Taman Syurga #5 - Bercita-cita Mati Dalam Islam & Meminta Husnul Khotimah


بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعل اله وصحبه وسلم

Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid*
Taman Syurga #5 (26.03.2015)


Kitab Nasihat Agama Dan Wasiat Iman, m/s 17-23 (Edisi 2014).

Muqaddimah: Allah سبحانه و تعالى beri kita taufiq dan hidayah untuk berada dalam majlis ilmu untuk memanfaatkan umur yang diberikan oleh Allah, dan semoga hidup kita terbimbing dan terpandu dengan ilmu.

Sebelum ini telah dibincangkan ciri-ciri orang yang bertaqwa, dan orang yang mulia di sisi Allah سبحانه و تعالى ialah orang-orang yang bertaqwa. Orang yang bertaqwa tidak boleh mengaku dirinya bertaqwa, bahkan tidak berhak untuk seseorang mengatakan, “Saya lebih bertaqwa daripada si fulan.” Hanya Allah yang mengetahui sama ada seseorang itu benar-benar bertaqwa atau tidak. Apa yang kita lakukan hanyalah asbab, tetapi pengakuan dan pengiktirafan hanya Allah yang berhak memberikan. 

Imam Abdullah Al Haddad meneruskan dengan tajuk yang penting, yang mempunyai kaitan rapat dengan taqwa iaitu bercita-cita meninggal dalam keadaan yang baik, yakni dalam Islam. Diletakkan tajuk ini setelah membahaskan ketaqwaan kerana penghujung ketaqwaan, kemuliaan kepada orang bertaqwa  ialah apabila dia meninggal dalam keadaan Islam (beriman kdp Allah سبحانه و تعالى ).

Kematian ialah fakta, perkara yang nyata yang tak seorang pun akan terlepas daripadanya. Tak seorang pun daripada kita yang tak pernah melihat kematian baik pada haiwan atau manusia. Semua yakin bahawa kematian itu wujud. Namun sebahagian orang mengatakan kematian itu sebagai penghujung kehidupan (khalas), tetapi bagi orang yang beriman, kematian merupakan permulaan kehidupan yang sebenar. 

Jadi, di dalam hidup ini ada pra-kematian iaitu di dunia, saat ketika kematian dan keadaan setelah kematian. Semua yang bernyawa akan mati, tetapi yang perlu kita ambil berat ialah - keadaan bagaimana kita mati, dan apakah keadaan kehidupan kita setelah mati, dan ini semua bergantung kepada bagaimana kita telah hidup. Kehidupan jadi penentu kepada saat kematian, dan kehidupan selepas kematian. Sama ada kita hidup 60 tahun, atau 70 tahun, umur purata umat Nabi Muhammad ﷺ  ialah antara 60-70 tahun. Masa yang pendek ini ialah modal yang Allah beri untuk kita petik buahnya dalam kehidupan yang tidak punya pengakhiran atau sempadan. Oleh kerana yang demikian, Nabi Muhammad ﷺ  menyuruh kita bijak berfikir dengan akal yang waras agar menghittung umurnya, dan beramal untuk hari akhirat. Ini barulah professional, pintar! Tetapi orang yang jahil ialah orang yang ikut hawa nafsunya, dan berharap dapat ganjaran besar dari Allah سبحانه و تعالى. Orang ini bermimpi di siang bolong (hari)! Tidak mahu beramal tapi mengharapkan pemberian dari Allah سبحانه و تعالى. Kehidupun ini realit dan bukan khayalan.

Suatu hari Sayyidina Ali bin Abi Talib lalu bersama sahabatnya di kawasan kubur, dan berkata, “Wahai ahli kubur, sesungguhnya pasangan kamu telah berkahwin dengan orang lain. rumah kamu orang lain sudah duduk, harta kamu sudah diberi kepada orang lain. Ini berita kami dari dunia, tetapi apakah berita kamu dari alam sana?” Sayyidina Ali ketika bercakap begitu bukanlah untuk mendengarkan jawapan tetapi adalah untuk menyampaikan mesej.

Sayyidina Ali ingin beri pelajaran kepada orang yang bersamanya - agar mereka melihat kubur itu sebagai tempat mereka akan masuk ke dalamnya juga nanti. Maka, diingatkan tentang pasangan, harta sudah di ambil orang lain. Apa yang Sayyidina Ali ingin tahu? Apa yang diinginkan ahli kubur setelah umur/harta tidak lagi pada mereka. Kalau diizinkan untuk ahli kubur menjawab, maka mereka akan mengatakan, “Sebaik-baik bekal ialah taqwa.” Yakni, wahai sahabatku, temanku, sebelum nasib untuk kita masuk dalam kubur itu datang, ketika harta dan keluarga kita pergi kepada orang lain, dan kita masuk kubur seorang diri, apakah yang akan menemani kita di barzakh nanti? Hanya taqwa dan amal yang soleh yang akan ikut. 3 perkara akan ikut mayat - hartanya, keluarganya, amalnya, tetapi semuanya akan balik kecuali amalnya. 

Kematian ialah satu kenyataan, jadi yang perlu kita ingatkan diri kita ialah keadaan ketika meninggal dunia. Para Anbiya meminta mati dalam keadaan Islam, dan minta dikumpulkan bersama orang soleh. Pesan Nabi Ibrahim, Nabi Yaakub, “Jangan kamu mati kecuali dalam keadaan musleh (Islam).” Bagaimana dipesan sebegini sedangkan mati bukan dalam tangan kita? Maknya, ambillah asbab, yang dengan asbab itu seseroang boleh mati dalam keadaan Islam. Tiada asbab lain yang boleh membawa kepada mati dalam Islam kecuali amal ibadat kepada Allah سبحانه و تعالى, dan menghindari perkara yang dilarang Allah agar terhindar dari mati dalam suul khotimah, Wal iya zu billah. 

Apa hukum orang meminta mati? Kadang-kadang berlaku fenomena orang menghadapi masalah dalam hidup sehingga tidak mampu menghadapinya, dan mengambil keputusan yang tidak berdasarkan akal yang waras seperti bunuh diri, Wal iya zu billah. Dalam hal ini, Rasulullah ﷺ  bersabda, “Jangan sesekali kamu minta mati kepada Allah سبحانه و تعالى.” Sebab apa? Kalau dia orang baik, umur yang diberi Allah boleh menambah ganjaran untuk di sisi Allah سبحانه و تعالى. Kalau dia orang tidak baik, umur perlu digunakan untuk bertaubat kepada Allah, yang kalau dia tidak bertaubat, dia akan dihukum oleh Allah سبحانه و تعالى atas dosa-dosanya. Maka, tidak boleh meminta mati. Jadi, kalau perlu juga minta mati adalah dengan sebab yang munasabah seperti yang diajarkan Rasulullah ﷺ. “Ya Allah, aku mohon ilham untuk berbuat baik, meninggalkan perkara mungkar, suka kepada orang-orang yang miskin. Dan bilamana Engkau mentakdirkan fitnah (yang mencabar akidah) berlaku, cabutlah nyawa saya sebelum saya terkena fitnah itu.” Di sini, Rasulullah ﷺ  meminta doa mati dengan bersebab yang mencabar agamanya. Fitnah yang besar boleh menyebabkan seseorang mengorbankan agamanya dengan sehina-hina benda keduniaan. Semoga Allah lindungi kita, inshaAllah. 

Jika terpaksa juga meminta mati, berdoalah, “Ya Allah, matikan aku jika mati mendatangkan kebaikan padaku. Hidupkan aku jika hidup membawa kebaikan kepadaku.” Yakni, serahkan kepada Allah untuk menentukan apa yang terbaik.

Dalam buku ini m/s 17, Imam Al Haddad menyeru kita mengambil berat untuk mencari asbab agar mati dalam keadaan Islam, kerana hanya Islam agama yang Allah redhai. Membunuh diri hukumnya haram dan berdosa besar, tetapi Allah سبحانه و تعالى telah melapangkan jalan untuk mati dalam keadaan Islam. Apakah jalan itu? Sekiranya dia ingikan demikian (yakni mati dalam Islam), maka hendaklah dia menjalankan perintah yang diwajibkan ke atas dirinya, serta menurut petunjuk Allah سبحانه و تعالى. Itulah memilih mati dalam Islam. Rasulullah ﷺ  mengajarkan kita untuk minta mati dalam husnul khotimah. Moga-moga Allah anugerahkan kita mati dalam husnul khotimah. Amin Allhumma Amin.

Baginda mengajarkan sebab untuk kita dianugerahi meninggal dalam husnul khotimah. Dalam hadis Rasulullah ﷺ  diriwayatkan bahawa syaitan yang terkutuk akan berkata, “Aduh, orang yang memohon husnul khotimah itu telah mematahkan tulang belakangku. Celaka! Bilakah dia mahu membangga-banggakan amalannya. Aku khuatir dia telah tahu tipu-dayaku.” Yakni, syaitan merasa sakit kalau ada orang minta husnul khotimah, kerana usahanya adalah untuk mematikan orang keadaan suul khotimah, Wal iya zu billah. Syaitan akan berusaha untuk halang manusia untuk buat baik bkn ketika sihat saja, tetapi ketika sakaratul maut pun, syaitan akan terus mengganggu, walaupun dia orang yang baik, soleh.

Diriwayatkan dalam kisah hidup Imam Ahmad ibnu Hambal ketika dia berada dalam sakit nazak, anak muridnya mentalkinkan beliau, seperti yang diajarkan Rasulullah ﷺ. Tetapi kedengaran suara Imam Hambal menjadi, “Belum lagi…belum lagi…”. Anak muridnya pun kehairanan kerana Imam Hambal bukan calang-calang orang. Beliau hafal sekian banyaknya hadis, ahli dalam feqah. Imam Hambal pun tertidur setelah itu, dan setelah jaga bertanya pada anak muridnya apa yang dia katakan. Anak muridnya menceritakan apa yang berlaku, dan Imam pun menceritakan yang dia sebenarnya bercakap dengan iblis yang sambil menggigit tangannya berkata, “Tahniah, kau telah selamat dari tipu-muslihat aku,.” Itulah sebab Imam Hambal bercakap belum lagi.  Syaitan ingin Imam Ahmad rasa bangga yang dirinya telah terselamat, tetapi Imam Ahmad adalah orang yang dekat dengan Allah سبحانه و تعالى dan sentiasa melihat kekurangan pada dirinya, melihat kesempurnaan hanya milik Allah سبحانه و تعالى. Kalimat Lailahalillah itu sudahpun menyatu dengan Imam Ahmad. Termasuk mati suul khotimah ialah orang yang saat-saat akhir hidupnya bangga dengan amalnya, lalu meninggal dalam keadaan riak. 

Kata Imam Al Haddad - hendaklah anda memperbanyakkan menyebut kepujian kepada Allah سبحانه و تعالى atas nikmat Islam, sebab itu setinggi-tinggi dan sebesar-besar nikmat. Kalau ditakdirkan Allah memberi kurnia dunia dan seisinya kepada seseorang, tetapi tidak dikurniakan Islam, nescaya kurniaan itu akan menjadi bencana baginya, kerana tidak mendapat apa-apa di akhirat. Tetapi jika seseorang mendapat Islam, tetapi tidak diberikan dunia kepadanya, maka yang demikian tidaklah membahayakannya. Maka, nikmat Islam ialah nikmat yang terbesar. Rasa takut dan gerunlah kepada mati dalam suul khotimah kerana tidak mustahil Allah سبحانه و تعالى mengubah qalbu (hati) hamba-Nya. Allah memberi petunjuk kepada siapa yang disukai-Nya, dan menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya.

Imam Al Haddad menukilkan satu hadis yang amat membimbangkan kepada orang soleh, apatah lagi kepada kita. Hadis sohih ini maksudnya, “Demi Allah yang tiada Tuhan selain Dia. Sesungguhnya salah satu diantara kamu beramal amalan ahli syurga sampai antara dia dengan syurga tinggal sejengkal. Kemudian didahului ketentuan sehingga dia beramal dengan amalan ahli neraka dan masuklah ia ke dalam neraka. Dan salah satu diantara kamu melakukan amalan ahli neraka sampai antara dia dan neraka tinggal sejengkal, kemudian didahului ketetapan, sehingga dia melakukan amalan ahi syurga sehingga dia masuk ke dalam syurga “. 

Hadis ini amat menggerunkan kepada ahli taqwa dan orang yang lurus perjalannyan, apatah lagi kepada orang-orang yang sering cuai dan keliru dalam urusan agamanya. Yang menentukan kita ini baik, mulia di sisi Allah atau tidak, ialah penghujung, saat perpisahan, ketika sakaratul maut kita. Ketika Imam Nawawi menghuraikan hadis ini, katanya seseorang itu dinilai kepada penghujungnya. Ini juga mengisyaratkan agar orang yang soleh, banyak beramal, jangan bangga dengan amalnya. Kita tak tahu penghujungnya bagaiamana - adakah akan istiqomah atau sebaliknya, Wal iya zu billah. Dan bila kita lihat orang yang banyak berbuat amal tidak baik, tetapi mungkin penghujung nasibnya dia akan berbuat baik dan dimasukkan ke syurga. Dalam Riyadhus Solihin ada diceritakan kisah seorang yang membunuh 100 orang tetapi akhirnya dimasukkan ke syurga, kerana bertaubat kepada Allah سبحانه و تعالى. Ini menunjukkan penentuan kebahagiaan seseorang ialah penghujung kehidupannya. Moga-moga Allah سبحانه و تعالى kepada kita, keluarga kita, orang-orang yang kita sayang husnul khotimah, dan moga dipelihara daripada suul khotimah. Amin Allahumma Amin.

*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallahu'alam.


Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab