Jangan di'nombor dua'kan doa! - MTDM 13.06.2014

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Majlis Ta'lim Darul Murtadza 13.06.2014
Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid*


Bahagian 1: Tafsir Al-Quran, Surah Ali-Imran
Ayat 176:


 “Dan jangan kamu sedih disebabkan orang-orang yang segera kufur …”
Allah Ta'ala mencertiakan kesedihan Nabi Muhammad ﷺ kerana sikap kaum musyrikin yang menolak ajakan Rasullullah kepada sesuatu yang menyelamatkan mereka.  Enggannya mereka beriman kepada sesuatu yang boleh menyebabkan kebahagiaan kepada mereka – perkara itu yang membuatkn Nabi ﷺ sedih.

Apabila mendapati golongan orang-orang yang beiman menolak ajarannya – yang susah hati ialah Nabi Muhammad ﷺ - ini sesuai dengan sifat kasih-sayang Nabi ﷺ kepada umatnya, yakni bilamana mengajak mereka beriman kepada Allah, yang beruntung, bertuah dan dapat faedah ialah yang menerima iman itu, dan yang rugi ialah yang menolak iman itu, tapi yang susah hati Rasulullah ﷺ. Selalunya kalau kita menawarkan sesuatu yang baik, yang bawa keuntungan kepada orang lain, kalau orang itu tidak menerima, maka kita akan kata, “Rugi kamu, kenapa kamu tidak menerima!”. Kita seakan-akan marah apabila orang lain menolak, tetapi Rasulullah ﷺ, apabila dakwahnya ditolak, baginda sedih, sebab sifatnya merasa berat dengan musibah yang menimpa umatnya.

Walaupun yang meneriman musibah itu orang lain, yang merasa susah hati ialah Rasulullah ﷺ. Oleh yang demikina, Allah SWT berfirman menyuruh agar baginda tidak sedih dengan sifat orang yang kufur dan tidak menerima ajaran baginda.
Jadi, ayat ini menunjukkan betapa rahmatnya Rasulullah ﷺ ketika dakwahnya tidak diterima kaumnya.

Suatu hari, ketika Nabi Muhammad ﷺ sedang duduk, ada jenazah yang lalu, dan baginda melihatnya lalu baginda berdiri, As-sahabat mengatakan, “Ya Rasulullah, itu adalah Yahudi.” Maka, Nabi ﷺ mengangis dan ditanya sahabat sebab baginda menangis. Lalu banginda menjawab, "Satu nyawa terlepas dari genggaman saya menuju ke neraka." Yakni kalau boleh, semua orang ingin diislamkan oleh Rasulullah ﷺ, akan tetapi Allah SWT berkehendak dengan kehendak yang lain, dan di sebalik kehendak Allah, tersimpan sejuta hikmah. Tidak ada perkara yang menyusahkan Nabi ﷺ melainkan ketika orang menolak ajakannya, dan tiada perkara yang lebih menggembirakan baginda melebihi gembiranya Rasulullah ﷺ bilamana orang menerima ajakannya. Oleh itu, tiada orang yang lebih hampir dengan Rasulullah ﷺ, melebihi hampirnya orang yang mengajak orang lain beriman kepada Allah SWT, menjadi penyambung lidah baginda Rasulullah ﷺ.

Suatu hari Nabi Muhammad ﷺ berziarah kepada seorang Yahudi yang sakit dan ditawarkan untuk beriman kepada Rasulullah ﷺ, dan Yahudi itu menerimanya. Baginda menangis tetapi kali ini tangisannya tangisan ‘happy’ dan baginda mengucapkan, “Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang menyelamatkan dia melalui aku.” Nabi ﷺ gembira kerana satu nyawa terselamat untuk dibawa ke syurga. Hati manusia takkan boleh dikawal kecuali oleh Allah SWT. Oleh itu orang yang paling  dekat dengan Rasulullah ﷺ ialah org yang mengajak orang lain kepada Allah SWT. Ini makna yang pertamanya ayat ini menunjukkan rahmatnya Nabi ﷺ, sehingga sikap kufur orang-orang tidak beriman menyebabkan baginda susah hati.

Pengajaran yang kedua ialah -  jika Nabi Muhammad ﷺ susah hati, yang menghiburkan Baginda ialah Allah SWT. Perasaan sedih itu berada di dalam hati, orang yang sedih perlu kepada hiburan atau sesuatu yang menghiburkan, dan yang menghiburkan Rasulullah ﷺ ialah Allah SWT. Di dalam Al-Quran nul Kareem Allah SWT memantau perasaan Nabi Muhammad ﷺ dalam banyak perkara. Sepertimana kesedihan yang ada pada saat orang-orang tidak menerima dakwahnya Allah menghiburnya, begitu juga halnya ketika perkara menyedihakan lain yang berlaku.

Salah satunya ialah ayat yang turun di bulan Syaaban, iaitu ayat pertukaran kiblat daripada Baitulmaqdis ke Kaabah. Selama Nabi ﷺ berhijrah selama 17 bulan, Nabi ﷺ solat menghadap ke Baitulmaqdis. Dalam satu riwayat mengatakan Nabi ﷺ sedang solat Zohor, dan dalam riwayat lain mengatakan solat Asar di Masjid Quba atau lebih dikenali dengan nama Masjid Qiblatain. Dalam solat itu, Nabi ﷺ mengerak-gerakkan kepalanya ke atas dan ke bawah sebagai bahasa isyarat yang menunjukkan dalam hati baginda bermain satu perasaan agar Allah Ta'ala mendengar suara hatinya dan memindahkan kiblat dan kembali kepada kiblat pertama ayah dan datuknya iaitu Nabi Ibrahim a.s. Allah SWT turunkan ayat Al-Quran dalam surah Al-Baqarah, ayat 44:


Jika Allah turunkan ayat untuk ditukar kiblat pun sudah memadai untuk dijadikan perintah untuk dipatuhi tetapi Allah ingin menunjukkan bagaimana Dia memenuhi permintaan Rasulullah ﷺ, dengan suara hati baginda dipantau oleh Allah Ta'ala dan dipenuhi sebelum dilafazkan pun oleh baginda. Setelah turun ayat itu, Nabi ﷺ berpusing 180 darjah untuk menghadap kiblat yang baru. Bagaimana ianya dilakukan? Allahu’alam. Subhanallah – Allah tidak tunggu untuk berikan apa yang Nabi ﷺ minta sesudah solat, tetapi diberi ketika masih dalam solat lagi. Kenapa tak ditunggu sehingga waktu solat yang seterusnya? Allah Ta'ala tidak mahu menunda permintaan yang bermain dalam hati Rasulullah ﷺ. Bukankah Nabi Zakaria, ketika meminta zuriat juga dikabulkan permintaannya ketika masih dalam solat juga? Kenapa Allah tak tunggu selepas selesai solat? Untuk menunjukkan cepatnya qabul doa hamba-hamba yang dikasihi Allah SWT. Bilamana mereka yang dikasihi berdoa, ‘confirm’ dapat ‘cash’.

Suatu hari seorang yang bermusafir berehat di satu pokok, dan tertidur. Apabila terjaga, didapati untanya hilang. Dia pun kesedihan kerana semua harta dan bekalannya ada pada unta itu. Datang seorang tua kepadanya bertanya kenapa dia sedih dan jika dia ada apa-apa hajat? Musafir itu tengok orang tua itu lemah, lesu, letih lalu berkata, “Kamu lebih bantuan untuk diri kamu dulu sebelum bantu orang lain.” Kata orang tua itu lagi, “Beritahulah, mungkin saya boleh bantu.” Musafir itu memberitahu yang untanya hilang. Maka, lelaki tua itu pun angkat tangan, dan angkat sebelah kakinya lalu berdoa, “Ya Allah, kembalikan unta orang ini sebelum kaki saya ini turun ke bawah.” Tidak turun kaki itu ke bawah kecuali telah datang kembali unta musafir itu! Jangan kamu anggap orang yang kusut-masai, yang tak rapi, tak kemas, dan kalau datang pun dihalau orang, jangan kamu anggao orang seperti ini tak ada nilai, kalau dia termasuk orang-orang yang dekat dengan Allah, bila dia meminta, pasti akan ditunaikan oleh Allah Ta'ala.

Ini kekuatan senjata doa yang banyak diabaikan orang. Kita mencari rezeki, tapi perlu juga berdoa. Jangan  doa di-nombordua-kan. Jangan tak faham nilai senjata doa. Ia lebih ampuh dari segala usaha!
Nabi ﷺ dikabulkan permintaannya saat baginda solat sepertimana Nabi Zakaria juga menunjukkan cepatnya datang ‘qabul’ daripada Allah Ta'ala. Daripada Siti Aisyah r.a., baginda Rasulullah ﷺ bersabda, “Sesungguhnya darah sembelihan korban akan jatuh ke tangan Allah (diterima) sebelm darah itu jatuh ke tanah.” 

Oleh itu, kata Rasulullah ﷺ, “Mintalah pada Allah dan perasaan saat minta, kamu yakin doa kamu dimakbulkan Allah SWT.” Tapi jangan doa ala kadar, yakni doa sekadar formaliti, tiada penghayatan. Hayati doa, dan anda akan dapat melihat kesan kekuatan senjata doa. Doa adalah otak kepada ibadah.

Ada beberapa ayat lain yang menunjukkan pemantauan Allah Ta'ala kepada Rasulullah ﷺ. Ketika kaum musyrikin memaki, mengata dan menghina Rasulullah ﷺ. Allah SWT menurunkan ayat agar baginda tidak sedih. Jadi, ayat ini menujukkan yang Allah amat prihatin dengan Rasulullah ﷺ dan larangan bersedih.

Muhammad Al-Baqir* berkata kepada Sayyidina Sayyidina Jaafar As-Saddiq, “Saya hairan melihat orang dalam kesedihan tak kembali mengamalkan firman Allah (surah Anbiya’, ayat 87):

“La ilaha illa Anta, Subhanaka, inni kuntu minaz zolimin”

Sebab saya dapati dalam Al-Quran, setelah ayat itu dibaca oleh Nabi Yunus. Allah SWT berfirman (surah Anbiya, ayat 88):

Yakni, Allah menyelamatkan Nabi Yunus daripada kesedihan. Adakah ayat itu khusus untuk Nabi Yunus? Tidak, Allah akan menyelamatakan orang-orang beriman yang membaca ayat ini daripada kesedihan.

Sambungnya lagi, “Saya hairan orang yang ada perasaan takut tidak membaca (surah Ali-Imran, ayat 173):
“Hasbunallah wa ni’mal wakeel”.

Kerana saya dapati dalam Al-Quran nul Kareem, ketika kaum muslimin dalam ketakutan dan membaca ayat ini, Allah Ta'ala berfirman (surah Ali-Imran, ayat 174) :


Yakni Allah memberi mereka kemenangan dan nikmat keselamatan.

Sambungnya lagi, “Saya hairan orang ada orang yang diancam kemudaratan kepadanya tidak membaca (surah Al-Ghafir, ayat 44):


Wa ufawwidu amri ilallah, innallaha basirun bil-'ibad.

Kerana saya dapati di dalam Al-Quran nul Kareem, orang yang membaca ayat ini akan dilindungi Allah Ta'ala daripada ancaman orang itu (surah Al-Ghafir, ayat 45):


Jadi ada tiga:
Penawar kepada sedih: “La ilaha illa Anta, Subhanaka, inni kuntu minaz zolimin”
Penawar kepada takut:  “Hasbunallah wa ni’mal wakeel”.
Benteng muslihat orang lain: Wa ufawwidu amri ilallah, innallaha basirun bil-'ibad.

“.. kerana sesungguhnya mereka sekali-kali tidak akan membawa mudarat kepada Allah…”
Allah memberitahu bahawa orang-orang yang kufur itu tidak mungkin memudaratkan Allah Ta'ala. Kenapa tidak dikatakan memudaratkan Rasulullah ﷺ  kerana ayat sebelumnya merujuk kepada Rasulullah ﷺ agar jangan bersedih? Jika diikutkan ayat itu – yang disuruh ialah Nabi ﷺ agar jangan bersedih, maka bahagian seterusnya pun perlu kembali kepada Nabi ﷺ. Kenapa? Kerana Nabi ﷺ dalam berdakwah hanya mengajak kepada Allah Ta'ala dan bukan kepada dirinya. Nabi ﷺ hanya penyampai Allah Ta'ala, tiada tujuan peribadi untuk Rasulullah ﷺ. Ini menolak dakwaan orang Quraisy mengatakan yang agama ini adalah buah fikiran Nabi ﷺ kerana baginda Rasulullah ﷺ hanya mengajak kepada Allah SWT.

Ayat 177:

Apa yang dimaksudkan dengan membeli kekufuran? Dalam perniagaan, orang-orang takkan membeli sesuatu yang buruk dengan sesuatu yang baik, tetapi orang akan membeli yang baik dengan yang lebih baik. Mana ada orang nak jual batu permata dengan batu kerikil. Perbuatan jual-beli ada tukar-menukar, jadi adakah wujud tukar-menukar dalam hal iman dan kufur? Yang dimaksudkan ialah setiap bayi itu dilahirkan dalam keadaan suci, fitrah dan beriman, tidak kira bayi siapa itu. Akan tetapi orang tuanyalah yang akan menjadikan anak itu Yahudi, Majusi dll. Oleh itu, anak-anak orang tidak beriman yang meninggal sebelum baligh akan ditempatkan sebagai pembantu-pembantu di syurga, kerana mereka tak berdosa. Jadi, ertinya Allah bekalkan iman kepada setiap bayi yang dilahirkan. Tapi setelah dewasa, mereka akan membuat pilihan untuk beriman atau kafir. Tetapi pilihan itu pilihan yang tiada pilihan, kerana hanya pilihan iman saja pilihna yang benar dan menyelamatkan. Jika pilih kufur, maka Allah sediakan neraka untuknya. Jadi, maksudnya ialah tiada pilihan selain iman. Jadi makna yang pertama ialah orang menjual bekal iman yang Allah berikan dengan kekufuran. Makna kedua ialah orang menjual iman dengan kekufuran walaupun dia tahu kebenaran Rasulullah ﷺ, bahkan menyembunyikan kebenaran itu. Ini mungkin menjurus kepada orang Yahudi dan Kristian yang mereka itu kenal kepada Rasulullah ﷺ lebih daripada mereka kenal anak mereka sendiri, tetapi menolak baginda kerana hasad dengki dan kedua adalah kerana takut dapurnya kosong. Orang yang kenal Rasulullah ﷺ terdiri daripada golongan paderi dan ulama Yahudi dan masyarakat awam ramai yang tidak tahu. Jika orang awam diberitahu, maka paderi takut kehilangan peruntukan hasil dakyah yang mereka sampaikan. Maka, mereka mendustakan Rasulullah ﷺ, yakni membeli kufur dengan keimanan. Perumpamaan sama apabila seseorang tahu yang ‘haq’ (benar) di hadapannya tetapi menolaknya. Ambillah hikmah walaupun daripada mana saja keluarnya.

Ayat 178:

Allah beri nikmat kepada sesetengah orang walaupun mereka jelas kufur kepada Allah, tetapi jangan disangka perkara itu baik bagi mereka. Ada satu jenis hukuman yang dinamakan istidraj – semakin dia kufur, dia semakin diberi nikmat oleh Allah SWT. Ada orang yang menggunakan kesihatan untuk bermaksiat kepada Allah, tetapi jangan disangka kesihatan itu membawa kebaikan kepadanya. Orang yang menggunakan harta kepada yang mungkar, dan hartanya semakin bertambah. Jangan disangka Allah membiarkan orang kafir dan mungkar bermaharajalela dengan kemungkaran mereka, atau nikmat Allah adalah membawa kebaikan kepada mereka. Allah membiarkan mereka agar dosanya semakin bertambah dan dengan itu hukumannya pun semakin bertambah berat!

 Orang yang tak pernah sakit di bumi ini ialah Firaun (Namrud), dan dia bermaharajalela mengaku dirinya Tuhan. Tahukah bagaimana dia akhirnya dihancurkan Allah? Allah hantarkan nyamuk yang kecil sahaja, masuk ke dalam hidungnya dan tidak keluar-keluar, sehingga Namrud tidak boleh tidur dan menghantuk kepalanya ke dinding sehingga pecah dan akhirnya mati. Semoga Allah melindungi dan menyelamatkan kita. Oleh itu, orang salafussoleh kalau mendapat nikmat, mereka akan lebih terlebih dahulu supaya nikmat itu bukan istidraj. Mereka khuatir dengan tambahnya nikmat, mereka tak mampu bersyukur dengannya. Oleh itu, kalau kita minta nikmat, minta juga syukur juga kerana dikhuatiri nikmat itu boleh menjadi istidraj.


Kitab Riyadus Solihin, Bab 60, m/s 655:

Hadis 7:


Konsep Rasulullah ﷺ ialah menjawab soalan akan disesuaikan kepada orang yang menyoal, macam nak meletak titik pada hurufnya (huruf jawi). Dalam hadis yang serupa, ada dijawab untuk berbuat baik kepada orang tua. Dalam hadis lain pula dikatakan agar solat tepat pada waktunya.

Seseorang datang kepada Sayyidina Abdullah ibnu Abbas, yang faham konsep ini dan bertanya, “Adakah boleh mencium isteri pada waktu tengahari di bulan Ramadhan.” Jawab beliau – “Boleh”. Kemudian datang pula seorang yang lain bertanya soalan yang sama, dan dijawab beliau – “TIdak boleh”. Kata pembantunya, “Bagaimana ada soalan sama, tapi jawapan berbeza.” Jawabnya, “Yang pertama yang bertanya sudah tua, jadi ciuman itu hanya sebagai tanda kasih-sayang. Tetapi yang kedua bertanya masih muda, dan dikhuatiri perbuatan itu akan membawa kepada perkara yang tidak dibenarkan ketika berpuasa.” Rasulullah ﷺ akan melihat siapa orang yang bertanya dan memberi jawapan yang sesuai dengan keperibadian orang yang bertanya.

Dalam hadis ini diajarkan untuk memberi makan kepada orang, dan memberi salam kepada orang yang dikenli ataupun tidak. Memberi salam ialah memberi jaminan keselamatan kepada orang yang diberikan ucapan salam. Antara 2 orang yang bertemu, orang yang mendahului dalam memberi salam adalah lebih afdhal. Oleh itu, jika sudah beri salam, jangan dicemari salam itu dengan keburukan dan kezaliman kita.

//kisah Imam Sayfie tak jadi dihukum gantung kepala oleh kerana kebijakannya menggunakan ucapan ‘Salam’.

//kisah seorang yang mengucapkan salam dan dibuunuh

Hadis 8:


Nabi ﷺ menunjukkan cara sedekah yang pahalanya berterusan. Kalau sedekah dengan sesuatu yang cepat habis, maka ganjarannya pun cepat habis, tetapi kalau sedekah dengan sesuatu yang panjang manfaatnya, maka selagi sedekah itu dapat dimanfaatkan, selagi itu orang itu akan mendapat pahala meskipun dia sudah meninggal dunia. Dalam hadis ini, Nabi ﷺ tidak menyebut amalan 40 yang lain tetapi hanya menyebut satu iaitu – kambing yang bersusu. Oleh itu, hendaklah bijak dalam bersedekah dan cari yang pahalanya berterusan.

//Kisah Abu Talhah menyedekahkan kebun kesayangannya kerana terlepas satu rakaat berjemaah bersama Rasulullah ﷺ.

Hadis 9:



Dalam bersedekah, jangan melangkahi ahli keluarga yang memerlukan. Jangan dahulukan memberi kepada kawan, tetapi kedekut kepada keluarga. Jika ramai orang yang memberi, maka akan sedikitlah orang yang meminta-minta.

//kisah dua beradik di mana seorang memberi 30 ekor kambing, dan seorang lagi memberi separuh roti, tetapi yang memberi setengah roti itu dikatakan lebih pemurah. Mengapa jadi begitu?

Kemudian, perbahasan kitab Bidayatul Hidayah diteruskan dengan bacaan pada m/s 176, perenggan ketiga yang menasihatkan untuk mengelakkan diri membincangkan perkara khilaffiah, lebih-lebih lagi jika diri bukanlah ahli untuk membincangkannya.

 *: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallu'alam. 

**: mungkin salah ejaan



Popular Posts