Korban Cinta (2) – Tanyalah Ustaz 05.10.2013

بسم الله الرحمن الرحيم
Ustaz Syed Norhisyam Tuan Padang


Bacaan ayat 207, surah Al-Baqarah:

Allah sebut dalam ayat ini bahawa cuma sebahagian manusia yang sanggup berkorban untuk mendapatkan keredhaan Allah. Moga-moga kita semua termasuk dalam golongan ini. Amin.

Bila sebut korban – maknanya mestilah sesuatu yang kita sayang, atau penting bagi kita. Kalau berikan selipar jepun yang sudah putus sebelah itu tidaklah dinamakan korban! Ada yang tanya di email/facebook – Adakah perlu mengorbankan cinta kekasih demi mendapatkan restu ibu bapa? Ya, kerana cinta Allah adalah melalui redha ibu bapa.

Ibu bapa yang lihat anak dalam kesusahan akan sanggup berkorban demi menyelamatkan anak mereka, contohnya jika berlaku lemas atau kebakaran.

Para sahabat Nabi SAW dahulu juga banyak berkorban demi Islam. Salah seorang daripada bernama Zaid ibnu xxx, dan dia diseksa oleh Abu Suffiyan yang masih belum Islam ketika itu. Nabi SAW sudahpun berhijrah ke Madinah ketika itu. Abu Suffiyan bertanya kepadanya, “Adakah kamu ingin aku menggantikan tempat kamu dengan Muhammad sekarang?” Jawab Zaid, “Demi Allah, aku tak nak Muhammad berada di tempatku sekarang. Aku tak nak Muhammad terkena duri sekalipun dalam keadaan aku sedang berehat-rehat bersama keluargaku.” Dengan kata lain, beliau relah disakiti, dikhianati semata-mata untuk mengamalkan apa yang Nabi Muhammad SAW bawakan. Abu Suffiyan berasa hairan lalu mengungkap kata-kata yang masyhur iaitu, “Aku tidak pernah melihat seseorang cinta kepada seseorang sebagaimana pengikut Muhammad SAW”. Inilah cinta yang ingin kita lahirkan. Dalam satu kisah lain, suatu hari Rasulullah SAW berkhutbah di dalam masjid da nada seorang sahabat yang berdiri, maka baginda SAW menyuruhnya duduk. Pada masa yang sama, seorang sahabat lain dalam perjalanan ke masjid dan terdengar suara Nabi SAW menyuruh “Duduk, duduk”. Walaupun beliau belum sampai ke masjid, sahabat itu terus duduk di luar masjid. Apabila orang bertanya, “Mengapa kamu duduk di luar masjid.” Jawabnya, “Aku mendengar Rasulullah SAW menyuruh duduk, lalu aku pun duduk di sini.” Ini menunjukkan yang cinta akan melahirkan ketaatan.

Antara tanda cinta kepada Nabi Muhammad SAW ialah dengan kita bersungguh untuk melakukan apa yang Nabi lakukan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah, janganlah kamu yang mengambil bahagian korban memotong kuku atau mencabut bulu”. Oleh itu, adalah sunat bagi yang mengambil bahagian korban tahun ini, untuk tidak memotong kuku dan bulu dirinya (bukan kuku/bulu binatang) bermula pada 1 Zulhijjah sehingga hari sembelihan korban itu. Menurut Imam Nawawi, ini adalah untuk kita merasai apa yang dirasai oleh orang yang sedang berihram di Mekah. Sunat ini ramai orang yang terlupa untuk lakukan. Oleh itu, saya ambil kesempatan untuk memberi peringatan secara langsung di sini.

Senarai soalan dan jawapan

S: Ustaz mengatakan bahawa jika kita mencintai Allah, maka kita juga perlu mencinta Rasul. Bagaimana dengan golongan yang mengutuk para sahabat Rasulullah SAW?
J: Bila kita mencintai Rasulullah SAW, kita mesti sayang pada orang yang Rasulullah SAW sayang. Para sahabat, para ulamak, orang yang beramal soleh, yang banyak bersedekah, yang banyak solat – semuanya adalah orang yang Nabi SAW sayang. Orang yang menghina para sahabat, Ummul Mukminin Aisyah RA - adalah golongan yang turut menghina Rasulullah SAW seperti yang disebut ulamak ahli sunnah wal jamaah sebagai perkara yang boleh membawa kepada kekufuran kerana di dalam Al-Quran, Allah menyebut, “Rodiyallahu’anhum wa rodi’anh (Allah redha kepada para sahabat). Ada juga hadis-hadis sahih yang menyebut nama-nama sahabat yang dijamin masuk syurga. Kita, jika orang kutuk mak atau anak kita pun kita akan marah. Walaupun jika anak kita itu salah, kita akan tetap menyebelahi anak itu. Jika anak yang bersalah pun kita sayang, bagaimana pula dengan isteri Rasulullah, dan sahabat Rasulullah yang Rasulullah SAW sayang? Di situlah pengukur iman kita. Dalam kisah riwayat Al-Bukhari, Abdul Rahman bin Auf menceritakan ketika Perang Badar, ada 2 sahabat daripada kaum Ansar Madinah meminta ditunjukkan yang mana satu Abu Jahal. Apabila ditanya apa yang ingin mereka lakukan kepada Abu Jahal. Jawabnya, “Kami diberitahu Abu Jahal dahulu di Mekah banyak maki-hamun, menganggu dan menghina Rasulullah SAW. Hari ini, kami ingin bunuh dia.” Lalu mereka berdua pun meluru masuk ke dalam peperangan dan cuma ‘target’ untuk membunuh Abu Jahal dan tidak mempedulikan orang lain. Inilah bukti cinta sahabat kepada Rasulullah SAW dan sesama mereka.

S: Ramai manusia terlalu mengejar keduniaan secara melampau. Apakah kaedah terbaik untuk menyedarkan golongan ini?
J: Ada orang sanggup korbankan masa kerana cintakan dunia. Lebih teruk apabila mengorbankan isteri dan anak-anak demi cinta dunia. Tapi yang paling teruk ialah yang mengorbankan agama demi dunia, walaupun pangkatnya besar, terkenal atau duit dan hartanya banyak. Bagi golongan sebegini, kena tengok jika ada orang disekelilingnya yang mampu memberi nasihat, atau berkongsi bahan bacaan baik, atau jika sukar menegur secara terus ajak mereka menonton rancangan majlis ilmu seperti program ‘Tanyalah Ustaz’. Kalau terlepas di TV, boleh tonton semula di tonton.com.my. Yang penting perlu diajak kepada majlis ilmu, jika segan nak ajak ke masjid, menonton di TV pun jadilah. Kadang-kadang Allah sayangkan mereka dengan memberi ujian kesusahan dalam hidup yang akhirnya menjadi ‘turning point’ mereka pulang kepada Allah. Oleh itu, bila kita sayang kepada keluarga/sahabat kita ini, di samping menasihati, kita doakan mereka juga. Tetapi di samping itu, kita perlu juga usahakan sesuatu secara istiqamah – contohnya kita boleh hantar sms dengan kata-kata hikmah. Apabila istiqamah, InsyaAllah akan tersentuh juga hati seseorang dengan usaha yang dilakukan itu.

S: Ramai gadis ‘terkorban’ kerana cinta hari ini. Kenapa perkara ini berleluasa hari ini?
J: Mungkin kerana terpengaruh dengan budaya yang diimport dari luar. Kadang-kadang gadis sanggup membiarkan dirinya dinodai oleh kekasih yang dikenali baru 2 tahun, tapi melupakan cinta ibu bapa yang telah menjaganya 20 tahun yang lalu. Ini banyak berlaku kerana cinta itu tidak berdasarkan kepada cinta kepada Allah. Mereka yang bercinta kerana Allah akan menjaga segala syariat yang Allah tetapkan. Berkorban memang menuntut untuk kita meninggalkan sesuatu (yang disukai hawa nafsu) demi mendapatkan sesuatu yang lebih baik (keredhaan Allah).

S: Kita selalu dengar ungakapan ‘Sayangkan anak tangan-tangankan, sayangkan isteri, tinggal-tinggalkan’? Adakah ucapan ini sesuai dengan kehendak Islam?
J: ‘Sayangkan anak tangan-tangankan, sayangkan isteri….peluklah, jangan tinggal-tinggalkan pula J.Ini ungkapan orang-orang dahulu yang membawa maksud jika sayangkan anak, pukullah sekali-sekala, tetapi adakah boleh kita memukul anak dalam Islam? Hari ini ada idea Barat yang menolak sepenuhnya untuk memukul anak. Namun dalam Islam, sebenarnya ada dibenarkan untuk memukul anak iaitu jika dia tidak solat pada umur 10 tahun. Namun, bukanlah dipukul setiap hari, tetapi pukulan itu hendaklah seperti garam dalam masakan. Ibu bapa perlu melebihkan memberi kasih-sayang, pujuk dan memanggilnya dengan nama-nama yang manja. “Sayangkan isteri, tinggal-tinggalkan” – ini bahaya sedikit kerana sepatutnya jika sayangkan isteri, hendaklah gembirakan hatinya, buat dia tersenyum, pujuk dia. Tapi jangan pula kata itu ‘queen control’ kerana Nabi SAW ialah seorang yang sangat menghargai isteri-isteri baginda. Rasululllah SAW ialah seorang yang ‘good listener’ kepada isteri-isterinya. Rasulullah SAW bersabda, “Orang mukmin yang paling sempurna iman ialah yang paling baik akhlaknya. Sebaik-baik akhlak ialah akhlak terhadap isterinya dan akulah yang sebaik-baik akhlak kepada isteriku”. Oleh itu, saya kurang setuju dengan bahagian kedua pepatah ini. Jika betul suami sayangkan isteri, pimpinlah mereka ke jalan Allah dan ke syurga. Ada kata pepatah Inggeris yang mengatakan bila berjauhan akan bertambah kerinduan, tetapi Islam mengajarkan jika sayangkan isteri, bawa mereka ke syurga.

S: Mohon ustaz mengulangi doa memohon kasih kepada Allah seperti yang diberi sebelum ini.
J: Doa ini riwayat Tarmizi, daripada hadis Nabi SAW yang mengatakan bahawa ini ialah doa Nabi Daud:


S: Di dalam sejarah Islam, Abu Talib sangat sayangkan Rasulullah SAW dan banyak membantu baginda, tetapi mati dalam keadaan tidak beriman. Jadi, adakah sayang kepada Rasulullah SAW tidak membantu dirinya?
J: Daripada segi sejarah, memang Abu Talib sangat besar jasanya kepada sejarah awal Islam. Memang Abu Talib yang memelihara Nabi SAW ketika baginda masih kecil. Ketika baginda SAW mula berdakwah pun, Abu Talib yang banyak melindunginya. Bahkan ketika orang Quraisy memberi ancaman, Abu Talib menyuruh baginda Nabi SAW menukar tempat tidur dengannya demi menjaga keselamatan baginda. Di peringkat awal dakwah, orang Quraisy tidak berani menyentuh Nabi SAW kerana segan dengan Abu Talib. Di akhir usia Abu Talib, Nabi SAW datang dan meminta beliau mengucap 2 kalimah syahadah sebelum meninggal, tetapi Abu Jahal yang berada berdekatan menyuruhnya menolak. Baginda SAW memujuk lagi, tetapi Abu Jahal tetapi menyuruh menolak, dan akhir sekali dia mati dalam keadaan tidak beriman. Oleh itu, pandangan ASWA menyatakan yang dia mati dalam keadaan tidak beriman. Oleh kerana terlalu sayangkan Abu Talib, Nabi SAW memohon keampunan bagi pihaknya. Lalu, Allah turunkan ayat menegur perbuatan tersebut. Oleh itu, kita tidak boleh mendoakan untuk orang yang meninggal dalam keadaan tidak beriman, tetapi selagi dia masih hidup, kita boleh terus mendoakan agar mereka diberi hidayah. Oleh itu, bagi Abu Talib, azab seksaanya telah diringankan iaitu dengan diberi pakai kasut neraka yang akan menyebabkan otaknya menggelegak. Dari itu, pengajarannya ialah cinta sahaja tidak mencukupi, tetapi ianya hendaklah membawa kepada taat kepada Allah.

والله أعلمُ بالـصـواب

Popular Posts