Tafsir ayat 83 dan 84, surah Ali-Imran, MTDM 25.10.2013

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ 

Tafsir ayat 84, surah Ali-Imran, MTDM 25.10.2013 
Ustaz Muhammad Ashraf Othman
Guru di Madrasah At-Tazkiyah


Kita bersyukur kepada Allah Ta'ala yang mengumpulkan kita di sini dengan hidayah Allah Ta'ala. Bagi orang-orang  yang Allah Ta'ala yang ingin beri kebaikan, mereka akan diberi kefahaman dalam agama.

Sabda Rasulullah SAW, “Barangsiapa yang mengikut satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah Ta'ala akan memudahkan baginya satu jalan ke syurga.”

Walaupun pada hakikatnya kita bertolak dari rumah, melalui jalan-jalan biasa untuk ke sini, tetapi itu sebenarnya satu jalan ke syurga. Allah yang menggerakan hati kita untuk ke sini.

Sebelum bermula, kita mulakan dengan doa menuntuk ilmu Imam Al-Haddad. Ilmu itu tinggi nilainya di sisi Allah.

Sabda Nabi Muhammad SAW, “ Walaupun seseorang itu beriktikaf sebentar saja, sekadar memerah susu, di masjid, maka dia telah mendapat ganjaran yang besar, seolah-olah dia telah memerdekakan seorang hamba sahaya.” Maka, jangan kita lupa untuk niat iktikaf, apatah lagi jika datang bukan sekejap, tapi 15 min, 30 mini, 1 jam, 2 jam dan lebih lama lagi.

Ilmu tafsir ini bukanlah ilmu yang kecil atau remeh. Sabda Nabi Muhammad SAW, “Sebaik-baik ilmu ialah mempelajari dan mengajar ilmu Al-Quran.” Beruntunglah orang yang hidupnya bergelumang dengan Al-Quran. Segala yang berkaitan dengan Al-Quran, akan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah Ta'ala. Bahkan kata ulama, segala cabang ilmu merupakan ilmu Al-Quran juga sebenarnya. Mudah-mudahan segala yang kita belajar daripada Al-Quran ini mendapat ganjaran daripada Allah Ta'ala.

Kenapa ilmu Al-Quran hebat? Kerana ini adalah kalam Allah Ta'ala. Al-Quran ini berhubung terus dengan Allah Ta'ala.

Ayat 83:

“Patutkah sesudah itu, mereka mencari selain dari agama Allah? Padahal kepada-Nyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, samada dengan sukarela ataupun terpaksa...”

Maka, di sini ada peringatan dari Allah Ta'ala – Mengapa ingin mencari agama selain agama Allah sedangkan Allah Ta'ala yang mencipta dan mentadbir segala yang ada di dunia dan di akhirat. Semuanya dimiliki sepenunya oleh Allah Ta'ala. Allah Ta'ala memberi teguran yang halus.

Segala yang ada di langit dan bum, semuanya menyerah diri kepada Allah Ta'ala. Apa yang Allah Ta'ala perintahkan, mesti kita ikut cara yang Allah kehendaki. Ada perkara yang kita boleh buat, ada perkara yang kita dilarang buat,  ada makan halah dimakan, ada yang dilarang di makan. Minuman pun begitu jua. Semuanya perlu megikut kehendak Allah Ta'ala.

Al-Imam Al-Baghawi telah menceritakan dalam tafsirnya panjang lebar tentang ulasan khilaf para ulama, bahawa berkata seorang ahli tafsir Al-Imam Al-Hassan, atau Hassan Al-Basri bahawa telah Islamlah setiap ahli langit dan setiap ahli bumi, sebahagian secara taat, sebahagian secara terpaksa. Ini satu pendapat. Penduduk langit semuanya taat bahawa Allah adalah Tuhan mereka – iaitu daripada malaikat dan juga haiwan. Yang tidak taat ialah manusia. Sebab itu dikatakan penduduk bumi terbahagi kepada dua, sebahagiannya taat kerana rela hati, sebahagiannya tunduk kerana terpaksa – kerana takutkan pedang, atau takut ditawan.

Berkata Ibnu Mujahid, maksud ‘yang mentaati Allah’ ialah orang mukmin, dan ‘yang  mentaati Allah secara terpaksa’ ialah orang bukan Islam yang takutkan pedang yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW.

Ada pula pendapat mengatakan yang ini berlaku pada alam roh, pada hari Allah mengambil perjanjian dengan semua makhluk di mana Allah Ta'ala bertanya, “Bukankah Aku ini Tuhan kamu?”. Maka semua makhluk pun berkata, “Kami bersaksi bahawa Kamu adalah Tuhan kami.” Semua makhluk mengaku Allah itu Tuhan di alam roh, tapi mengapa di dunia ada yang mengaku dan ada yang tidak taat kepada Allah Ta'ala? Jadi, kata ahli tafsir, roh yang mentaati Allah secara rela akan menjadi Islam ketika di dunia, manakala roh yang menjawab secara terpaksa, maka mereka akan menjadi orang bukan Islam ketika di dunia. Ada banyak lagi pendapat lain, tetapi tidak dapat disebutkan semuanya di sini.

Kesimpulannya, semua penduduk langit dan bumi mentaati Allah Ta'ala dalam keadaan rela hati kerana mereka sedar akan kehebatan dan keagungan Allah Ta'ala, tetapi ada sebahagian manusia yang tidak taat.

“… dan kepada-Nyalah mereka dikembalikan.”
Allah ingatkan kita dua perkara kenapa kita kena anut agama Islam:

Pertama – kerana Islam ialah agama Allah Ta'ala, dan Allah Ta'ala adalah Tuhan yang menciptakan segala-galanya, dan Allah perintahkan kita menganut agamanya, yakni Islam. Jadi, mengapa kita ingkar perintah Allah Ta'ala.

Kedua – kerana semua makhluk akan dikembalikan kepada Allah. Kita pasti akan berjumpa Allah Ta'ala dan akan diperhitungkan di hadapan Allah Ta'ala. Mungkin hari ini kita banyak kali dengar perkara ini, tapi suatu hari nanti kita akan alaminya sendiri – berjumpa dengan Allah. Macam seorang murid kecil yang selalu mendengar tentang pengalaman pelajar sekolah menengah, tapi diri sendiri belum mengalaminya, tapi tanpa disedari dia sendiri sudah membesar dan menjadi pelajar sekolah menengah. Kemudian seterusnya mendengar pengalaman orang belajar di universiti, bekerja, berkahwin, ada anak.. semuanya di dengar-dengar dahulu, kemudian tanda sedar diri sendiri juga melaluinya. Walaupun selalu rasa macam jauh lagi, tapi sekejap saja masa itu berlalu sebenarnya. Begitulah kita nanti, kita selalu mendengar cerita orang menghadapi sakaratul maut,  cerita alam kubur, cerita bagaimana bertemu Allah Ta'ala cerita bagaimana melihat syurga, cerita berkumpul dengan semua makhluk di padang masyhar nanti. Kita dengar-dengar saja cerita ini, tapi pasti suatu hari nanti kita akan merasainya sendiri – bagaimana melihat malaikat maut, berada di alam barzakh, berkumpul di hadapan Allah Ta'ala, menerima buku catatan, melihat amalan ditimbang, meniti titian sirat. Semuanya kita akan rasa. Kita rasa macam jauh lagi, tapi sekejap saja sebenarnya.

Sabda Nabi Muhammad SAW, “Syurga itu lebih hampir dengan kamu daripada tali sepatu kamu sendiri, dan neraka pun demikian.” Maknanya, kita sangat dekat dengan akhirat. Apakah perpindah yang paling dekat? Pindah masuk ke alam akhirat! Hari ini kalau nak pindah rumah, katakan ke taman sebelah saja, berapa banyak masa yang diperlukan? Perlu panggil lori, nak kemas barang, nak masukkan barang dalam lori, nak keluarkan barang dari lori, dan kemas semula – berapa hari kita perlukan? Tapi, perpindahan alam akhirat – datang saja malaikat maut – terus kita dapat lihat perkara yang sebelum ini kita tidak dapat lihat. Satu orang meninggal pagi, dan sekejap saja dia akan dikebumikan. Kalaulah contohnya seorang meninggal sekarang, mungkin akan dikebumikan malam ini atau palin lewat esok pagi. Jadi, renungkanlah kenapa kita tidak taat kepada Allah Ta'ala sedangkan kita pasti akan kembali kepada Allah Ta'ala. Kita tahu segala yang kita buat, kita cakap, kita , kita fikirkan, semuanya akan dihitung Allah Ta'ala.


Ayat 84:

Islam mengajar kita untuk beriman dengan seluruh nabi dan rasul yang Allah utuskan dan juga kitab-kitab sebelum ini. Tetapi apabila Nabi Muhammad SAW diutuskan, terbatallah segala agama dan kitab yang diturunkan sebelum ini. Ini tidak bermakna kitab tersebut itu tidak betul, cuma terbatal kerana yang digunakan ialah syariat Nabi Muhammad SAW dan Al-Quran. Bahkan kata Nabi Muhammad SAW, “Kalaulah Nabi Musa atau Nabi Isa hidup pada zaman aku ini, maka dia pun perlu mentaati syariat aku ini.” Ulama mengatakan, pada akhir zaman, Nabi Isa akan diturunkan dan ketika itu, syariat yang dibawanya ialah syariat Nabi Muhammad SAW. Maka sebahagian ulama mengatakan apabila kita membaca ayat ini, maka kita ulang sekali lagi dan kita berdoa agar Allag pelihara akidah kita ini sehinggalah kita tinggalkan dunia ini dan berjumpa Allah Ta'ala dalam akidah yang betul.

Ada beberapa perbahasan dalam ayat ini:


Kata ahli tafsir, Al Imam At-Thobari menceritakan dengan panjang lebar dlm kitab tafsirnya bahawa Al-Asbat itu ialah anak-anak kepada Nabi Yaakub, a.s. iaitu bani Israel. Kita selalu kutuk Israel, tetapi Israel itu sebenarnya nama kepada Nabi Yaakub a.s. dan bani ialah anak-anak yakni anak-anak Nabi Yaakub.

Ada perselisihan yang panjang pendapat tentang nama anak-anak Nabi Yaakub, tetapi yang pastinya mereka ada 12 orang, dan kerana itu terpecahnya bani Israel kepada 12 kumpulan. Pada hari Allah membantu Nabi Musa a.s. dengan bani Israel ketika mereka sesat 40 tahun di padang pasir, dan ketika Nabi Musa mengetuk dengan tongkatnya, maka terpacullah 12 mata air – satu untuk setiap kabilah. Ulama juga menceritakan ketika Nabi Musa ketuk tongkatnya di hadapan laut untuk menyelamatkan diri daripada Firaun dan bala tenteranya, laut terbelah kepada 12 lorong, satu laluan untuk setiap kabilah.

Asbat dalam bahasa Arab ialah jamak (plural) kepada perkataan ‘sibtun’ yang bermaksud umat atau golongan yang banyak. Jadi setiap anak nabi Yaakub ada ramai zuriat sehingga setiapnya menghasilkan satu kabilah tersendiri. Walaupuan ada khilaf tentang nama mereka, tetapi perkara ini tidak bertentangan dengan akidah kita, jadi bolehlah disebutkan sedikit antara namanya iaitu bermula dengan Nabi Yaakub bin Ishak atau Israel, Israel bukanlah bahasa Arab. Nabi Yaakub berkahwin dengan sepupunya sebelah ayah, bernama Liya binti Liyan bin Tubil bin Ilyas (bersambung kepada Nabi Ilyas) dan melahirkan:
  • Rubil bin Yaakub
  • Sham’ul bin Yaakub
  • Laawi bin Yaakub
  • Yahuzho bin Yaakub
  • Royalun bin Yaakub
  • Yashjar bin Yaakub
  • Dainah binti Yaakub

Kemudian isterinya itu meninggal, dan Nabi Yaakub berkahwin pula dengan adik isterinya, yang bernam Rohil binti Liyan bin Tubil bin Ilyas, dan melahirkan:
  • Yasuf bin Yaakub (Nabi Yusuf), dan
  • Bunyamin bin Yaakub.

Maka, adik-beradik seibu Nabi Yusuf ialah Bunyamin. Maka, inilah anak-anak Nabi Yaakub yang setiap seorang dari mereka telah membentuk satu kabilah sendiri. Tetapi, kita tidak tahu adakah mereka yang ada sekarang berasal dari kabilah yang asal itu.

“…Kami tidak membeza-bezakan seseorang pun di antara mereka, dan kepada Allah jualah kami berserah diri.”

Ada orang menggunakan ayat ini dengan pemahaman keliru untuk menolak perbuatan mengagungkan Nabi Muhammad SAW lebih daripada Nabi yang lain kerana dikatakan disebut dalam ayat ini bahawa tiada beza antara mereka. Mereka bertanya kenapa kita hanya buat maulid untuk Nabi Muhammad SAW, tetapi tidak untuk nabi-nabi lain. Ini menggunakan ayat betul tetapi dengan pemahaman yang keliru.

Dalam ayat ini, kita setuju dengan semua kerasulan dan kenabian setiap yang Allah lantik. Jadi mengapa kita banyak cerita ttg Nabi Muhammad SAW? Kerana baginda ialah penghulu para Nabi dan para Rasul. Jika martabat seorang Nabi itu melebihi martabat seluruh manusia lain, jadi bagaimana dengan martabat ketua para Nabi? Ketika peristiwa Israk Mikraj, Nabi SAW menjadi imam kepada semua para Nabi. Jadi, Nabi Muhammad SAW ialah khatam nabiyyin  penyudah para Nabi.

Dalam ayat 81 sebelum ini, Allah Ta'ala telah mengambil perjanjian daripada para Nabi bahawa kalaulah pada zaman mereka Nabi Muhammad SAW dilahirkan, maka mereka perlu mengikut syariat Nabi Muhammad SAW dan syariat yang mereka bawa terbatal. Jadi, ini jelas menunjukkan kelebihan Nabi Muhammad SAW dan tiada seorang Nabi lain pun yang dijatuhkan kedudukannya.


 p/s: Segala kekurangan, kesilapan, saya mohon maaf dan teguran.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab