Maulid MTDM Bersama Habib Abu Bakar Al Adni bi Ali Al-Mashur

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعل اله وصحبه وسلم

Tausiyah Habib Abu Bakar bin Ali Al Masyur
Terjemahan oleh Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid*
Maulid Majlis Ta'lim Darul Murtadza 01.05.2015

Sumber rakaman audio



//Kata-kata pujian kepada Allah سبحانه و تعالى, selawat dan salam kepada Rasulullah ﷺ, ahli keluarganya dan sahabatnya.

Qada dan qadar Allah سبحانه و تعالى  telah menentukan untuk kita bersama di majlis seumpama ini, di mana majlis ini adalah untuk memuji kepada Rasulullah ﷺ  dan mengkaji tentang sirah Nabi Muhammad ﷺ, yang mana ketentuan qadar Allah سبحانه و تعالى kepada kita untuk berada di tempat ini untuk melakukan perbuatan yang semikian adalah hari dan malam yang diberkati oleh Allah سبحانه و تعالى.

Tiada satu majlis yang diadakan dan diamalkan pada majlis tersebut oleh satu golongan di dalam mengingati akan Nabi ﷺ  yang diutus oleh Allah سبحانه و تعالى kepada golongan itu, melainkan majlis tersebut diberkati lagi dirahmati. Mereka yang hadir dalam majlis-majlis seumpama ini, mendengarkan apa yang dilakukan dalam majlis seumpama ini, mereka itulah yang digelar pencinta-pencinta Rasulullah.

Barangsiapa yang suka akan sesuatu, maka dia akan banyak menyebut sesuatu itu. Dan kita berharap kepada Allah moga-moga saya dan juga kamu semua digolongkan sebagai orang-orang yang kasih-mengasihi kerana Allah, dan juga kasih kepada Rasulullah ﷺ. Kecintaan kita kepada Rasulullah ﷺ adalah bahagian daripada ikutnya kita kepada beliau, dalam melakukan apa yang diperintahkan dan apa yang dilarang. Dan sebahagian juga daripada cinta kepada Rasulullah ﷺ  ialah kebergantungan kita di dalam hati terhadap Rasulullah ﷺ.

Orang yang dia menggantungkan di dalam hati dan jiwanya terhadap Rasulullah ﷺ dalam bentuk kasih, maka dia akan diangkat darjatnya. kerana baginda Rasulullah ﷺ  merupakan wasilah di dalam keberkatan yang diberikan oleh Allah سبحانه و تعالى kepada penduduk bumi dan langit.

Maka perbanyakkanlah kamu semua untuk zikir kepada Allah سبحانه و تعالى dan selawat kepada Rasulullah ﷺ. Di dalam berzikir kepada Allah, hati akan tenang. Umat ini amat memerlukan kepada majlis-majlis yang mengingatkan mereka akan Tuhan-Nya dan Nabi Muhammad ﷺ. Di luar sana terdapat banyak majlis yang diadakan dan dihadiri ramai manusia, akan tetapi majlis itu melupakan mereka daripada mengingati Allah dan Rasul-Nya.

Dan kamu semua telah menyaksikan ramai umat manusia hari ini sibuk akan keduniaan dan yang demikian itu telah mengambil hati dan akal mereka untuk disibukkan dengan keduniaan. Sehingga mereka termasuk dalam golongan yang difirmankan Allah, “Mereka lupa kepada Allah dan mereka dilupakan Allah terhadap diri mereka sendiri.” Maka, bersyukurlah dan pujilah kepada Allah سبحانه و تعالى yang telah memberi taufik untuk kamu semua hadir di majlis seumpama ini, dan dihadirkan di majlis seumpama ini. Dan tidaklah perlu untuk kita menyibukkan diri akan perkataan-perkataan orang lain yang mempertikaikan akan hadirnya kita dalam majlis seumpama ini.

Allah سبحانه و تعالى berfirman dalam Al-Quran, “Dan masing-masing mempunyai arah untuk dia mengadap kepada-Nya, maka berlumba-lumbalah kamu untuk berbuat kebaikan (fastabiqul khairat).”

Kalau ada orang mendakwa ada jalan menuju Rasulullah ﷺ  selain dari jalan ini , maka semoga Allah memberi hidayah kepada mereka. Adapun kami telah mewarisi daripada pendahulu-pendahulu kami dalam cara-cara mengabdikan diri kepada Allah سبحانه و تعالى sebagaimana yang ianya merupakan pegangan kepada kami, yang disentuh dalam bait-bait syair sebentar tadi oleh Imam Abdullah Alwi Al Haddad. Itulah pegangan kami dan warisan kami daripada pendahulu kami. 

Dan apa yang kami lakukan ini adalah dengan kesedaran dan pengetahuan kami tentang apa yang kami buat ini adalah perkara yang benar. Ini adalah apa yang diajarkan oleh para assalafussoleh dalam cara mengagungkan dan memuliakan kepada Rasulullah. Adapun mereka assalafusolleh lebih mengetahui, lebih bijaksana terhadap apa yang mereka lakukan.

Kalau kamu ingin mengetahui bagaimana mereka para assalafussoleh adalah lebih alim, bijaksana dan lebih mengetahui, jika kamu ingin melihat kelebihan kedudukan mereka itu, lihatlah daripada kesan mereka yang datang dari luar, baik daripada Yaman atau luar yang datang ke negeri ini dengan membawa agama ini. Mereka datang membawa Islam tanpa peperangan atau angkat senjata. Mengajak untuk umat cinta kepada Nabi mereka tanpa berdebatan atau dialog. Sehingga kesannya daripada cara yang mereka bawa itu, telah membawa ramai manusia mencintai Rasulullah ﷺ dengan sebenar-benar kasih dan cinta. Maka, dimanakah mereka yang tidak menyetujui salafussoleh yang melakukan amal seperti ini? Mana yang lebih bijaksana? Mana yang  sempurna? Adakah cara yang baik, bijaksana dan lemah-lembut atau dengan peperangan, angkat senjata atau pembunuhan?

Negeri ini merupakan negeri yang ramai penduduknya memeluk kepada Islam daripada sekian negara-negara Islam. Kami mempunyai hubungan erat dengan tempat ini sejak berkurun-kurun lamanya. Kami mendengar dan mengikuti perkembangan kamu walaupun kami jauh daripada kamu semua. 

Ada belajar di tempat kami ramai daripada negeri ini dan kami dapat melihat daripada akhlak dan perbuatan baik mereka yang boleh menjadikan jari menelunjuk kepada mereka bahawa mereka adalah orang-orang yang baik. Kami melihat pelajar-pelajar dari negeri ini yang belajar di tempat kami sopan, beradab, dan bersedia mencari ilmu. Oleh kerana yang demikian, saya dan kami bersyukur kerana ibu bapa menghantar anak-anak mereka, dan kerajaan yang mengizinkan penduduknya belajar di tempat kami. Dikatakan bahawa, “Siapa yang tidak berterima kasih pada manusia, dia tidak berterima kasih pada Allah.”

Saya ingin merayu kamu semua agar saling mengingatkan satu dengan yang lain supaya kita sentiasa istiqamah dan berazam melakukan apa yang diperintah Allah dan Rasul-Nya, dan meninggalkan apa yang dilarang mengikut kemampuan kita, kerana sesungguhnya di zaman ini banyak fitnah-fitnah yang boleh merosakkan generasi yang hidup di zaman ini.

Sebahagian daripada fitnah itu boleh mempengaruhi akal mereka, di antara fitnah itu ada juga yang memberi kesan kepada hati dan jiwa. Ada juga fitnah yang boleh membawa kesan kepada tubuh badan. Barangsiapa yang diselamatkan Allah سبحانه و تعالى daripada fitnah-fitnah tadi di dunia, maka orang itu selamat di dunia dan akhirat. Dan siapa yang tergelincir ke dalam fitnah tersebut, nasib orang itu ada di tangan Allah سبحانه و تعالى. Bilamana Allah berkehendak, Allah akan memaafkan, atau bilamana Allah berkehendak, Allah akan menghukum. Moga-moga Allah سبحانه و تعالى mengampunkan dan memaafkan kita semua. 

Kita mendengar sebentar tadi qasidah yang merupakan bait bait karangan Imam Abdullah Alwi Al Haddad, yang mengingatkan kepada kita akan pentingnya untuk mengingati hari akhirat dan berpegang kepada agama. Dan ini merupakan intipati ajaran yang dibawa oleh Rasulullah ﷺ sebagaimana Allah telah menyebutnya di dalam Al-Quran. Allah berfirman yang maksudnya, “ Wahai seorang Nabi, Aku utuskan engkau sebagai pembawa berita gembira dan peringatan dan mengajak manusia kepada Allah dengan izin Allah سبحانه و تعالى, dan engkau adalah umpama cahaya yang menerangi. Berilah berita gembira kepada orang-orang beriman bahawasanya mereka akan mendapatkan anugerah yang besar dari Allah.” Terimalah berita gembira anugerah besar dari Allah yang disampaikan oleh Rasulullah ﷺ. Maka, mari kita sama-sama mengucapkan, “Kami menerima berita gembira daripada Tuhan kami dengan perantara Nabi kami.”

Orang yang menerima berita gembira tersebut, maka dia akan sabar mendapatkan hidayah dan petunjuk. Orang yang dia sabar dalam mengikut Rasulullah, akan diangkat darjatnya. Tidaklah hakikat keberadaan di dunia ini melainkan beberapa malam dan siang yang akan berlalu yang setelah itu kita semua akan pergi. Maka, hendaklah kita sama berfikir akan apa yang dipertanggungjawabkan oleh Allah kepada kita di dunia ini. 

Baginda Rasulullah ﷺ  bersabda, “Setiap kamu adalah pemimpin dan masing-masing akan dipersoalkan akan siapa yang dipimpinnya.” Rakyat yang dipimpin oleh kita ialah mata kita, telinga kita, tangan kita, lidah kita, dan maaf cakap - kemaluan kita juga adalah rakyat kita, yang kita nanti akan dipersoalkan. Allah سبحانه و تعالى berfirman dalam Al-Quran, “Sesungguhnya penglihatan, pendengaran, hati masing-masing akan dipersoal nanti oleh Allah.” 

Para auliya ialah mereka yang menjaga anggota tubuh badan mereka dan mereka itulah yang kami cinta kepada mereka. Allah berfirman dalam Al-Quran, “Mereka para auliya Allah itu tak punya rasa takut atau sedih dan mereka mendapat berita gembira dan kegembiraan dari Allah di dunia dan juga di akhirat. Kerana mereka telah menjaga anggota tubuh badan mereka dan menutup pintu-pintu keburukan daripada masuk melalui anggota badan mereka. Mereka itu bersungguh-sungguh dalam beriman dan mengikut kepada Nabi mereka dan melazimkan diri dalam ikutan kepada Nabi mereka.

Dalam hadis Qudsi, Allah سبحانه و تعالى berfirman, “Sentiasa hamba-Ku itu mendekatkan diri kepada Ku dengan melakukan perbuatan-perbuatan yang sunnah, sehingga Aku (Allah) sayang kepada hamba itu. Kalau Aku sudah suka kepada hamba itu, maka Aku adalah pendengaran kepada hamba tersebut yang hamba itu mendengar dengan telinganya, Aku pandangannya, yang dia melihat dengan matanya,  Aku adalah tangannya yang dia telah menggunakan tangannya, aku adalah kakinya yang dia telah pergunakan kaki itu untuk melangkah.” 

Kalau hamba itu meminta pada Aku, Aku pasti akan berikan. Kalau dia berlindung pada-Ku, Aku pasti akan lindungi kepadanya. Mereka itulah adalah para auliya Allah dan orang-orang yang soleh. Mereka tidak terpedaya dengan apa pun juga dari perkara yang melalaikan dan tidak termasuk daripada golongan orang meninggalkan solat, dan tidak termasuk daripada mereka yang memutuskan silaturrahim, tidak termasuk daripada orang-orang yang melakukan dosa-dosa besar, dan tidak pernah mengganggu atau menyakiti kepada umat Nabi Muhammad ﷺ. Mereka hamba-hamba Allah سبحانه و تعالى  adalah sentiasa beribadah dan mempunyai sikap lemah-lembut. Yang melihat wajah mereka akan ingat kepada Allah سبحانه و تعالى. Semoga Allah سبحانه و تعالى menjadikan kita semua golongan daripada mereka. Amin Allahumman Amin.

Sifat-sifat mereka para auliya yang telah disebutkan sebentar tadi, sifat-sifat itu adalah warisan daripada sifat Rasulullah ﷺ  kepada kita semua. Siapa yang mahu selamat di dunia dan akhirat, 
lazimkan diri pada jalan tersebut. Barangsiapa yang ingin menyaksikan kepada Nabinya di dunia dan akhirat, maka lazimkan diri pada jalan ini. Dan hendaklah kamu mempunyai sifat baik sangka kepada yang lain. Sesungguhnya sifat baik sangka pada umat ini ialah amalan yang akan mendekatkan orang itu dengan Allah. Dan ini merupakan pegangan para assalafussoleh sampai kepada Rasulullah ﷺ. 

Biasakan anggota tubuh badan kamu itu adalah basah dengan zikir kepada Allah سبحانه و تعالى dan selawat kepada  Rasulullah ﷺ. Dan berusaha untuk mengambil sebahagian daripada ilmu syariah, yang dengan ilmu itu, kamu akan tahu apa yang diwajibkan oleh Allah kepada kamu tentang solat, puasa, zakat, haji dan apa saja perkara yang diwajibkan kepada kamu. Kita melihat ramai daripada kaum muslimin yang tidak tahu ilmu agama sehingga cara berwudhuk pun terkadang tersilap. Terkadang ada di antara mereka yang tidak tahu cara beristinjak dan menyelesaikan daripada membuang air kecil. Disebabkan kejahilan, kita dapat melihat cara buang air kecil dalam keadaan berdiri - dan ini bukanlah daripada adab Islam. Maka, perlu kepada seseorang berhati-hati membersihkan (menuntaskan) ketika buang air kecil, kerana ramai orang yang diazab di dalam kubur kerana tidak menghabiskan dan membersihkan ketika membuang air kecil. Kita ini umat yang disucikan, yang diajar tentang kebersihan, umat yang diajarkan kemuliaan, umat yang dinilai dengan nilai-nilai murni dan akhlak.

Allah سبحانه و تعالى berfirman, “Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk umat manusia. Dengan apa kita menjadi sebaik-baik umat? Adakah kerana kita mengikut budaya-budaya maju yang dianggap di zaman kita sekarang? Adakah kita dianggap sebaik-baik umat dengan mengikut siapa saja yang bercakap dan kita ikut kepada mereka? Mungkin saja ada sebahagian umat manusia yang melihat tidak dapat membezakan apa yang patut diikuti, dan apa yang tidak boleh diikuti daripada orang Muslim dan bukan Muslim.

Maka saya merayu kepada kamu semua - Semoga Allah memberkati kepada kamu semua. Berpeganglah kepada agama Tuhan kamu ini. Dan hendaklah kamu ketahui akan keberkatan daripada acara-acara yang telah kamu hadiri ini di tempat ini. Kita semua berada di bulan Rejab. Ini adalah merupakan bulan yang diberkati di dalam Islam. Kamu semua akan terikat dengan bulan ini dan apa yang terjadi padanya. Di bulan ini telah diwajibkan kefardhukan solat, iaitu pada malam Israk Mikraj. Diperjalankan dalam bulan ini oleh Allah Nabi Muhammad ﷺ daripada bumi ini ke alam ***. Allah سبحانه و تعالى telah mengumpulkan pada Rasulullah dua alam - alam dunia dan akhirat. Dan bagi umat Islam, bila datang bulan Rejab, dan khususnya pelajar ilmu dan pengkaji, hendaklah mengajarkan kepada manusia akan kemuliaan yang diberikan Allah سبحانه و تعالى kepada Nabi Muhammad ﷺ  pada malam Israk Mikraj. Dengan demikian akan dapat diketahui oleh manusia akan apa yang patut mereka fahami daripada pemahaman mereka yang sempit. 

Allah سبحانه و تعالى memperjalankan Nabi-Nya dalam satu perjalanan di luar jangkauan akal manusia. Orang yang menyembah akal fikiran takkan percaya peristiwa ini. Akan tetapi, mereka yang menyembah Tuhan mereka pasti akan mempercayai apa yang disampaikan oleh Allah kepada Rasul-Nya. Tahun-tahun Hijriah mempunyai keistimewaan yang terjadi pada setiap bulan itu. Dimulai dengan bulan-bulan yang diharamkan. Dan pada bulan-bulan yang lain, ada perkara-perkara yang diturunkan pada bulan tersebut kewajipan pada ilmu agama yang perlu kita kaji. Oleh kerana demikian, perlu untuk kita mengingati kejadian-kejadin yang pernah berlaku pada bulan-bulan itu agar kita ingat dan tidak lupa. 

Ramai daripada umat manusia yang boleh menghafal apa yang berlaku pada bulan Masihi tapi tidak tahu apa yang berlaku ada bulan-bulan Islam. Kerana bulan-bulan Masihi itu terkait dengan pekerjaan kita, sementara mereka tak tahu itu bulan Ramadhan melainkan setelah diisytiharkan itu bulan Ramadhan. Mungkin juga segolongan ada yang tidak tahu apa yang Allah berikan pada umat ini di bulan Rejab, Syaaban, dan bulan-bulan Haji.

Allah سبحانه و تعالى telah menyebut dan mentertibkan tentang bulan-bulan dalam Al-Quran. “Sesungguhnya di sisi Allah Taala ada 12 bulan, bermula daripada diciptakan langit dan bumi. Di antara 12 bulan itu ada 4 bulan yang diharamkan. Itu merupakan agama yang lurus. Maka, kamu jangan berbuat zalim kepada diri kamu sendiri di bulan-bulan itu.” 

Allah mengaitkan agama dengan bulan Hijriah, maka kita perlu untuk mengetahui kejadian-kejadian itu supaya kita tahu sejarah bulan tersebut. Siapa yang tak tahu apa yang telah berlaku, maka dia tak punya tarikh untuk mereka. Siapa tak punya masa lampau takkan punya masa depan. Demikian agama kita telah mengikat kita untuk mengenal bulan-bulan dalam agama ini melalui peristiwa-peristiwa yang terjadi di bulan tersebut. 

Di antara kejadian yang perlu kita ketahui ialah wujudnya masjid. Kamu semua sekarang berada dalam kejadian yang terikat dengan Islam, iaitu keterikatan kamu semua dengan Rasulullah ﷺ. Kita duduk di sini untuk mengekspresi rasa kasih kepada Nabi kita. Dan tiadalah perbuatan yang sedemikian itu dikatakan bidaah, syirik atau bercanggah dengan agama. Kemusyrikan itu ada pada kaum Yahudi, pada penyembah-penyembah berhala. 

Adapun umat Nabi ﷺ, tidak mungkin akan syirik kepada Allah melainkan setelah turunnnya Nabi Isa a.s. Setelah turunnya Nabi Isa di akhir zaman, akan berlaku kesyirikan dengan sebenar-benarnya, kerana Allah سبحانه و تعالى telah menjadi umat ini sampai Nabi Isa untuk tidak berlaku syirik. Akan tetapi di antara 2 Nabi berlaku perkara-perkara yang melampaui batas. Perkara-perkara yang melampaui batas boleh diselesaikan dengan cara hikmah dan juga nasihat yang baik. 

Oleh kerana itu, saya menyeru kepada mahasiswa dan pelajar agar mereka mengambil bahagian daripada ilmu ini. Agar mereka mengetahui siapa yang betul dan siapa yang salah, agar tahu siapa yang bercakap dengan hawa nafsu, dan siapa yang bercakap dengan ilmu, siapa yang mengajak manusia kepada kedamaian dan keselamatan dan siapa yang mengajak kepada peperangan dan pembunuhan, dan siapa yang kepada manusia untuk mengembangkan negeri dan bandar, dan siapa yang mengajak untuk menghancurkan negeri dan bandar. Tiada kaitan sama sekali dengan Islam apa yang dilabelkan dengan nama “terrorist” atau perkara yang disifatkan melampau. 

Mereka yang terlibat dalam perbuatan itu adalah orang Islam yang tidak mengikut bahagian daripada ajaran Islam. Ramai daripada umat Islam hanya membawa agama pada nama di ‘IC’-nya. Akan tetapi perbuatan dan sikap mereka lebih hampir kepada perbuatan dan sikap orang kafir. Atau lebih hampir kepada orang-orang bermaksiat. Atau lebih hampir kepada perbuatan Habil dan Qabil. Qabil suka membunuh dan perang, adapun Habil adalah orang yang mempunyai kedaimaian dan keselamatan. Maka, meninggallah Habil dalam keadaan syahid dan beriman. Dan Qabil hidup dalam keadaan  kafir dan seorang penjenayah. Demikian peribadi dua golongan bermula pada zaman Nabi Adam sampai hari kiamat. 

Kita perlu menyebarkan kedamaian dan keselamatan dan kita mesti menjadi seorang Muslim yang sebenar-benar Muslim di negeri yang kita hidup ini. Sesungguhnya masyarakati itu tidak dapat dibina atau dijadikan contoh kecuali dibina dengan akhlak yang baik. Dan tidak ada hakikat kehidupan yang sebenar melainkan dengan cara kasih-mengasihi dan rahmat-merahmati satu dengan yang lain kerana Allah. Maka, bersungguh-sungguhlah dalam menyebarkan kasih-sayang di negeri kamu ini. Hindarkan diri daripada terlibat dengan fitnah yang zahir ataupun tidak zahir. Dan sentiasa kamu berdoa kepada Allah agar kamu diberi keselamatan daripada fitnah. 

Sesungguhnya Allah سبحانه و تعالى mengizinkan adanya golongan-golongan tertentu yang mengajak orang lain kepada fitnah yang susah mengelak daripadanya. Allah سبحانه و تعالى berfirman dalam Al-Quran, “Barangsiapa yang ingin menyebarkan fitnah, maka dia tidak akan mampu untuk memiliki kepada perkara tersebut.” Semoga Allah سبحانه و تعالى menjaga kita semua daripada tergelincir daripada fitnah, yang zahir atau tidak zahir. Moga-moga Allah سبحانه و تعالى menjadikan kita contoh dalam membawa kedamaian dan juga keselamatan. Dan moga-moga Allah menjadikan kita mengajak kepada orang lain dengan hikmah dan nasihat yang baik. Moga-moga Allah سبحانه و تعالى membersihakan hati kita daripada sifat munafiq dan sifat-sifat yang tidak baik.

//Doa penutup//

*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallahu'alam.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab