Maulid Akbar MTDM 1436H (Bhgn 1) - ‘Tiada alasan untuk tidak membela Rasulullah ﷺ selagi mata mampu berkelip’

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم وعلى آله وصحبه وسلم


Tausiyah 1 - Habib Naqjmudin bin Othman al-Khered*


//Dimulakan dengan kata-kata pujian dan syukur

Majlis seumpama ini ialah majlis di mana apabila orang berdoa di dalamnya, pasti akan dikabulkan oleh Allah SWT. Bahkan doa yang sangat dianjurkan ialah:
اَللَّهُمَّ إِنَّا نَسْـأَلُكَ رِضَـاكَ وَالْجَنَّـةَ وَنَـعُوْذُ بِكَ مِنْ سَـخَطِكَ وَالنَّـارِ.  

Kenapa? Warid dalam hadis riwayat Muslim tentang malaikat yang berlegar di atas muka bumi mencari majlis zikir untuk duduk bersama, dan setelah selesai melaporkan kepada Allah SWT dan memberitahu akan permintaan orang yang meminta syurga Allah dan dillindungi dari neraka Allah, yang akhirnya Allah Ta'ala menjanjikan keampunan kepada orang yang hadir dalam majlis seperti ini. Moga-moga kita diampunkan Allah SWT dan diqabulkan segala permintaan kita.

Majlis seperti ini adalah cara untuk doa kita cepat sampai kepada Allah Ta'ala – kalau kita di dunia ini ada pos – yang biasa mengambil masa 3 hari, kalau lagi jauh, lagi lama, dan ada namanya poslaju yang akan sampai dengan kadar segera. Maka, disebutkan bahawa majlis ini ialah di mana doa kita disampaikan laju oleh para malaikat, kerana nanti langsung dilaporkan ketika majlis berakhir oleh para malaikat kepada Allah SWT apa yang kita lakukan dan doa yang kita minta. Mudah-mudahan Allah Ta'ala memberikan kita istiqamah untuk hadir majlis seperti ini dan majlis-majlis ilmu untuk membawa kita lebih dekat kepada Allah SWT dan Rasulullah ﷺ.

Tema yang diambil cukup cantik, dalam ikrar dan pengakuan kita bahawa kita ini umat Nabi Muhammad ﷺ - selalu dan ingin sentiasa bersama baginda Rasulullah ﷺ. Hakikatnya, baginda Rasulullah ﷺ sentiasa bersama kita. Kalau diibaratkan hubungan ini umpama tali, berapa banyak agaknya tali yang dipegang Rasulullah ﷺ untuk memegang setiap umatnya yang menyambung hubungan dengan baginda? Biar banyak mana sekalipun tali dan beban yang akan ditanggung oleh baginda, baginda sekali-kali takkan melepaskannya kecuali di kalangan umatnya yang melepaskan tali itu.

Mungkin ada tali umatnya yang sudah kendur akibat tidak berselawat kepada Nabi ﷺ, sudah jauh daripada sunnah baginda, atau bermaksiat. Kendurnya tali itu dirasa oleh Rasulullah ﷺ. Ada tali yang kemas ikatannya, bahkan ada yang semakin pendek mendekati baginda dan terus ditarik baginda oleh kerana banyaknya berselawat kepada Rasulullah ﷺ, membina sunnah Nabi ﷺ dalam kehidupannya, berakhlak dengan akhlak Rasulullah ﷺ. Nabi ﷺ mengatakan, “Sedekat-dekat seseorang denganku di akhirat nanti ialah yang paling banyak berselawat kepadaku.” Yang akan memberatkan timbangan di mizan ialah akhlak yang baik – kata Rasulullah ﷺ, dan semakin dkt dengan Rasulullah ﷺ.

‘Check’ tali hubungan kita dengan Rasulullah ﷺ - adakah kendur atau sedang-sedang saja atau semakin dekat dengan Nabi ﷺ? Ianya terpulang kepada kita yang memegangnya di hujung ini dan yakinlah yang Rasulullah ﷺ takkan melepasnya tali pegangan di hujung sebelah baginda.

Hadirin-hadiran yang dirahmati Allah SWT, sebab itulah bila Allah SWT berfirman:
Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya selawat kepada Nabi(1). Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya(2).”  (Surah Al-Ahzab: 56).

Allah SWT memulakan untuk berselawat kepada Nabi ﷺ dan memerintahkan makhluknya yang mulia iaitu para malaikat untuk turut berselawat kepada Rasulullah ﷺ, dan kemudian memerintahkan kita orang-orang beriman untuk berselawat kepada Rasulullah ﷺ, dalam membina hubungan dengan baginda Rasulullah ﷺ. Antara kewajipan kita – solat iaitu hubungan kita dengan Allah SWT dan kita dituntut untuk menyempurnakan rukunnya dan diperindahkan dengan sunnah-sunnahnya. Namun, intipati solat ialah kusyuk atau hadir hati ketika solat. Apabila dibincangkan bagaimana mendapatkan kusyuk, biasanya yang akan diterangkan kepada kita adalah dengan mengetahui apa yang kita lakukan, dan baca dalam solat. Maka kita pun belajar pengertian-pengertian dari gerakan-gerakan solat dan bacaan rukun surah Fatihah. Tetapi kurang dan jarang kita dapati orang memerhatikan rukun qauliyah di antaranya tahiyat akhir, yang di sana ada satu ikatan yang Allah ingin untuk kita jalin kepada kekasih-Nya baginda Rasulullah ﷺ dengan ucapan:
السلام عليك أيها النبي ورحمة الله وبركاته

Berapa ramai orang menghayati ketika solatnya itu benar membina hubungan dirinya dengan Allah? Tetapi Allah Ta'ala suruh kita menyampaikan salam ketika menjalin hubungan dengan Allah Ta'ala, kepada baginda Rasulullah ﷺ. Bukan dengan salam yang mengatakan ‘kepada dia’ tetapi ‘kepada Engkau, kamu’ yang seolah-olah kita mesti merasakan hati bersamanya. Ada tak agaknya ketika kita mengucapkan salam, dalam setiap solat kita, kita yakin, percaya Nabi mendengar dan menjawab salam kita?

Ukurannya ialah kita, bagaimana hubungan kita dengan Rasulullah ﷺ. Sebab itulah para sahabat yang cukup kuat hubungannya dengan Rasulullah ﷺ, luar biasa hubungannya, cinta kepada Nabi ﷺ yang tiada tolok-bandigan. Kenapa? Tali yang dipegang kukuh dan sentiasa berusaha untuk menarik dan mendekati kepada Rasulullah ﷺ. Maka, lahirlah daripada para sahabat, antaranya ialah Zubbair Al Awwam, yang tak rela mendengar berita kononnya  Nabi ﷺ dibunuh, lalu terus mengunus pedang tanpa sempat memakai pakaian sehingga digelar orang pertama yang menghunus pedang untuk membela kepada Rasulullah ﷺ.

Lahirlah para sahabat yang cukup kukuh kecintaan kepada Nabi ﷺ seperti Bilal bin Rabah, yang tak sanggup tinggal di kota Madinah setelah baginda wafat. Dia ‘pencen’ dari tugas muazzin, bukan tak mahu ganjaran besar yang ditawarkan Allah SWT, akan tetapi kerinduan dan kecintaannya kepada Nabi ﷺ sampai meresap ke dalam jiwa raganya. Dan dibuktikan ketika dia pulang ke kota Madinah dan diminta untuk melaungkan azan oleh Sayyidina Hassan dan Hussin yang dia tak mampu menolaknya. Ketika melaungkan azan, bukan hanya Bilal, bahkan seluruh penduduk Madinah keluar dalam keadaan kebingungan, sehingga mengalirkan air mata kerana mengingat kepada zaman Rasulullah ﷺ, sehingga mereka mengatakan, “Adakah Nabi ﷺ telah hidup kembali?” Dan ketika mengucapkan: وأشهد أنّ محمدا عبده ورسولهMaka, ketika itu pengsanlah Bilal bin Rabah, tak dapat menahan cinta kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ini semua adalah cinta dan kebersamaan mereka bersama Rasulullah ﷺ.

Saya ingin tutup dan InshaAllah selepas ini kita akan dapat banyak lagi daripada guru-guru kita. Daripada seorang sahabat bernama Saad bin Rabi', yang disaudarakan oleh Rasulullah ﷺ kepada Sayyidina Abd Rahman bin Auf. Pengorbanannya telah terbukti sejak dipersaudarakan dengan Sayyidina Abdul Rahman bin ‘Auf lagi kerana dia sanggup memberi separuh hartanya, bahkan sanggup memberi isterinya, walaupun ditolak.

Dalam perang Uhud, dia mempertahankan Rasulullah dan cedera parah. Ketika berkumpul kaum muslimin selepas Perang itu, Nabi ﷺ memeriksa setiap orang dan mendapati Saad bin Rabi' tidak bersama mereka. Maka, Nabi mengatakan, “Siapa di antara kamu yang ingin mengambil tahu keadaan Saad bin Rabi'?” Seorang Ansar mengatakan, “Aku, Ya Rasulullah ﷺ.” Maka dia pergi ke tempat-tempat syuhada dan menjumpai Saad bin Rabi' dalam keadaan yang sangat parah. Di penghujung nyawanya, dia berpesan, “Sampaikan salamku kepada Rasulullah ﷺ dan katakan semoga Allah memberi ganjaran kepada Engkau wahai Rasulullah ﷺ, sebesar-besar ganjaran, dan sampaikan kepada kaum bahwa ‘Tiada alasan apapun untuk tidak membela kepada Rasulullah ﷺ selagi matanya mampu berkelip’.

Kita bukan hanya mampu menggerakkan kelompak mata kita, bahkan dengan  jasad kita yang sempurna ini, sejauh mana kita membela kepada Rasulullah ﷺ? Terbela tak sunnah Nabi ﷺ? Terbela tak akhlak Nabi ﷺ yang kita contohi? Bagaimana keadaan kehidupan rumahtanggan kita? Bagaimana keadaan persahabatan kita? Bagaimana hubungan kita sesama manusia dan mahkluk? Bagaimana hubungan kita dengan Allah? Terbelakah? Ini soalan yang perlu kita bawa balik sebagai renungan dari majlis ini.

//Ucapan penutup - mohon maaf dan doa.

*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallahu'alam. 

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab