Tafsir Surah Mariam 51-158: Kisah Anbiya dan Gunung

بسم الله الرحمن الرحيم 
الحمد لله رب العلمين
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وسلم 

Tafsir surah Maryam ayat 51-58
oleh Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid* 
Masjid Darul Ehsan, 19.08.2015


Ayat 51:


Kisah yang paling banyak kali diceritakan dalam Al-Quran ialah kisah Nabi Musa عليه السلام, cuma kisah Nabi Yusuf عليه السلام yang diceritakan sekaligus dari mula hingga akhirnya dalam satu surah iaitu surah Yusuf.

Nabi ﷺ juga banyak memberi perumpamaan yang menyentuh tentang ketabahan dan kesabaran dan kegigihan berdakwah Nabi Musa عليه السلام. Dalam hadis Nabi ﷺ ada menyebut, “Kalau Nabi Musa hidup di zamanku, maka tiada ruang baginya kecuali ikut kepadaku.” Dalam hadis lain, baginda menyebut, “Semoga Allah merahmati Nabi Musa, sesugguhnya Nabi Musa diduga oleh Allah dengan dugaan yang lebih berat daripada aku tapi dia bersabar.”

Ketika Isark dan Mikraj pun, Rasulullah ﷺ pun bertemu Nabi Musa عليه السلام.
Ketika dalam perjalanan di bumi menuju Israk pun juga Rasulullah ﷺ bertemu Nabi Musa عليه السلام. Dalam sahih Bukhari dinyatakan Rasulullah ﷺ lalu di kubur Nabi Musa dan melihatnya solat. Ketika menceritakan kepada sahabat, Rasulullah ﷺ berkata, “Kalau kamu bersamaku, aku tunjukkan di mana kubur Nabi Musa - tempatnya yang di situ ada tompokan pasir merah.” 

Untuk apa Rasulullah ﷺ ingin tunjukkan kubur Nabi Musa عليه السلام? Ini adalah simbol kepada pentingnya ZIARAH kepada para anbiya dan auliya. 

Nabi Musa menghadapi banyak sekali ujian ketika berdakwah kepada kaumnya, bani Israel. Nabi Musa sendiri mengakuinya dan menggunakan contoh yang berlaku pada dirinya agar Rasulullah ﷺ meminta keringanan solat yang pada asalnya difardhukan sebanyak 50 waktu, kerana beliau tahu kita takkan mampu melakukannya sepertimana kaumnya sebelum ini. Nabi Musa seakan-akan merayu agar Rasulullah ﷺ minta kurang lagi pada Allah سبحانه و تعالى. Bila tinggal 5 pun Nabi Musa suruh minta kurang lagi, tapi Rasulullah ﷺ berkata, “Aku malu pada Tuhanku”. Jadi yang berjasa pada kita ialah Nabi Musa عليه السلام. Ketika Nabi ﷺ susah hati menghadapi gangguan kaum Quraisy, baginda akan mengingati dan menjadikan Nabi Musa عليه السلام sebagai teladan.

‘Mukhlas’ - orang yang terpilih. Kalau ‘Mukhlis ‘maknanya orang yang ikhlas. Dalam ayat ini, Allah سبحانه و تعالى  beri 3 gelaran kepada Nabi Musa عليه السلام iaitu yang terpilih, nabi dan rasul.

Nabi dan Rasul ada banyak bilangannya cuma tidak semua disebut atau diceritakan dalam Al-Quran, dan kita disuruh beriman kepada 25 sahaja. Daripada ini ada 5 yang termulia digelar ‘ulul Azmi iaitu Nabi Nuh, Nabi Musa, Nabi Isa, Nabi Ibrahim, dan Nabi Muhammad ﷺ yang merupakan yang termulia daripada 4 yang lain. Nabi ‘ulul Azmi ialah nabi-nabi yang termulia kerana dikenali dengan sifat kesabaran mereka. Firman Allah, “Sabarlah kamu (Muhammad) seperti sabarnya ‘ulul azmi.” Oleh seban itu, sifat sabar menjadi sebab kemuliaan seseorang. Dikhabarkan nanti Syurga akan memberi salam kepada orang yang memasukinya kerana dahulunya sabar ketika di dunia. Antara golongan yang akan masuk syurga tanpa hisab ialah orang yang sabar. Dan antara amalan yang tiada had hisabnya (sempadan/ganjaran) ialah sabar juga. Ada sebahagian mengatakan maksudnya ialah orang yang sabar akan masuk syurga tanpa hisab.

Apa beza Nabi dan Rasul. Rasul ialah utusan yang mendapat wahyu - baik yang sedia ada atau yang baru - dan mesti menyampaikan kepada orang lain, dan Nabi juga mendapat wahyu tetapi tidak diwajibkan menyampaikan kepada orang lain.

Ayat 52: 


Nabi Musa عليه السلام dipaggil untuk bertemu Allah سبحانه و تعالى i Gunung Tursina. Pada hakikatnya, tidak perlu kepada tempat untuk ‘bertemu’ Allah. Di mana saja kita berdoa, Allah Maha Mendnegar. Jadi kenapa Allah bertemu dengan Nabi Musa di Gunung Tursina? Untuk menunjukkan ada tempat-tempat tertentu yang boleh menjadi sebab untuk mendekatkan diri kepada Allah سبحانه و تعالى. Gunung Tursina ingin dimuliakan Allah سبحانه و تعالى agar menjadi saksi pertemuan Allah dan Nabi Musa dan untuk diingati umat sepanjang masa, dan agar umat menghayati, mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di tempat itu. 

Nabi Muhammad ﷺ berpesan kalau lalu di tempat yang pernah berlaku azab, “Menangislah, kalau tak boleh, berpura-pura menangis.” Suatu hari ketika Nabi ﷺ lalu tempat berlakunya azab kepada kaum Nabi Saleh, baginda berpesan sebegitu walaupun jarak berlakunya sudah ribuan tahun berbanding zaman Rasulullah ﷺ. Ini juga untuk mengingatkan kita untuk takut kepada Allah سبحانه و تعالى dan mengambil iktibar agar tidak berlaku kufur sepertimana yang dilakukan oleh mereka yang diazab.

Bila lalu tempat yang pernah berlaku keajaiban, kita disuruh bertafakur merenung kejadian yang pernah berlaku itu. Peliknya sekarang orang naik Gunung Tursina untuk lihat matahari terbit - memang cantik tapi macam tak pernah lihat matahari terbit - luput daripada matlamat sebenar iaitu untuk ambil iktibar daripada apa yang pernah berlaku di situ - pertemuan dan munajat Nabi Musa عليه السلام kepada Allah سبحانه و تعالى, dilantik menjadi Nabi disitu. Ramai orang alpa tentang ini. Kalau orang bukan Islam pergi tengokk matahati terbit tak apalah, tapi peliknya kalau umat Islam buat begitu, lebih pelik lagi kalau pelajar universiti Al-Azhar sendiri yang pergi sana untuk lihat matahari terbit!

Nabi ﷺ mengajarkan, apabila melalui sesuatu tempat, ambillah iktibar apa yang pernah berlaku di situ, kerana perjalanan Israk dan Mikraj Rasulullah ﷺ juga merupakan perjalanan mencari kesan peninggalan para Anbiya. Baginda dibawa ke kubur Nabi Musa عليه السلام, kemudian dibawa ke tempat kelahiran Nabi Isa. Kenapa? Untuk ambil iktibar sifat-sifat orang yang hebat di sisi Allah dan mencontohi mereka, Dalam Al-Quran pun Allh menyuruh ziarah agar kita mengambil iktibar daripada tempat-tempat yang dilawati.

Sayyidina Uzair lalu satu kampung tak berpenghuni yang sudah usang dan runtuh dan tertanya-tanya, “Bagaimana Allah hidupkan orang yang telah mati?” Perasaan ingin tahunya itu dijawab oleh Allah سبحانه و تعالى dengan mematikan dia. Setelah 100 tahun dia dihidupkan semula. Dan apabila ditanya sudah berapa lama dia berada di situ. Jawabnya sebentar saja - sehari atau setengah hari. Allah nyatakan sebenarnya sudah 100 tahun dan disuruh dia tengok bekalannya, dan keldainya. Bekalannya masih elok tetapi keldainya sudah tinggal tulang. Benda yang mudah rosak, Allah kekalkan baik, dan benda yang lambat rosak (keldai), Allah biarkan rosak. Setelah itu, Allah سبحانه و تعالى tunjukkan bagaimana daging membalut tulang keldai itu sehingga keldai itu hidup semula.

Oleh sebab itu, kita perlu ambil iktibar daripada tempat-tempat diceritakan oleh Allah سبحانه و تعالى, baik tempat yang pernah berlaku azab atau tempat pernah berlaku kebaikan.

“… dan Kami dekatkan dia untuk bermunajat dengan Aku (Allah سبحانه و تعالى).”
Gunung Tursina pernah diangkat oleh Allah sangat hampir ke atas kepala Bani Israel ketika mereka berkata, “Kami dengar tapi kami tak patuh.” Syeikh Muhammad Al-Sha’rawi berkata ketika mentafsirkan ayat ini - Jika dilihat bani Israel (Yahudi)sujud, mereka akan senget sedikit ke kiri atau kanan (tak pasti). Ini kerana setelah meihat Gunung Tursina di atas kepala mereka, baru mereka sujud, tetapi miring kerana mata mereka ingin melihat sama ada gunung itu akan dijatuhkan atau tak. Jadi, Gunung Tur juga pernah jadi saksi bani Israel yang tak mahu patuh pada Allah سبحانه و تعالى.

Kita juga kerap membaca ayat: 

Nabi Musa minta untuk lihat kepada Allah سبحانه و تعالى - tapi Allah kata kamu takkan mampu, tapi kamu lihatlah kepada Gunung. Tetapi Gunung yang kukuh, besar itu pecah ketika melihat kebesaran Allah سبحانه و تعالى. 

Ketika Rasulullah ﷺ disakiti orang Taif, Malaikat Gunung juga yang datang kepada Rasulullah ﷺ dan menawarkan untuk menghancurkan penduduk Taif. Ketika Rasulullah ﷺ naik Gunung Uhud bersama Rasulullah ﷺ, Sayyidina Abu Bakr, Sayyidina Umar, Dan Sayyidina Uthman, Gunung Uhud bergegar. Rasulullah ﷺ berkata, “Tetaplah kamu wahai Uhud, diatasmu ada Rasulullah ﷺ, Siddiq, dan 2 orang syahid.”

Bila kembali dari safar dan nampak Gunung Uhud, Rasulullah ﷺ pun akan lebih bersemangat dan berkata, “Kami cintakan Gunung Uhud dan Uhud pun cinta kepada kami.” Inilah interaksi antara gunung dan manusia. Dalam hadis Qudis, Allah سبحانه و تعالى berfiman dengan menceritakan bahawa gunung marah kepada manusia yang derhaka kepada nikmat Allah سبحانه و تعالى dan menawarkan untuk angkat diri mereka untuk menghukum manusia. Lautan juga begitu. Gunung dan lautan pun marah kerana melihat manusia ingkar pada Tuhannya. Allah سبحانه و تعالى juga berfiman yang maksudnya kamu melihat gunung ini nampak tetap tapi sebenarnya ia bergerak seperti bergeraknya awan. Banyak sekali Allah سبحانه و تعالى menceritakan ttg gunung dan salah satunya ialah Gunung Tur (Tursina).

“Dan kami dekatkan (najiyya)…”
‘Najiyya’ - berasal daripada perkataan ‘munajat’, daripada itu ‘najwa’ iaitu orang yang berbisik-bisik. Jadi orang yang bermunajat kepada Allah سبحانه و تعالى ialah orang yang berbisik-bisik kepada Allah, dan itu adalah adab orang berdoa kepada Allah سبحانه و تعالى 

Allah سبحانه و تعالى, ketika panggil Nabi Musa untuk bermunajat, adalah di panggil ke Gunung Tursina, yakni supaya kita ambil iktibar - jika kita ingin berdoa, carilah tempat yang mulia seperti di rumah Allah (masjid), atau di Masjidil Haram di Mekah dan seumpamanya.

Ayat 53: 

Yang dimaksudkan dengan ‘rahmat Kami’ ialah kawan yang sejati, sepertimana dilantik Nabi Harun menemani Nabi Musa. Nabi Harun sudah lama bersahabat dengan Nabi Musa. Nabi Musa pernah minta izin bawa Nabi Harun untuk menemaninya bertemu Firaun. Ini menunjukkan akhlak Nabi Musa dengan Nabi Harun, iaitu beliat mengakui kelebihan yang ada pada orang lain, walaupun Nabi Musa sendiri ada banyak kelebihan lain berbanding Nabi Harun. Nabi Harun terangkat darjatnya kerana doanya Nabi Musa. Inilah hak persahabatan yang perlu kita ambil pengajaran. Sahabat terbaik ialah sahabat yang paling banyak beri manfaat kepada sahabatnya.

Nabi ﷺ kerap beri perumpamaan tentang Nabi Musa dan juga Nabi Harun. Setiap kali sebelum keluar perang, Nabi ﷺ akan melantik seseorang sebagai wakilnya. Pada perang terakhir yang dihadiri Rasulullah ﷺ (Perang Tabuk) - baginda melantik Sayyidina Ali sebagai wakilnya untuk ditinggalkan di Madinah. Sayyidina Ali yang sebelum itu tidak pernah ghaib dalam mana-mana perang yang dihadiri Rasulullah ﷺ berkata kepada baginda, “Mengapa aku ditinggalkan bersama kaum wanita dan anak-anak?” Lalu Rasulullah ﷺ menjawab, “Tidakkah kamu suka(redha) kedudukanmu di sisiku seperti Harun kepada Musa.”

Ayat 54: 

Salah satu sifat munafik ialah mengingkari janji. Tapi dalam ayat ini Nabi Ismail digelar sebagai ‘benar menepati janji’. Ini kerana dia merelakan dirinya disembelih oleh Nabi Ibrahim. Dia tidak melarikan diri walaupun waktunya disembelih adalah lama selepas dia berjanji, dengan ayahnya yakni dia benar dalam janjinya.

Ayat 55: 

Ulama membincangkan siapakah yang dimaksudkan dengan ‘keluarganya’. Nabi Ismail merupakan seorang yang diberi kelebihan memahami bahasa Arab asli, dan Rasulullah ﷺ merupakan keturunannya yang diberi kelebihan yang sama. Bahasa Arab hari in bukan lagi yang asli. Pendapat pertama mengatakan yang dimaksudkan ialah keluarganya yang dekat. Dipesan untuk solat adalah untuk jaga hubungan dengan Allah سبحانه و تعالى dan zakat, untuk menjaga hubungan dengan manusia lain.

Ayat 56 & 57: 

Dikatakan Nabi Idris diangkat ke langit dan tidak diturunkan lagi. Nabi Isa akan diturunkan kembali Tempat Nabi Idris di langit ketiga, lebih tinggi dari tempat Nabi Adam dan Nabi Isa.

Ayat 58: 

Nabi Adam digelar ‘Bapa Manusia. Nabi Nuh digelar ‘Bapa Para Nabi’. Nabi Nuh عليه السلام berdakwah 950 tahun tetapi yang beriman dengannya dikatakan cuma 70 orang lebih, tetapi beliau tetap sabar berdakwah. Setelah dapat tahu daripada Allah yang mereka itu takkan beriman lagi barulan Nabi Nuh mendoakan agar mereka dihancurkan sehancur-hancurnya, yakni sehingga tiada zuriat lagi daripada mereka. Setelah itu Nabi Nuh عليه السلام diperintah bina kapal dan berlakulah banjir besar yang menghancurkan semuanya kecuali yang mengikut Nabi Nuh dalam bahteranya. Allah سبحانه و تعالى menceritakan tentang datuk/nenek (keturunan) para nabi dalam ayat ini.

Nota: Ayat 58 ialah ayat sujud tilawah, dan digalakkan melakukan sujud selawat setelah membacanya.

*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallahu'alam. 

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab