Pengaruh Mazhab Dan Akidah Imam Syafi'i Dalam Membawa Keamanan Dan Kestabilan Di Asia Tenggara - Panel 2

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العلمين
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وسلم 

Forum Perdana
Tajuk: Pengaruh Mazhab Dan Akidah Imam Syafi'i Dalam Membawa Keamanan Dan Kestabilan Di Asia Tenggara
Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, Malaysia, 25 Oktober 2017

Sumber Rakaman: https://www.youtube.com/watch?v=LkkxMcAHUTE 





Panel 2: Al Alamah Al Murobbi Al Habib Umar bin Hafez

الحمد لله رب العلمين , segala puji bagi Allah سبحانه و تعالى  atas limpahan nikmat yang sangat agung.

Dan ini adalah satu upaya untuk untuk tahu, cari jalan orang terdahulu untuk kenal pasti jalan mereka. Yang mana mereka para pendahulu itu merupakan contoh yang mengimplementasi akan manhaj yang dibawa Nabi kita, dan menunaikan apa yang datang dari baginda Rasulullah dengan sesempurna mungkin.

Bilamana seseorang yang meyakini (beriman) tidak mempunyai masa lalu, maka dia tak punya masa kini dan masa depan. Dan bilamana kita ingin melihat setiap kedudukan yang ada pada umat islam, daripada kedudukan yang mulia, ianya bergantung dengan hubungan mereka dengan orang-orang sebelum mereka.

Dan ini merupakan rahsia yang Allah sebut dalam Al-Quran tentang mereka para Nabi. Setiap kali Allah sebut salah seorang para Nabi, akan diterangkan tentang sifat Nabi itu iaitu membenarkan Nabi sebelumnya atau Nabi yang mendahuluinya. Nabi itu beriman kepada Nabi yang sebelumnya dan sebelumnya dan memuliakannya.

Dan demikian juga yang jadi pegangan kita untuk memuliakan mereka yang hidup di kurun pertama. Dari mereka yang hidup di kurun pertama dalam kalangan para sahabat, orang yang paling dekat, paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling banyak mengagungkan, membesarkan Nabi Muhammad . Mereka yang dikenal mempunyai makrifat yang tinggi kepada Allah disebabkan mereka juga punya makrifat yang mendalam pada Nabi Muhammad . Orang y ang paling dekat antara mereka kepada Allah ialah yang paling dekat dengan Rasulullah .

Orang di kalangan mereka yang mendapat redha daripada Allah ialah mereka yang mendapat redha daripada Rasulullah . Oleh sebab yang demikian, para sahabat Nabi dari golongan Ansar dan Muhajirin punya kelebihan yang tiada pada orang lain.

Dan telah disebut kemuliaan itu dalam Al-Quran, diceritakan oleh Allah tentang perbuatan mereka yang hidup di zaman Nabi, amal perbuatan mereka sebelum di buka kota Mekah dan setelah dibuka kota Mekah. Amalnya satu, tetapi tidak disamakan nilai amal orang yang beramal sebelum fathul Makkah dan selepas, walaupun amalnya sama.

Allah berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud, “Tidaklah sama antara kamu orang yang berinfaq dan berjihad di jalan Allah sebelum dibuka kota Mekah dan setelah dibuka kota Mekah.”

Apakah amalan yang disebut dalam ayat? Bersedekah & jihad di jalan Allah. Mereka yang beramal sebelum Fathul Mekah mendapat ganjaran yang lebih besar berbanding orang yang buat hal sama setelah Fathul Mekah. Kenapa tak dikatakan sama-sama berinfaq, sama-sama berjihad, kenapa tidak disamakan oleh Allah?

Allah berfirman - TIDAK SAMA dan Allah berfirman mereka itu punya darjat yang lebih tinggi. Kalau begitu, di situ ada satu keadaan atau perasaan yang berlainan dengan perbuatan. Ianya adalah satu keadaan emosional dan juga tentang pengetahuan.

Kedudukan dalam kesungguhan dan kejujuran mereka yang begitu tinggi. Orang yang bersama dengan Nabi dari awal, maka lebih lama bersama Nabi , lebih banyak melihat kepada Nabi , lebih kenal kepada Nabi , maka kerana mereka lebih lama bersama Nabi menyebabkan darjat mereka lebih tinggi berbanding orang lain.

Bilamana kita berpindah kepada mereka para tabiin, kita akan melihat antara mereka yang lebih mulia ialah mereka yang banyak memuliakan dan mengagungkan para sahabat daripada kurun pertama. 

Kemudian bila turun ke bawah lagi kepada pengikut para tabiin, siapa yang paling mulia antara mereka? Yang paling mulia ialah mereka yang paling banyak memuliakan dan mencintai tabiin, yang banyak duduk dengan mereka, dan banyak dipengaruhi dengan sifat dan akhlak para tabiin sebelumnya.

Timbangan seperti ini tidak akan terputus selamanya. Demikian pengikut kepada pengikut kepada pengikut para tabiin. Dan demikian seterusnya ke bawah. Dengan apa yang dijelaskan, inilah kewajiban bagi umat ini untuk memahami akan kandungan daripada acara forum malam ini.

Nabi sudah mengingatkan akan berlaku ketidakseimbangan dalam timbangan ini, dalam hadisnya yang bermaksud, “Akan datang di antara umat ini daripada golongan yang terakhir, yang mencaci kepada pendahulunya, bahkan lebih jauh daripada itu sampai kepada peringkat melaknat kepada para pendahulu. Maka Nabi menunjukkan perintah kepada umat secara umumnya dan kepada ulama khususnya.

Beliau bersabda, “Bilamana umat ini melaknat pendahulunya, barangsiapa yang memliki ilmu antara mereka yang hidup di zaman itu, maka hendaklah dia menunjukkan ilmunya, kerana yang menyembunyikan ilmu saat itu terjadi sama seperti menyembunyikan wahyu yang diturun pada zaman Nabi Muhammad ."

Ini adalah satu muqaddimah untuk masuk kepada tajuk malam ini. Sebelum masuk pada tajuk yang ingin dijelaskan, ingin mengucapkan terima kasih kepada Al Fadhil Ustaz Engku Ahmad. 

Daripada penjelasan beliau sebentar tadi, tiada apa-apa perbezaan dalam akidah antara 4 imam-imam besar dan generasi setelahnya. Akidah 4 imam-imam besar dan generasi setelahnya ini adalah akidah yang sama yang dibentuk oleh Abu Hassan Al-Ash’ari dan Abu Mansur Al Manturidi. Mereka berdua tak munculkan ilmu yang baru selain apa yang telah pada zaman baginda Rasulullah dan diwarisi melalui para sahabat dan generasi setelahnya.

Ini adalah akidah yang dipegang oleh mereka yang ada di kurun pertama dan kurun-kurun setelah mereka. Bilamana dipegang akidah itu, maka akan jadi sebab kestabilan dan ketenteraman di tengah-tengah masyarakat Islam di antara mereka dan orang-orang selain daripada mereka.

Akidah itu jauh daripada merendahkan kedudukan Allah سبحانه و تعالى atau makhluk Allah سبحانه و تعالى . Mereka tidak menyerupakan Allah dengan makhluknya dan tidak pun juga mengkafirkan orang-orang yang beriman kepada Allah سبحانه و تعالى. 

Bahkan mereka itu menjaga akan kehormatan Allah سبحانه و تعالى  dan keagungannya sepertimana mereka juga menjaga hak dan kehormatan orang Islam khasnya dan menghormati akan manusia secara umumnya dengan timbangan yang sama iaitu Al-Quran dan sunnah.

Bahkan lebih daripada itu mereka menjaga kehormatan haiwan dan benda-benda tidak bernyawa secara menyeluruh. Inilah dasar utama untuk mencipta keamanan, untuk kita jadikan keadaan umat manusia itu tenteram, dan bahkan itu hakikat daripada keimanan.

Nabi telah bersabda, “Orang yang beriman adalah orang yang orang lain terselamat hartanya, darahnya, maruahnya daripadanya.”

Dalam hadis ini disebut orang lain selamat daripada dia, dan tidak dikatakan orang mukmin saja yang selamat, maknanya bukan orang Islam saja. Dan yang berpegang pada akidah ini, yakni yang berpegang feqahnya Imam As-Syafi'i رحمه الله , yang mana pengikutnya telah tersebar ke merata tempat termasuk ke tempat kamu ini.

Bahkan di situ ada orang-orang pertama yang bawa Islam ke beberapa wilayah. Dengan keadaan inilah mereka itu dilihat membawa keamanan bagi orang Islam dan bukan Islam. Bahkan dengan jaminan orang lain selamat daripada bahayanya, menjadi sebab orang itu beriman kepada orang ini.

Wilayah kamu ini adalah satu wilayah yang telah dimasuki oleh orang-orang Islam yang hidup pada kurun pertama. Akan tetapi tersebarnya Islam secara meluas sehingga peringkat pemerintah adalah setelah abad ke-7 dan setelahnya, dan segala puji bagi Allah sampainya agama ini ke negeri ini dengan cara yang baik dan selamat, dan mempunyai hubungan bertali-sambung yang benar dan sahih.

Dan yang mungkin boleh diingati oleh kita bahawa sampainya agama ini ke negara ini, adalah bermula dengan datangnya seorang yang bernama Al Musamma Zainul Abidin ke Johor, yang merupakan keturunan Alawi, bapa saudara kepada Faqih Al-Muqaddam.

Dan dikenali sejak dulu lagi, tersebarnya agama Islam di tempat ini adalah dalam mazhab feqahnya berpegang kepada mazhab Imam As-Syafi'i رحمه اللهDan ini menunjukkan satu bukti bahawa yang membawa Islam ke negeri ini ialah orang yang berpegang kepada mazhab Syafi’e. Akan tetapi Mazhab Imam As-Syafi'i رحمه الله  adalah salah satu daripada mazhab ASWJ walaupun secara mereka keseluruhannya adalah satu mazhab.

Akan tetapi dikenali daripada sekian banyak mereka yang berilmu dan punyai keluasan ilmu tetapi yang dikenali ialah ilmunya empat mazhab ini. Walaupun ramai dari kalangan mereka yang terdahulu yang para sahabat dan tabiin yang punya mempunyai keluasan ilmu, akan tetapi daripada  sekian ramai ulama itu, yang dijaga ilmunya dan disebarkan ilmunya oleh pengikutnya ialah 4 mazhab ini.

Apa yang kita dengar sebentar tadi daripada pembentangan Syeikh Engku Fadhli merupakan ialah intipati yang bersih dan murni daripada akidah ASWJ yang dibawa oleh pendahulu kita.

Apapun istilah yang digunakan - baik itu dinamakan pengikut Syafi’e atau pengikut al-ash’ari atau pengikut nisbah kepada nama sufi, maka yang menjadi neraca dan timbangan ialah apa yang telah ada padanya ialah ada yang datang bersumberkan daripada Rasulullah - itulah timbangannya.

Sesungguhnya Allah telah mengutuskan Nabi kita untuk membawa agama yang sempurna, dan rukun agama yang dibawa beliau ialah Islam ialah Islam, Iman dan Ehsan. Banyak disentuh  dalam hal ehwal Islam ini ialah perkara berkaitan amalan. Dan yang terkait dengan keimanan adalah apa yang menjadi keyakinan di dalam hati terhadap perkara-perkara yang wajib diyakini.

Akan tetapi yang dinamakan ehsan adalah satu keadaan, perasaan, hati dan juga jiwa daripada sifat-sifat yang ada kepada hati dan jiwa itu. Nabi memberikan istilah yang begitu agung untuk denfinisi ehsan, iaitu, “Hendaklah kamu menyembah Allah seakan-akan melihat Allah سبحانه و تعالى.”

Cuba hadirkan makna di dalam hati bahawa kamu seakan-akan melihat Allah سبحانه و تعالى 
Cari tahu lebih dalam lagi apa maksud melihat Allah? Hadirkan erti yang dimaksudkan seakan-akan kamu melihat Allah سبحانه و تعالى. Rasakan di dalam hati makna seakan-akan kamu melihat kepada Allah. Sehingga kalau dicuba bersungguh-sungguh akan diberikan oleh Allah rasa seakan-akan kamu melihat Allah. Allah telah menyempurnakan agama ini dengan diutuskan Rasulullah dari segala aspeknya.

Dan Allah telah menjanjikan kepada Nabi-Nya bahawa agama ini akan diperbaharui oleh penerus Nabi Muhammad pada setiap kurun. Kerana bahagian daripada ketetapan yang terjadi pada umat ini ialah bilamana diutuskan kepada mereka Nabi atau ajaran lalu adanya masa yang jauh akan berlaku kelemahan dalam memahami ajaran itu.

Pada umat-umat terdahulu, bila berlaku kelemahan dalam agama, maka Allah akan menghantar Nabi yang baharu. Akan tetapi bagi umat ini, tiada lagi Nabi baru kerana penutup para Nabi ialah Nabi Muhammad . Maka Allah telah menjanjikan bagi agama ini pembaharu daripada pewaris Nabi Muhammad . 

Bahkan telah bersabda Nabi dalam hadis yang sahih, mafhumnya, “Bahawa pada setiap generasi umatnya, akan berlaku pemalsuan daripada orang-orang yang jahil atau usaha untuk menambah-nambah dalam agama oleh orang yang batil dan penafsiran yang salah oleh orang yang jahil.”

Jadi tidak akan pernah sunyi pada setiap generasi, yakni akan ada orang-orang yang akan menghilangkan hal-hal yang meragu-ragukan dalam agama yakni untuk membersihkan agama itu. Beliau bersabda akan membawa kepada agama ini pada setiap generasi orang-orang yang adil dan  terpilih yang menepis pemalsuan orang-orang yang melampau, dan juga daripada perbuatan orang-orang batil yang ingin memalsukan agama, dan menolak tafsir dan takwil orang-orang yang jahil.

Dan perkara kelemahan pertama yang berlaku pada umat ini ialah daripada aspek ehsan. Dalam hal ehwal islam (hukum-hakam) dan hal iman dan akidah, semuanya kekal kuat. Akan tetapi daripada hal ehsan yang isinya ialah penyaksian kepada Yang Maha Pengasih, dan upaya untuk menghiasi hati dan jiwa dengan hal-hal yang baik untuk dapat disaksikan oleh-Nya, mulai melemah pada zaman tabiin berbanding pada zaman sebelumnya iaitu zaman sahabat.

Maka, muncullah pada zaman tabiin itu, orang-orang yang hebat seperti Al Imam Hassan Al Basri, dan juga Ali Zainal Abidin bin Hussin, dan juga Said ibnu Hussin dan juga Said ibni Jubair. Maka terjadi pembaharuan agama dengan nama-nama yang disebutkan tadi dalam aspek ehsan.

Dengan dasar pembaharuan daripada mereka ini, diperbaharui generasi demi generasi golongan mereka para ulama yang mengikut cara daripada generasi sebelumnya untuk memperbaharui konsep ehsan ini, seperti Al Haris Al Muhashibi, Abdullah ibnu Mubarak, Sayyidina Suffiyan ibnu Uyainah, sampai kepada Junaid ibni Muhammad. Semuanya adalah usaha untuk memperkuat dan menampilkan konsep ehsan yang diwarisi daripada sebelumnya.

Kemudian, setelah kurun pertama, berlaku kelemahan dalam aspek al islam (hukum hakam) iaitu dalam cara pengambilan dalil atau ijtihad melalui dalil-dalil yang ada. Maka disebabkan kelemahan dalam aspek hukum hakam ini, maka muncul imam-imam yang bernama Al Imam Abu Hanifah, Al Imam Syafie, Al Imam Malik dan Al Imam Ahmad bin Hambal, sebagai pembaharuan pada agama ini. Maka generasi setelah mereka, menjaga warisan yang telah dicetuskan oleh imam yang empat ini untuk membina hukum-hakam mengikut cara yang telah digariskan oleh empat imam ini.

Kemudian, setelah Islam mulai meluas ke serata tempat, mula berlaku kelemahan dalam aspek keimanan. Lalu, kemudian Allah سبحانه و تعالى telah menyiapkan untuk membela dan menjaga keaslian daripada iman iaitu melalui orang-orang seperti Imam As-Syaari dan Imam Al-Maturidi untuk menjaga aspek keimanan dan akidah yang menjadi pegangan generasi sebelum mereka termasuk imam yang empat ini.

Imam Abu Hasan Al-Ash’ari ialah merupakan zuriat kepada Al Imam Abu Musa Al-Ash’ari.
Bilamana 4 imam itu adanya sebelum Imam Abu Hasan Al-Ash’ari, dan adanya imam-imam yang datang selepas Imam l-Ash’ari. Mereka yang datang kemudian daripada Imam l-Ash’ari, mereka tidak pun berselisih dengan Imam Abu Musa al-Ash’ari. Akan tetapi, keadaan itulah yang mencipta satu istilah tetapi tiada perbezaan daripada segi kandungan.

Demikian dijadikan ukuran keterikatan antara generasi sebelum dan setelah termasuk para Nabi, bilamana dijaga akan terselamat dari berlakunya kekeliruan antara mereka. Demikian juga kepada pengikut kepada imam-imam yang benar. 

Mereka pengikut yang mengikuti para imam yang benar, kerana keterikatan para imam yang benar, pada hakikatnya silsilah mereka tersambung kepada imam seluruh para imam iaitu Sayyidina Rasulullah . 

Adakah boleh dijadikan sebagai ukuran kepada pengikut Nabi Isa عليه السلام yang mendustakan Nabi Musa عليه السلام? Adakah pengikut Nabi Isa termasuk golongan yang terputus ikutannya dengan Nabi Musa عليه السلام? Pada hakikatnya pengikut Nabi Musa itu adalah hakikatnya pengikut kepada Nabi Isa عليه السلام.

Adakah boleh dikatakan pengikut para as-sahabah terputus daripada pengikutnya para Nabi Adakah boleh dikatakan pengikut para tabiin yang terputus daripada mengikut para sahabah sebagai pengikut Nabi ? Tidak mungkin dikatakan para tabiin mengikut kepada Nabi Muhammad kecuali jika mereka mengikut kepada sahabat Nabi Muhammad ?

Adakah boleh dikatakan pengikut Al Imam Abu Hanifah jika terputus mata rantainya daripada mengikut Nabi Muhammad ? Adakah boleh dikatakan mereka mengikut kepada Nabi Muhammad dengan menafikan mereka yang mengikut kepada Imam Abu Hanifah dan selainnya? Bahkan dalam ketentuan untuk mengikuti kepada orang yang diikuti itu ada nas di dalam hadis. Nabi bersabda, “Hendaklah kamu mengikut sunnahku dan juga sunnah-sunnah para khulafah yang menggantiku setelahku.”

Jadi, kita ini nak ikut sunnah Nabi atau sunnah penerus/pengganti Nabi ?
Kita ini pengikut Nabi atau pengikut Khulafa Ar-Rasyidin? Bagaimana generasi yang setelah itu ingin mengikuti generasi yang jauh jika tidak melalui orang-orang generasi di tengah itu?

Bahkan dalam hal ini juga kita membaca hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, diriwayahkan dalam muqaddimah Shahih Muslim, Nabi bersabda, “Akan muncul di akhir zaman, golongan pendusta dan penipu, akan mendatangkan kepada kamu hadis-hadis atau pembicaraan-pembicaraan yang kamu tak pernah dengar dan generasi sebelum kamu pun tak pernah dengar. 

Hati-hati kamu daripada bahaya mereka kepada kamu. Jangan sampai mereka berjaya untuk mengenakan dan menyesatkan kamu. Maka disifatkan oleh Nabi mereka itu sebagai pendusta dan penipu.

Akan tetapi apakah tanda-tanda untuk mensifatkan mereka itu sebagai penipu? Iaitu mereka mendatangkan kata-kata yang kamu tak pernah dengar dan generasi sebelumnya pun tak pernah dengar dan tak pernah cakap.

Yakni maksudnya kebenaran yang akan sampai kepada generasi akhir zaman MESTI melalui sanad dan keturunan yang sebelumnya, yang membawa ajaran itu. Kalau yang didengar adalah kata-kata yang terputus generasi demi generasi sebelumnya, maka adalah termasuk orang-orang yang disifatkan oleh Nabi sebagai pendusta.

Bilamana kamu melihat orang-orang yang mencari apa-apa yang mutasyabihat atau ayat-ayat mutasyabihat, mereka adalah termasuk orang-orang yang disifatkan Allah dalam Al-Quran. Dan tidak dinafikan bahawasanya dalam agama ini ada perkara-perkara yang wajib kita ketahui, iaitu perkara-perkara yang telah disebut dengan jelas di dalam nas, yang tidak perlu kepada penafsiran dan juga takwil.

Itulah yang disebut sebagai istilah qadiyatul subut* iaitu ketetapannya itu sangat jelas. Dan ini merupakan pegangan yang telah dipegang umat ini sepanjang zaman bermula daripada Rasulullah dan diikuti oleh pengikut Rasulullah pada zaman sekarang.

Akan tetapi ada juga perkara yang disebutkan di dalam Al-Quran dan sunnah yang mempunyai lebih daripada satu kemungkinannya. Maka nas-nas seperti ini memerlukan kepada orang-orang berilmu yang pandai untuk dapat mengambil pemahaman dan istimbad melalui nas-nas tadi yang mempunyai lebih daripada satu kemungkinan.

Maka barangsiapa yang memenuhi syarat untuk berijtihad melalui nas-nas itu, maka dia ialah orang yang layak untuk memahami nas-nas tersebut. Dan ini pastinya terhad kepada golongan tertentu daripada umat ini.

Bahkan pada generasi para sahabat yang mereka hidup di zaman sunnah itu ada di hadapan mereka, pada zaman itu juga tidak dikenali para sahabat yang terkenal dalam bidang yang mengambil dasar-dasar dan cara pengambilan dalil melalui hukum kecuali beberapa orang sahaja daripada mereka.

Daripada jumlah sahabat yang begitu besar sampai 160 ribu, yang dikenali sebagai pakar mengambil dalil daripada nas-nas yang ada, jumlahnya kurang daripada 20 orang. Agaknya sahabat lain itu mengambil pandangan mazhab siapa? Mereka mengikut mazhab mufti yang hidup pada zaman mereka itu. Kalau tidak apa lagi hukum yang akan dinisbahkan kepada mereka? Demikian juga pada ummat yang tidak layak mengambil dalil daripada nas-nas yang ada, maka hendaklah dia mengambil daripada orang yang pakar, yang boleh mengambil dalil daripada nas tersebut.

Lalu bagaimana untuk diterima oleh akal atau di dalam syarak - persoalan kamu ini ikut imam yang empat atau ikut Al-Quran dan sunnah? Ini seakan-akan dia mengatakan imam-imam yang ada ini tidak ikut kepada Al-Quran dan sunnah. Alangkah besarnya dusta orang itu! Tiada yang berani bercakap begitu kecuali orang itu telah mendedahkan dirinya untuk mendapatkan murkanya Allah.

Atau mungkin dia itu mendakwa dirinya mujtahid seperti imam-imam yang ada itu. Kalaupun dia layak untuk menjadi mujtahid yang boleh diikuti, kenapa larang orang lain yang ingin ikut empat imam, dan suruh ikut dirinya sendiri?

Bilamana datang seseorang mengajar hukum-hakam, dan ditanya mazhab pegangannya, dan dia jawab kita ikut kitab Al-Quran dan sunnnah. Dengan begitu dia sebenarnya berkata, “Tinggalkan empat imam ini, tak perlu mengambil hukum-hakam daripada mereka dan ambillah daripada saya..saya.. saya.”

Kalau semua berhak mengambil langsung daripada kitab Al-Quran dan sunnah, maka kalau ada 30 orang dalam satu kelas, maka kesemua 30 orang pun layak untuk ambil terus daripada kitab Al-Quran dan sunnah.

Ini adalah merupakan permainan dalam pengajaran yang tidak boleh diterima. Bilamana kamu mengatakan hukum ini begini kerana diambil daripada kitab Al-Quran dan sunnah, maka yang diajar itu ialah pemahaman dirinya, yakni menyuruh orang mengikut kepada pemahamannya. Jika ditanya, dia akan berkata, “Saya guru dan kamu pelajar.” Adakah murid itu akan selalu mengikut pendapat gurunya? Dengan kata lain, dia sendiri mengajak anak muridnya mengikut kepada mazhab. Hanya perbezaannya, dia suruh anak muridnya tolak mazham imam-imam besar dan ikut kepada mazhad dirinya. Kalaupun dia pada akhirnya menafikan dan mengatakan boleh jika masing-masing ingin mengambil terus daripada Al-Quran dan sunnah, tapi pada hakikatnya dia telah menjadi sebab terjadi beribu-ribu mazhab sendiri kerana dia membenarkan orang mengambil terus daripada Al-Quran dan sunnah.

Bermula daripada sini akan berlaku kegoncangan dalam ilmu, akan terjadi keraguan kepada orang yang berilmu, akan putus sanad dan akan berterusan sifat-sifat tidak baik seperti menghina orang lain, melampaui batas terhadap orang lain, melampau batas untuk berani memberi fatwa dan akan berlaku setelah itu saling membenci, debat yang tidak mendatangkan faedah, hasad, dan akhirnya akan membawa kepada peperangan. 

Keluar daripada berpegang daripada 4 mazhab ini akan menjurus kepada rentetan yang akan terjadi setelah itu iaitu menimbulkan kepada ketiadaan kestabilan bahkan membawa kepada pembunuhan.

Realiti umat dan sejarah menjadi sebaik-baik saksi untuk membuktikan. Tidak mereka mengkafirkan kepada para sahabat melainkan ketika mereka telah keluar daripada mengikuti jalan mereka dan mengambil jalan sendiri yang akhirnya tergelincir kepada tohmahan itu. Dan mereka berani mengatakan tohmahan tadi dengan apa? Mereka mengatakan dengan Al-Quran!

Tetapi adakah sampai kepada kamu Al-Quran kepada kamu tanpa melalui sahabat? Adakah kamu jumpa Nabi ? TIDAK. Adakah kamu dengar daripada Nabi ? TIDAK.
Al-Quran yang kamu baca ini adalah daripada mereka (para sahabat). Mereka yang menjadi sebab Al-Quran sampai kepada kamu, patutkah kamu benci dan perangi mereka?
Kamu dalam masalah Al-Quran terhutang budi kepada mereka, baik dalam keadaan beriman kepada Al-Quran atau dalam memahami makna dan kandungannya.

Demikian berlaku fitnah-fitnah seperti itu sebabnya adalah kerana putusnya sanad, putusnya ikut kepada generasi sebelumnya dan hilangnya perasaan takzim kepada generasi sebelum mereka. Demikian hal ini berterusan sampai zaman kita hari ini. 

Demikian kita melihat kepada mereka yang berpegang kepada imam-imam yang besar, dan mereka ditohmah dan dihalalkan darah mereka dengan menggunakan dalil agama untuk membunuh mereka. 

Demikian kita melihat dalam sejarah, para sahabat mengalami permasahan besar dan penderitaan besar menghadapi mereka golongan Khawarij seperti yang diceritakan dalam as-sunnah. Sehingga sebahagian daripada sahabat mengelakkan diri daripada perkara berkaitan nas-nas untuk mengelak diri daripada perbuatan kejam orang-orang Khawarij, kerana mereka itu meyakini apa yang menjadi pegangan mereka yang bercanggah dengan sahabat sebagai keluar dari agama. Maka sebahagian Khawarij berjumpa sahabat dan berkata, “Kamu ini bukan golongan kami dan tidak berpegang dengan apa yang kami pegang, kamu termasuk orang-orang syirik.”

Akan tetapi sahabat ini pandai dan dia menggunakan ayat Al-Quran untuk sebagai helah. Ayatnya bermaksud, “Bilamana datang kepada kamu golongan musyrik meminta perlindungan, maka Allah perintahkan kepada kamu melindungi walaupun orang musyrik, sehingga orang musyrik itu mahu mendengar firman Allah. Setelah itu, hantarkan dia ke tempatnya yang aman.”

Khawarij itu mengaku yang ayat itu benar dan bersetuju melindungi sahabat sambil mendengarkan ayat Al-Quran kepadanya walaupun sahabat itu sebenarnya lebih memahami kandungan Al-Quran daripada si Khawarij tadi. Kata sahabat itu setelah itu, “Sekarang aku telah mendengar dan memahami ayat-ayat firman Allah daripada kamu, sekarang hantarkan aku ke tempat yang selamat”. Maka dia pun dihantar pulang ke tempatnya dengan selamat. 

Akan tetapi di situ ada sahabat lain yang tidak terselamat daripada bahaya golongan yang berfikiran seperti itu. Kembali daripada satu peperangan, dan mendengar azan dan dia pun gembira kerana dalam perjalanan itu dia lama tak mendengar suara azan. Maka sahabat itu datang kepada mereka, dan mengucapkan Salam, tetapi mereka tidak menjawab salamnya, dan berkata, “Tiada jawapan Salam untuk kamu.” Sahabat itu berkata, “Bukankah aku ni saudara kepada kamu orang-orang Islam?”. Dikatakan kepadanya, “Kamu ini saudara syaitan”. Sahabat itu dituduh saudara syaitan sedangkan dia merupakan salah seorang sahabat  terdahulu daripada kaum Muhajirin dan Ansar. Maka dikatakan kepada sahabat itu lagi, “Aku akan bunuh kamu.” Jawab sahabat, “Mahukah kamu berikan keizininan kepadaku untuk kamu redha dengan apa yang Rasulullah redha? Ketika dahulu aku datang dalam keadaan musyrik.” Ditanya sahabat itu dengan apa Nabi redha kepada kamu?” Jawabnya, “Dengan aku mengucap kalimah syahadah.” Tapi mereka lihat perbicaraan itu tidak sesuai dengan fikiran mereka, dan mereka tidak redha walaupun Rasulullah redha. 

// Doa - moga Allah jaga negara ini keamanan dan kestabilannya.


* Segala kekurangan daripada ‘admin’. Moga bermanfaat*

Popular Posts