Maulid Pembukaan MTDM 07082015 - Dakwah Dengan Kasih-Sayang & Keselamatan

بسم الله الرحمن الرحيم 
الحمد لله رب العلمين
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وسلم 

Majlis Ta'lim Darul Murtadza - Maulid Pembukaan 07082015


Tausiyah 1: Syeikh Ismail 
Terjemahan oleh Ustaz Iqbal Al-Jauhari

//Maaf, untuk tausiyah ini, kebanyakannya ringkasan sahaja kerana rakaman asal hilang dan juga tiada di Youtube MTDM untuk rujukan.

 //Ucapan pembukaan

Nama saya Ismail dari China, dan inilah sebuah peluang yang baik untuk kita semua
الحمد لله رب العلمي, ini adalah sebuah peluang menghadiri majlis yang penuh mahabbah untuk berkenalan. Dulu di Tarim saya berkesempatan menghadiri majlis sebegini di Tarim bersama Habib Umar bin Hafiz. Saya juga الحمد لله رب العلمين, sempat belajari di bumi Damascus dan sempat belajar dengan ayahanda Syeikh Muhammad Soleh bin Abdul Latif Al-Hassani - dan sempat duduk dalam majlis seperti ini. Tahniah buat rakyat Malaysia yang dapat duduk dalam majlis sebegini, yang keadaan kami sangat berbeza di China.

Negara China mempunyai penduduk teramai di dunia, iaitu +/- 1.3 billion. Dan perbandingan daripada jumlah itu yang beragama Islam hanyalah minoriti iaitu antara 40-50 juta umat Islam. Dan nisbah penduduk Islam kepada bukan Islam ialah kurang 1:1000.

Walaupun kalian di sini dan kami di sana - kita adalah satu umat, dan dijadikan sebagai umat terbaik. Kita disuruh untuk mengajak kepada kebaikan dan mencegah keburukan. Kami perlukan doa bagi kalian untuk menyebarkan dakwah di China. Ambillah teladan daripada para sahabat yang sanggup meninggalkan keluarga untuk keluar berdakwah kepada orang lain. Agama ini ialah agama dakwah.

Kita adalah umat yang dipertanggungjawabkan dengan amanah yang besar iaitu dakwah.

Kalian juga berhajat untuk memperoleh kemuliaan daripada usaha dakwah yang Allah سبحانه و تعالى pikulkan kepada kalian. Saya ingin mewasiatkan agar kamu semua memantapkan ilmu-ilmu syariat dan ilmu-ilmu yang ada dalam agama ini agar dapat membantu dan mengajarkan kepada anak-anak muda dan agar dapat buat majlis untuk anak-anak muda

Rumusan dari Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid ialah:
Agar kita mempunyai rasa tanggungjawab untuk berdakwah, yakni pasang niat cari ilmu dan hadir majlis untuk berdakwah.


Tausiyah 2: Syeikh Muhammad Soleh bin Abdul Latif Al-Farfuri
Terjemahan oleh Ustaz Naqimuddin (Pelajar Malaysia di Jordan)
Video MTDM: https://youtu.be/dXdLVPpDRKs


//Ucapan perbukaan

Wahai saudara-saudaraku, wahai pencinta Nabi Muhammad ﷺ, saya  gembira dapat melihat wajah yang indah yang tulus, ikhlas, baik malam ini. Saya sebutkan pada Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid -> dan saya amat gembira kerana antara ramai hadirin ialah orang yang muda. Di Syria kami tidak biasa lihat keadaan ini kerana yang ramai hadir ialah orang yang sudah berumur. Memang ramai yang hadir, tapi mereka daripada kalangan orang tua dan berumur. Ketahuilah bahawa orang muda ialah tenaga, mereka ialah kekuatan, yang akan memegang masa hadapan.

Wahai saudara-saudaraku, wahai pencinta Rasulullah ﷺ, telah warid daripada Rasulullah ﷺ - Sesungguhnya Allah سبحانه و تعالى telah berkata kepada para malaikat, “Aku berbangga dengan hamba-Ku yang meninggalkan dunia untuk sampai kepada Aku (Allah سبحانه و تعالى).” Sesungguhnya ketahuilah Allah سبحانه و تعالى menyayangi kamu semua, begitu juga Nabi ﷺ menyayangi kamu. Majlis ini dipenuhi malaikat, diturunkan dalam majlis ini rahmat, sakinah, ketenangan. Sesungguh kebangkitan Islam kembalinya kita kepada Allah سبحانه و تعالى  adalah lebih baik bila dilakukan oleh golongan muda, yang masih seperti kita ini. Inilah yang akan memberi berita gembira pada umat ini pada masa hadapan. Orang tua (60 tahun) bertaubat sudah biasa, tapi luar biasa apabila orang muda bertaubat, dan inilah yang dilakukan para sahabat Rasulullah ﷺ . Semoga Allah سبحانه و تعالى memberkati kamu, majlis dan perjalanan kalian.

Wahai saudara-saudaraku, wahai pencinta Rasulullah ﷺ - marilah kembali dengan akal dan hati kita kepada 1400 dahulu. Dalam perang Khandaq, Rasulullah ﷺ bersama-sama bersusah payah menggali parit bersama sahabat. Baginda tidak duduk dan suruh orang lain buat sepertimana yang dilakukan ramai pendakwah hari ini. Ketika menggali, sahabat dapati ada satu batu yang tidak dapat dipecahkan. Rasulullah ﷺ pun datang dan memukulnya, lalu terpancar satu cahaya yang menyinarkan satu bandar Madinah, dan Rasulullah ﷺ memberi mereka berita gembira bahawa dakwah ini akan sampai ke negara Qisra (Syam). Selawat dan Salam kepadamu wahai Rasulullah ﷺ - sudah berapa banyak kamu menyusahkan diri kamu? Wahai kekasih Allah سبحانه و تعالى - sdh berapa banyak kamu berpenat-lelah, berjaga malam untuk kami? Wahai kekasih Allah سبحانه و تعالى - sudah berapa banyak kamu keletihan dan berlapar untuk kami?

Saya ingin tanya kalian - Adakah baginda tahu dakwah ini akan sampai ke Timur dan Barat? Adakah baginda tahu cucu-cicit baginda akan bawa hidayah kepada seluruh dunia ini? Adakan baginda Rasulullah ﷺ  dakwah ini akan sampai kepada sini - Malaysia, Thailand, Filipina dll?

Ya, baginda Nabi ﷺ sudah tahu. Baginda pernah bersabda, “Sesungguhnya dakwah ini akan sampai ke rumah-rumah manusia, sama ada dengan pertologan orang yang kuat atau kehinaan orang yang bodoh.”

Kekuatan orang yang kuat akan menguatkan Islam, dan kehinaan orang yang hina akan menghina orang-orang yang syirik. Tidak syak lagi Nabi Muhammad ﷺ gembira dengan kalian. Suatu hari baginda kepada sahabatnya, “Alangkan rindunya aku kepada kekasih-kekasihku.” Tanya sahabat, “Bukankah kami ini kekasihmu wahai Rasulullah? Jawabnya, “Ya, kamu sahabatku,  tetapi kekasih-kekasihnya, mereka tidak sempat melihat aku, dan sekiranya mereka mahu melihat aku, mereka sanggup menggadaikan seluruh harta mereka semata-mata untuk melihat aku. Orang inilah yang aku rindui.” Ketahuilah yang dimaksudkan ialah para hadirin dan kita semua. Ketahuilah Ya Rasulullah ﷺ bahwa kami juga mencintaimu.

Wahai para hadirin, cuba pejamkan mata sebentar dan bayangkan Rasulullah ﷺ hadir dalam majlis ini. Apa yang kita ingin beritahu baginda Rasulullah ﷺ? Bagaimana untuk kita berhadapan dengan baginda Nabi Muhammad ﷺ?

Ya Rasulullah ﷺ - kamu lihat umat hari ini amat teruk. Dan kamu lihat ramai pendakwah yang tidak menjalankan tugasnya. Ketahuilah para hadirin bahwa kamu adalah berita gembira yang dibawakan Rasulullah ﷺ. Ketahuilah bahawa agama ini diasaskan dengan rasa cinta. Selain dari cinta dan kasih-sayang, ianya tidak memberi manfaat.

Wahai saudara-saudaraku, tadi saya bawakan hadis yang bawa berita gembira, tapi sekarang saya ingin bawakan hadis yang menegur kalian semua. Bagaimana jika Rasulullah ﷺ masuk kepada kita dan melihat umat ini? Rasulullah ﷺ pasti bertanya - “Kenapakah umat ini umat yang terkebelakang?” Kenapa bukan umat kamu yang memegang kekuatan dunia ini? Kenapa kamu semua jauh dari kemajuan? Kenapa kamu semua jauh dari mahabbah dan kasih-sayang? Kenapa kamu semua jauh dari ilmu? Kenapa umat hari ini berasa di hujung belakang sekali, dan bukan di hadapan? Kenapa kamu tak pimpin manusia kepada hidayah? Kenapa masih ramai lagi orang kafir? Ketahuilah bahawa Islam sampai kepada negara ini bukan dengan pedang, bukan dengan peperangan? Bahkan dengan kasih-sayang, dengan akhlak mereka. Melalui muamalat mereka ,orang Tanah Melayu suka dan sayang kepada mereka serta memeluk agama Islam. 

Mengapa masih ramai yang masih beragama selain dari Islam? Sekiranya kita melakukan tugas dakwah kepada Allah سبحانه و تعالى, nescaya mereka akan masuk kepada agama Islam. Ketahuilah wahai ahli Malaysiaa, bahawa kita semua menanggung satu tanggungjawab yang besar dan berat iaitu dakwah kepada Allah سبحانه و تعالى dan memastikan orang masuk kepada agama ini, sehingga tiada lagi di tempat kita ini agama-agama yang lain. Sudah tentu, kita tidak memaksa mereka masuk ke dalam agama kita, tapi kita dakwah kepada mereka dengan kasih-sayang, akhlak yang baik sehingga mereka dapat menerima Islam dan memeluk agama yang indah ini.

Hendaklah kita mengajar kepada mereka perkara-perkara fardhu ain. Ini adalah perkara yang mesti dilaksanakan. Hari ini kita lihat orang Islam saling bunuh-membunuh, benci-membenci, kononnya berjihad di jalan Allah سبحانه و تعالى tapi membunuh saudaranya yang Islam. Apa kaitan kita dengan darah-darah ini? Apa kita nak jawab kepada Nabi Muhammad ﷺ? Nabi ﷺ berpesan, “Jauhilah kamu taksub dan asobiyyah. Sesungguhnya asobiyyah ini adalah jijik dan busuk. Sesungguhnya asobiyyah ini pencukur - ia bukan pencukur rambut tapi ia pencukur agama.

Saya mengakhiri kata-kata saya dengan apa yang Rasulullah ﷺ sampaikan pada haji Wada’. Baginda sebelum itu menyoal kepada sahabat - Apakah hari ini? Hari yang haram (10 Muharram). Apakah bulan ini? Bulan haram, yakni bulan Zulhijjah. Apakah negeri ini? Tanah haram, yakni Makkah. Sambung baginda, “Ketahuilah kamu tidak dibenarkan membunuh nyawa, atau merampas harta seorang Muslim yang lain sepertimana haramnya hari ini, bulan ini dan negeri ini. Ya Allah, saksikankah bahwa aku telah menyampaikan. Saksikankah bahwa aku telah menyampaikan. Saksikankah bahwa aku telah menyampaikan. Janganlah kamu selepas ini kembali menjadi kafir, saling membunuh di antara kamu.” Sesuungguhnya kamu menanggung satu tanggungjawab yang besar lebih-lebih lagi, orang-orang yang mencintai Nabi Muhammad ﷺ dan penuntut ilmu.

Akhir sekali, Rasulullah ﷺ menyebutkan, “Tidakkah kamu mahu aku memberikan kepada kamu satu amalan, yang sekiranya kamu amalkan, kamu akan saling mengasihani?” Kemudian baginda berkata, “Sebarkanlah Salam sesama kalian, nescaya kalian akan berkasih-sayang.”

//الحمد لله رب العلمين atas nikmat Islam dan nikmat Nabi Muhammad ﷺ. Maaf atas kekurangan terjemahan.

Tausiyah 3: Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid 
Video MTDM: https://youtu.be/FVDf-l8X9Iw


Menyambung hujung daripada hadis yang disampaikan oleh Syeikh Muhammad Soleh bin Abdul Latif Al-Farfuri tadi, sabda Rasulullah ﷺ, “Kamu tidak mungkin masuk syurga jika tidak beriman. Kamu tidak mungkin beriman jika tidak kasih-mengasihi.” Sebelum saya sambung bahagian ketiga hadis ini, saya ingin menyatakan bahawa Rasulullah ﷺ menggandingkan iman dan kasih-sayang. Jadi, tidak mungkin seseorang mendakwa dirinya beriman kalau jiwanya tidak punya kasih-sayang kepada orang lain. Orang yang tiada kasih sayang kepada orang lain itu dusta dalam imannya.

Lalua Rasulullah ﷺ mengakhiri hadisnya dengan mengatakan, “Mahukah kamu aku tunjukkan satu amalan yang kalau kamu buat, kamu saling kasih-mengasihi?” Nabi ﷺ tidak sebut kamu akan jadi beriman atau masuk syurga, tapi disebut kamu akan SALING MENGASIHI. Ini kerana syurga dan iman tanpa kasih-sayang takkan mungkin diperoleh oleh seseorang yang mendakwa dirinya beriman. Sambung baginda, “Sebarkan salam.”

Apakah maksudnya? Adakah cukup dengan mengucapkan “Assalamu’alaikum?” Tidak. Kita kena memahami dengan lebih dalam lagi apa maknyanya.

Orang muslim itu orang lain selamat dari mulut dan tangannya. Kalau orang maki kepada kita, jangan kita maki balik kepadanya kerana itu bukan sifat orang yang benar beriman. Salah seorang as-solehin yang merupakan auliya, di maki ketika berada di mimbar, tetapi ketikan ditanya anaknya kenapa dia tidak membalas makian orang itu terhadapnya. Jawabnya, “Sejak bila kamu lihat aya kamu ini memaki orang lain? Biarkan orang lain memaki, sesungguhnya makian orang lain takkan merendahkan atau mengangkar darjat kita di sisi Allah سبحانه و تعالى kecuali kalau kita menyikapi sikap orang yang memaki kepada kita dengan tidak memaki kepada sesiapa pun juga. Kata baginda Rasulullah ﷺ, “Memaki orang ialah perbuatan orang fasiq, membunuh orang ialah perbuatan orang kafir.” Inilah ajaran Nabi Muhammad ﷺ. 

Sebarkan salam DAN jaga diri, lidah, tangan untuk orang lain selamat daripada kita, walaupun orang itu maki, caci atau mengabaikan kepada kita. Kalau kita tidak boleh mendatangkan manfaat kepada orang, jangan mendatangkan mudarat kepada orang lain.

Orang mukmin, orang lain selamat daripada dirinya, yakni orang tidak takut kerana garangnya atau buruknya perangai kita. Tidak diberi nama seorang Muslim itu Muslim kecuali orang lain selamat daripada lisan dan tangannya. Tidak diberikan nama seorang Mukmin itu Mukmin, melainkan orang lain merasa aman dengannya. Inilah agama yang dibawa oleh Rasulullah ﷺ.

Kita punya negara, tempat, negeri - mulakan daripada diri kita sendiri untuk menyebarkan salam, menyebarkan kasih sayang walaupun orang lain menyebarkan kebencian. Jangan menyumbang dengan kata-kata untuk menabur kebencian kepada orang lain kerana kita semua adalah umat Nabi Muhammad ﷺ yang menaburkan kasih-sayang dan keselamatan.

Mudah-mudahan Allah سبحانه و تعالى memberikan kita kesempurnaan dalam mengikut kepada Nabi Muhammad ﷺ dalam menjaga lisan kita, komentar kita dalam FB, twitter, whatsapp dsb. Mudah-mudahan kita tidak menggunakan tangan ini kecuali dalam perkara yang mendatangkan manfaat kepada orang lain, InshaAllah. 

//Doa penutup.

*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallahu'alam. 

Popular posts from this blog

Tanggungjawab Adik-Beradik (2) - Tanyalah Ustaz 21.06.2012

Diet Rasulullah (2) – Tanyalah Ustaz 26 Ramadhan 1433H (15.08.2012)

Tafsir Quran: Ayat 282 surah Al-Baqarah - Majlis Ta'lim Darul Mutadza 09.11.2012