Tentang Haji (1) - Tanyalah Ustaz 16.08.2013


بسم الله الرحمن الرحيم
Ustaz Mohd Salahuddin Mohamed


Bacaan surah Al-Baqarah, ayat 144:

Matlamat utama mengerjakan haji ialah untuk mendapatkan keredhaan Allah. Alhamdulillah kepada mereka yang telah terpilih untuk mengerjakan haji pada tahun ini. Dalam slot ini, kita akan membincangkan perkara yang perlu diberi perhatian sebelum, ketika mengerjakan haji.

Ayat yang dibacakan menceritakan tentang pertukaran kiblat ke Mekkah setelah 17 bulan berhijrah ke Madinah. Nabi SAW dipersendakan orang kafir kerana walaupun baginda benar, tetapi baginda tetap berkiblatkan Baitulmaqdis. Setelah itu Allah menurunkan ayat untuk menukar kiblat ke Mekah. Inilah sejarah yang perlu diketahui bakal haji. Sebelum pergi haji, fahami juga sejarah haji dan yang berkaitan dengannya agar Jemaah tidak melakukan apa yang tidak sepatutnya.

Pertukaran kiblat ini menjadi ujian kepada kedua-dua golongan – umat Islam dan orang kafir. Kiblat milik Allah, jadi Allah berhak menentukan seperti yang dikehendaki-Nya. Orang yang teguh pendirinya Islamnya akan patuh dan orang yang goyah akan mudah berpaling daripada Islam. Ibadah haji juga datang dengan berbagai bentuk ujian, oleh itu, jemaah perlu mempersiapkan diri agar melaluinya dengan baik.

Persiapan penting sebelum pergi:
1 Musahabah diri dan bertaubat kepada Allah. Ikhlaskan juga niat kerana Allah. Kebiasaan dalam masyarakat kita hari ini suka berkirim salam dengan Nabi Muhammad SAW pada orang yang pergi haji/umrah. Perkara ini tiada disebutkan dalam mana-mana riwayat. Sebaliknya, ulama mengatakan sekiranya kita terlalu rindu dengan Nabi SAW, perbanyakkanlah selawat. Jangan kita bebankan rakan-rakan yang ingin menunaikan ibadah haji dengan permintaan kiriman salam kita kerana masa yang mereka ada untuk ke maqam Nabi SAW tidaklah lama kerana ramai lagi jemaah daripada seluruh dunia.

2 Mendapatkan ilmu tentang ibadah haji khususnya – Ikuti kuliah dan pengajian berkaitan. Tanpa ilmu, jemaah akan buat kesilapan dan terikut-ikut apa orang lain buat.

3 Lebihkan bersabar – jemaah akan diuji dan setiap jemaah mesti lebihkan bersabar, hindarkan berebut-rebut, tolak-menolak atau mengasari jemaah lain. Jangan terkejar-kejar dan yakinlah yang Allah telah sediakan tempat untuk kita. Jika pergi bersama pasangan, jaga antara satu sama  Di samping itu, jemaah juga perlu bersabar daripada melayan nafsu yang ingin membeli-belah berbanding beribadat di Masjidil haram, atau yang sibuk mengambil gambar Mekkah Tower ketika tawaf.

4 Fahami juga serba-sedikit sejarah berkaitan Mekah dan Madinah dan tempat-tempat penting dakwah Nabi SAW seperti Safa dan Marwah.

5 Jauhi perkara kurafat ketika mengerjakan haji. Antaranya ialah kayu koka. Kita sudah sampai di Mekah, mengapa minta pada kayu sedangkan boleh minta pada Allah. Begitu juga dengan kepercayaan kepada kelambu kaabah. Jangan tertipu wang ringgit dan lebih teruk lagi jika akidah kita juga terpesong kerana perkara sebegini. Kita perlu ingat yang kita pergi Mekah untuk mencari keredhaan Allah dan bukan perkara-perkara kurafat. Kita susah-payah kumpul duit, menunggu untuk menunaikan haji. Oleh itu, tuntut ilmu agar tidak melakukan kesilapan atau terlibat dengan kurafat. Sepatutnya kita membanyakkan solat, tawaf sunat dan ibadah lain. Kita telah diberi Al-Quran dan sunnah, maka itu adalah ikutan yang terbaik dan paling selamat.

Senarai soalan dan jawapan
S:  Kenapa Kaabah dinamakan Baitullah?
J:  Dalam surah Al-Baqarah, ayat 150, Allah menyuruh agar solat dan memandang kearah Kaabah. Allah menyandarkan nama-Nya pada Kaabah (Baitullah) untuk memberi kemuliaan kepada tempat itu dan menjadikan tempat itu kiblat solat kita.

S: Adakah mengusap Kaabah boleh memberi keberkatan?
J: Memang biasa dilihat orang mengusap-ngusap kelambu Kaabah, dan orang Malaysia suka meniru perbuatan ini. Sebenarnya tiada disebut apa-apa kelebihan mengenai perbuatan ini. Perkara yang penting banyakkan berdoa ketika melakukan tawaf. Jangan terikut-ikut perbuatan orang lain. Kaabah itu cuma batu penanda aras sebagai kiblat kita. Tempat mustajab doa seperti yang Nabi ajar kita ialah multazam.

S: Adakah wajib membaca doa yang diberikan ?
J: Tidak, buku doa itu sebagai panduan semata. Sekiranya tidak mampu menghafal, amalkan zikir-zikir seperti yang diajar Nabi SAW. Antara zikir utama terhebat yang Allah berikan kepada manusia ialah: ‘Subhanallah, Alhamdulillah, La ila haillallah, Allahu Akbar’. Disamping itu, boleh juga baca Al-Quran atau surah yang kita hafal dan boleh berdoa. Berdoa biarlah yang datang daripada hati. Jika pegang buku dan baca, ada kemungkinan bahu terpaling. Jangan kita upah orang baca doa kuat-kuat dan kita ikut dia beramai-ramai. Itu bukan cara yang betul. Rujuk pada ustaz yang ada, jangan malu bertanya.

S: Betulkah jika buat umrah 3 atau 7 kali menyamai 1 haji?
J: Kenyataan ini popular dalam kalangan orang Nusantara. Saya cuba mencari hadis ini tetapi tidak berjumpa sehingga hari ini. Saya cuma mendengar cerita orang Arab juga mencari-cari sumber kenyataan ini dan dikatakan ianya datang daripada pemandu teksi yang bertujuan menyuruh orang lebih kerap keluar ke Tana'im untuk niat ihram. Inilah kepentingan ilmu. Oleh itu, jemaah perlu juga menjaga kesihatan dan menyimpan tenaga untuk wuquf pada hari Arafah.

S: Apakah hukum mencium Hajarul Aswad?
H: Perbuatan itu sunnah sahaja. Menurut ulama, sekiranya sampai tahap tolak-menolak atau mengupah orang lain, ianya sudah jatuh haram. Prinsip utama melakukan haji ialah tidak bergaduh dengan orang lain. Ada orang rasa tidak lengkap hajinya jika tidak dapat cium Hajarul Aswad. Ini adalah pandangan yang tidak tepat.

والله أعلمُ بالـصـواب

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab