Kuliah Maghrib dengan Abuya Sayyid Ahmad bin Muhammad Alawi Al Maliki

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
الحمد لله رب العلمين
 اللهم صل على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وسلم 

Abuya Sayyid Ahmad bin Muhamad Alawi Al Maliki
Terjemahan oleh Habib Najmuddin Othman Al Khered
Kuliah Maghrib Masjid Darul Ehsan, 23 Julai 2015

Rakaman Video: http://livestre.am/59ISc



Dimulakan oleh Habib Ahmad bin Muhamad Al Maliki dengan pujian kepada Allah, Selawat, dan kesyukuran kepada Allah سبحانه و تعالى.

Mudah-mudahan Allah سبحانه و تعالى mengumpulkan kita dalam kebaikan dan diberikan bentangan daripada ilmu dan kebaikan-kebaikan daripada Allah سبحانه و تعالى. Kita adalah hamba kepada Allah سبحانه و تعالى dan hamba itu sentiasa di bawah naungan Allah سبحانه و تعالى. Yang mana melihat kepada waktu - ada waktu untuk menunaikan kefardhuan, ada waktu menunaikan yang sunnah, dan ada waktu menunaikan kebaikan-kebaikan yang ianya membawa kepada kebaikan.

Adapun daripada amalan soleh itu biasanya manusia merasakan dialah yang melakukannya, tetapi dalam kitab Hikam disebutkan bahawa apabila seseorang melakukan kebaikan dan menisbahkan kebaikan itu daripada dirinya, seperti kita telah melakukan amal solat dalam bulan Ramadhan dengan berpuasa, qiyam dll, hakikat yang sebenarnya ialah ianya daripada Allah سبحانه و تعالى yang mengizinkan, memberikan kemampuan, kelapangan, dan kebaikan untuk dilakukan hamba itu. Sesungguhnya ibadah itu adalah tarbiyyah dan mengangkat darjat seseorang itu, menghiasi iman seseorang hamba kepada Allah سبحانه و تعالى.

Dalam hadis yang diriwayatkan sempena Hari Raya, ketika Nabi ﷺ selesai solat Hari Raya, baginda berpaling kepada para sahabat dan mengatakan, “Kamu telah mendapat ganjaran kebaikan dan kamu telahpun berpuasa pada hari yang telah ditetapkan”. Yakni kamu telah mendapat balasan sepertimana orang beramal mendapat upahnya.

Yang kita ingin bahaskan ialah apa yang nak dilakukan selepas Ramadhan? Adakah kita akan istiqomah? Adakah setelah kita melakukan banyak hak-hak ibadah di bulan Ramadhan – adakah setelah itu kita akan meneruskan, akan bertambah atau berkurang?

Oleh kerana itu, hendaklah dicari hakikat sebenar ibadah itu, sepertimana disebutkan bahawa Allah suka kepada orang yang mengetahui intipati daripada kebaikan yang dilakukannya. Oleh kerana itu, hendaklah seseorang apabila melakukan kebaikan, mencari intipati dan apakah rahsia daripada ibadah yang dilakukan.

Hati-hati daripada sifat malas, merasa penat, sukar setelah banyak kebaikan yang kita lalui. Banyak aduan yang kita dengar bahawa ramai orang banyak tidur dan malas dalam beribadah selepas bulan Ramadhan. Oleh kerana itu - Hendaklah seseorang itu bertambah daripada ibadahnya sehingga dia berubah (menjadi lebih baik), yakni keluar daripada satu kebaikan kepada kebaikan yang lain, daripada satu ketaatan kepada ketaatan yang lain, daripada satu ibadah kepada ibadah yang lain.Hati-hati jika berubah daripada ketaatan kepada maksiat. Oleh sebab itu kebanyakan orang soleh bila keluar dari Ramadan mereka menangis. Dikatakan mereka sangat merasakan kehilangan, yang mana suasana yang dibawa dalam Ramadhan itu adalah suasana yang mulia, di mana masjidnya dipenuhi dengan ibadah dan sebagainya. Jangan kamu padamkan cahaya itu wahai saudaraku.

Dalam bulan Ramadhan kita solat, melakukan ketaatan kepada Allah سبحانه و تعالى, biarlah ianya berkekalan, walaupun sekadar beberapa rakaat setiap malam, dan hendaklah witir setiap malam sebelum tidur, dan menghidupkan majlis-majlis yang membawa manfaat. Demikianlah bermulanya seseorang itu sedikit demi sedikit sehinggalah dia akan mantap dan tetap daripada perasaannya itu.

Memang kita akan rasa semangat dalam bulan Ramadhan, begitu juga dalam bulan Zulhijjah, akan tetapi tidak sepatutnya bagi orang-orang beriman itu untuk gugur atau jatuh semangat dalam bulan-bulan yang lain.

Mudah-mudahan kita ini dihubungkan dengan orang-orang sebelum ini, yang apabila ditanya kepada mereka, “Bagaimana kamu akan beramal jika kamu tahu kamu akan meninggal esok atau sebentar lagi?” Mereka menjawab, “Aku tak akan tambah apa-apa lagi.” Ini kerana dikatakan mereka telah betul-betul memakmurkan waktu dan menghidupkan dengan segala amalan yang mereka tak perlu pun untuk membentuk amal-amal yang lain, yakni sudah penuh pun amal-amal yang mereka lakukan.

Selagi mana seseorang hamba itu mengabdikan diri kepada Allah سبحانه و تعالى, dan mengikuti Rasulullah ﷺ, maka Allah سبحانه و تعالى  akan beri kepadanya kemuliaan, sebagaimana disebutkan bagi Allah dan Rasul-Nya kemuliaan, dan juga bagi orang-orang beriman. Siapa yang akan cuba membuka pakaian kemuliaan ini? Itulah syaitan, jin dan manusia. 

Maka manusia di dunia ini dalam keadaan berlawan – yakni ada yang bertahan ingin memakai pakaian kemuliaan, sedang ada golongan yang ingin menanggalkannya. Oleh sebab itulah, Allah سبحانه و تعالى memfardhukan ibadah dan ketaatan untuk kita melindungi pakaian kemuliaan ini. Syaitan akan cuba cabut perhiasaan kecantikan pakaian ini, yang zahir dan yang batin. Pakaian yang batin itu iman, dan yang zahir itu ialah auratnya.

Dalam surah ‘Araf, Allah berfirman maksudnya, “Wahai Bani Adam, Aku telah menurunkan kepada kamu pakaian yang menutup tubuh badan kamu.” Aurat yang buruk ditutup dengan pakaian yang bersih, oleh kerana itu maksiat yang merupakan keburukan hendaklah ditutup dengan keimanan. Allah سبحانه و تعالى menyebut 2 perkara yang menutup zahir dan batin – pakaian untuk aurat dan pakaian taqwa.

Allah ingin ketinggian untuk kamu, dan kamu tidak akan mendapatnya  kecuali kamu menjadikan ikutan kamu ialah Rasulullah ﷺ. Seperti disebut oleh golongan arifin bahawa manusia itu di atas dunia ini mencari secantik-cantik perkara – mencari secantik-cantik kereta, isteri, perhiasan, tempat untuk dikunjungi, bahkan kalau nak berubat pun cari doktor yang terbaik. 

Allah سبحانه و تعالى mengatakan, “Kami yang telah memilih kamu untuk menjadi Islam, atau adakah kamu yang memilih untuk menjadi Islam?” Ini adalah kemuliaan, ketinggian dan Allah memilih kepada kamu sebaik-baik Nabi dan Rasul dan menjadikan sebaik-baik kitab Al-Quran sebagai petunjuk kepada kamu dan memilih kiblat, sebaik-baik tempat di muka bumi ini.

Ini merupakan nikmat yang ditinggikan dengan nikmat yang lain, dan ditambahkan dengan kenikmatan yang lain. Maka jangan kamu cari kemuliaan selain daripada ini, jangan cari ketinggian di luar daripada daerah ini. Maka Allah menjadikan pada bulan ini untuk kita memahami kemuliaan itu, yang mana dalam Quran disebut bahawa puasa itu pernah difardhukan kepada umat sebelum ini yang hakikatnya adalah untuk mendapatkan taqwa. 

Para fuqaha mengatakan, “Tidaklah aku bertemu guruku kecuali mereka berpesan 3 perkara; iaitu untuk bertaqwa kepada Allah, membaca Al-Quran, dan mencari ilmu.”

Kembali kepada perbahasan untuk mencari kemuliaan dan ketinggian yang kita ingin cari dan dapatkan dari Allah SWT, di bulan ini dengan berpuasa. Baginda Rasulullah ﷺ menyebutkan bahawa - “Dengan berpuasa itu memberi kesembuhan.” Dalam hadis disebutkan yang puasa akan memberi syafaat pada hari kiamat nanti. Begitu juga pada bulan Ramadhan diberi kemuliaan dengan  diturunkan Al-Quran dan Nabi ﷺ bertadarus Al-Quran dalam bulan Ramadhan. Dalam hadis yang sama tentang syafaat, disebutkan juga bahawa Al-Quran juga akan datang memberikan syafaat pada hari kiamat. Begitu juga puasa dan qiyam - ianya mengggugurkan dosa-dosa sepertimana sabda Rasulullah ﷺ, “Barangsiapa berpuasa dan menghidupkan malamnya dengan keimanan dan mengharapkan pengampunan Allah, maka akan diampunkan dosanya.

Apakah halangan sehingga kita tak mampu berzikir, atau berwirid atau qiyam setelah bulan Ramadhan? Mengapa sedikit saja yang mampu? Sedangkan orang yang bangun malam ini akan dibanggakan oleh malaikat, walaupun mereka melakukan amal yang sedikit, mereka akan dipakaikan mahkota kemuliaan dan kebaikan. Dan Allah سبحانه و تعالى  akan mengatakan itu adalah hamba-Ku, dan dia bukanlah hamba bulan tertentu.

Dan kita telah hidup dengan kehidupan yang mulia pada bulan itu, tapi kalau kita kaji sepertimana dalam bulan Ramadhan, dalam bulan lain juga ada Al-Quran, ada waktu solat, ada waktu untuk buat kebaikan seperti ziarah dsb. Walaupun benar ganjaran yang diberi adalah lebih di bulan Ramadhan, mudah-mudahan Allah سبحانه و تعالى memberikan kita semangat untuk beramal dalam bulan-bulan lain juga, yang ianya secara zahir akan memberi ketinggian khusus untuk akhirat, yang ianya akan berkekalan dan tidak akan habis sekalipun.

Allah mengatakan, “Allah menjadikan akhirat itu bagi mereka yang tidak menginginkan ketinggian (kedudukan di dunia yang akan hancur dan habis).” Tetapi orang-orang yang mencari akhirat, maka mereka tidak akan memandang kepada ketinggian atau kehebatan dunia. 

Dan di negara ini khususnya, kami sentiada dapati penerimaan dan semangat dari orang-orang yang ingin mendapatkan ilmu, dan ini adalah perkara yang  amat menggembirakan. Kami akan sampaikan penerimaan yang kami dapatkan daripada orang-orang di sini. Ini tidak syak lagi menunjukkan Allah سبحانه و تعالى telah menyuburkan kebaikan-kebaikan yang ada di negara ini – yang dilihat dengan penerimaan dan pegangan orang tua, muda, lelaki dan wanitanya.

Ini adalah daripada semangat, dan tolong-menolong antara satu sama lain - mungkin yang kuat itu mengajak kepada yang lemah untuk bersama, untuk sama-sama hidup dalam keadaan iman, ilmu dan kebaikan. Maka ucapkanlah الحمد لله رب العلمين atas kebaikan ini. Ada seorang pelajar dari London yang datang belajar di tempat kami di Mekah, dan dia menangis kerana bersyukur mendapat nikmat solat berjemaah yang dia tidak dapat di tempat-tempat lain.

Hendaklah kamu berpegang teguh dengan pendirian ini walaupun nanti kamu mungkin akan sendirian, walaupun tidak ada yang bersama kamu, seperti Nabi ﷺ Ibrahim yang seorang tapi dikatakan sebagai satu ummah. Kalau kamu benar-benar siddiq (jujur) dengan pegangan kamu, maka Allah akan datangkan pengikut untuk kamu.

Kebanyakan orang sangat ingin untuk dinisbahkan sebagai ahli akhirat dan benci jika dinisbahkan sebagai ahli dunia atau ahli maksiat, walaupun hakikatnya dia bukan ahli akhirat. Inilah fitrah manusia – apa tandanya ini? Ini tandanya nur kalimah tauhid itu dekat. Dikatakan maksiat itu kecil, tetapi sesungguhnya kalimah tauhid yang ada pada diri kamu itu adalah cahaya dan sentiasa inginkan akhirat dan ilmu. Jadi walaupun seseorang itu buat maksiat, cahaya imannya menjadikan dia akan tidak suka untuk dinisbahkan kepada ahli dunia dan suka pada kebaikan, tetapi maksiat telah menariknya. Oleh sebab itu, hendaklah kita datang kepada Allah dengan makna yang sebenar, bentuk yang sebenar, penghadapan yang sebenarnya.

Kita belajar makna ‘muqarrabah’ dari bulan Ramadhan, dan menjadi hamba kepada Allah. Air ini halal, makanan juga halal dan semua perkara yang dizinkan Allah سبحانه و تعالى, akan tetapi pada waktu-waktu tertentu ianya diharamkan, dan kembali halal bila sampai waktu-waktu tertentu yang lain. Yakni Allah ingin mengajarkan kita supaya nafsu itu berada dalam genggaman tangan kita. 

Inilah saksi daripada ibadah, yang mengeluarkan daripada rahsia ibadah kepada Allah سبحانه و تعالى. Dan ketaqwaan itulah yang Allah ingin kita raih setelah keluar daripada bulan madrasah ini. Oleh kerana itu, manusia hendaklah berfikir kenapa Allah سبحانه و تعالى melarang untuk kita menahan makan dan minum pada waktu tertentu, dan kemudian dibolehkan pula pada waktu yang lain. Ianya adalah untuk kita keluar daripada madrasah ini dengan menggenggam nafsu dalam tangan kita. Iaitu taat pada Allah, dan berhenti melakukan kebiasaan maksiat, dan bertaubat jika kembali melakukan maksiat, dan menjadi hamba yang sentiasa tunduk dan bertaubat kepada Allah سبحانه و تعالى.

Sesungguhnya yang halal itu ada, dan yang haram pun ada, tetapi yang halal itu lebih banyak bentuk dan warnanya. Oleh sebab itu, diajarkan kita untuk mengambil daripada yang halal yang banyak itu dan meninggalkan yang haram.

Allah berfirman dalam Al-Quran agar kamu menjadi hamba yang bertaqwa kepada Allah سبحانه و تعالى. iaitu hamba yang benar-benar mengabdikan diri kepada Allah سبحانه و تعالى, iaitu hamba yang beramal dengan Al-Quran, takut kepada Allah dan melakukan persiapan untuk selepas kematian.

Dan hendaklah kita mengambil bahagian untuk sentiasa berzikir kepada Allah سبحانه و تعالى, sepertimana yang disebut dalam Al-Quran yang menganjurkan untuk sentiasa berzikir. Imam Ibnu Hajar berkata, “Hendaklan seluruh anggota kita berzikir pada Allah.” Rasulullah ﷺ memberikan perumpamaan bahawa orang yang berzikir pada Allah itu hidup, sementara orang yang tidak  berzikir itu mati. Yakni kebaikan akan dapat kepada orang yang hidup (orang yang berzikir), dan orang yang mati (tidak berzikir) tak dapat manfaat atau kebaikan.

Jangan kamu sangka zikir itu sekadar kamu pegang tasbih dan berzikir kepada Allah sahaja. Imam Ibn Hajar Al-Asqolani berkata, “Seluruh anggota tubuh manusia, zahir dan batin, mesti ada bahagian dalam berzikir kepada Allah” agar ianya membawa kepada pendekatan diri kepada Allah سبحانه و تعالى  

Melihat kepada kaabah, orang alim, masjid dan kebaikan itu adalah zikir mata, begitu juga menangis kerana Allah itu juga zikir mata. Memberi sedekah atau bantuan itu ibadah (zikir) tangan. Berjalan untuk tawaf, melakukan kebaikan, dsb itu adalah zikir kaki. Takut kepada Allah, kusyuk, hadir hati, inginkan kebaikan, bimbang dan takut kepada Allah - ini adalah zikir hati. Mendengar ilmu, Al-Quran, azan, panggilan kebaikan - itu adalah zikir telinga. Disebutkan dalam hadis - “Sesungguhnya dunia ini terlaknat apa yang ada di dalamnya kecuali salah satu daripada iaitu zikrullah.” Zikrulahh tidak terbatas kepada zikir sahaja tetapi apa saja yg membawa kepada ingat kepada Allah سبحانه و تعالى - itu adalah zikrullah.

Oleh kerana itu, dinisbahkan para Nabi itu dengan ‘lillah’ (kerana Allah سبحانه و تعالى ) kerana mereka sentiasa bergerak dan melakukan kebaikan-kebaikan kepada Allah SWT dengan tangan kaki, hati,hati mereka untuk menuju kepada Allah سبحانه و تعالى.

Allah SWT itu Maha Pemurah sehingga niat kita pun dijadikan nilai ibadah. Kalau seseorang ada menginginkan kebaikan pun dicatatkan sebagai ibadah. Dalam hadis disebutkan kerana niat ingin syahid, seseorang itu dicatit sebagai syahid walaupun dia mati di atas katilnya. Niat seorang mukmin itu lebih baik dari amalnya, yakni orang yang berniat itu lebih baik daripada orang  yang beramal tanpa niat. Maka, inilah kelebihan yang Allah berikan.

Sebagai penutup, marilah kita hidup dengan nasihat saling menasihati. Orang yang cepat/laju, hendaklah dia pegang kepada orang yang lemah. Orang yang berdiri bangunkan kepada orang yang tidur. Orang yang sihat, ajak yang sakit. Orang yang tua ajaklah kepada yang muda. Inilah sebenarnya yang patut ada setelah Ramadhan secara ringkasnya. 

Hadis sahih yang cukup mulia - Nabi ﷺ bersabda, “Sesungguhnya agama itu nasihat.” Agama itu adalah daripada iktikad/pemahaman kita, oleh itu dasarnya ialah saling menasihati. Kalau tidak demikian, tidak dibawa kesempurnaan ini, dan tidak diturunkan Al-Quran atau para nabi. Tapi Allah ingin untuk adanya agama. Maka Allah turunkan Al-Quran dan utuskan para Rasul, tidak lain untuk mengingatkan satu dengan yang lain. Setelah itu ditutup para Rasul dengan Rasulullah ﷺ dan Nabi kita telah berpindah kepada Allah SWT. Tapi ditinggalkan kepada kita Al-Quran, agama dan manjhaj yang benar, ibarat cahaya terang yang menerangi yang sempurna sepertimana firman Allah - “Hari ini telah kusempurnakan agama ini.” Dan Nabi ﷺ telah wafat tapi masih kekal kepada kita hari ini Al-Quran dan warisan para Nabi ﷺ iaitu mereka yang benar-benar menjadikan Rasulullah ﷺ ikutan mereka dan meneruskan dakwah baginda Rasulullah ﷺ.

Sebagaimana manusia mampu pergi ke bulan, bina kota di atas laut dsb, tapi masih perlu kepada cahaya Allah untuk ditunjukkan ke jalan kebenaran.Sesungguhnya masalah , musykilla yang berlaku boleh berubah menjadi kebaikan dengan kembali kepada Al-Quran. Tapi manusia lupa dan berhajat kepada orang yang boleh beri peringatan kepadanya.

Nasihat itu daripada segi bahasa di ambil daripada perkataan bermaksud membersihkan, yakni maksudnya orang yang memberi nasihat itu hendaklah benar-benar bersih hatinya dan ingin benar-benar mengajak kepada kebenaran. Sebagaimana orang yang hidangkan madu yang bersih dan benar, maka orang yang menasihati perlu juda bersih dan benar. 

Bila datang kepadamu ayahmu atau Syeikhmu dan mengataka, “Jangan banyak bermain komputer atau gajet. Apa maksudnya?” Maksudnya adalah untuk menjaga kamu daripada perkara yang tak bermanfaat, daripada maksiat mata dsb. Bila datang gurumu mengatakan banyakkan berselawat pada malam ini. Apa yang dia inginkan? Dia ingin wajahmu diterangi cahaya.Kalau seorang ibu datang berpesan agar anak perempuannya taat kepada suaminya itu tidak lain hanyalah menginginkan anaknya bahagia. Jadi, jiika guru pukul anak muridnya – apa yang diinginkan? Tidak lain selain daripada kejayaan anak muridnya!

Oleh kerana itu dalam Al-Quran, Allah SWT melaknat kaum Yahudi melalui lisan Nabi Daud dan Nabi Isa kerana mereka memutuskan nasihat daripada Nabi mereka. Disebutkan dalam hadis akan datang maksiat bahkan di jalan-jalan pun ada maksiat. Kenapa jadi begitu? Kerana orang sudah kurang menasihati satu dengan yang lain. Orang yang beri nasihat hendaklah lemah-lembut, dan berbaik ketika menyampaikannya. Orang yang terima nasihat hendaklah mendengar dan menghilangkan sikap takabbur.

Kesimpulan:
Kita setelah Ramadhan ini, inshaAllah akan saling nasihat-menasihati, taat kepada Allah, menjadikan Rasulullah ﷺ panduan dalam kehidupan kita, saling mengasihi, menyuburkan hubungan sesama kita, dengan ilmu, dengan saling bergaul dan duduk dengan solehin dan ahli hikmah. Kenapa berlakunya keganasan, orang yang benci kepada sahabat dan keluarga Nabi ﷺ, kenapa berlakunya saling mengkafirkan dan mengebom di antara satu sama lain, berlaku fitnah antara kaum muslimin? Punca segala ini adalah kejahilan dan kebencian kepada Allah سبحانه و تعالى. 

Akan tetapi orang yang dekat kepada Allah سبحانه و تعالى pastilah akan subur padanya kebaikan, kasih-sayang dan memberi kebaikan kepada semua umat. Dan ilmu itu adalah membentuk kepada jalan yang akan mewariskan seseorang menuju kepada kebaikan-kebaikan untuk sampai kepada Allah سبحانه و تعالى. Dengan ibadah itu akan mendatangkan seseorang dengan kasih-sayang dan mengajar seseorang mana yang wajib, mana yang tidak perlu,  akan berakhirlah perbuatan saling mengkafirkan, dan fitnah, dan akan subur kasih-sayang dan kebaikan dari umat.

Setiap tahun saya sampai ke sini dan saya lihat pegangan yang kuat kepada ASWJ, yang berpegang kepada manhaj Rasulullah ﷺ, akidah wasatiyyah, begitu juga feqah mazahb Syafie yang membawa kepada jalan Allah. Oleh itu berhati-hati dengan perpecahan, fitnah, dan perkara yang syubhat. Hendaklah perkara ini dirawat dengan ilmu, berterus-terang, saling menasihati, dan juga dibersihkan sepertimana madu yang akan saling membawa kebaikan kepada satu sama lain.

//Doa penutup

*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallu'alam. 


**: mungkin salah ejaan

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab