"Mari berdamai kepada Allah SWT" - MTDM 14.03.2014

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid*



Video rakaman MTDM:


Bahagian 1: Tafsir Quran, surah Ali-Imran, ayat 142-144.

Kesimpulan ayat-ayat sebelum ini (139-141): Kemenangan kaum muslimin dalam Perang Badar adalah lebih besar berbanding kemenangan kaum musyrikin dalam Perang Uhud. Rujuk nota kelas sebelum ini <link>.

Ayat 142:

Allah SWT sudah membeli daripada orang-orang beriman harta mereka, dan nyawa mereka dengan syurga. Antara hamba dan Allah, yang mana manusia, dirinya pun tak dimiliki, tapi dimiliki Allah, tapi nyawa itu dijadikan seakan-akan milik kamu, dijual kepada Allah, dengan bayaran syurga.

“Adakah kamu menyangka mudah saja masuk syurga tanpa halangan?”

Adakah kamu menyangka mudah saja boleh masuk syurga? Tak ada halangan? Tak ada pintu tol? Adakah semudah itu? Sementara sebelum Allah SWT belum menduga kepada kamu, dan melihat siapa antara kamu yang sabar, yang siapa antara kamu yang mujahadah.

Jangan kamu anggap syurga itu murah! Jangan kamu anggap syurga itu mudah dicapai begitu sahaja!

Ya insan, ya mukmin, jika anda ingin mencapai kedudukan dunia, anda perlu berusaha keras baru anda akan mendapatnya. Begitu juga syurga, bukan dengan bangun tidur, bangun tidur, terus masuk syurga! La (tidak)!

Syurga tidak lebih murah daripada pencapaian yang diinginkan oleh manusia dari hal-hal keduniaan. Kita, kalau nakkan daripada hal-hal keduniaan, siang malam kita bertungkus-lumus, nakkan kedudukan yang tinggi, sampai apa saja dikorbankan.

Syurga lebih berharga daripada apa saja yang diimpikan manusia daripada hal-hal keduniaan. Ini keduniaan semua, yang semua orang berlumba-lumba mencarinya, yang bersaing antara satu dengan yang lain, yang tidak sedikit juga yang menghentam yang lain kerana tidak mahu disaingi, mengorbankan segala yang dimiliki – tenaganya, fikirannya, hartanya, waktunya.

Untuk dunia, berkorban segalanya, tapi untuk akhirat, cuma berdoa, “Ya Allah, masukkan aku ke dalam syurga.” Doa saja, tak nak berubah. Doa baik tapi kena buat.

“Adakah kamu menyangka akan masuk syurga tanpa diuji Allah Ta'ala?”

Jangan mimpi di siang bolong! Kata orang sana ;) Time untuk ‘wake-up’. Jangan tidur di siang hari, kena kerja. Jangan mimpi untuk masuk syurga tanpa diduga. Jangan hidup selesa di dunia, lalu minta syurga.

Kata baginda Rasulullah ﷺ, “Orang yang bodoh itu ialah orang yang mengikut hawa nafsunya untuk mencapai hal keduniaan, tapi minta pemberian yang besar di sisi Allah SWT.” Minta syurga Firdaus, minta istana, nak macam-macam tapi di dunia ikut hawa nafsu.

Allah Ta'ala meletakkan satu ketetapan bahawasanya jangan sekali-kali kamu menyangka untuk mendapat syurga tanpa kamu diduga oleh Allah SWT. Mustahil! Kalau ada orang boleh mendapat syurga yang tiada mata pernah memandang akan kenikmatannya, tiada telinga pernah mendengar akan kenikmatannya dan tidak pernah terlintas pun di dalam hati manusia tentang keindahan dan kenikmatan yang ada di dalam syurga. Kalau syurga akan diberikan kepada hamba-hamba-Nya tanpa ada usaha daripada hamba-hambanya, pasti akan diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ .

Tapi didapati tiada orang yang lebih mujahadah dalam solatnya lebih daripada Rasulullah ﷺ, tidak ada orang yang membaca Al-Quran sehingga menitiskan air mata dan basah janggut dan wajahnya lebih daripada Rasulullah ﷺ, yang berjihad sehingga giginya pun terlepas (tercabut) ialah Rasulullah ﷺ.

Orang yang berjihad ialah orang yang mengorbankan nyawanya. Orang yang sabar ialah orang yang berjaya menghadapi pelbagai musibah dalam hidup ini. Jangan kata, “Ya Allah, tak tahan dengan ujian ini.” Yang kamu inginkan daripada Allah adalah sesuatu yang amat berharga – tapi baru diuji sedikit sudah macam-macam ‘complaint’ kepada Allah SWT. Baru diberi musim panas panjang sedikit, orang sudah ‘complaint’ macam-macam.

Kembali kepada Allah SWT… dalam keadaan kamu senang, dalam keadaan kamu susah. Kenalilah Allah saat kamu senang, Allah akan kenal kamu saat kamu susah. Manusia mudah lupa Allah saat senang, bila susah, baru nak bermunajat pada Allah, nak buat solat istisqa’. Itu semua baik, itu wasilah, tapi bilamana nikmat ada, kena ingat pada Allah, dan Allah akan ingat anda bila nikmat itu hilang.

Dua sifat yang Allah tekankan untuk mendapat syurga ialah: jihad dan orang-orang yang sabar.

Ayat 143:

‘Tamannau nalmaut’ ertinya ingin mencari sebab, yang dengan sebab itu seseorang boleh mati syahid.

Sahabat ketika itu sedang berbincang – “Jika kita ikut Perang Badar itu hari, kan elok.” “Menyesallah aku tak ikut Nabi Muhammad ﷺ  masa perang Badar hari itu.” Mereka menyesal kerana terlepas peluang syahid dan jihad bersama Rasulullah ﷺ dalam Perang Badar, dan mereka ingin mengejar peluang mengikuti perang yang berikutnya.

Dalam ayat ini, Allah SWT menujukan ayat kepada sahabat-sahabat ini -  Kamu, kaum mukminin mengharapkan syahid bersama Rasulullah ﷺ, dan sekarang kamu tengok di depan mata kamu.

Jadi, Allah SWT ingin menguji kebenaran apa yang mereka katakan. Allah ingin melihat realiti apa yang mereka katakan. Didapati ketika Perang Uhud, dan setelah mengalami kekalahan, barisan kaum muslimin kucar-kacir dan setengahnya lari bertempiaran sedangkan sebelumnya mereka kata mereka ingin mati syahid.

Praktikal mesti kena ikut apa yang dicakapkan. Allah ingin menguji keimanan, dan bukan hanya kepada sahabat ketika itu. Tidak cukup jika seseorang itu berkata, “Aku sudah beriman.” Bukankah Allah berkata, “Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya ada perasaan sombong walaupun sebesar biji sawi.” Iman bukan hanya di mulut saja, tapi perlu kepada praktikal. Anda akan benar-benar beriman bilamana anda diuji dengan kemiskinan, kekayaan, jawatan, keluarga yang suka cari pasal, kawan yang suka cari salah. Bilamana diuji dengan pelbagai jenis ujian, diuji dengan musim kemarau yang panjang, dengan tumbuh-tumbuhan yang tidak menjadi.

Anda akan diuji untuk dilihat sejauh mana kesucian, kesempurnaan iman anda kepada Allah.Pasti diuji! Untuk jadi doktor, untuk jadi pakar, semuanya mesti diberi ujian. Maka, sama juga Allah akan uji manusia tentang imannya.

Namun, dalam hal ini kita tak boleh melihat dengan pandangan negatif – macam mana sahabat lari? Kekalahan dan kesalahan yang berlaku adalah sebagai pengajaran kepada umat seluruh zaman. Yang berlaku bukan habis iktibarnya pada zaman itu.

“Dahulu kamu bercita-cita untuk mati syahid..”
Tapi kenyataannya – ramai kaum muslimin yang lari sehingga Rasulullah ﷺ  memanggil, “Wahai umat Islam, mari ke mari.”

Iman itu percaya dan redha dengan Allah SWT. Diungkapkan dengan lisan – aku beriman dengan Allah dan beramal dengan anggota tubuh badan.

Diuji sedikit sudah ‘complaint’, diuji sedikit, sudah pergi kepada bomoh, umpamanya. Mana iman anda? Mesti kembali kepada Allah. Iman itu datangnya daripada Allah dan kepada Allahlah kamu mesti kembali.
Iman akan nampak bilamana seseorang itu diduga oleh Allah SWT.

Carilah nilai-nilai iman pada diri anda, yang ekslusif yang kita wajib setiap hari bersyukur dengan nikmat iman dan memohon supaya dijaga iman ini bilamana dicabar.Dunia ini yang dilalui hari-hari tidak luput daripada ujian.

Di manakan nilai iman yang kita ada dengan realiti ujian yang berlaku hari ini.
Kita telah diuji dengan kemarau,jerebu. Di manakah nilai iman kita ketika diuji? Selain daripada usaha kolektif dengan solat hajat, berdoa umpamanya, cuba masing-masing menginsafi diri. Ambil masa 10 minit masa dan duduk. Tanya diri - Mungkinkah musibah ini berlaku kerana dosa saya?

Hadis Nabi Muhammad SAW, “Kalau dosa seorang hamba itu terlalu banyak, dan dosanya tidak dapat dihapuskan dengan perkara yang dilakukannya, Allah SWT akan menduga dengan perkara-perkara yang menyusahkan, memberatkan, menyedihkan.”

Ini kalau satu hamba, kalau satu kampung, kalau satu bandar, kalau satu negeri, kalau satu negara (yang berdosa)? Kalau banyak dosa hamba di dunia ini, dan tidak dilakukan satu perbuatan untuk menghapuskan dosa hamba itu, Allah akan menduga. Dugaan itu untuk menghapuskan dosa. Kita tidak tahu sama ada dugaan Allah adalah untuk menghapus dosa atau mengangkat darjat. Wallahu’alam. Tapi, jelasnya, dengan keadaan yang ada ini, ambil sebab-sebab yang ada ini supaya Allah boleh mengubah keadaan menjadi lebih baik. Tapi, mulai dari diri anda dulu – buat perdamaian dengan Allah Ta'ala.

Berdamai dengan Allah, bertaubat dengan Allah. Mohon Allah rahmati diri dan hamba-hamba Allah yang lain, yang mungkin kita menjadi sebab hujan tak turun, mungkin kita menjadi sebab ujian ini menimpa kepada kaum muslimin yang lain, bahkan kepada makhluk-makhluk yang lain.

Firman Allah SWT, “Berlaku kerosakan di atasa muka bumi ini, di lautan dan di daratan adalah kerana perbuatan manusia.” Mungkin saja saya, hadirin atau sesiapa saja. Jom kita sama-sama kembali kepada Allah. Bertaubat kepada Allah. Tak payah bagitau orang lain. Duduk senyap-senyap di rumah, minta ampun kepada Allah. Katakan, “Mungkin sebab aku, perkara ini berlaku. Engkau ampunkanlah Ya Allah.” Mungkin saja dengan doa itu Allah beri hujan rahmat kepada semua orang.

Mulai hari ini, masing-masing berjanji berdamai dengan Allah. Cukup melawan kepada Allah, memerangi kepada Allah, cukup bermaksiat kepada Allah SWT. Khuatir akan semakin panjang dugaan akibat dosa saya atau dosa sesiapa pun.

Ayat 144:

Dalam Al-Quran, nama Nabi Muhammad ﷺ  disebut 4 kali, dan nama Ahmad disebut sekali melalui lisan Nabi Isa, ketika memberitahu kaumnya tentang Rasulullah ﷺ. Apa itu Muhammad, Ahmad?

Muhammad – maknanya orang yang banyak dipuji. Maknanya dipuji oleh orang lain kerana ada banyak sifat terpuji pada dirinya.Terkadang, seseorang diberi nama yang tak sesuai dengan dirinya. Contohnya yang tidak cantik, dinamakan cantik. Tetapi. nama Nabi Muhammad ﷺ dan zat peribadinya adalah secocok J. Oleh itu, seseorang disuruh beri nama baik kerana berharapan baik kepada yang diberi nama baik itu.

Ahmad bererti orang yang banyak memuji. Ertinya datangnya pujian daripada Rasulullah ﷺ lebih daripada mana-mana makhluk yang lain. Yang dimaksudkan ialah pujian kepada Allah SWT. Tidak ada orang yang banyak dipuji Allah selain Nabi Muhammad ﷺ. Jadi, yang banyak memuji Allah Ta'ala ialah Rasulullah ﷺ, dan yang banyak memuji Rsl ialah Allah SWT.

Nama Nabi ﷺ juga diambil daripada pujian kepada Allah iaitu – Alhamdulillah.

“Jika berlaku Rasulullah ﷺ mati atau dibunuh, adakah kamu akan berpaling..”

Ayat ini menceritakan keadaan ketika perang itu berlangsung. Ketika kaum muslimin kalah dalam perang itu, datang seruan bahawa, “Nabi Muhammad ﷺ  telah terbunuh”. Jadi sahabat sudah terkejut – ada yang terduduk, ada yang ingin balik ke Madinah, ada yang berbalah, sehingga Anas bin Malik berkata, “Jika Rasulullah ﷺ meninggal, kenapa kamu duduk? Kamu pun perlu meninggal sama agar dapat berada bersamanya.” Ucapannya bertujuan menaikkan semangat kaum muslimin.

Keimanan yang sebenar bukan untuk bergantung dengan hidupnya Rasulullah ﷺ tetapi perlu berpegang pada risalah baginda dan menyebarkan risalah itu. Manusia akan kembali kepada Allah SWT. Allah ingin membuka hakikat keimanan sebenar kepada Allah SWT. Allah SWT juga memberi isyarat agar kaum muslimin bersedia untuk ditinggalkan Nabi ﷺ.

Ketika Nabi ﷺ wafat, Sayyidina Umar tak percaya dan berkata, “Siapa kata Rasulullah ﷺ wafat, aku potong lidahnya.” Itu kerana kecintaannya yang tinggi kepada Nabi ﷺ. Sayyidina Abu Bakar berkata, “Jika kamu sembah Allah, Allah itu kekal. Jika kamu sembah Muhammad, baginda telah meninggal. Dan kemudian dibacakan ayat ini (144). Sayyidina Umar pun terus mengakui kebenaran ayat itu dan menerima kenyataan.

Ayat ini diturunkan untuk menjadi pengajaran kepada umat sepanjang zaman untuk tetap membawa risalah Rasulullah ﷺ dan tidak berpaling daripada ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ.

“.. dan Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.”
Ayat ini diturunkan untuk memberi semangat kepada kaum muslimin dan mengingatkan yang Rasulullah ﷺ juga seperti Rasul sebelum ini yang akan kembali kepada Allah, dan janganlah sampai kamu memutuskan risalah yang dibawa oleh Nabi ﷺ.

*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallu'alam. 


Popular posts from this blog

Tanggungjawab Adik-Beradik (2) - Tanyalah Ustaz 21.06.2012

Memikat Hati Suami (1) – Tanyalah Ustaz 18.03.2013

Diet Rasulullah (2) – Tanyalah Ustaz 26 Ramadhan 1433H (15.08.2012)