Tafsir ayat 93-96, surah Ali-Imran, MTDM 22.11.2013

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ 

Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid
Masjid Muaz bin Jabal, Setiawangsa, KL.


Ayat 93:

Ayat ini menyentuh sikap berdusta kepada Allah oleh segelintir manusia yang berani menggunakan nama Allah untuk mengharamkan sesuatu yang tidak diharamkan oleh Allah. Tiada dosa yang lebih besar daripada dosa mendustakan kepada Allah SWT. Mendustakan kepada Allah bermaksud membawa hokum selain daripada yang ditentukan atau diturunkan oleh Allah SWT. Oleh yang demikian, para ulama, bilamana ingin menyentuh tentang hukum-hukum tertentu dalam syarak, mereka amat berhati-hati. Mereka tidak semudah-mudahnya mengeluarkan fatwa tentang sesuatu isu yang berlaku. Ini kerana fatwa yang dikeluarkan oleh ulama akan menjadi sumber ikutan orang dan dikhuatirkan jika ulama mengeluarkan fatwa yang bercanggah dengan kebenaran dan hukum Allah SWT tanpa merujuk dengan berhati-hati, maka dia seakan-akan mendustakan kepada Allah dan membawa hukum selain daripada yang dikehendaki Allah SWT.

Sekumpulan Yahudi datang kepada Rasulullah SAW, dan menanyakan 4 soalan kepada baginda. Ayat yang dibahaskan ini mempunyai hubung-kait dengan soalan yang ditanyakan. Mereka bertanya untuk menguji kebenaran Nabi SAW. Sebelum itu pun sudah banyak soalan yang ditanya kepada Nabi SAW, dan baginda menjawab dengan benar, tetapi baginda tetapi didustakan oleh kaum Yahudi.

Empat soalan itu adalah seperti berikut:
  1. Makanan yang diharamkan oleh Nabi Yaakub?
  2. Tentang air mani, lelaki dan perempuan dan menghasilkan janin, bagaimana mengetahui jantina janin itu dan rupanya mirip kepada siapa?
  3. Bagaimana tidurnya seorang Nabi? Soalan ini hanya dapat dijawab oleh seorang Nabi.
  4. Siapakah yang menjadi penjaga, penolong dan peneman kepada Nabi?

Dalam ayat ini disebutkan:
“Segala jenis makanan dahulu adalah halal bagi bani Israel, kecuali makanan yang diharamkan oleh Israil (Nabi Yaakub)…”
Israil yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah Nabi Yaakub. Nabi Yaakub mengharamkan beberapa makanan untuk dirinya iaitu daging dan susu unta. Rasulullah SAW, ketika ditanya soalan pertama, sebelum menjawabnya mengambil sumpah daripada kaum Yahudi yang bertanya kepadanya, sepertimana Nabi Yaakub mengambil sumpah daripada anak-anaknya ketika menitipkan Benyamin iaitu adik kepada Nabi Yusuf ketika ingin dibawa ke Mesir. Dalam erti kata lain, sebagaimana Nabi Yaakub mengambil perjanjian daripada anak-anaknya untuk menjaga anak bongsunya, maka Nabi SAW juga mengambil perjanjian kepada si Yahudi yang bertanya soalan. Baginda SAW berkata, “Kamu ingin tahu makanan apa yang diharamkan Nabi Yaakub ke atas dirinya? Baiklah, aku akan jawab tapi dengan satu syarat iaitu sepertimana Nabi Yaakub yang mengambil janji dan sumpah daripada anak-anaknya untuk menjaga anak bongsunya, aku juga ingin mengambil janji dan sumpah daripada kamu, jika aku boleh menjawab soalan daripada kamu dan jawapan aku benar, maka kamu mesti beriman kepada aku.” Yahudi itu bersetuju. Maka soalannya dijawab seperti berikut:
  1. Nabi Yaakub terkena satu penyakit dan penyakit itu akan menjadi lebih teruk jika beliau memakan daging dan susu unta. Maka, Nabi Yaakub mengharamkan 2 benda ini untuk dirinya sendiri. Pengharaman itu adalah untuk menjaga kesihatan dirinya. Makanan itu bukan haram daripada Allah, tetapi Nabi Yaakub mengharamkan untuk dirinya. Nabi Yaakub mengharamkan atas 2 sebab iaitu kerana makanan itu memudaratkan dirinya yang ada penyakit, dan kedua kerana dia telah bernazar sekiranya sembuh daripada penyakit yang dialaminya, maka dia tidak akan makan daging dan susu unta lagi. Nabi Yaakub mengharamkan dengan maksud mencegah dirinya daripada memakan makanan tersebut, dan bukannya bermaksud melawan Allah dengan mengharamkan benda yang Allah halalkan. Ada beza di situ – Nabi Yaakub tidak mengharamkan apa yang Allah halalkan. Kita perlu faham bahawa perkataan ‘harrama’ dalam ayat ini bermaksud ‘mencegah dirinya daripada makan’ dan bukan mengharamkan apa yang Allah halalkan. Kata baginda Rasulullah kepada Yahudi yang bertanya, “Betul?”. Jawab mereka, “Ya, betul.” Nabi SAW pun bersabda, “Ya Allah, jadilah Engkau saksi.”
  2. Berkenaan air mani lelaki dan perempuan. Air mani lelaki berwarna putih dan kental, manakala perempuan berwarna agak kekuning-kuningan dan tidak seperti air mani lelaki. Bilamana air mani lelaki lebih tinggi dan menguasai kepada air mani perempuan, maka janin akan menjadi lelaki dan lebih mirip kepada ayahnya. Jika sebaliknya yang berlaku, maka jantina ialah perempuan dan rupanya lebih mirip kepada ibunya. Kata baginda Rasulullah kepada Yahudi yang bertanya, “Betul?”. Jawab mereka, “Ya, betul.” Nabi SAW pun bersabda, “Ya Allah, jadilah Engkau saksi.”
  3. Bertanya tentang tidurnya seorang Nabi. Baginda SAW menjawab, “Ya, Nabi tidur matanya tetapi hatinya tidak tidur.” Yahudi itu pun menjawab, “Ya, benar” kerana apa yang dijawab Nabi SAW ada dalam kitab Taurat mereka, dan kitab Taurat wujud sebelum wujudnya Al-Quran nul Karim. Nabi SAW pun bersabda, “Ya Allah, jadilah Engkau saksi.”
  4. Untuk soalan keempat tentang siapakah yang menjadi pembantu Nabi. Baginda SAW menjawab, “Jibril.” Tetapi, Yahudi itu berkata, “Jibril ialah musuh kepada kami”. Kenapa? Kerana jika mereka bersetuju, maka mereka akan terpaksa beriman dengan Nabi SAW kerana mereka telah berjanji sebelum itu. Maka, mereka mendustakan diri mereka sendiri dan Rasulullah dengan mengatakan jawapan baginda itu salah walaupun mereka tahu jawapan itu benar. Lalu Allah SWT menurunkan ayat 98 surah Al-Baqarah:

Walaupun keempat-empat soalan dijawab dengan betul oleh Nabi SAW, namun mereka (Yahudi) tetapi tidak beriman kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Soalan pertama adalah tentang daging dan susu unta:
“Segala jenis makanan dahulu adalah halal bagi bani Israel, kecuali makanan yang diharamkan oleh Israil (Nabi Yaakub) kepada dirinya sendiri sebelum diturunkan Kitab Taurat.…”

Kenapa Allah sebutkan ‘sebelum diturunkan Kitab Taurat’ dalam ayat ini?
Kaum Yahudi mendakwa makanan yang diharamkan Nabi Yaakub itu kekal dan haram untuk mereka juga sampai hari ini. Mereka menjadikan apa yang dikatakan Nabi Yaakub sebagai sumber hukum untuk mengharamkan daging dan susu unta. Maka Allah SWT mendustakan dakwaan mereka dengan meminta mereka menunjukkan ayat dalam Taurat yang mengharamkan daging an susu unta. Allah tidak minta mereka berdalil dengan Al-Quran kerana mereka memang tak percayakan kitab Al-Quran, tetapi diminta mereka berpegang dengan kitab mereka sendiri. Mereka tidak dapat membawakan ayat tersebut kerana memang tidak ada pun ayat yang mengharamkan 2 makanan tersebut.

Maka, dalam hal ini Allah SWT menyatakan bahawa pada dasarnya segala jenis adalah dihalalkan Allah bagi bani Israil kecuali makanan yang diharamkan oleh diri mereka sendiri.

Kita perlu sedar tentang beberapa perkara dalam syarak tentang makanan yang dahulunya dihalalkan, kemudian diharamkan dan makanan yang dahulunya diharamkan, kemudian dihalalkan. Orang ramai kadang-kadang menilai bahawa makanan yang diharamkan Allah mestilah makanan yang mendatangkan mudarat. Tetapi tidak selalunya begitu. Orang yang mendakwa makanan itu diharamkan kerana mengandungi kemudaratan, kalau bahagian mudarat itu dapat dihindarkan, dan tiada sebab lagi untuk dikatakan makanan itu mudarat, adakah akan berubah pengharaman makanan itu? Kita kena faham, ada makanan yang diharamkan Allah kepada satu kaum, pernah dihalalkan Allah SWT ke atas satu kaum yang lain. Bahkan dalam Al-Quran Allah menyatakan di dalam kitab Injil tentang makanan-makanan yang diharamkan pada zaman Nabi Musa, dihalalkan pada zaman Nabi Isa. Jika makanan itu membawa mudarat, takkan mudaratnya hanya ada pada zaman Nabi Musa sahaja? Jadi, ada kalanya makanan itu diharamkan bukan kerana ianya membawa mudarat, tetapi kerana Allah SWT ingin menguji kepada umat. Bilamana diharamkan sesuatu perkara ke atas mereka, adakah mereka akan patuh atau tidak patuh? Adakalanya pengharaman berlaku kerana karenah umat itu sendiri yang derhaka akan nikmat yang diberikan Allah SWT. Pengharaman itu bersifat dugaan dan hukuman daripada Allah SWT kepada mereka. Dalam Al-Quran nul Karim, ayat 160, surah An-Nisa’,  Allah berfirman:

 
Dalam ayat ini disebutkan makanan baik (bukannya makanan yang tidak baik) diharamkan kepada kaum Yahudi itu kerana kezaliman mereka sendiri.

Jadi, dalam pengharaman makanan ada 3 hikmah:
  1. Mungkin kerana makanan itu ada mudarat
  2. Sebagai dugaan untuk melihat sama ada umat itu akan patuh atau tidak pada perkara yang Allah SWT haramkan
  3. Sebagai hukum Allah SWT ke atas  karenah umat yang derhaka kepada Allah Ta’ala

“…Katakanlah (wahai Muhammad): (Jika ada makanan yang diharamkan kepada kamu wahai Bani Israil) maka bawalah kitab Taurat itu kemudian bacalah akan dia, kalau betul kamu orang-orang yang benar.”

Dalam ayat ini, Allah mencabar kepada Yahudi agar membawa ayat dalam kitab Taurat yang menyatakan pengharaman makanan yang telah Allah halalkan. Yahudi tidak menjumpainya pun. Maka, Allah menyentuh dakwaan mereka mendustakan apa yang datang daripada Allah.

Ayat 94:

Setelah tidak menjumpai apa yang mereka dakwakan dalam kitab, bermakna mereka telah berdusta kepada Allah, dan jika mereka tidak bertaubat, maka mereka ialah orang zalim.

 Ayat 95:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Benarlah Allah…”

Katakanlah, “Allah benar dan kamu memalsukan hukum Allah SWT”. Bilamana berita yang dibawakan adalah selain daripada apa yang Allah beritakan, itu adalah dusta. Kebenaran itu sesuai dengan kenyataan. Macam mana untuk kita menghukum seseorang itu benar atau tidak? Contohnya jika seseorang berkata ada Majlis Ta’lim Darul Murtadza di Masjid Mu’az bin Jabal setiap hari Jumaat, jam 9:30 malam di FB/Twitter.  Itu baru berita, untuk tahu kebenarannya kena lihat kenyataannya ada atau tidak? Allah SWT yang Maha Benar, tiada yang lebih benar beritanya daripada Allah, dan orang Yahudi telah memalsukan apa yang Allah telah halalkan kepada mereka. Bilamana Allah mengatakan yang Allah itu benar, adalah ingin mengajak minda dan hati agar kita tidak sama sekali mendustakan berita yang dibawa Allah SWT. Ini kerana Allah SWT, ilmu-Nya dan pengetahuan-Nya meliputi perkara yang telah berlaku, sedang berlaku, dan yang akan berlaku. Ilmunya Allah bersifat azali, tak diawali dengan kejahilan seperti manusia. Manusia pada awalnya tak tahu (jahil) kemudian baru menjadi tahu. Itu ilmu manusia. Jadi, apabila Allah memberitahu tentang sesuatu berita, walaupun kenyataannya belum nampak 100%, kita mesti percaya kerana yang memberitahu kita ialah Yang Maha Mempunyai Ilmu, yang ilmu-Nya tak diawali dengan kejahilan, tak mempunyai sempadan masa atau tempat. Itulah ilmu Alalh SWT. Sy. Umar Al-Khattab, ketika turun ayat Allah dalam surah Al-Qamar, ayat 45:


Ayat ini turun ketika Nabi SAW masih berada di Mekah, dalam keadaan baginda ditindas, tiada kekuataan atau kumpulan yang menyokong. Bahkan tidak sedikit sahabat Nabi SAW yang disiksa, dan dibunuh sementara Nabi SAW tidak kekuatan untuk melawan. Tetapi ketika itulah Allah menurunkan ayat tersebut. Jika ketika itu umat muslimin sudah mempunyai kekuatan, mungkinlah ada harapan ayat itu menjadi kenyataan ayat itu, tetapi ketika umat Islam lemah. Kata Sayyidina Umar, aku tahu kebenaran ayat ini ketika berlakunya Perang Badar. Ketika itu, kaum musyrikin kalah dalam peperangan dan lari bertempiaran, dan ayat itu diturunkan beberapa tahun sebelum peristiwa perang itu berlaku. Allah telah beritahu perkara itu sebelum ianya berlaku. Maknanya, apa yang diberitakan Allah, walaupun realitinya belum terjadi, tetapi PASTI akan terjadi, kerana Allah BENAR. Allah ceritakan tentang Yakjuj dan Makjuj, dajjal, hancurnya dunia ini, gunung-ganang akan terangkat menjadi debu. Realitinya belum terjadi tetapi orang beriman mesti percaya ini akan berlaku. Allah ceritakan tentang hisab, tetapi kita belum nampak tetapi kita percaya kerana Allah benar dan Allah tahu segalanya. Allah ceritakan tentang Jannah (syurga) dan Naar (neraka), kita tidak pernah nampak, tapi kita tahu perkara itu pasti berlaku. 

Oleh itu, keimanan seseorang itu diukur dengan membenarkan berita yang disampaikan oleh Allah SWT. Allah bukan setakat ingin beritahu yang Dia benar, tetapi Allah menuntut kita, sejauh mana kita membenarkan apa yang Allah beritakan. Jika Allah tidak nyatakan yang Diri-Nya benar pun memang Allah benar, tetapi Allah ingin menguji kita dengan berita-berita yang Allah nyatakan dalam Al-Quran nul Karim. Orang mempertikaikan masalah warisan, dan Allah memberitahu dalam Al-Quran bahawa lelaki mendapat dua kali ganda daripada perempuan. Orang tidak puas hati tetapi yang memberitahu itu siapa? Allah SWT. Adakah Allah SWT benar atau tidak benar? Cuba dipraktikkan dahulu apa yang Allah firmankan, bukannya buat sebaliknya, kemudia baru kembali kepada hukum Allah. Contohnya, riba telah bertahun-tahun dilakukan, sekarang baru kita kembali kepada hukum Allah. Tentang pernikahan, Allah suruh dipermudahkan tapi kita persulitkan sehingga berlaku banyak gejala social di mana-mana. Maka, sekarang pun orang ingin memudahkan urusan pernikahan, tetapi sepatutnya dari dahulu lagi sudah dipermudahkan. Hukum Allah itu benar – jadi tak perlu membuktikan hukum lain itu tidak benar untuk membuktikan yang hukum Allah itu benar. Kenapa kita ingin mencuba hukum selain hukum Allah? Bila dah gagal, baru nak cuba hukum Allah! Mukmin yang siddiq, apa yang dihukumkan Allah adalah benar.

Sambungan ayat 95:
“.., maka ikutilah kamu akan agama Nabi Ibrahim yang ihlas dan bukanlah dia dari orang-orang yang msuyrik.”


Ayat 96:

“Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia…”

Disebutkan untuk manusia – mungkin sebelum ini ada dibinakan rumah bukan untuk manusia kerana bumi ini ada penghuni selain manusia. Allahu’alam. Tetapi rumah ibadat yang pertama ialah Kaabah.

“..ialah Baitullah di Mekah..”
Mekah dalam ayat ini ada beberapa erti:
  1. Merujuk kepada kota Mekah
  2. Merujuk kepada Kaabah dan kawasan tawaf di sekitarnya.
  3. Tapak Kaabah itu.

“..yang berkat..”
Allah SWT memberikan keberkatan. Apa itu berkat? Kebaikan yang datang dari Allah yang diberikan kepada sesuatu. Keberkatan itu ada kalanya diletakkan pada tempat, contohnya Mekah. Terkadang Allah letakkan keberkatan pada manusia, dan ada disebut di dalam Al-Quran. Contohnya, Nabi Isa ketika dilahirkan mengatakan, “..dan menjadikan saya membawa berkat”. Ketiga, diletakkan keberkatan pada masa (zaman/umur). Bukankah Rasulullah SAW ada bersabada, “Barangsiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan diluaskan rezekinya hendaklah bertaqwa kepada Allah dan menyambung tali silaturrahim.” Apa makna panjang umur? Maknanya umur yang berkat. Oleh itu, keberkatan itu terkadang ada pada tempat, atau manusia atau masa. Jadi keberkatan itu Allah berikan pada Mekah dan Kaabah. Bukankah diberikan 120 ganjaran kepada Kaabah – 60 untuk orang yang tawaf, 40 untuk orang yang solat dan 20 untuk orang yang melihatnya. Ganjaran dilipatgandakan ketika solat di Masjidil Haram sebab apa? Sebab tempat! Maka, tempat itu berkat dan membawa hidayah.

“ … dan dijadikan petunjuk bagi umat manusia.”

Disebabkan semua orang di Timur dan di Barat solat menghadap ke kiblat. 

Wallahu’alam.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab