita boleh buat dan apa yang orang lain boleh bantu.
Perhatikan juga kualiti masa yang diluangkan bersama anak. Saya pun kurang
setuju makan di luar – kita tak tahu orang itu solat atau tidak, kebersihannya
macam mana, kualiti bahan mentahnya bagaimana. Badan kita terlalu bernilai
untuk dimasukkan makanan yang kita tak tahu sumbernya. Buat perancangan
memasak, tak perlu masak yang susah-susah. Sediakan bahan asas seperti bawang
dan cili awal-awal. Kita boleh potong sayur siap-siap sehari sebelum. Jadi bila
balik dari kerja, terus mula masak. Saya sendiri buat begitu dan biasa masak
menggunakan 4 dapur sekaligus. Buat perancangan dan jangan buat alasan. Buku
saya yang seterusnya bertajuk ‘Selamat Tinggal Alasan.’ Wanita, jika sambung
belajar atau jawatan tinggi, jangan cepat lupa diri dan berlagak sombong.
Biarlah belajar kerana Allah, untuk dapat ilmu dan beri manfaat pada orang.
Jangan belajar kerana nak kejar ‘title’. Jangan beri nilai diri kita pada
‘title’ Masters atau Degree yang kita pegang. Buang semua sifat itu. Belajar
untuk ilmu, bukan untuk pangkat. Belajar untuk tahu, bukan untuk lulus. Belajar
untuk kebijaksanaan, bukan untuk sanjungan orang. Ingat semua ini, InsyaAllah
dapat keberkatan. Buat juga perancangan untuk jadual anak-anak. Berbincang
dengan suami dan jika suami tidak setuju, isteri kena taat. Hanya ketaatan pada
suami boleh beri kebahagiaan pada isteri. Jika suami tak gembira, pasti isteri
takkan bahagia juga.
S: Saya selalu ingin bawa kebaikan dalam keluarga. Bagaimana
untuk melakukannya secara konsisten dan berdisiplin? Saya bersyukur mempunyai
suami dan dua orang anak.
J: Puan ini termasuk dalam golongan beraura tinggi kerana
mempunyai emosi kasih sayang dan kesyukuran. Tanpa dua emosi ini, kita pasti
risau, tertekan, takut, marah, benci dan dendam. Inilah orang aura negatif.
Orang aura negatif, anaknya sentiasa sakit dan suami pun tidak sukakannya. Jadi
pastikan indeks emosi kita penuh dengan kasih sayang, kesyukuran, penghargaan,
memuji orang dan melihat kebaikan orang. Tetapi, biasalah orang kita bersemangat
itu sekejap sahaja. Jadi saya pun ambil peluang untuk promosi sedikit di sini.
Saya telah terbitkan buku yang dipanggil ‘Jurnal Inspirasi Diri’. Jurnal selama
40 hari ini akan membantu anda berubah. Pada hari pertama, saya berikan
kata-kata hikmah dan minta pembaca menulis setiap hari ‘Saya gembira dan
bersyukur kerana….’, ‘Apakah fikiran negatif yang menghalang kejayaan saya?’,
dan ketiga ‘Apakah tabiat negatif yang saya boleh ubah untuk mencapai
kejayaan.’ Terdapat juga lima kategori iaitu Misi, Visi & Matlamat harian,
Lima fokus dan audit harian untuk hal-hal berkaitan fizikal, mental,
kerohanian, hubungan dengan orang lain dan kewangan. Saya ada berjumpa dengan
seorang wanita yang sudah buat jurnal selama 24 hari dan katanya dia sungguh
tenang. Dia menceritakan pengalamannya dalam jurnal itu - pada permulaannya
penuh dengan perkara-perkara negatif tetapi semakin lama semakin banyak perkara
positif yang direkodkan. InsyaAllah setelah 40 hari nanti akan terus berubah
menjadi positif. Tak kisahlah nak buat jurnal macam mana sekalipun, tapi jurnal
adalah sesuatu yang sangat membantu. Apabila kita menulis, otak akan membaca
dan merangsang sel otak untuk mengeluarkan hormon berdasarkan imej yang kita
ada. Jadi jika imej itu positif, hormon positif yang akan dikeluarkan. Tetapi
jika gambar negatif, hormon negatiflah yang akan keluar.
S: Saya mohon nasihat kerana saya baru balik kursus
perkahwinan dan saya perhatikan banyak pasangan sebelum berkahwin lagi telah
intim.
J: Betul, saya sendiri teringin untuk membuat satu kursus
yang dipanggil “Kursus Bakal Pengantin”. Saya minta maaf jika ada pihak yang
terlibat dengan kursus perkahwinan yang terasa, tetapi pada pendapat saya,
pengisian kursus perkahwinan bukan sekadar kepada teknikal tetapi perlu lebih
kepada kerohanian. Saya juga ingin berpesan agar mereka yang ingin berkahwin
menjaga batasan pergaulan. Saya ada mendengar daripada rakan Ustazah Pilihan
bahawa banyak pasangan yang mengalami masalah rumahtangga adalah mereka yang
tidak menjaga batasan pergaulan sebelum berkahwin. Jadi, kepada semua bakal
pengantin, terutamanya wanita, tolong jaga diri. Timun yang dilonggok di pasar
murah saja harganya, tetapi buah yang mahal, dibungkus rapi dan diletak di
tempat yang tinggi. Jadi jika kita jadi wanita yang terbuka sana, terbuka sini,
masuklah kita dalam ‘longgokan’ timun yang murah itu. Tetapi jika kita menutup
diri dengan rapi, jadilah seperti buah yang ekslusif. Jangan sekali-kali kata
yang saya zahir saja begini, tetapi hati baik. Dalam Islam, jika hati tidak
baik, luaran pun tidak akan baik. Dunia dalaman mempengaruhi dunia luaran kita.
Kita ada akal, ada hati dan fizikal yang yang melakukan apa yang tersirat di
hati.
S: Macam mana nak tetap dalam memberi teguran kepada suami
dan anak-anak, kerana ada kalanya mereka melenting juga? Saya cuba beri pujian
dan tegur dengan kasih-sayang, cuma sedikit risau kerana umur saya yang makin
lanjut.
J: Ada tiga perkara yang kita tak boleh buat: Satu – menghukum
orang, dua – mencari justifikasi atas kesilapan sendiri, dan tiga – menegakkan
benang yang basah. Sebelum tegur orang, kita kena beri kasih sayang dulu. Jika ada
kasih-sayang, bila ditegur orang mudah nak ikut. Orang dengar cakap kita bukan
kerana kita pandai, tetapi kerana kita baik hati. Mungkin kita risau bila anak
atau suami lambat berubah, tetapi cuba perhatikan walau 1% sekalipun perubahan
yang dilakukan. Jangan fokus pada apa yang dia belum buat, sebaliknya fokus
pada apa yang dia telah buat. Beri pujian dan galakan atas perubahan yang telah
dilakukan. Jika masih belum berubah juga, kita tidak boleh berputus asa kerana
hidayah itu urusan Allah SWT. Allah tidak melihat keputusan, tetapi Allah
melihat usaha kita.
S: Apa persediaan terbaik seorang gadis untuk menjadi wanita
yang soleh dan mampu menggalas tanggungjawab menyara keluarga kerana ayahnya
sakit?
J: Dalam Islam, umur 25 tahun itu dewasa dan matang pada
umur 40 tahun. Sebelum umur 25 tahun, banyak perubahan yang berlaku. Jadi cara
terbaik menyediakan diri adalah mencari ilmu. Remaja wanita kena baca buku
ilmiah untuk santapan rohani, jangan mengadap majalah fesyen , masakan atau
hiburan sahaja. Hati perlu dididik dengan baik. Bagi wanita yang perlu menjaga ayahnya yang sakit pula,
daripada pengalaman saya, orang yang jaga orang sakit, InsyaAllah dia akan
diberi kesihatan. Kenapa? Kerana Allah tahu kesihatannya digunakan untuk
kebaikan. Jadi kita semua hari ini perlu berniat untuk menggunakan kesihatan
yang ada untuk mengabdikan diri kepada Allah. Kita perlu jadi orang mukmin,
muhsin (buat perkara baik) dan muttaqin (sentiasa bergantung pada Allah)
sepanjang masa. Jadikan keadaan ayah yang sakit sebagai peluang untuk menambah
pahala. Arwah ayah saya selalu pesan – “Manusia tidak mahu buat baik kerana
mereka tidak nampak pahala.” Itulah iman – percaya pada benda ghaib – dosa dan
pahala adalah perkara yang kita tidak nampak.
S: Bagaimana pula jika kita sendiri sebagai ibu merasa tidak
dapat memberikan didikan yang terbaik kepada anak-anak. Anak-anak tidaklah pula
merungut, cuma saya tertanya-tanya cukupkah didikan yang diberikan selama ini?
J: Betul, saya sendiri pun rasa begitu dan saya juga minta
maaf pada anak atas kekurangan didikan.
Saya minta anak mencari ilmu sendiri andai didikan saya tidak mencukupi.
Betul, kita takut amalan kita tidak diterima Allah, tetapi pada masa yang sama,
kita perlu mengharap pada Allah. Kita perlu imbangkan dan banyakkan imej
positif – contohnya: “Hari ini aku hendak hidup seperti ahli syurga”, dan
InsyaAllah kita akan berkelakuan baik hari itu.
S: Kakak mendapat penyakit yang diwarisi dari ibu. Dia
selalu memarahi ibu dan membesarkan perkara-perkara yang remeh. Ibu pula diam
sahaja. Bagaimana saya sebagai adik untuk menasihati kakak?
J: Bukan mudah nak nasihatkan orang, terutamanya kakak kita
pula. Kita juga perlu berasa kasihan dan cuba memahami keadaan kakak yang
mungkin sukar menahan kesakitan kerana penyakitnya itu. Cuba beri kasih sayang
pada kakak dan berhenti memandangnya dengan pandangan yang negatif. Mata kita
hanya nampak apa yang kita percaya. Jadi jika kita bersangka buruk, kita takkan
nampak kebaikan yang seseorang itu lakukan. Saya yakin ibu itu diam kerana dia
mengampunkan. Bila kakak buat baik, puji dan beri galakan padanya. Bila imej
dirinya positif, dia pun akan banyak buat tindakan positif. Saya menyeru semua
wanita agar berniat untuk menjadi wanita solehah dan tetapkan ‘Top 10 Goals’ –
contohnya – solat tepat pada waktu, tutup aurat dengan sempurna, doa
diringankan jodoh, minta dapat zuriat yang baik dan sebagainya. Dengan impian
dan imej positif sebegini, InsyaAllah kita akan berubah ke arah kebaikan.
S: Suami seorang yang baik, tetapi tidak solat dan sukar
untuk memintanya solat. Anak-anak semua solat. Bagaimana untuk mengajaknya
solat?
J: Saya nak cerita sedikit: Baru-baru ini anak saudara
terdekat saya nak berkahwin, jadi saya tanya dia, “Tunang ni solat 5 waktu tak?”
dan jawabnya “Entah”. Orang sekarang tidak menitik-beratkan soal agama dalam
mencari pasangan hidup. Yang kedua saya tanya, “Merokok atau tak?”. Pada
pendapat saya, jika solat tak buat, merokok pula, saya nasihatkan pada kaum
wanita jangan ‘masuk mulut buaya’ sebegini. Saya minta maaf kerana saya agak
tegas dalam hal ini. Kepada Puan yang bertanya, saya ada pengalaman begini
juga, di mana suami seorang saudara baik orangnya cuma tidak solat.
Alhamdulillah di akhir hayatnya Allah beri hidayah untuk dia mengerjakan solat.
Mungkin kerana akhlaknya dengan manusia baik. Jadi, Puan perlu teruskan berdoa
dan jangan pandang negatif pada suami. Mohon semua pendengar turut doakan
hidayah untuk suami Puan juga.
S: Alhamdulillah, berkat mengamalkan nasihat dan kenyataan
yang Prof berikan memberi kesan positif kepada anak-anak saya. Baru-baru ini
anak sulung yang berumur 17 tahun menulis di kenyataan di dinding FB menyatakan
terima kasih kerasa saya bersabung nyawa untuk melahirkannya.
J: Sempena Hari Ibu ini saya nak juga sebut, kepada para suami
muda yang baru melihat kesusahan pertarungan isteri untuk melahirkan zuriat,
hargailah isteri anda. Tetapi yang lebih penting lagi ialah hargailah ibu anda
100 kali ganda lebih kerana begitulah juga sukarnya ibu melahirkan anda ke
dunia. Saya pernah sebut begini kepada seorang saudara lelaki, dan bila ibunya
dengar, berjurai jatuh air mata ibunya. Ibu takkan sebut atau ungkit perkara
sebegini, jadi saya nak sebut bagi pihak semua ibu di Malaysia. Setelah melihat
kesusahan isteri melahirkan anak, kenangkanlah ibu anda, ‘sujudlah’ padanya dan
berterima kasih kepadanya atas segala yang diperolehi di dunia. Kepada kaum
isteri pula, ingat untuk berterima kasih kepada ibu mertua. Lebihkan ibu mertu
daripada ibu sendiri kerana kita baru kenal ibu mertua kita. Ucapkan terima
kasih kerana mereka melahirkan, menjaga dan mendidik suami kita sehingga suami
menyayangi, melindungi dan membimbing kita ke syurga, InsyaAllah. Ibu mertua
pun begitu, lebihkan menantu daripada anak sendiri, kerana anak kita dah kenal
dari dalam perut, tetapi menantu kita baru kenal.
S: Biasanya suami lebih sayangkan isteri daripada ibunya
sendiri. Mohon komen Prof.?
J: Isteri jangan jadi penyebab suami derhaka kepada ibunya. Sesiapa
nak pilih menantu lelaki, lihat bagaimana ayahnya melayan ibunya. Anak biasanya
akan ikut cara ayahnya, jadi bagaimana ayah melayan ibunya, begitulah dia akan
melayan anak perempuan kita nanti.
S: Saya cuma nak berkongsi pengalaman. Yakinlah yang Allah
akan beri kebahagiaan kepada kita apabila kita berniat untuk buat baik dan
tinggalkan kejahatan sepanjang masa.
J: Saya setuju, komen yang tepat sekali.
S: Saya pelajar tahun akhir IPTA dan saya semakin sibuk
dengan projek akhir semester, dan fikiran agak serabut kerana fikir nak cari
kerja dan juga fikir nak kahwin. Mohon Prof kongsi tips atau pengalaman untk
menghadapi situasi begini.
J: Seorang anak muda yang proaktif kerana dah fikir tentang
masa hadapan. Manusia ada tiga jenis – buat benda berlaku, tunggu benda berlaku
atau tak tahu apa yang berlaku. Orang yang buat benda berlaku cuma 5% sahaja
dan inilah orang yang berjaya. Kebanyakan kita hanya tunggu sesuatu berlaku dan
kemudian baru fikir apa yang perlu dilakukan. Dalam menghadapi semester akhir
ini, tentukan apa keutamaan kita. Tanpa keutamaan, kita tiada kehidupan. Orang
yang tiada masa adalah kerana dia tidak ada keutamaan, tidak mahu untuk
mendahulukan yang mana satu. Jadi saya nasihatkan jangan buat semua perkara
serentak (multi-tasking). Buat satu perkara pada satu-satu masa. Saya nak
kongsi satu formula – sebelum tidur, tulis 6 perkara yang kita nak buat esok
hari. Lepas itu bila bangun, buat yang pertama dulu. Masa buat perkara pertama,
jangan fikir perkara kedua. Sudahkan yang pertama dahulu, kemudian baru mula
perkara kedua. Kita kena tulis atas kertas, bila tulis, perkara yang perlu
dibuat jadi lebih jelas. Jangan sebut perkataan serabut kerana bila dah tulis,
tak banyak sebenarnya perkara yang perlu dibuat itu. Contohnya jika tak boleh
balik kampung kerana ada tugasan penting, telefon ibu mohon izin tidak dapat
pulang untuk siapkan kerja. Penyelesaian cuma ambil masa 2-3 minit sahaja. Saya
juga ingin cadangkan kita mohon doa minta keberkatan waktu. Dengan keberkatan
dalam waktu, contoh macam sekarang, rasa sekejap sahaja tetapi banyak dapat
berkongsi ilmu. Syukur, Alhamdulillah. Tentang soal nak kahwin pula, bolehlah
buat perancangan awal. Tentang bagaimana nak jadi pelajar cemerlang pula, saya
ada kongsi tips dalam sebuah buku, jadi boleh dapatkan buku dan jadikan
rujukan. Cari kawan-kawan baik yang dapat membantu kita fokus dalam pelajaran.
Jika nak buka FB, buka untuk satu minit sahaja. Buka dan cari kata-kata inspirasi,
contohnya dari ‘Fanpage’ saya dan kemudian tutup.
S: Apa pandangan Prof memukul anak untuk mengajar?
J: Ini jangan buat langsung. Anak-anak masa 0-7 tahun akan
‘download’ semua apa yang kita buat. Jadi bila kita pukul dia, dia akan belajar
bahawa untuk mengajar perlu dipukul. Ini juga boleh menjadi punca kes buli di
sekolah. Kita kena ajar anak menggunakan kasih sayang. Banyakkan belaian dan
pujian. Anak-anak yang dipuji akan mempunyai keyakinan diri yang tinggi.
Sebagai perkongsian, saya masa kecil dahulu, selalu dipuji “Bertuah, pandai” dan
tidak pernah dikata bodoh.
S: Bagaimana untuk mengubah sikap suami yang panas baran
selain berdoa, kerana isteri dan anak-anak sering menangis dan memendam rasa
dengan sikap bapa.
J: Cuba gunakan ‘handphone’ dan rekod waktu ayah tengah
marah. Masa ayah sedang ‘mood’ baik cuba tunjukkan balik padanya. Kadang-kadang
orang yang marah ini dia kurang keyakinan diri sebenarnya, jadi isteri cuba
puji suami lebih sedikit. Orang yang berjaya biasanya sangat lemah-lembut
dengan isteri. Orang yang tak berkuasa yang biasanya tak tunjuk kuasa. Orang
yang tak tahu yang ‘banyak’ bercakap.
Saya minta maaf dengan semua ustaz, ustazah dan orang lain yang lebih berilmu. Saya suka menerima teguran, jadi jika ada kesilapan mohon teguran.