"Kenali & tutup pintu kelemahan diri agar tak diganggu syaitan" - MTDM 25.04.2014

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

Majlis Ta'lim Darul Murtadza 25.04.2014
Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid*



BAHAGIAN 1 - Tafsir Al-Quran Surah Ali-Imran ayat 155-159

Ayat 155:

”Mereka yang lari telah digelincirkan syaitan”
Allah SWT menceritakan tentang kekalahan yang dialami kaum muslimin dalam Perang Uhud, sebab larinya kaum Muslimin, sebab terbunuhnya 70 orang daripada  kaum Muslimin dalam Perang Uhud.

Sesungguhnya punca khilaf dan pelanggaran yang dilakukan adalah kerana tipu daya syaitan.

Syaitan yang meminta kamu supaya tergelincir. Syaitan yang menipu daya kamu untuk berbuat khilaf, sehingga dengan itu kamu melanggar perintah Rasulullah ﷺ, dan dengan pelanggaran itu Allah Ta'ala memberi kekalahan kepada kamu.

Jadi, ayat ini bukan sekadar bercerita tentang kalah, sebab permasalahan kalah sudah dibincangkan dalam ayat sebelumnya – yakni sebagai dugaan daripada Allah SWT agar seseorang belajar menyikapi kekalahan.

Dalam ayat ini, Allah SWT menceritakan dengan lebih dalam lagi supaya seseorang di dalam bermuhasabah ketika menyedari kesilapan dan kekhilafan yang dilakukan, mesti dia mendapatkan punca pelanggarannya itu daripada mana? Punca kesilapan itu daripada mana?

Ini, Allah SWT ingin membawa akal fikiran setiap orang yang membaca Al-Quran nul Kareem – bilamana membaca ayat ini dan memahami pelanggaran yang dilakukan kaum muslimin, puncanya adalah syaitan. Setiap maksiat yang dilakukan – puncanya ialah syaitan.

Kita bahaskan ayat ini – kalimat ‘istazalla’, ‘zalla’ itu tergelincir, ‘istazalla’ – meminta tergelincir. Yang tergelincir orang Islam, yang melakukan pelanggaran ialah kaum muslimin, tetapi yang meminta mereka melakukan pelanggaran ialah syaitan.

Syaitan minta, bukan paksa! Syaitan tidak suruh mereka dengan kekuatan syaitan untuk melakukan pelanggaran. Meminta itu adalah dengan merayu, menipu-daya. Syaitan tidak punya kuasa untuk memaksa manusia melakukan jenayah.

Oleh kerana itu, Allah Ta'ala ketika mensifatkan tentang syaitan – disebutkan was-was. Allah Ta'ala suruh minta perlindungan daripada bahaya was-was, seperti dalam surah An-Nas, ayat 4. Siapa yang dimaksudkan dengan was-was? Syaitan!


Kenapa syaitan diberi nama was-was? Sebab syaitan hanya menyuarakan, merayu, meminta. Tidak dipaksa manusia untuk melakukan. Syaitan itu licik dan dia akan mengkaji kelemahan setiap manusia. Tidak semua manusia boleh ditipu syaitan melalui pintu yang sama. Syaitan akan buat kajian. Bukankah Nabi ﷺ bersabda, “Syaitan itu mengalir dalam tubuh manusia umpama aliran darah.”

Maknanya apa? Di setiap penjuru yang ada dalam tubuh badan manusia itu menjadi tempat untuk disiasat oleh syaitan untuk mengetahui kelemahannya, dan menjadi pintu untuk syaitan masuk melalui pintu yang lemah itu. Ada orang lemah pada pintu harta, takhta, perempuan, internet. Berapa ramai orang duduk depan komputer berjam-jam untuk dia komen sana-sini, bantai orang sana-sini. Syaitan akan masuk pada pintu kelemahan seseorang itu.

Syaitan masuk kepada kaum Muslimin dalam kes ini melalui pintu HARTA (yang ditinggalkan di kaki gunung). Syaitan menimbulkan rasa was-was ke dalam hati kaum Muslimin tentang harta yang ditinggalkan oleh kaum Musyrikin. Syaitan membisikkan yang perang sudah selesai kerana kaum Musyrikin telahpun lari dan mereka menang. Syaitan terus membisikan agar mereka tak lepaskan peluang mendapatkan harta yang ditinggalkan itu memang hak mereka yang menang. Mereka diminta turun untuk melanggar perintah Nabi ﷺ . Jadi, dalam ayat ini Allah SWT ingin memberitahu bahawa manusia terdedah kelemahannya kepada syaitan yang sentiasa memantaunya. Oleh itu, kenali kelemahan kamu agar diri kamu tak terdedah dan kamu tak ditipu oleh syaitan.

Ada orang yang kelemahannya – dengki atau buruk sangka. Suatu malam Nabi SAW menemani isterinya Siti Safiyyah untuk pulang ke rumah. Nabi SAW terserempak dengan 2 sahabatnya, dan mereka melajukan langkah kaki kerana segan berjumpa Nabi  SAW berjalan dengan seorang perempuan. Nabi ﷺ memanggil mereka dan memberitahu, “Perempuan yang berjalan dengan saya itu isteri saya, Saffiyah.” Tujuan Nabi ﷺ bukanlah untuk memperkenalkan isterinya kepada sahabat, seperti yang banyak dilakukan orang hari ini yang meletakkan gambar pasangan sebagai gambar profail mereka. Jawab sahabat itu, “Ya Rasulullah ﷺ, takkan kami akan berburuk sangka kepadamu.” Jawab baginda, “Saya tak merasa aman daripada tipu daya syaitan yang mengalir dalam tubuh manusia.”

Orang yang cerdik pandai, akan melihat kelemahan dirinya dan memperbaikinya agar tak dapat digunakan oleh syaitan. Jika kelemahannya buruk sangka – dia akan berubah untuk selalu baik sangka. Jika kelemahannya dengki – dia akan berusaha mengubatinya dan menyembunyikan di dalam hati, dan tidak ditunjukkan dengan memek muka atau perbuatan.

Dalam kisah hasad dengki – kisah 2 anak Adam – pada mulanya Qabil teragak-agak untuk membunuh Habil, tapi dia ditipu daya oleh syaitan melalui pintu hasad. Habil menyatakan yang dia takkan melukai Qabil kerana dia takutkan Allah. Jika mengkaji bait-bait Al-Quran – kita akan lihat keajaiban. Hawa nafsu Qabil memaksanya untuk membunuh kepada saudaranya, Habil. Awalnya dia sebenarnya teragak-agak setelah diingatkan oleh Habil. Tetapi pelanggaran berlaku setelah adanya tipu daya syaitan dan paksaan hawa nafsu.

Kenali kelemahan diri, dan tutup pintu kelemahan itu supaya tidak menjadi laluan untuk menjerumuskan anda kepada kemungkaran Allah SWT.

“Demi sesungguhnya Allah telah memaafkan mereka…”
Walaupun mereka melakukan pelanggaran, Allah ampunkan mereka kerana mereka datang ikhlas untuk berjuang bersama Rasulullah ﷺ. Dua kali Allah sebut pengampunan kepada mereka, agar kita tak menyalahkan mereka (para sahabat). Dosa mereka adalah kepada Allah, dan Allah telah pun ampunkan. Mereka tak berdosa kepada kita pun, jadi jangan biarkan syaitan memasuki pintu kelemahan itu dan menjadikan kita mencerca para sahabat.

Ayat 156:

“Janganlah kamu menjadi seperti orang-orang munafik..”
Mereka berkata jika tak keluar berniaga atau tak perang pasti tak mati
Jangan ikut sifat orang kafir atau munafik yang mengatakan bahawa kalau seseorang itu keluar berniaga dan berperang dan mati, maka perniagaan dan perang itu menjadi sebab kematian mereka. Mereka mengatakan jika seseorang itu tak pergi, maka dia tak akan mati. Mereka ingin mengatakan yang diri mereka sendiri yang menjadi sebab kematian tersebut.

Perbuatan mengatakan., “Kalau tak naik kalpal terbang, kalau xx, kalau xx..” adalah dilarang bagi orang-orang beriman, yakni perbuatan mengandaikan perkara yang tak boleh nak diandai-andaikan. Kata baginda Rasulullah ﷺ. “Jangan kamu banyak menggunakan ‘lau’ (andai) kerana lau itu membuka pintu syaitan.” Jangan bila keluar dengan kereta dan pancit, kita kata, “Andai tadi naik LRT.” Sebaliknya ucapkan:

“Allah sudah mentakdirkan apa yang akan dikehendaki, itu yang akan terjadi.”

Tak boleh katakan “andai”. Kata pepatah Arab, “Andai, ditanam di tanah andai, yang ditanam biji andai, maka anda akan menuai andai.”

Ertinya - Tidak menisbahkan apa yang berlaku kerana kesalahan kita, kerana yang berada di hadapan kita tak tahu. Yang kita disuruh ialah mengambil sebab, tetapi yang terjadi adalah di luar pengetahuan kita.

Mereka (kaum musyrikin) yang berkata begitu merasa penyesalan di hati kerana mereka tidak redha. Bagi kita orang-orang beriman, bila kehilangan apa yang disayangi daripada harta ataupun nyawa, mereka akan berkata “Innalillahi wainna ilaihirojiun.” Mereka takkan berkata. “Andai tak naik kapal terbang tadi..”

Kita semua tertakluk di bawah pentadbiran Sultannya Qadar. Di atas pentadbiran kita, adanya Pentadbiran Allah SWT. Bagi orang yang beriman – Allah Yang Menghidupkan dan Allah Yang Mematikan. Berapa ramai orang berusaha untuk mati dengan cara cuba membunuh diri tapi dapat diselamatkan orang? Sebaliknya, berapa ramai orang mengelak daripada mati bertemu kematian. Contohnya - berapa ramai orang berubat untuk sembuh tapi mati, orang yang mungkin hanya keluar berjalan mungkin terkena peluru yang entah dari mana dan mati.

“Allah yang menghidupkan dan mematikan, dan Allah melihat segala yang kamu lakukan.”
Kematian dan kehidupan bukan milik sesiapa, dan tak boleh dielakkan oleh sesiapa pun.

Ayat 157:

Jika kamu mati, keampuan dan rahmat Allah lebih baik daripada apa yang kamu himpunkan.”
Apa yang Allah berikan adalah lebih baik daripada segala harta dunia yang dikumpulkan. Golongan munafiq mengatakan yang jika mereka tak keluar perang, mereka tak mati.

Ayat 158:

Ayat sebelumnya disebut: “Kalau kamu dibunuh atau mati..”
Ayat setelahnya disebtu: “Kalau kamu mati atau dibunuh, kepada Allah kamu akan kembali..”

Apa bezanya? Allah mendahulukan mati dibunuh dijalan Allah untuk menunjukkan yang fadhilatnya lebih tinggi.

Ayat 159:

Mereka yang dimaksudkan ialah para sahabat yang Nabi ﷺ bermesyuarat dengan mereka untuk menentukan sama ada keluar mempertahankan Madinah atau menunggu mempertahankan Madinah daripada dalam kerana bilangan mereka yang kecil.

Abdullah bin Ubai bin Thalul mengajak 1/3 orang kembali ke Madinah kerana Nabi SAW mendengar kata kaum muda.

Nabi disuruh berlemah-lembut kepada mereka yang meninggalkan baginda semasa peperangan. Nabi ﷺ tak diizinkan melakukan perbuatan yang bercanggah dengan sifat rahmat yang dengan itu baginda dicipta dan diutuskan.

‘Tarbiyaah rabbaniyyah’ – dididik rohaninya agar tak punya sifat marah. Kadang-kadang ada orang maafkan tapi tak mahu tengok muka orang itu lagi.

Nabi ﷺ diutuskan agar kita dapat mengambil teladan daripada akhlaknya. Tak cukup dengan itu, Allah suruh Rasulullah ﷺ mintakan ampun untuk mereka juga.

Berapa ramai daripada kita yang mampu memaafkan kepada orang yang tidak minta maaf kepada mereka? Berapa ramai daripada kita yang mintakan kemaafan bagi orang yang berbuat salah kepada kita?

Kenapa diisi hati ini dengan benci sampai kepada keturunannya?

Ajak bermesyuarat – dalam mesyuarat ada barakah. Mesyuarat bukan bermakna saranan semua orang akan dilakukan.

“Sesungguhnya Allah suka orang yang bertawakal.”

Gantungkan hatimu kepada Allah, bukan dengan kekuatan kamu. Cukup menjadi kemuliaan kepada orang yang bertawakal kepada Allah untuk mendapatkan kasih-sayang Allah, walau apa pun yang terjadi. Walau apa yang terjadi, cukup baginya mendapat kasih-sayang Allah SWT.

Berinteraksilah dengan realiti yang kita ada di hadapan kita, bukan dengan ‘andai’ kerana masa bukan boleh diputar kembali.

BAHAGIAN  - Kitab RIyadhus Solihin
Bab ‘Tentang Hidup Tenang, Menjaga Kehormatan Diri, Hati-hati dalam Mencari Penghidupan dan Perbelanjaannya serta Celaan Terhadap Meminta-minta Dalam Keadaan Tidak Terpaksa’

Hadis 12:

Kisah perawi hadis - Samurah bin Jundub, seorang yang muda tapi sudah menyertai Perang bersama nabi SAW. Dia berdiri di sebelah Rafi’ bin Kudhai. Mereka berbaris dalam saf untuk menyertai perang tetapi disuruh pulang kerana belum cukup umur. Mereka menangis kerana ingin ikut sama dan Rafi’ berkata, “Ya Rasulullah, saya ini mahir memanah. Izinkan saya ikut bersama.” Setelah dibuktikan benar katanya, Nabi ﷺ mengizinkan dia ikut sama. Samurah pula berkata, "Saya ini punya kekuatan bergusti. Jika saya lawan dengan. Rafi', pasti dia akan dapat saya kalahkan." Baginda pun menyuruh dibuktikan perkataannya itu, dan akhirnya ikutlah bersama-sama kedua-duanya yang baru mencecah usia belasan tahun.

Bagaimana dengan remaja kita hari ini? Apakah yang difikirkan oleh mereka untuk menyumbang kepada Islam? Di manakah Samurah bin Jundub dan Rafi’ bin Kudhai pada zaman sekarang?

Hadis ini serupa dengan hadis sebelumnya – orang yang meminta-minta akan tiada daging pada mukanya. Jika ingin meminta, dibenarkan hanya pada haknya (yakni meminta pada penguasa).

Hadis 13:

Abdullah bin Mas’ud – beriman kerana kejadian yang dilihatnya. Ketika Nabi SAW dalam perjalanan hijrah bersama Sayyidina Abu Bakar, mereke bertemu Abdullah bin Mas’ud yang sedang mengembala kambing. Nabi SAW meminta susu padanya tapi dia tidak dapat memberikan kerana kambing itu bukan miliknya. Kemudian, Nabi ﷺ pun meminta dibawakan kambing yang belum bersusu. Kemudian, baginda Nabi ﷺ menepuk kambing itu lalu ada padanya susu sehingga boleh diperah dan diminum, dan selepas itu, Nabi ﷺ tepuk semula dan kempis balik susu kambing itu seperti sebelumnya.

Sayyidin Abdullah bin Mas’ud  juga dikenali sebagai orang yang rajin berkhidmat kepada Rasulullah ﷺ - pembawa selipar Nabi ﷺ, pembawa tongkat Nabi ﷺ, pembawa siwak dan bekas wudhuk Nabi ﷺ. Berkat perkhidmatannya, dia mendapat ilmu dan menjadi rujukan ramai.

//Kisah kaki Abdullah bin Mas’ud lebih berat daripada Gunung Uhud.

//Kisah Nabi Musa membantu anak Nabi Shuaib dan berdoa – “Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin fakir”.

Bila ingin meminta, mintalah pada Yang Maha Kaya. Usah minta pada makhluk, tetapi bergantunglah mutlak hanya pada Allah SWT.

BAHAGIAN 3 - Kitab Bidayatul Hidayah m/s 167

Manusia terbahagi kepada 3:
1. Orang yang seperti makanan asas, yang sentiasa diperlukan
2. Orang yang seperti ubat, yang diperlukan pada masa-masa tertentu, dan bukan pada setiap masa.
3. Orang yang seperti penyakit yang perlu dijauhi, walaupun terkadang dipertemukan dengannya, maka seseorang perlu mengambil langkah bijak agar selamat daripadanya.

Pernah orang bertanya Nabi ﷺ, “Siapakah yang mengajarkan adab kepadamu?” Jawab baginda, “Tiada seorang pun tetapi apabila aku perhatikan kejahilan terhadapnya, timbul perasaan untuk menjauhinya.

Seorang mukmin yang beriman itu cermin kepada saudaranya.

Apa yang dilakukan oleh seorang mukmin merupakan cermin kepada mukmin yang lain. Contohnya, jika kita lihat orang kedekut, dan kita tidak suka, maka dengan itu kita sudah belajar tentang adab yang lebih baik daripada perbuatan orang yang dilakukan oleh orang itu.

Hak Persahabatan
Sabda Rasulullah ﷺ, “Perumpamaan 2 orang yang bersaudara adalah seperti dua tangan, di mana yang satu membasuh yang lain.”

Baginda Nabi ﷺ memiliki 2 batang siwak, yang satu lurus, dan yang lagi satu kurang lurus. Baginda ingin menghadiahkan satu kepada sahabatnya, lalu memilih untuk memberikan yang lurus, yakni yang lebih baik antara keduanya.

Cara menunaikan hak-hak persahabatan:
1. Mendahulukan orang lain berbanding diri sendiri dalam perkara yang dibolehkan.
Cth: Nabi SAW ada 2 siwak – satu lurus, satu bengkok, dan diberikan yang lurus kepadanya. Nabi SAW mendahulukan sahabatnya. Tidak bersahabat 2 orang walaupun sesaat melainkan akan ditanya adakah telah ditunaikan hak persahabatan.

2. Ziarah-menziarahi
Baginda bercerita tentang seseorang yang ingin menziarahi sahabatnya – dihantar malaikat yang menyerupai manusia, dan ditanya kenapa dia ingin menziarahi sahabat, katanya “kerana Allah SWT”. Firman Allah SWT, “Wajib mendapat kasih-sayang aku kepada 2 orang yang kasih-mengasihi kerana aku.” Antara 2 orang ini, yang paling banyak memberi kasih-sayang akan mendapat lebih kasih-sayang dari Allah.

Dalam bersahabat ini, jangan kita hanya melihat pada baiknya itu sahabat, jangan kita hanya melihat ‘saya seronok bersahabat dengan si fulan’, jangan hanya kita melihat – ‘dia adalah orang yang setia’, tapi kaitkan dalam bersahabat itu apa yang kita boleh dapat daripada Allah SWT bila bersahabat dengan si fulan. Supaya persahabatan itu mempunyai nilai ibadah, bukan hanya untuk kita mendapatkan hiburan, walaupun dalam bersahabat itu ada yang namanya ‘haniis’, yakni teman yang menghiburkan. Walaupun kita mendapat bahagian hiburan dalam bersahabat, tapi bila dijadikan terasnya untuk mendapatkan kasih-sayang Allah, persahabatan itu menjadi ibadah.

Kurang-kurang dalam bersahabat – berikan nasihat atau doa – agar mendatangkan manfaat antara satu sama lain. Jika tak dapat datangkan manfaat, jangan datangkan mudarat.

Jika teman sakit, jangan didatangkan teman yang boleh bikin dia makin sakit.

Pernah dikisahkan yang Imam Ahmad bin Hanbal sakit, dan Imam Syafie menziarahinya, dan ini membuatkan Imam Ahmad jadi segar dan kurang sakit. Begitu juga sebaliknya, bila Imam Syafie sakit, Imam Ahmad datang melawatnya. Anak murid Imam Syafie merasa bangga kerana ketika sakit Imam Syafie diziarah oleh Imam Ahmad bin Hambal. Lalu, Imam Syafie mendidik anak muridnya agar tidak taksub kepada dirinya. Katanya, “Bilamana dia berziarah kepada saya, adalah kerana orang yang menziarahi itu adalah lebih mulia, dan bilamana saya berziarah kepadanya, adalah kerana kemuliaan yang ada pada dirinya. Dalam keadaan menziarahi atau diziarahi, kemuliaan ada pada dirinya”

Jangan dibandingkan antara 2 guru – bilamana bermula pintu perbandingan, maka akan bermula juga pintu kedengkian dan ini adalah pintu syaitan.

*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallu'alam. 

**: mungkin salah ejaan

//kisah: sila tonton video untuk mengetahui kisahnya J

Popular Posts