Tentang Haji (2) - Tanyalah Ustaz 17.08.2013


بسم الله الرحمن الرحيم

Ustaz Mohd Salahudin Mohamed


Bacaan surat At-Taubah, ayat 3:


Ayat ini diturunkan ketika Abu Bakar r.a. memimpin para jemaah untuk menunaikan ibadah haji pada tahun 9H. Ini bertujuan menunjukkan kepada kaum musyrikin cara melakukan haji mengikut Islam. Para musyrikin dahulu melakukan tawaf tanpa berpakaian, lelaki di siang hari dan wanita di malam hari. Inilah cara Nabi SAW mengubah mereka secara berperingkat. Falsafah ini perlu kita ambil dalam membentuk perubahan kepada kebaikan dalam keadaan kehidupan yang penuh ujian hari ini.

Syeikh Ahmad Al-Fatani menggunakan masa ketika jemaah Tanah Melayu menunaikan haji untuk melatih dan menanam semangat untuk mempertahankan negara dan menghalau penjajah. Inilah kaedah yang diajar oleh para ulama kita.

Ketika berhimpun di Arafah, kita perlu ingatkan diri bagaimana keadaaan kita nanti di padang Masyar. Sebagaimana dijelaskan oleh Nabi SAW, padang Masyar hanyalah seluas bumi Syam yang hari ini merangkumi Syria, Jordan, dan Palestin. Itulah luasnya dan disitulah kita semua dikumpulkan selama 50 ribu tahun, seperti firman Allah dalam surah Al-Maarij, ayat 4:

Oleh itu, kita mengharapkan ibadat haji kita akan dapat membantu kita di akhirat nanti. Maka, penting untuk kita pergi dalam keadaan kita berilmu dan mengharapkan kebaikan daripada Allah SWT.

Ketika Abu Bakar pergi menunaikan haji, Allah menurunkan surah At-Taubah, ayat 1-33 lalu Nabi SAW menyuruh Ali r.a. untuk pergi menyampaikannya kepada Abu Bakar yang berada di Mekah. Ayat-ayat ini diturunkan untuk memberi penegasan kepada kebesaran ibadah haji. Abu Bakar pun bertanya kepada Ali, “Adakah kamu sebagai pemimpin atau yang yang dipimpin?” Ali menjawab sebagai yang dipimpin. Setelah itu, pada tahun 10H, barulah Nabi SAW pula mengerjakan haji.

Oleh itu, jemaah yang berpeluang pergi haji tahun ini, jaga niat pergi semata-mata kerana Allah. Jangan mudah terpengaruh dengan cerita menakutkan atau perbuatan tidak sepatutnya oleh rakan yang pernah pergi sebelum ini.

Disamping menunjukkan tatacara melakukan ibadah haji, Rasulullah SAW juga menjelaskan tentang beberapa perkara melalui khutbah baginda:

  • Pengharaman riba
  • Manusia tiada kelebihan apa-apa
  • Pengharaman membunuh
Orang dahulu dilatih oleh Syeikh Al-Fatani pulang dengan membawa ilmu, dan semangat untuk menentang penjajah. Perkara sama juga berlaku kepada jemaah Indonesia sehingga orang Belanda perlu pergi ke Mekah untuk membuat kajian untuk mengatasi perkara ini. Dapatan kajian itu membuatkan mereka mengambil 3 langkah iaitu untuk menyekat kebangkitan orang Melayu Nusantara:
  • Menjauhkan masyarakat daripada ulama
  • Mengurangkan program agama di masjid
  • Menghadkan bilangan orang yang pergi menunaikan haji.
Oleh itu, biarlah kita balik membawa kebaikan dan pengajaran daripada ibadah haji dan bukannya membawa perkara-perkara kurafat.

Jemaah perlu membuat perancangan untuk fokus ibadah pada hari Arafah, jangan pula terlebih tahajud pada malam sebelumnya sehingga letih keesokan harinya.

Ada banyak sejarah dan pengajaran yang boleh diambil daripada falsafah haji. Ulama membincangkan kenapa Nabi SAW menghantar Abu Bakar pada tahun 9H dan kemudian Baginda menunaikan haji pada 10H. Antara pengajarannya ialah supaya jangan berlebihan-lebihan dalam agama – jangan kita buat sesuatu yang tidak pernah diajar dalam agama. Kita jangan mudah terikut-ikut perbuatan orang yang tidak betul ilmunya. Jika ada orang kata jika tak buat sesuatu, kita tak dapat sesuatu kelebihan, jangan terpedaya kerana tujuan kita pergi haji adalah untuk mendapat keredhaan Allah dan bukannya mencari kelebihan-kelebihan tertentu. Jangan pula setelah kita penat dan letih menunaikan haji, tetapi ianya tidak dikira Allah kerana dicemari perkara tak sepatutnya. Oleh sebab itulah Nabi SAW menunjukkan cara yang betul dalam menunaikan ibadah haji. Tinggalkan kepercayaan kepada kelambu kaabah, kayu koka dan yang seumpamanya. Jika kita menjadi tetamu orang, kita tak berani nak usik-usik barang orang sewenang-wenangnya. Oleh itu, sebagai tetamu Allah, kita perlu lebih-lebih lagi menjaga adab.

Ketika berkumpul di Padang Arafah, kita perlu ingat satu kisah yang disebut dalam Al-Quran iaitu dalam surah Al-Fil. Dalam surah ini diceritakan tentang gajah yang cuba menyerang Kaabah. Fakta yang perlu dibetulkan di sini ialah, pasukan gajah ini belum lagi memasuki Mekah, sebaliknya mereka berada berdekatan Arafah, lebih kurang 15km daripada kota Mekah. Dalam kisah itu seperti yang disebut dalam kitab tafsir, ketua gajah yang diberi nama Mahmud tidak ingin meneruskan perjalanan untuk menyerang kota Mekah dan ingin untuk berpatah balik. Tetapi Abrahah memukulnya, tetapi gajah itu berkeras dan rela mati dengan siksaan yang dibawa burung Ababil.

Senarai soalan dan jawapan
S: Ada orang pergi haji dan bawa kain putih lalu dibasuh dengan air zam-zam dan meminta dikafankan dengan kain itu. Mohon ulasan ustaz?
J: Memang perkara ini popular dalam masyarakat kita. Ada yang berpendapat kain yang dicelup air zam-zam mampu memberi kemudahan dan ketenangan di alam barzakh. Namun, kita tidak boleh salah tafsir amalan yang diajar syarak. Tiada dalil menyuruh kita berbuat begitu. Oleh itu, pesan saya agar jangan ada lagi jemaah haji yang buat begini. Air zam-zam mempunyai khasiat untuk diminum seperti yang diniatkan, inilah yang dijelaskan dalam hadis Nabi SAW. Perkara yang membantu kita setelah meninggal ialah amalan kita. Jika balik dari haji tapi amalan kita masih tidak banyak, ianya takkan membantu kita. Mengikut hadis Nabi SAW, pahala solat akan berada di kepala, pahala puasa di kanan, pahala zakat di kiri dan pahala amalan kebajikan di hujung kaki. Inilah pahala yang akan membantu ketika Mungkar dan Nangkir datang menyoal kita setelah mati, dan bukannya kain kapan tadi. Oleh itu, jauhkan kepercayaan sebegini ketika menunaikan ibadat haji. Yakinlah dengan ilmu yang diajarkan Tabung Haji dan jangan mudah percaya dengan cerita rakan-rakan yang pernah buat perkara-perkara sebegini.


S: Adakah pahala orang mengerjakan haji terbatal sekiranya dia masih suka mengumpat dan menyakiti hati orang lain setelah menunaikan haji?

J: Inilah yang Nabi SAW pesan pada kita melalui hadis yang menerangkan tentang orang yang muflis di akhirat nanti. Dia datang dengan pahala solat, puasa, zakat dan banyak ibadat lain tetapi kerana dia banyak menyakiti orang lain, maka pahalanya diberi kepada orang yang disakitinya. Jika pahalanya habis, maka dosa orang lain pula yang terpaksa ditanggungnya. Oleh itu, Imam Ghazali menyuruh kita membanyakkan solat sunat taubat dan memohon keampunan dari Allah. Jika kita ada banyak buat salah pada orang tetapi tidak mampu mencari orang itu semula, maka banyakkan bersedekah bagi pihak orang yang telah dizalimi itu. Moga-moga perbuatan itu dapat menebus kesalahan yang pernah dilakukan.

S: Ada orang kata jalan kaki ke Mekah lebih afdhal, mohon ulasan ustaz?
J: Yang paling afdhal ialah keikhlasan kepada Allah. Oleh itu, jangan kita sibuk membanding-bandingkan amalan kita, sebaliknya jaga keikhlasan ibadat kita. Jangan kita beribadat dengan mengharapkan pujian manusia. Tak kira jalan kaki atau naik kapal terbang – masing-masing ada kelebihan tersendiri. Jalan kaki mungkin lebih payah, namun jika naik kapal terbang, ianya juga menguji tahap tawakkal kita kepada Allah.

S: Bagaimana keadaan haji orang yang masih berbuat maksiat setelah pulang ke tanah air?
J: Oleh itu, sebelum pergi kita perlu bertaubat nasuha dan setelah balik juga kita perlu meninggalkan maksiat. Kita perlu jaga halal/haram dalam segala hal – makan/minum, ibadat dan segalanya. Perkara ini akan beri kesan pada doa kita. Inilah yang Nabi SAW jelaskan dalam hadis yang menyebut tentang seorang musafir yang berdoa tapi dalam keadaan makan minumnya dan pakaiannya dari sumber yang haram. Oleh itu, Nabi SAW berpesan jika kita solat dengan pakaian berharga 10 Dirham, tapi 1 dirham daripadanya datang daripada sumber tidak halal, maka solat itu tidak akan diterima Allah. Oleh itu, kita perlu jaga sumber rezeki kita – jangan ada menipu majikan atau seumpamanya. Ianya akan beri kesan kepada ibadat yang kita lakukan.

S: Mohon ustaz terangkan dalil kelebihan solat berjemaah 40 waktu di Madinah?
J: Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang menyebut bahawa, “Barangsiapa solat 40 waktu dimasjidku tanpa putus-putus, dicatatkan baginya dijauhkan dari api neraka, selamat dari siksaan dan kemunafiqan”. Namun ulama hadis mengkaji dan mengatakan yang hadis ini sanadnya lemah dan dhaif. Matannya pula dikatakan mungkar dan perawinya tidak dikenali. Oleh itu, jika kita ingin amalkan, jangan jadikannya sebagai hujah yang kuat. Ianya boleh digunakan sebagai galakan, tetapi jika tidak dapat dilakukan, janganlah kita menjadikannya sebab untuk marah Tabung Haji atau bergaduh suami-isteri. Hadis yang sahih berkenaan topik ini ialah hadis yang menyebut orang yang dapat 40 hari solat berjemaah dengan takbir yang pertama akan diberi kelebihan diselamatkan daripada api neraka.
                                                                                 

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab