Korban Cinta (1) – Tanyalah Ustaz 04.10.2013

بسم الله الرحمن الرحيم

Ustaz Mohd Syed Norhisyam al-Idrus

Sumber: FB Ustaz Syed Mohd Norhisyam al-Idrus

Blok 1:
Bacaan ayat 165, surah Al-Baqarah:


Perkataan korban berasal dariapda perkataan Arab – ‘quraba’ yang bermaksud dekat atau untuk mendekatkan. Inilah juga perkataan yang orang Melayu guna untuk menerangkan sahabat yang rapat – iaitu sahabat karib. Jadi orang berkorban adalah untuk mendekatkan diri dengan seseorang atau untuk menunjukkan cinta kepada seseorang. Bila sebut cinta, biasanya orang nampak cinta antara ‘girlfriend’ dan ‘boyfriend’. Jadi, orang berumur boleh bercinta tak? Cuba ibu-ibu, hajah-hajah atau nenek-nenek tanya adakah suami mereka sayang pada mereka? J Ada orang sebut cinta mereka, ada orang tak sebut. Tetapi, Nabi SAW mengajar agar kita menyebut cinta kita. Dalam hadis baginda, Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Apabila kamu sayang seseorang, beritahulah dia.” Jadi, adalah sunat untuk beritahu seseorang yang kita sayang. Oleh itu beritahu kawan,  pasangan, anak-anak, keluarga yang kita sayang pada mereka. Orang zaman Jahiliyyah hanya ada nafsu tanpa cinta. Tetapi, Nabi Muhammad membawa cinta, bukan hanya pada manusia, tetapi juga kepada seluruh alam, yakni termasuklah binatang. Nabi SAW melarang menajamkan pisau di hadapan haiwan yang akan disembelih. Dalam satu kisah ada 2 orang yang sahabat yang duduk di atas unta mereka yang berhenti sambil bersembang. Nabi SAW menegur dengan mengatakan yang unta itu untuk ditunggang ketika dalam perjalanan, dan bukanlah untuk diduduk di atasnya untuk bersembang. Sampai begitu sekali Nabi Muhammad SAW membawa kasih sayang kepada seluruh alam! Tetapi ada orang berkata, “Jika Islam bawa kasih-sayang, mengapa ada perang dalam Islam?” Sebenarnya, mengapa orang kaitkan perang cuma dengan Islam, sedangkan jika kita baca sejarah, semua kuasa besar seperti Amerika, Jepun, China pun ada sejarah perang. Tetapi, Islam membawa rahmat dalam perang - jika membunuh musuh, bunuh dengan pantas agar tidak menyeksanya.

Blok 2:
Sahabat SAW begitu mencintai Nabi SAW dan mereka bersungguh untuk meniru setiap perbuatan yang baginda Nabi SAW lakukan. Contohnya, Abdullah ibnu Umar, pernah menunggang unta dan lalu di satu kawasan lapang, tetapi dia menundukkan kepadalanya. Lalu ditanya sahabat, “Mengapa kamu tunduk di satu kawasan yang lapang?”. Jawabnya, “Aku pernah melihat Nabi SAW tunduk ketika melalui kawasan itu kerana ketika itu ada pokok di situ. Oleh kerana itu, aku pun tunduk untuk mengikuti perbuatan Nabi SAW”. Macamana kita dengan sunnah Nabi SAW? Majoritinya, akan cakap, “Sunnah itu sunat sahaja, bukannya wajib”, tetapi penonton Tanyalah Ustaz tak begitu J. Adakah ini tanda cinta yang sebenar?

Sy. Abu Bakar amat disayangi Nabi SAW, dan Sy. Abu Bakar pun sangat menyayangi Rasulullah SAW. Ayah Sy. Abu Bakar, iaitu Abu Kuhafah hanya mendapat hidayah Islam setelah peristiwa pembukaan semula Kota Mekah oleh Nabi SAW. Ayahnya sudah tua dan buta. Setelah bersetuju memeluk Islam, ayah Sy. Abu Bakar datang kepada Rasulullah SAW. Nabi SAW pun berkata, “Wahai Abu Bakar, ayah kamu sudah tua, biarlah aku yang mendatanginya.” Inilah akhlak mulia yang ditunjukkan Nabi SAW. Tetapi Abu Bakar menolak, dan berkata, “Kamu lebih berhak didatangi, daripada kamu mendatangi”. Inilah cinta – cintanya di dalam hati, tetapi buktinya dapat dilihat di luar. Setelah ayahnya masuk Islam, sepatutnya Sy Abu Bakar gembira kerana dia telah lama berdakwah kepada orang lain dan setelah waktu yang lama, baru ayahnya sendiri memeluk Islam. Tetapi, Sy Abu Bakar menangis, lalu ditanya Rasulullah SAW, “Apa yang menyebabkan kamu menangis sekarang?” Jawab Abu Bakar, “Wahai Rasulullah, aku memang gembira apabila ayahku masuk Islam tetapi aku mengharapkan kalau boleh di tempat ayahku sekarang, yang mengisytiharkan masuk Islam ialah Abu Talib, bapa saudara yang kamu disayangi, ya Rasulullah SAW, yang mati dahulu dalam keadaan tidak beriman. Aku tahu jika Abu Talib mati dalam keadaan Islam, kamu akan lebih gembira lagi ya Rasulullah.” Inilah dalil yang Abu Talib mati dalah keadaan tidak beriman, tetapi dalil yang lebih utama ialah bukti kecintaan Sy. Abu Bakar kepada Rasulullah SAW. Beliau mencintai apa yang dicintai oleh Nabi SAW. Inilah yang dikatakan ulama sebagai tanda kesempurnaan cinta iaitu kita mencintai apa yang dicintai oleh orang yang kita cinta. Contohnya, jika kita cinta A, maka kita pun cinta apa yang A cinta.

Blok 3:
Mengikut sunnah, kita mesti beritahu yang kita sayangkan seseorang. Tetapi apa perlu dijawab apabila diberitahu sebegitu? Kita jawab, “Semoga yang kamu sayangi aku kerana-Nya, Dia juga akan menyayangi kamu”. Maksudnya, kamu kata kamu sayang aku kerana Allah, moga-moga Allah juga sayang kepada kamu. Inilah kehebatan para sahabat – mereka saling berkasih-sayang kerana Allah.

Blok 4:
Ada orang kata tajuk cinta ini untuk orang-orang muda sahaja. Ada orang cinta kepada tokoh-tokoh sehingga ingin mengikut ada saja yang dilakukan tokoh itu. Oleh sebab itu, ada ramai tokoh ditaja syarikat-syarikat besar untuk melariskan produk mereka. Kita sebenarnya perlu menanam cinta kepada Rasulullah SAW. Jadi, bagaimana untuk menunjukkan cinta kepada Rasulullah SAW? Alhamdulillah, ada anak-anak muda yang buat t-shirt dengan tulisan yang ‘awakening’ contohnya, “We love Rasulullah”. Tetapi, tidak cukup dengan itu, kita perlu berkorban masa, tenaga, harta dan perasaan demi Allah Ta’ala. Bab korban perasaan akan disambung dalam siri ke-2 apabila dibincangkan kisah Nabi Ibrahim AS.

Senarai soalan dan jawapan
S: Apakah modal untuk seorang Muslim mencintai Allah, mencintai isteri, keluarga dan agama?
J: Dalam ayat 31, surah Ali-Imran, Allah berfirman:


Orang yang ingin dicintai Allah SWT mestilah mengikut cara Nabi SAW. Orang yang mencintai Allah itu ‘normal’, kerana Allah memberi kita banyak nikmat dan memang wajar kita mencintai Allah dengan segala pemberian-Nya itu, tetapi yang luar biasa ialah apabila Allah mencintai hamba-Nya. Dalam hadis qudsi disebut bahawa apabila Allah mencintai seseorang, maka apabila dia minta, Allah akan beri, Allah akan sentiasa bersama-samanya. Apa modalnya untuk mendapatkan cinta Allah? Adalah dengan mengikut Nabi Muhammad SAW. Oleh itu, jika seorang ayah jadilah ayah sepertimana Rasulullah SAW. Mengikut satu pepatah Arab, “Orang yang mencintai, akan taat kepada orang yang dicintainya”. Jadi, jika cinta Allah, mesti cinta Rasulullah SAW. Jika cinta Rasulullah SAW, mestilah ikut apa yang Rasulullah SAW lakukan. Orang bercinta akan buat apa yang orang dicintainya itu suka. Contohnya, jika ‘boyfriend’ kata suka ‘girlfriend’ pakai tudung ‘awning’, maka ‘girlfriend’ pun akan beli dan pakai tudung ‘awning’ sahaja. Inilah cara membuktikan cinta kepada seseorang. Oleh itu, seorang suami yang betul-betul mencintai keluarganya takkan membiarkan isteri dan anak-anaknya disentuh api neraka. Begitu juga sebaliknya – isteri dan anak-anak takkan buat sesuatu yang boleh menyebabkan suami/ayah masuk neraka kerana diriya. Itulah bukti cinta dan pengorbanan.

S: Ada ramai yang tersilap meletakkan cinta pada yang bukan haknya, dan mengabaikan cinta hakiki kepada Allah SWT. Apakah formula untuk mencintai yang hakiki (Allah SWT)?
J: Ustaz Pahroil Mohd Juoi ada menulis sesuatu yang sangat menarik: ‘Manusia hari ini kadang-kadang lupa - mereka mencintai anak, isteri, sahabat dsb tetapi lupa pada Pencipta anak/isteri/sahabat tersebut’. Oleh itu, saya ingin membetulkan soalan tadi bahawa tidak salah menyintai anak, isteri, sahabat tetapi mestilah asasnya kerana Allah SWT. Biarlah cinta kepada mereka mengingatkan kita kepada Allah. Ada 3 perkara yang perlu dimiliki untuk merasai kemanisan iman: Antaranya ialah sayang kepada seseorang semata-mata kerana Allah. Oleh itu, tip utama untuk saling menyayangi ialah mesti ditanamkan perasaan sayang kepada Allah dalam keluarga. Oleh itu, satu petua untuk dapatkan cinta pasangan (suami/isteri) ialah dengan menanamkan cinta kepada Allah dalam hati pasangan masing-masing. Jadi, apabila suami/isteri tidak sependapat dan berlaku perselisihan dalam rumahtangga, tetapi apabila ada titik pertemuan yang sama iaitu Allah, maka hubungan akan mudah terpaut kembali. Begitu juga dalam keluarga dan persahabatan.

S: Fitrah manusia suka berkasih-sayang tetapi bila dalam bab agama, mengapa kurang yang kasih kepada Islam,  Allah dan Rasul-Nya, dan tidak cintakan mati syahid dan mati?
J: Pepatah Melayu sudah mengatakan – “Tak kenal maka tak cinta”. Pepatah ini hanya benar pada Allah dan Nabi SAW. Jika dengan manusia, ada kalanya, apabila mengenal seseorang dengan lebih dekat menjadikan kita tidak suka kepada mereka. Tetapi, kepada Allah, Rasulullah SAW, dan para sahabat, jika kita semakin mengenali, kita akan bertambah sayang. Kenapa kita tidak cinta untuk mati syahid? Kerana tidak kenal dengan janji Allah dan Rasulullah SAW. Tetapi, jika mereka kenal janji Allah dan Rasulullah SAW, maka mereka akan sanggup meninggalkan anak isteri dan harta demi cinta kepada Allah dan Rasul-Nya. Inilah yang ditunjukkan oleh keluarga Abu Salamah dalam kisah hijrah mereka yang sungguh menyentuh hati. Abu Salamah, Ummu Sulamah dan Sulamah yang masih bayi disekat oleh keluarga masing-masih ketika sampai di Tana’im. Abu Sulamah dibiarkan pergi oleh keluarganya, tetapi keluarga Ummu Sulamah tidak membenarkan dia pergi. Jadi, walaupun saling menyayangi, terpisahlah Abu Sulamah dan Ummu Sulamah demi mendapatkan keredhaan Allah. Maka menangislah Ummu Sulamah melihat suaminya pergi. Tidak cukup dengan itu, keluarga Abu Sulamah mengambil pula bayi lelakinya sehingga mencederakan bayinya itu dan menangislah bayi itu kesakitan. Maka, terpisah pula Ummu Sulamah dan bayinya. Setelah itu, setiap hari, Ummu Sulamah akan datang ke situ dan menangis untuk pergi berhijrah mengikuti suaminya. Setelah satahun, akhirnya, keluarganya pun mengizinkan dan bayinya pun dipulangkan kepadanya. Inilah cinta mereka yang diasaskan kerana Allah Ta’ala. Panjang lagi kisah ini sebenarnya.


S: Bagaimana untuk merangsang cinta kepada Allah dan Rasul-Nya, kerana sebagai manusia kita diuji dengan cinta keluarga dan harta? Bagaimana untuk menyebut nama Allahs sehingga bergetar hati kita kerana pada pendapat saya, kita tidak kenal Allah dan masih belum habis membaca ayat-ayat Allah?
J: Caranya ialah dengan menghadiri majlis-majlis ilmu. Para ulamak ialah pewaris nabi-nabi. Nabi-nabi ialah yang paling kenal kepada Allah dan tuga mereka ialah untuk menanam rasa cinta kepada Allah dan Rasul. Tidak cukup jika kita cuma baca Quran secara sendirian. Cara kedua ialah dengan berdoa dengan satu doa yang diajar Rasulullah SAW untuk mendapatkan cinta Allah SWT:


S: Apabila cinta kepada Rasulullah, kita juga perlu cinta kepada ulamak. Tetapi ada ulamak benar dan tidak benar. Ulamak mana yang kita perlu ikut?
J: Imam Ghazali memang ada menyebut 2 kategori ulamak ini – yang benar dan tidak. Ulamak yang sebenar takut kepada Allah, tetapi ada juga orang yang bertaraf ulamak menggunakan ilmunya untuk mendapatkan kelebihan dunia. Jadi, ulamak sebeginilah yang akan mengelirukan masyarakat. Al-Quran memberi panduan dalam hal ini dan menyatakan bahawa ulamak sebenar ialah mereka yang takut kepada Allah dan mengejar keredhaan Allah. Kebiasaaanya, orang ramai pun akan boleh menilai mereka dan biasanya orang yang mengikut mereka pun biasanya tidak ikhlas dan mengharapkan balasan.

والله أعلمُ بالـصـواب

Popular posts from this blog

Tanggungjawab Adik-Beradik (2) - Tanyalah Ustaz 21.06.2012

Diet Rasulullah (2) – Tanyalah Ustaz 26 Ramadhan 1433H (15.08.2012)

Tafsir Quran: Ayat 282 surah Al-Baqarah - Majlis Ta'lim Darul Mutadza 09.11.2012