Tafsir ayat 71-74, surah Ali-Imran, MTDM, 13.09.2013



بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ 


Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar A-Hamid

Apa yang kita takutkan untuk menterjemahkan Islam yang kita mulia dengannya kepada orang bukan Islam?
Sumber asal video Darul Murtadza
Ayat 71:

Ayat menceritakan buruknya seseorang dan wasilah (tipu helah atau usaha) untuk menyesatkan orang lain, yakni buruknya individu itu dan buruknya perbuatan yang dilakukannya itu. Orang jahat yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah ahli kitab, dan mereka menginginkan orang baik menjadi jahat. Jika seseorang berbuat jahat – tanpa mengajak orang lain, maka dia tidaklah seteruk orang yang dirinya berbuat jahat dan mengajak orang lain juga berbuat jahat bersamanya.

Ahli kitab telah diberi kitab sebelum orang-orang beriman (orang Islam) lagi, dan sepatutnya mereka menjadi teladan baik kepada orang-orang yang lahir selepas mereka atau orang yang mendapat kitab selepas mereka. Tetapi, sebaliknya, mereka tidak mahu menerima hidayah dan menjadikan orang lain juga menolak hidayah itu dengan menipu dan berdusta kepada mereka.

Inilah ahli kitab. Apabila mereka ditanya tentang sifat-sifat Rasulullah SAW seperti yang diceritakan di dalam kitab mereka – Injil atau Taurat – mereka sembunyikan fakta tersebut dan tidak memberitahu. Apa tujuannya? Agar orang yang bertanya itu tidak tahu dan tidak mendapat ilmu, maka tanpa ilmu orang itu takkan mendapat hidayah dan akan tetap berada dalam kesesatan. Lebih teruk daripada itu, mereka mengubah kandungan tentang Rasulullah SAW di dalam kitab Injil dan Taurat mereka, dan mengatakan yang ayat itu ialah ayat daripada Allah SWT (contoh seperti firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 79). 


Mereka mengatakan Nabi terakhir seperti yang tertulis dalam kitab mereka ialah bukan Nabi Muhammad SAW. Padahal ayat yang mereka maksudkan itu ialah ayat yang mereka sendiri menulisnya, dan bukan ayat Allah SWT. Oleh itu, buruknya seseorang itu bukan sekadar dengan perbuatan buruk dirinya, tetapi juga apabila dia mengajak orang lain kepada keburukan. Dengan itu, sebaliknya, tiada orang yang lebih baik daripada orang yang berbuat baik dengan dirinya, dan mengajak pula orang lain berbuat baik juga. Kata Nabi SAW, “Sebaik-baik orang ialah orang yang banyak memberi manfaat kepada orang lain", yakni orang yang suka berkongsi manfaat kebaikan dengan orang lain.

"Semua makhluk perlu kepada Allah, yang paling disukai Allah ialah makhluk yang banyak mendatangkan manfaat kepada makhluk lain."

Maka, dalam ayat ini Allah menyentuh keburukan segolongan daripada ahlul kitab yang menyesatkan orang lain. Golongan ini bukanlah daripada orang awam, sebaliknya daripada kalangan ulamak – iaitu mereka yang tahu dan ahli dalam kitab Taurat, atau dalam kitab Injil. Bahaya ulamak ini bak kata pepatah, “Orang ‘alim kalau tergelincir kata-katanya, satu dunia akan tergelincir sama.” Ini kerana jika pengikutnya ramai, maka ramailah orang yang akan sesat sama kerana mengikut kata-kata orang ‘alim yang sesat dan tidak betul itu. Oleh itu, orang yang alim dan ada ilmu tetapi tidak bermanfaat ilmunya, inilah yang dikhuatiri Nabi SAW. Dalam ayat ini Allah menyebut:

“Wahai ahli kitab…”
Ini merujuk kepada orang yang ahli, yakni pakar dan tahu isi kitab (Taurat/Injil) dan tahu cara menyampaikannya.

“Mengapa kamu memakaikan kebenaran itu dengan kebatilan…”
Tujuan mereka adalah untuk menyembunyikan yang benar dan menipu kepada orang lain dan menampakkan kebatilan sebagai yang benar. Di akhir zaman akan berlaku perkara sedemikian. Nabi SAW bersabda, “Bagaimana kamu nanti di satu zaman, bilamana orang tidak menyuruh kepada yang makruf dan tidak mencegah kepada yang mungkar?” Maknanya, akan ada zaman di mana orang tidak lagi menyuruh kepada berbuat baik dan tidak melarang untuk berbuat tidak baik. “Perkara seperti ini akan terjadikah?” tanya sahabat yang terperanjat kerana zaman seperti itu akan berlaku. Kata baginda Rasulullah SAW, “Zaman yang lebih teruk daripada itu juga akan berlaku.” “Apa yang lebih teruk wahai Rasulullah?” tanya sahabat lagi. “Bagaimana akan datang satu zaman di mana orang akan menyuruh berbuat batil dan melarang berbuat makruf”.  Sahabat terkejut kali ini lebih daripada terkejut kali pertama tadi. Tanya sahabat lagi, “Benda itu boleh berlaku, ya Rasulullah?” kata Nabi SAW, “Yang lebih teruk daripada itu juga akan berlaku.” Sabahat bertanya, “Apa yang lebih teruk, ya Rasulullah?”. Jawab baginda, “Bagaimana suatu masa nanti, kamu tengok benda yang mungkar macam makruf, tapi tengok benda yang makruf macam mungkar.”
Maknanya - orang yang berbuat baik akan di’condemn’, tetapi orang yang berbuat tak baik akan kelihatan seperti berbuat baik. Ini kerana sistem penilaian manusia sudah rosak sepertimana kacamata yang sudah rosak, maka tidak akan dapat melihat dengan baik lagi. Bukankah ini zaman kita sekarang?

Macam-macam perkara yang mungkar jadi makruf, dan yang makruf jadi mungkar. Inilah salah satu perkara yang dilakukan ahlul kitab, yang mengikut kepada konsep iblis. Iblis, bilamana ingin menipu dan memperdaya kepada manusia, akan menggunakan konsep ‘memakaikan yang hak kepada yang batil’ atau yang sebaliknya, sehingga yang benar nampak batil, dan yang batil nampak benar. Dalam kisah Nabi Adam dengan Iblis, Allah berfirman kepada Nabi Adam, “Makan apa saja yang kamu ingin makan, tetapi satu pokok ini, jangan kamu dekat.” Subhanallah…larangan Allah ialah – jangan kamu dekati pokok ini, bukannya jangan kamu makan! Maknanya mendekatinya pun sudah dilarang, apatah lagi memakannya. Difahami daripada ayat ini bahawa hal-hal yang mungkar, larangan ialah bukan untuk melakukannya sahaja, bahkan mendekati perbuatan/tempat mungkar itu merupakan satu langkah awal untuk mengelak melakukan perbuatan mungkar tersebut. Jangan kita kata, “Tak apa, dekat saja, kita bukan buat pun..” kerana lama-kelamaan, seseorang akan tergelincir juga melakukannya. Begitulah larangan Allah dalam melarang perbuatan zina:


Maknanya apa sahaja yang boleh mendekatkan kepada zina perlu dijauhi – tak kita jika ianya ‘chatting’ atau sms atau ‘facebook’ atau apa yang sahaja yang boleh menghantar kepada perkara yang diharamkan Allah SWT. Itulah batasan-batasan Allah, jangan kamu dekati. Jika kamu dekati, kamu boleh tergelincir. Ini ialah sistem Allah SWT bilamana menceritakan tentang benda yang mungkar.

Iblis berkata kepada Adam, “Kamu tahu kenapa kamu tak dibenarkan makan buah itu?” Nabi Adam berkata yang dia tak tahu. Kata iblis, “Allah tidak mahu kamu makan buah itu, kerana jika kamu makan, maka kamu akan kekal hidup di dalam syurga.” Kata Iblis, “Aku bersumpah demi Allah, saya ini ialah orang yang menasihati kepada kamu. Ada 2 sebab kamu dilarang makan buah ini: yang pertama adalah kamu kekal di dalam syurga, dan kedua adalah kamu boleh keluar daripada syurga. Jadi, jika kamu makan, kamu akan kekal dalam syurga dan kamu tak akan dikeluarkan daripada syurga.” Nabi Adam telah melihat syurga iaitu tempat segala kenikmatan dan oleh kerana tabiat manusia memang suka kepada perkara yang nikmat, maka dimakan buah itu oleh Nabi Adam. Maka, terbuka baju yang dipakai Nabi Adam ketika itu, dan dia pun mengambil daun-daun syurga untuk menutup auratnya dan Siti Hawa. Kejadian itu adalah sunnatullah sebenarnya, kerana memang asalnya Allah menciptakan Adam adalah untuk berada di atas bumi. Allah tidak meletak Nabi Adam di syurga dan kemudian mengeluarkannya kerana menghukumnya, tak, Allah memang bermaksud untuk mencipta manusia di atas muka bumi. Sebelum Adam diciptakan, Allah berfirman kepada malaikat:


Khalifah pertama di atas muka bumi yang dimaksudkan di sini ialah abah kita – Nabi Adam as. Hanya proses untuk menurunkan Nabi Adam ke muka bumi ini, maka dijadikan beberapa sebab oleh Allah SWT. Nabi Adam diletakkan terlebih dahulu di dalam syurga dan diberi nikmat dan kemudian berlaku apa yang telah berlaku daripada kisah Iblis untuk memberitahu bahawa tujuan Nabi Adam adalah untuk menjadi khalifah di muka bumi dan menjadi penyebab adanya zuriat berterusan sehingga akhir zaman. Musuh utama manusia di muka bumi ialah iblis, yang telah menyebabkan Nabi Adam dikeluarkan daripada syurga. Tetapi kita tidak boleh menyalahkan mengapa Nabi Adam makan buah khuldi itu sehingga dikeluarkan daripada syurga. Tahu tak, jika Nabi Adam tak makan buah khuldi itu, maka yang seronok di dalam syurga hanyalah Nabi Adam sahaja, kerana tiada anak/zuriat di dalam syurga. Iblis, ketika menghasut Nabi Adam, mengatakan yang batil kepada yang yang hak. Dia menyuruh Nabi Adam melakukan perkara yang dilarang Allah SWT. Ingatlah bahawa tidak akan ada nikmat dalam melakukan perkara mungkar kepada Allah SWT. Adalah dusta bagi mereka yang mengatakan bahawasanya ada nikmat dalam melakukan kemungkaran. Walaupun zahirnya orang berkata mencuri itu dapat banyak duit, walaupun orang yang mengikut hawa nafsunya merasa senang. Dia tidak tahu risiko apa yang akan ditanggung kesan perbuatannya yang dia nampak senang sesaat tetapi akan menyesal seabad.

Ini bahagian daripada cara buruk orang yang berusaha menyesatkan orang lain. Seseorang yang berkata kepada seseorang, “Tak payah berbuat baik” adalah tidak lebih teruk berbanding dengan orang yang berkata, “Solat itu adalah perbuatan yang mungkar” atau membuat helah supaya orang nampak perbuatan baik menjadi tidak baik, dan perbuatan tidak baik menjadi baik dan menyebabkan orang ramai jadi keliru. Salah satu perbuatan buruk seseorang ialah mencari alasan-alasan tertentu untuk membuat perkara tidak baik dan menjadikannya keuzuran untuk berbuat perkara tidak baik ituf. Seperti dalam kisah adik-beradik Nabi Yusuf a.s. Mereka menganggap perbuatan yang akan mereka lakukan itu akan dapat diampunkan Allah dengan taubat yang akan mereka lakukan setelah itu. Tidak terfikir oleh mereka akan siapa yang memberi jaminan bahawa taubatnya itu akan diterima? Tak terfikir oleh mereka kenapa mereka merancang untuk bertaubat atas dosa yang mereka belum buat? Orang bertaubat setelah melakukan dosa, tetapi jika merancang untuk bertaubat sebelum membuat dosa, itu tidak masuk akal! Tapi bagaimana mereka boleh merancang sebegitu? Sebenarnya mereka menipu dan memalsukan kepada diri mereka sendiri. Kata mereka, “Tak apa, kita buat dulu, nanti kita taubat.” Mereka menganggap apa yang dilakukan ialah perbuatan biasa yang akan mendapat pengampunan Allah SWT. Ingat, bilamana kita ada azam untuk membuat perkara mungkar, lalu kita mencari sebab-sebab untuk membolehkan kita melakukannya – maka itu adalah usaha membenarkan usaha kita yang salah, maka kita telah memakaikan kebatilan dengan kebenaran, atau sebaliknya. Oleh itu, perlu tekan brek, dengan berkata, “Ada syaitan..nak menyesatkan kepada aku, ada syaitan nak menipu kepada aku”.

"... dan kamu menyembunyikan kebenaran sedangkan kamu mengetahuinya."
Ahlul kitab menyembunyikan kebenaran sedangkan mereka tahu akan kebenaran. Maka, orang yang diam daripada menyampaikan yang benar (hak) seumpama syaitan yang bisu.


Ayat 72:

Salah satu tipu-muslihat yang mereka (ahlul kitab) lakukan untuk menyesatkan orang beriman ialah dengan menjual agama mereka. Mana ada orang yang lebih hina daripada orang yang menjual agama mereka sendiri dengan tujuan untuk mengajak orang lain masuk agama mereka. Yahudi memberitahu antara mereka bahawa mereka akan beriman dengan Rasulullah untuk menipu sahaja, tetapi mereka sebenarnya telah meninggalkan (menjual) agama mereka sendiri. Tiada orang yang lebih hina daripada orang yang menjual agamanya sendiri, tiada orang yang lebih hina daripada orang yang tidak merasa bangga dengan agama yang Allah muliakan seseorang itu dengannya iaitu Islam.  Berapa ramai orang Islam yang bilamana pergi ke negara bukan Islam, malu untuk menunjukkan keislamannya? Kadang-kadang nama yang asalnya Daud, pergi ke sana sudah jadi David! Mereka takut dengan persepsi orang di sana terhadap Islam jika diketahui keislaman memalui nama mereka? Apa yang kita takutkan untuk menterjemahkan Islam yang kita mulia dengannya kepada orang bukan Islam? Kenapa kita menganggap kita hina dengan agama yang Allah muliakan kita dengan agama ini? Nak solat pun kadang-kadang takut. Kata Sy. Umar Al-Khattab, “Kami ini bangsa yang dimuliakan oleh Islam. Bilamana kami mencari kemuliaan selain daripada Islam, Allah akan hina kami.”

Ahlul kitab merancang untuk masuk Islam dan kemudian keluar kembali. Mereka merancang meninggalkan agama mereka, dan masuk kepada Islam dengan tujuan menipu kaum Muslimin, dan petang harinya mereka akan keluar daripada Islam dengan harapan orang-orang yang beriman akan ikut keluar Islam bersama-sama mereka. Pada pandangan orang Yahudi – orang-orang Arab yang ummi (tidak tahu menulis dan membaca) menilai mereka sebagai orang yang terlebih dahulu mendapat kitab. Jadi, bilamana mereka masuk kepada Islam kerana keyakinan mereka kepada Islam, tetapi kemudian keluar – ini bermakna ada sesuatu yang tidak kena dengan Islam. Jadi, orang-orang yang ummi itu juga akan ikut jejak langkah mereka untuk keluar daripada Islam. Tujuan mereka ialah untuk mengeluarkan orang-orang beriman daripada agama Allah SWT, walaupun dengan menjual agama dan maruah mereka sendiri. Mereka senyap-senyap masuk Islam di pagi hari dan petangnya keluar daripada Islam. Namun, perancangan dan harapan mereka tidak berjaya. Bagaimana akan berjaya rancangan mereka bilamana iman masuk ke dalam hati seseorang, kerana ianya takkan keluar! Bilamana Allah menanamkan iman dalam hati seseorang, takkan keluar iman itu walau usaha apa sekalipun yang dilakukan.

Ayat 73:

Mereka menegaskan sesama mereka bahawa mereka hanya berpura-pura masuk Islam dan agar mereka tetap dengan agama Yahudi. Mereka sebenarnya khuatir juga jika ada antara mereka yang berpura-pura pada asalnya, tetapi terus kekal masuk Islam. Jadi, mereka mengingatkan untuk mengikut agama Yahudi. Sebenarnya mereka takut-takut dan tidak yakin kerana mereka tahu yang mereka berada dalam pihak yang batil, maka mereka khuatir jika kebatilan itu akan terbuka. Perancangan mereka ini berlaku secara rahsia tetapi Allah sendiri menyatakannya kepada baginda Rasulullah SAW.

".. Sesungguhnya hidayah yang sebenar ialah hidayah Allah."
Kaum Yahudi khuatir jika orang beriman mendapat tahu bahawa konsep agama yang dibawa Nabi Muhammad SAW itu selaras dengan apa yang sebenar diturunkan oleh Allah kepada Nabi Musa dan Nabi Isa. Kaum Yahudi tidak mahu jika orang Islam faham kitab Al-Quran, dan hikmah tentang Al-Quran. Mereka ingin menjadikan orang Islam meragui tentang Al-Quran. Oleh itu, mereka berusaha mengajak orang beriman keluar daripada agama Islam. Maka, Allah menjawab kepada mereka bahawa mereka tiada kuasa untuk menyesatkan dan yang memberi hidayah ialah Allah SWT. Hidayah itu akan diberi Allah kepada sesiapa yang dikehendakinya. Orang yang sudah sesat, takkan mampu diberi hidayah melainkan oleh Allah. Orang yang sudah mendapat hidayah, takkan mampu disesatkan melainkan dengan izin Allah. Hidayah adalah di tangan Allah SWT. Semoga Allah golongkan kita dalam golongan orang-orang yang dipilih untuk mendapatkan rahmat dan hidayah dari Allah SWT. Amin.

Edited:
Tambahan ayat ke -74:



p/s: Mohon maaf atas segala kekurangan. Semoga ada manfaatnya. 

Popular Posts