"Demi Cinta Allah - Bersabarlah & berbuat ehsan" - MTDM 28.03.2014

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid

Sumber video rakaman Darul Murtadza


Tafsir Quran surah Al-Imran ayat 145-148

Ayat 145:

Ayat membicarakan tentang nasib yang akan menimpa setiap yang bernyawa, hanya saja yang menentukan nasib itu – bila datangnya dan dalam keadaan apa – hanyalah Allah SWT. Itulah kematian. Setiap yang bernyawa pasti akan merasa kematian. Sebab boleh pelbagai, tapi mati itu adalah satu. Yakni ada orang meninggal dunia di atas katil, ketika berjalan, ketika memandu, ketika naik kapal terbang atau kapal lau atau apa saja. Sebab berpisahnya roh dengan jasad itu boleh pelbagai. Akan tetapi dalam ayat ini, Allah Ta'ala ingin memberitahu agar umat manusia menyedari dan memahami bahawa tidak ada sesiapa yang boleh mengizinkan untuk sesuatu makhluk itu mati kecuali Allah Ta'ala. Tak seorang pun, tak ada makhluk apa pun juga yang  mempunyai hak autoriti untuk mematikan orang lain, termasuk pembunuh sendiri. Dia tak punya kuasa untuk bunuh orang lain.

Jadi, macam mana dengan orang yang bunuh orang lain? Dia hanya melakukan sebab, yang jika dia tidak melakukkannya pun, orang itu akan mati dengan sebab laim atau tanpa sebab. Berapa ramai orang berusaha untuk bunuh diri tapi tak berjaya? Dia mungkin putuskan urat nadinya, tapi ada orang nampak dan selamatkan dirinya. Walaupun ada juga orang yang bunuh diri dan berjaya. Yang mematikan bukan manusia, bukan makhluk tetapi Allah SWT.

Dan tiada sesiapun yang boleh mati tanpa izin Allah SWT. Bukan pisau, bukan api, bukan kapal terbang, bukan kapal laut, bukan kereta, bukan motosikal yang mematikan, itu cuma asbab. Yang mematikan ialah Allah SWT.

Pada zaman dahulu, Nabi SAW bercerita tentang budak kecil yang ingin dibunuh seorang Raja. Ceritanya panjang lebar, tapi ringkasannya, Raja menyuruh pengawal membawa budak itu ke gunung untuk dicampakkan ke bawah agar mati, tapi bila tiba di sana yang mati ialah pengawal itu. Budak kecil datang kembali kepada Raja, dan Raja pun tanya, “Bagaimana kamu selamat?” Jawabnya, “Allah selamatkan saya.” Kemudian, disuruh pula pengawalnya membawa budak itu ke tengah laut untuk dicampakkan juga. Tapi, perkara yang sama berlaku iaitu pengawal yang mati, tapi budak kecil itu terselamat. Budak itu pun patah balik dan jumpa dengan Raja. Raja pun pelik – yang nak dibunuh tak mati, tapi yang disuruh membunuh yang mati. Bukan manusia yang berkuasa mematikan, tetapi Allah SWT yang berkuasa.

Ketika dibawa budak kecil itu kembali kepada Raja, katanya, “Wahai Raja, kamu takkan dapat bunuh saya kecuali dengan satu cara.” Raja bertanya apa caranya, jawab budak itu, “Kamu kumpulkan semua penduduk negeri ini dan berdirikan sy ditengah-tengah mereka, kemudian suruhlah tentera kamu memanah saya dengan ucapan, “Bismillahi rabbil ghulam” (Dengan nama Allah, Tuhan budak kecil ini).” Raja pun menurut perintahnya dan akhirnya budak kecil itu syahid. Akan tetapi seluruh rakyat yang melihat kejadian ini pun berkata, “Kami beriman kepada Tuhan budak kecil itu.” Raja yang kufur itu pun menggali satu parit yang besar untuk membunuh semua rakyatnya yang telah beriman kepada Allah SWT. Parit besar itu diisi bahan bakar dan dicampakkan rakyatnya satu persatu jika mereka tetap memilih agama budak kecil itu -  inilah yang dikisahkan dalam surah Al-Buruj.

Walhasil – budak yang nak dibunuh tidak mati, tetapi orang yang ingin membunuhnya yang mati dahulu. Kematian adalah hak Allah SWT. Sebab hanyalah sebab tetapi bukan perbuatan yang menyebabkan kematian; bukan pisau yang mematikan, bukan benda yang mematikan, bukan kemalangan yang mematikan, semuanya asbab. Kata Allah SWT, “Wahai orang-orang yang lari dari kematian, kematian akan datang kepada kamu walaupun kamu berbentengkan menara yang begitu hebat (dengan besi, keluli dsb).

Tiada orang boleh bersembunyi daripada kematian. Terkadang orang mencari ubat, tapi ubat menjadi asbab kematiannya. Yang menyembuhkan, yang mematikan bukan ubat – semuanya hanya sebab.
“Semua nyawa tidak akan mati kecuali dengan izin Allah Ta'ala.”

Kenapa dengan izin Allah SWT? Malaikat Maut juga menunggu izin Allah SWT. Malaikat Maut yang mempunyai tentera yang banyak untuk mencabut nyawa akan menunggu izin Allah sebelum mengambil nyawa seseorang. Malaikat Maut yang tugasnya memang mencabut nyawa pun menunggu izin Allah, apatah lagi manusia yang tak mempunyai hak nyawa ke atas dirinya sendiri apatah lagi orang lain.

“Orang yang nakkan dunia akan diberikan tapi orang yang mahukan akhirat, Kami pun akan berikan.”

Ayat ini -> yang nak dunia, Allah kasi. Yang nak akhirat, Allah pun juga kasi. Mungkin seseorang akan fikir - kita nak akhirat, jadi kita ketepikan dunia. Tak, siapa suruh ketepikna dunia? Dunia ini tempat kita menanam untuk menuai di hari akhirat.

Bukankah Allah berjanji barangsiapa yang hendak dunia, Allah akan berikan. Kenapa orang kafir sukses dalam berbagai bidang teknologi yang bersifat keduniaan? Sebab mereka nakkan dunia. Lalu kita orang Islam, adakah kita tak perlu maju dalam bidang teknologi, dan keduniaan kerana kononnya kita adalah orang yang inginkan ganjaran akhirat? Jadi, kita kata biar kita susah-susah saja di dunia. Siapa cakap macam itu? Allah nakkan kita sukses di dunia dan Allah nakkan kita sukses di akhirat. Kaum muslimin, hampir 1000 tahun, maju dalam bidang keduniaan, tapi dengan dasar iman. Orang sekarang mengeluh yang kita ini mundur, tak maju macam orang-orang kafir. Pasal apa kita tak berjaya? Ada yang kata – “Kerana dunia ini syurga bagi orang kafir dan neraka bagi orang beriman.” Hadis itu betul, tapi pemahaman yang salah ialah jika memahami biarkan orang kafir maju, dan kita mundur.

Kalau kita memahami yang kita perlu maju di dunia dan juga maju diakhirat, itulah yang kehendaki Allah SWT. Kenapa kaum muslimim dahulu maju? Kerana mengambil sebab-sebab dunia untuk akhirat! Selama sekian ratusan tahun, kaum muslimin adalah maju dan sukses dalam pelbagai bidang. Ibnu Sina, Al-Imam Ghazali, Al-Khawarizmi – dan ramai lagi pemikir-pemikir Islam yang sehingga hari ini orang bukan Islam mengambil ilmu daripada mereka. Di manakah orang Eropah sebelum ini? Kaum muslimin yang menerajui kemajuan sebelum ini.

Kita mundur kerana kita tidak mengambil sebab-sebab untuk kita maju dalam hal keduniaan untuk menunjukkan yang kita khalifah di bumi ini, berdiri di atas ilmu dan ajaran Allah SWT dan tidak bergantung dengan orang lain. Akibat daripada kemunduran, kita bergantung dengan orang-orang bukan Islam. Sehingga dalam hal-hal perubatan sekarang ini, masih ada bahan-bahan yang diharamkan oleh Allah SWT. Sehingga kita mengguna pakai konsep darurah yang memang ada dalam agama kita. Tidakkah pernah kita berfikir bahawasanya – “Tidak bolehkah ada bahan ubat daripada sumber yang halal? Kenapa mesti mencari daripada sumber yang haram?”

‘Morphin’ umpamanya, adalah daripada sumber yang haram. Sementara dalam hadis dikatakan, “Allah tidak menjadikan penawar/ubat daripada sumber yang diharamkan oleh Allah Ta'ala.” Tapi kenapa kita ambil juga? Kerana tiada kaum muslimin yang mengambil bidang ini dan menerajui perubatan daripada  sumber yang halal. Jadi, kita akan ambil daripada orang bukan Islam yang bagi mereka tak ada halal, tak ada haram. Langsung kita pun ambil kesimpulan – darurah! Kalau orang Islam maju dalam bidang sains, teknologi, ilmu, mengkaji apa yang ada dibumi ini daripada ciptaan Allah SWT yang boleh dijadikan sebab dan penawar kepada penyakit-penyakit.

Allah tidak akan turunkan penyakit kecuali Allah turunkan ubat. Allah tidak akan berikan penawar daripada benda yang Allah haramkan. Kalau tersembuh daripada itu akan timbul penyakit yang lain.
Maka, orang Islam mesti maju juga dalam hal dunia, tapi terasnya untuk akhirat. Orang kafir maju untuk dunia sahaja. Orang Islam maju dalam hal dunia untuk akhirat kerana kelebihan iman yang Allah berikan kepada mereka, sehingga dalam bidang persediaan kekuatan, perubatan dan banyak lagi kita tak perlu bergantung kepada orang kafir. Kita perlukan kepakaran daripada kaum mukmin yang takutkan Allah SWT.

Allah akan beri balasan dunia kepada yang mengkehendakinya. Jadi, bergantung pada niat kita – sama ada mahukan untuk dunia atau untuk akhirat.

“Kami akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.”

Tidak akan bersyukur kecuali orang menyedari yang nikmat itu datang daripada Allah, dalam hal keduniaan, ataupun akhirat. Bukan semua orang yang diberikan Allah, kenapa? Kerana orang yang bersyukur ingat kepada siapa yang memberi nikmat itu. Orang yang tidak bersyukur, dia tengok kepada nikmat, tapi dia tidak ingat siapa yang bagi. Untuk bersyukur, bila lihat nikmat, ingat kepada Pemberi Nikmat, baru akan terpandu untuk mempergunakan nikmat tersebut untuk bersyukur kepada Allah SWT.

Ayat ini adalah sindiran kepada perkara yang berlaku dalam perang Uhud, di mana sebahagian daripada kaum Muslimin yang turun kerana inginkan harta dunia yang ditinggalkan kaum musyrikin.

Ayat 146:


"Dan berapa banyak dari nabi-nabi terdahulu telah berperang dengan disertai oleh 'Ribbiyyun'..."


Diertikan sudah cukup banyak daripada kalangan Nabi sebelum Rasulullah ﷺ yang berperang dengan dibantu oleh ‘Ribbiyyun’. Sifat mereka (ribbiyyun) ialah ulama (punya ilmu), bukan berperang semata-mata dengan semangat, bukan berperang keran emosi, bukan berperang kerana kuasa atau hal-hal yang tiada kaitan dengan ilmu yang diwariskan para Nabi. Oleh itu adalah amat perlu kepada seorang Mujahidin untuk mempunyai ilmu, dan bukan semangat saja.

Dalam Al-Quran nul Karim, ketika Allah memilih Thalut menjadi pemimpin perang, Bani Israel mempertikaikan pilihan Allah kepada Thalut sebagai pemimpin Perang mereka. Allah nyatakan yang dia dipilihi kerana dia diberi kelebihan ilmu dan jasad yang kuat. Allah dahulukan ilmu berbanding jasmaninya, kerana kekuatan, kelengkapan senjata tanpa ada ilmu takkan terbimbing orang itu untuk menggunakan senjata kerana Allah SWT, dan akan terbimbing dengan marah dan emosinya.

Dalam ayat ini Allah menekankan kepentingan untuk seseorang yang ingin menjadi pemimpin perang untuk mempunyai ilmu, baik ilmu dalam strategi perang mahupun ilmu menggunakan kekuatan supaya peperangan itu tidak termotivasi dengan emosi. Ilmu yang akan membimbing kepada mujahid.

Allah menyentuh agar orang-orang yang ingin berjihad supaya belajar, dan berilmu sepertimana orang-orang yang membantu kepada nabi-nabi sebelum ini.


“Mereka tidak lemah semangat dengan kekalahan yang menimpa mereka pada jalan Allah, tidak lemah, dan tidak berputus asa…”
Wahai mukmimun, wahai sahabat Rasulullah, kamu kalah, ya, tapi kamu jangan risau atau patah semangat atau putus asa atau berhenti untuk berjihad, kerana sebelum kamu, telah ramai orang-orang berilmu berjihad dengan nabi-nabi mereka, dan mereka juga mengalami kekalahan dan mereka tidak lemah, tidak putus asa, tidak merasa dirinya hina give up, tetapi mereka mempunyai sikap ‘taamul’ ketika menang atau ‘taamul’ ketika kalah. Bagi orang beriman, utamanya bukanlah untuk mencari kemenangan sahaja, walaupun itu merupakan satu anugerah yang ingin dicapai oleh orang-orang yang berjihad di jalan Allah SWT. Tapi, bilamana apa yang diingini tidak tercapai, mereka tahu bagaimana berhadapan dengan kekalahan – mereka tidak lemah, mereka tidak putus asa atau mereka tidak menganggap diri mereka sudah tidak ada peluang untuk mendapatkan anugerah daripada Allah SWT. Mereka bersikap dalam keadaan kalah dengan as-sabar.

“Allah suka kepada orang yang sabar.”

Wahai orang beriman, ya sahabat Rasulillah, kamu dijadikan umat daripada Nabi ﷺ yang terbaik. Kalau umat nabi sebelum kamu berperang dengan Nabi mereka dan tidak putus asa ketika kalah, jadi sebagai umat Nabi yang terbaik, maka kamu perlu bersikap lebih baik daripada mereka. Ini motivasi dan suntikan semangat daripada Allah SWT. Lebih daripada itu, Allah suka, Allah cinta pada orang yang bersabar; besabar dalam keadaan kalah, dan tidak patah semangat, tidak merasa dunia ini tiada guna.

Orang itu mudah mendakwa “Saya cinta Allah, saya cinta Rasulullah ﷺ “. Tapi pernahkan orang itu bertanya, Adakah saya dicintai oleh Allah? Adakah saya dicintai olehRasulullah? Adalah perkata yang memberatkan kalau seseorang tidak dicintai oleh orang yang dia cintai. ‘Problem’ – kita suka sangat kepada si fulan itu, tapi si fulan tak suka kepada kita. Lagi baik kalau kita tak suka kepada orang itu, dan tak benci juga. Tapi kalau kita suka kepada dia, tak dibalas cinta, sakit hati. Kita berbicara tentang cinta Allah. Kita mengaku cinta Allah, kita mengaku cinta Rasulullah ﷺ , tapi adakah Allah cinta kepada  kita?

Antara orang yang diberikan jaminan dicintai oleh Allah ialah orang-orang yang sabar. Allah suka dan cinta kepada orang-orang yang sabar. Yang menjadi impian setiap orang yang beriman itu untuk mendapatkan cinta Allah, Allah berikan tandanya. Apa tandanya? Sabar.

Sabar bukan saja dalam jihad, tapi dalam menghadapi segala dugaan. Kalau dugaan menimpa anda, jadikan dugaan itu peluang mendapatkan kasih-sayang daripada Allah yang itu adalah bukti kalau anda disayangi oleh Allah SWT. Musibah itu akan ringan bagi anda, kerana anda takkan menimbang kasih sayang Allah dengan musibah yang menimpa. Apa saja musibah besar yang menimpa nak dibandingkan dengan kasih-sayang Allah. Neraca mana yang akan menimbang antara kasih-sayang Allah dengan musibah. Kalau seseorang itu berkata, “Tak apa tak disayangi Allah kerana saya tak anak ditimpa musibah”. Itu adalah pemikiran yang bodoh. Ini timbangan neraca yang tidak betul. Mahabbatullah adalah anugerah daripada Allah kepada orang-orang yang disifatkan dengan sifat-sifat yang tertentu – di antaranya ialah sabar.

Dalam Al-Quran nul Kareem, Allah SWT berfirman ketika memberitahukan kepada orang yang masuk syurga, malaikat menyeru, “Salam sejahtera ke atas kamu wahai orang-orang beriman dalam syurga, sebab kamu sabar.”

Ayat 147:

Mereka, ketika diduga dengan kekalahan, terlukan, termasuk Nabi ﷺ pun luka dalam peperangan tersebut. Kemudian, kaum muslimin pun lebih kurang 70 orang syahid dalam peperangan itu. Kekalahan yang memeranjatkan kaum Muslimin ketika itu. Tapi adakah mereka mengatakan, “Ya Allah, lain kali bantu kepada kami. Ya Allah, kami berperang di jalan-Mu, bantulah kami.” Orang yang bijak tahu bahawa kekalahan berlaku kerana kaum mukminin melanggar kepada perintah Allah dan Rasul-Nya. Allah SWT berjanji akan membantu orang-orang yang beriman kepada. Mustahil Allah akan membantu orang yang tidak beriman kepada Allah, yang ingkar kepada Allah, yang makan nikmat Allah tapi tak menyembah kepada Allah, tak bersyukur kepada Allah. Tak masuk dek akal. Tapi bagaimana orang kafir boleh menang dalam perang Uhud? Kata Sayyidina Umar Al-Khattab, “Sesungguhnya yang kamu capai itu pertolongan daripada Allah SWT, bukan kamu, bukan senjata kamu, bukan kekuatan kamu. Kamu itu akan ditolong Allah dengan kamu taat kepada Allah.  Tapi kalau kamu melanggar perintah Allah, kamu akan sama seperti musuh-musuh Allah, kerana sama-sama berbuat maksiat kepada Allah. Maka, orang tidak beriman akan mengalahkan kamu dengan kekuatan dan bilangan mereka yang ramai.

Tapi, jika  ketika berjihad di jalan Allah, kamu taat kepada Allah, walaupun bilangan kamu sikit, tak punya senjata yang banyak, Allah pasti akan menolong kepada kamu, kerana tak mungkin memungkiri janji-Nya. Buktinya telah terlalu banyak yang ditunjukkan oleh Allah SWT – dalam Perang Badar, Perang Khandaq dan perang-perang yang dihadiri Rasulullah ﷺ, di mana kaum muslimin menang walaupun kekuatan mereka tak sebanding dengan kekuatan musuh. Pasal apa? Kerana ketaatan mereka kepada Allah.

Ketika mereka menyedari yang mereka itu kalah dalam Perang Uhud disebabkan pelanggaran yang mereka lakukan kepada Allah, maka mereka menginsafi kesilapan dan kekhilafan itu dan berkata, “Wahai Tuhan Kami, ampunkan dosa kami, maksiat yang kami lakukan, pelanggaran yang kami lakukan.” Oleh sebab demikian, sebelum berdoa, kita perlu beristighfar kepada Allah SWT. Jangan kita minta, minta, minta kepada Allah SWT sementara yang kita minta kita gunakan untuk buat maksiat kepada Allah. Minta nikmat, kita tidak bersyukur kepada Allah. Minta rezeki, kita tak gunakan untuk taat kepada Allah. Istighfar terlebih dahulu, minta maaf kepada Allah yang silap-silap itu, supaya ketika kita minta itu, sudah diampunkan dosa kita dan baru Allah akan diberi.

“Ampunkan dosa kami dan perbuatan melampau kami…”

Dosa adalah satu pelanggaran. ‘Israr’ ialah sifat melampau batas, apakah yang dimaksudkan dengannya? Yakni, Allah memberikan kita rezeki harta – tapi yang berhak kita gunakan dan manfaatkan adalah yang menjadi hak kita, tapi harta yang ada pada orang lain bukanlah hak kita untuk mengambil daripada mereka. Maka mengambil hak orang lain adalah termasuk sifat melampaui batas. Batasan kita hanya pada harta kita.

“… tetapkan kaki kami…”
Orang berperang – perlu bergerak atau tetapkan kaki? Dalam Al-Quran ada kinayah (simbol). Kadang-kadang ada orang yang tidak faham menghukum seseorang daripada segi zahirnya, khususnya komen dalam Facebook.

Saya suka sangat ingatkan untuk tidak banyak komen di facebook. Sebab..kata-kata anda ditimbang oleh Allah SWT, kepada perkara yang kalau anda tak turut campur pun anda tak akan disoal oleh Allah SWT, tapi kalau anda komen, anda akan disoal. Jangan komen kecuali yang positif. Fahimtum?

Maksud “Tetapkan kaki kami” adalah supaya tidak lari dari medan perang

“Tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap orang kafir.”
Permintaan diletakkan di akhir doa, pertama diminta ampun, diinsafi kesilapan, diminta ampun akan sifat melampaui batas, dan diminta pertolongan agar ditetapkan kaki.

Pertolongan daripada Allah datang dengan memerlukan
Pertolongan tak datang dengan kita duduk begitu saja, tetapi memerlukan kepada pergerakan. Jangan jadi macam kaum Nabi Musa - Bani Israel tidak mahu ikut Nabi Musa untuk masuk berperang ke kota Baitul Maqdis. Mereka nak tunggu Allah usir musuh begitu saja. Mereka berkata, “Wahai Musa, kamu pergilah berperang dengan Tuhan kamu. Kami tunggu di sini saja.”

Kalau mereka masuk saja ke pintu Baitul Maqdis, Allah akan turunkan kemenangan, tapi perlukan kepada pergerakan, perlu melangkah. Orang kata, “

“Al-Barakah bil Harakah”  - Keberkatan itu akan diturunkan dengan kita bergerak.
Boleh orang dapatkan rezeki dengan duduk saja. Kalau ikut hukum qada’ qadar rezeki sudah ditentukan Allah memang boleh, tapi seseorang mesti mengambil sebabnya terlebih dahulu.

Ayat 148:

“Allah berikan kepada mereka yang beriman ganjaran dunia dan keindahan ganjaran akhirat, …”

Ada dua ganjaran dunia dan akhirat, tapi bezanya Allah sebut ganjaran dunia dan  keindahan/kebaikan/kesempurnaan ganjaran akhirat. Yakni, tak sama ganjaran dunia dengan ganjaran akhirat. Ketika sebut dunia – Allah tak sebut baiknya ganjaran dunia. Tapi hal  akhirat – Allah sebut kebaikan, kesempurnaan, keindahan ganjaran akhirat. Kenapa? Kerana kebaikan yang ada di dunia tak kekal, tapi kebaikan di akhirat kekal. Supaya manusia berfikir tujuan meraih kebaikan atau kemenangan bukan di dunia sahaja, kerana kebaikan di akhirat lebih baik daripada kebaikan di dunia.

“Allah sayang kepada orang yang berbuat ehsan.”

Satu lagi golongan yang dijamin mendapat cinta Allah ialah orang yang berbuat ehsan. Ada tiga bentuk ehsan iaitu: buat baik pada orang tanpa diminta, balas perbuatan baik orang padanya dengan perbuatan yang lebih baik dan memberikan hak pada orang lain tanpa meminta hak dirinya.

Allah sayangkan orang berbuat ehsan: Apa itu ehsan? Ehsan ada 3 jenis:
Orang yang buat baik pada orang lain tanpa diminta untuk berbuat baik
Orang buat baik lebih daripada orang buat baik pada dirinya
Memberikan hak pada orang lain tanpa meminta hak dirinya. (Adil – beri hak dan tuntut hak) dalam perkara yang dibenarkan


Dalam kehidupan kita – berkeluarga atau bersama sahabat, tegakkan konsep ehsan dan anda akan mendapat kasih sayang Allah SWT.

*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallu'alam. 

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab