Tafakkur - ambil masa dan lakukannya - MTDM 10.10.2014


بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
ِاَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهَ وَصَحْبِهِ وَسَّلِم 

Majlis Ta’lim Darul Murtadza 10.10.2014
Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid*




BAHAGIAN 1 - Tafsir Surah Ali Imran, ayat 189-193

Ayat 189:


Ayat ini menunjukkan bahawa Allah sebagai Raja yang sebenar. Manusia paling kaya yang diizinkan Allah di dunia ini ialah Nabi Sulaiman a.s. Beliau diizinkan memerintah manusia, haiwan, jin, syaitan, dan juga angin. Kerajaan Firaun dan Namrud pun tidak sekaya kerajaan Nabi Sulaiman.

Nabi Sulaiman memimpin manusia, haiwan, syaitan, jin, angin? Adakah orang yang boleh memimpin angin hari ini? Ada negara mendakwa mereka maju tetapi bila datang angin putting peliung mereka pun lari ketakutan.

Nabi Sulaiman pernah berdoa agar Allah tidak memberikan kerajaan kepada orang melebihi daripada kerajaannya. Oleh sebab itu, Nabi ﷺ pernah menangkap dan mengikat syaitan tetapi tidak dizahirkan sebagai menghormati permintaan  Nabi Sulaiman.

Tiada mana-mana kerajaan setanding dengan kerajaan Nabi Sulaiman a.s.
Nabi Sulaiman diajarkan (diberi ilmu) untuk bercakap dengan burung (haiwan). Oleh itu jangan kita ingat burung itu tiada bahasanya yang tersendiri.

Dalam satu mesyuarat Nabi Sulaiman bersama semua tenteranya, burung Hud-hud tidak hadir. Tentera Nabi Sulaiman termasuk jin dan syaitan dan dalam Al-Quran diceritakan bahaw syaitan diperintahkan untuk mencari harta yang Allah letak di dasar laut, dan bangunan-bangunan pad zaman Nabi Sulaiman pula di bina oleh jin – sebab itu besar-besar tiangnya.

Nabi Sulaiman berkata dia akan sembelih burung Hud-hud yang tidak hadir itu kecuali dia bawa alasan yang munasabah. Burung Hud-hud pun datang dan berkata – “Aku tahu perkara yang kau tak tahu.”

Burung ini pintar berkata-kata. Dia ingin memancing minat Nabi Sulaiman dan memberitahu sesuatu berita yang penting. Sambungnya, “Aku datang dari Negeri Saba’, di sana ada kaum yang dipimpin oleh seorang perempuan dan tidak menyembah Allah.”

Nabi sulaiman berkata, “Aku akan lihat dulu kebenaran cerita kamu ini. Bawa surat kepada mereka.” Nabi Sulaiman bijak dan tidak terus terima cerita burung itu dan beliau ingin melihat dahulu kebenarannya. Nabi Sulaiman menyuruh dicampakkan surat dan tunggu untuk dengar apa yang mereka cakapkan.

Burung Hud-hud itu terbang dengan 2 sayapnya dari  Palestin ke Yaman (perjalan yang jauh) kerana semangat, untuk menjadi sebab hidayah kepada orang lain… itu burung!

Maka ia pun mencampak surat dan mendengar perbualan mereka. Ratu Balqis mesyuarat dengan pembesarnya dan memberitahu ada surat datang yang mengatakan ‘Bismillahirrahmanirrahim’. “Apa pandangan kamu semua?”, tanya Ratu Balqis. Kata salah seorang pembesarnya, “Kami juga kuat, jika ingin berperang, kami pun bersedia menghadapi mereka”. Akhir sekali keputusan yang diambil ialah dengan meng antar hadiah untuk lihat apa tindak-balas Nabi Sulaiman.

Burung hud-hud pun balik dan menceritakan kepada Nabi Sulaiman seperti yang didengarnya. Nabi Sulaiaman berkata, “Mereka ingin tunjukkan kekayaan merekakah? Aku pun akan tunjukkan kekuasaaanku (kelebihanku) yang Allah berikan padaku.” Nabi Sulaiman bertanya kepada tenteranya, “Siapa mampu bawakan singgahsana Raja mereka sebelum mereka masuk Islam?” Jin ifrit berkata: “Saya akan datangkan singgahsana itu sebelum kamu duduk.”
Ada beberapa pendapat tentang tempoh ‘duduk’ dalam ayat ini – ada yang kata daripada waktu mula Nabi Sulaiman bertugas, sehingga petang hari habis tugasnya, dan ada pendapat mengatakan daripada kedudukan berdiri ke kedudukan duduk. Jin Ifrit berkata lagi, “Ana qawwi, Ana amin (saya kuat dan boleh dipercayai)”. Seorang alim pula berkata, “Saya boleh bawakannya dalam  sekelip mata.” Dan setelah sampai singgahsana itu, katanya: “Haza min fadhli Rabbi’ (ini kurniaan Tuhanku). Ini sifat tawadhuk – mengembalikan semua kelebihan kepada Allah SWT.

Dengan sebab perbualan Nabi Sulaiman dengan burung hud-hud satu negara masuk Islam! Maka kita jangan kalah dengan  burung dalam mendatangkan manfaat kepada orang lain.

Kerajaan paling hebat ialah kerajaan Nabi Sulaiman. Tapi di mana kerajaan Nabi Sulaiman sekarang? Nabi Sulaiman telah kembali kepada Allah, kerajaannya pun telah sirna (hancur). Kalau kerajaan yang terhebat pun boleh hilang dari atas muka bumi ini dan ianya berakhir dengan masa yang telah Allah tetapkan, apatah lagi kerajaan-kerajaan yang kecil. Yang kekal cuma Kerajaan Allah. Allah yang akan memberi / mencabut kerajaan kepada sesiapa yang dikehendakinya. Bilamana diberi tiada yang boleh menahannya, dan bilamana dicabut, tiada yang dapat menahannya.

Hakikat kerajaan hanyalah milik Allah. Di akhirat nanti, Allah akan tanya: “Siapakah yang  mempunyai kerajaan hari ini?” Allah tanya setelah semuanya dimatikan dan disirnakan Allah SWT.

Had kerajaan manusia cuma manusia, tetapi kerajaan Allah adalah semuanya – manusia, haiwan, alam ini. Hak memiliki kerajaan mutlak kepada Allah.

Ayat 190:


Ayat ini menunjukkan jamak (‘plural’) pada langit untuk menunjukkan yang langit itu banyak, yakni ada 7. Tapi bumi ‘singular’, walaupun ada 7 lapisan juga. Bezanya antara lapisan langit dan bumi – ada ruang antara lapisan langit, jadi jumlah jadi banyak (‘plural’), tetapi bumi walaupun 7 lapisan juga, tiada ruang di antaranya, dan ianya menyatu – maka dari segi jumlahnya jadi satu sahaja.

Ayat ini turun ketika baginda Rasulullah ﷺ berada di rumah Sayyidatina Aisyah r.a. Nabi ﷺ pun berkata, “Celaka orang yang baca ayat ini tapi tak bertafakkur dengan ayat ini”.

Walaupun semua ayat Al-Quran yang kita baca menuntut kita untuk bertafakkur dengannya – yakni ayat Quran yang dibaca merupakan kata-kata Allah kepada kita – apabila orang bercakap, mesti ada yang mendengar. Sepertimana kalau orang bercakap dengan kita, tapi kita tidak melihat atau mendengar kepadanya, maka orang itu akan tersinggung kerana kita tidak memberikan respon yang sepatutnya. Lebih-lebih bila kita memalingkan wajah – maka orang yang bercakap itu akan lebih kecil hati dengan kita. Jika dalam perbualan dengan manusia, dengan perbuatan-perbuatan seperti itu akan menggores hati orang yang bercakap dengan kita. Jadi, bila baca Quran - Allah bercakap dengan kita, dan jika ingin bercakap dengan Allah, maka dirikan solat.

Al Quran merupakan firman Allah – maka Allah yang ‘bercakap’ kepada kita. Kalau kita tergores hati jika orang tidak beradab ketika bercakap dengan kita, maka kita jangan lakukan begitu juga dengan Allah. Jangan sampai kita tidak fokus kepada apa yang Allah cakapkan.

Petikan ayat Quran yang ringkasan maksudnya, “Tidakkah mereka itu tidak bertadabbur ketika membaca Al-Quran nul Kareem ataupun hati mereka ditutup sehingga tidak mendengar atau faham daripada Al-Quran?”

Semua ayat yang dibaca mempunyai tuntutan untuk ditadabbur, tetapi ayat ini mempunyai tuntutan yang lebih kerana Nabi ﷺ mengancam kecelakaan kepada mereka yang membaca dan tidak bertadabbur dengannya. Inilah ayat-ayat penghujung surah Ali-Imran.

Baginda Rasulullah ﷺ bangkit di tengah malam dan meminta izin – “Bolehkah aku kau izinkan untuk pergi solat dan munajat kepada Allah swt?”
Baginda minta izin. Adakah perlu seorang suami buat begini? Jika tak perlu kenapa Nabi ﷺ lakukannya? Kerana Nabi ﷺ ingin menunaikan hak kepada isterinya kerana baginda ialah sebaik-baik insan kepada ahli keluarganya.

Nabi Muhammad ﷺ ingin beri haknya orang rumahnya, lebih-lebih lagi dalam keadaan isterinya yang ramai. Jadi suami perlu mengagihkan masanya dengan adil. Baginda Rasulullah ﷺ mempunyai tanggungjawab kepada ahli keluarganya dan baginda memberikan masanya sama-rata antara semua isterinya.

Zaman kita ini berbeza - setengah orang tak mahu di tanya dia pergi ke mana. Jika ditanya dia marah. “Kau nak kawal aku ke?” Memberitahu kepada orang rumah itu memberi keyakinan bahawa dia (suami) tidak pergi ke tempat lain. Kalau orang rumah tak tahu ke mana suami pergi, maka syaitan boleh menggunakan peluang itu untuk menimbulkan kesangsian dan akhirnya menimbulkan pergaduhan dalam rumah tangga. Apa salahnya tutup pintu-pintu syaitan yang boleh mengganggu keadaan orang rumah dengan kejujuran kepada ahli keluarga.

Dalam kisah (yang pernah dibawakan sebelum ini), Salman menegur kepada Abu Dzar agar menunaikan hak isterinya hak dan tubuh badannya. Ini kerana beliau berpuasa di siang hari dan qiyam sepanjang malam. Abu Dzar tidak puas mulanya dengan teguran dan mengadi kepada Rasulullah ﷺ tetapi jawapan yang Rasulullah ﷺ berikan sama seperti jawapan Salman Al Farisi.

Berbalik kepada pertanyaan Rasulullah ﷺ tadi, jawapan yang diberikan Siti Aisyah sangat cantik – “Ya Rasulullah ﷺ, saya ini suka berhampiran dengan engkau tapi aku lebih suka jika engkau memenuhi keinginan engkau.”

Diriwayatkan ketika itu, Aisyah berada di atas katil bersama baginda Rasulullah ﷺ, yakni walaupun suka berada bersama Rasulullah ﷺ, Aisyah menyerahkan kesukaannya untuk menurut kesukaan Rasulullah ﷺ. Oleh itu, jika suami minta izin pergi tempat baik, berilah izin untuk menteladani kepada Siti Aisyah.

Ini bukti kepada orang yang tergamak mulutnya berkata bahawa Siti Aisyah dicabuli zaman kanak-kanaknya kerana dinikahi pada usia muda oleh Rasulullah ﷺ , sedangkan dalam banyak riwayat digambarkan keharmonian rumah tangga beliau dan baginda Rasulullah ﷺ lebih banyak berbanding isteri-isteri yang lain.

Di manakan bukti tohmahan orang-orang yang melemparkan tuduhan itu sedangkan orang yang terlibat (Siti Aisyah) sendiri hidup bahagia, gembira dan harmoni dengan Rasulullah ﷺ?

Kalau mengkaji kisah hidup kekeluargaan Rasulullah ﷺ, akan banyak dijumpai bagaimana bijaknya Rasulullah ﷺ menjaga keharmonian keluarganya dan betapa setianya Siti Aisyah kepada Nabi Muhammad ﷺ. Terdapat lebih banyak sumber kehidupan kekeluargaan bersama Siti Aisyah berbanding isteri yang lain. Ini menunjukkan bahawasanya kehidupan mereka harmoni dan bahagia.

Kemudian Nabi ﷺ berwudhuk dan solat. Kata Siti Aisyah, “Aku dapati baginda sujud dan menangis sehingga basah tanah tempat sujudnya.” Ini menunjukkan yang banyak dan derasnya tangisan baginda. Apakah sebabnya?

Kemudian ketika Bilal datang dan memanggil untuk solat. Baginda pun keluar dari rumahnya dan ternampak kesan tangisan pada wajah baginda lalu Bilal pun bertanya, “Ya Rasulullah ﷺ, kamu menangis kenapa?” Jawab baginda, “Ya Bilal, telah turun kepadaku malam tadi ayat yang celaka orang membacanya tapi tidak  bertafakkur dengannya.” Oleh itu, sebelum kita bahaskan ayat ini, kita perlu berazam untuk membaca dan bertafakur ayat-ayat ini agar terselamat daripada doanya Rasulullah ﷺ.

Doa beliau bukan untuk mengancam atau mencelakakan kita tapi agar kita sedar dan tidak khayalkan fikiran kita ke tempat lain ketika membaca ayat ini! Rahsia ayat ini amat besar bagi mereka yang mahu bertafakur.

Kita perlukan beberapa saat, dalam keadaan bersendirian, bukan dalam  keadaan ramai-ramai, dalam masa yang senyap dan tenang untuk bertafakur – mengingatkan diri tentang tanda-tanda yang menunjukkan kebesaran Allah SWT. Kita perlu beri masa – tafakkur perlu kepada minda dan hati yang kosong untuk berfikir tentang ayat-ayat yang menunjukkan kebesaran Allah SWT.

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang berakal.”

Perubahan malam dan siang bukan hanya untuk memberitahu perubahan hari – esok Sabtu, lusa Ahad, esok cuti, lusa cuti, Isnin sudah masuk kerja. Perubahan hari menuntut kita bertafakur kepada Pencipta dunia.

Bilamana kita membatasi perubahan hari hanya untuk menunggu bila cuti, bila kerja, bila masuk, bila selesai kerja, maka sungguh sempit pemikiran kita daripada mengingati kepada Allah melalui siang dan malam.

Perlunya kepada kita untuk membuka selebar-lebarnya akal dan fikiran kita melihat perubahan yang terjadi daripada siang dan malam, daripada langit dan bumi untuk menjadikan semua itu wasilah untuk kita kenal kepada Allah SWT.

Ayat 191 dan 192:


Ciptaan langit dan bumi – walaupun kita tidak nampak, kita yakin ada 7 lapisan langit. Tegaknya yang begitu besar tanpa ada tiang yang menyokong agar tidak jatuh ke bumi – sebagai satu tanda kebesaran Allah – sedangkan langit itu meliputi segala ciptaan Allah.

Perubahan siang dan malam – melalui ikatan matahari yang menyinari bumi yang berpusing keadaannya -  pada siang hari terdapat tanda-tanda kebesaran Allah dengan dimudahkan untuk kita mencari rezeki, kita boleh melihat keajaiban ciptaan Allah dengan mata kita, dan Allah jadikan malam pula sesuai untuk kita merehatkan badan, Allah menjadikan keajaiban dengan memberi ketenangan kepada malam hari, langit yang siangnya berwarna biru menjadi gelap dan disinari bintang-bintang. Dalam Al-Quran, Allah menyatakan langit dihiasi cahaya bintang.

Jangan sampai seseorang yang bertafakur terpukau dengan indahnya ciptaan tetapi terlupa kepada Yang Menciptakannya dan mengindahkan sesuatu.

Bilamana kita melihat keindahan gunung, kehijauan tanaman, maka jangan lupa bahawasanya yang menghijaukannya adalah Allah Ta'ala. Tanah ini awalnya kering, hujan turun mengahwinkan benih dengan air, dan dengan air berubah menjadi tanaman. Kalau di Eropah sana, bila musim luruh, nampak pokok tinggal ranting saja, tapi bila tiba musim bunga, nampak cantik berbunga. Daripada mana semua ini muncul? Inilah Allah menzahirkan kebesaran-Nya melalui ciptaan-Nya. Hanya orang yang berakal sahaja bertafakur dan mengingati Allah melaluinya ciptaan-Nya. Jangan sesekali kita melihat keajaiban dan berkata, “Oohh cantiknya..” Kita perlu mengatakan “Subhanallah, MashaAllah”.

Bukankah Allah mengajarkan dalam surah Al-Kahfi tentang kisah seorang yang mempunyai kebun kurma dan anggur yang cantik, dengan air mengalir di dalamnya. Contoh ini relevan untuk siapa saja – tak kita apa bentuk hartanya – kilang, rumah atau sebagainya. Jangan terpukau dengan harta sehingga tidak ingat kepada pencipta harta itu!

Orang itu masuk ke kebunnya dalam keadaan zalim kepada dirinya sendiri – bagaimana? Dia melihat keindahan dan kesuburan kebun itu dan merasakan dia akan mendapat manfaat daripadanya dan merasakan harta itu tidak akan sirna, bahkan dia yakin yang kiamat tak berlaku. Kenapa? Kerana ingin hartanya kekal, lalu dia pun meracun dan menipu diri sendiri yang hari kiamat tak mungkin terjadi. Dia juga berharap jika terjadi juga akhirat, Allah pasti akan memberinya ganjaran di akhirat nanti. Otak yang bagaimana berfikir sebegini? Sudahlah masuk ke kebun tidak ingat Allah, tidak bersyukur dengan nikmat Allah – dia mengharap nikmat daripada Allah ketika hari kiamat. Inilah pemikiran songsang dan dia tidak sedar yang dia telah ditipu oleh hartanya sendiri.

Saudaranya berkata, bila masuk ke kebun, kamu katalah, “Masha Allah. La quwwata illa billah.” Ini petua kepada orang yang ingin menjaga dirinya daripada kufur kepada nikmat harta yang Allah SWT. Inilah benteng supaya Allah menjaga harta ini daripada kehancuran dan kebinasaan kerana orang itu sedar yang nikmat itu datang daripada Allah SWT.

Orang yang masuk ke kebunnya dengan zalim itu – Allah hancurkan hartanya dalam sekelip mata saja – sungainya kering, tanamannya tumbang. Semuanya adalah mudah bagi Allah – “Kun fayakun.” Lelaki itu pun menyesal akhirnya. Oleh itu, bila mendapat nikmat yang besar atau melihat keindahan ciptaan Allah, jangan lupa kepada yang memberikan dan mengindahkan ciptaan itu. Tengok perkara yang indah – Subhanallah!

“Orang-orang yang mengingati Allah dalam keadaan berdiri dan duduk…”
Maksudnya ialah mengingati Allah sentiasa melalui ciptaan-ciptaaan-Nya.


Bahagian 2: Kitab Riyadhus Solihin.

Bab 61: Larangan Bersifat Bakhil dan Shahi (Kikir)



Perbezaan antara bakhil dan shahi:

Bakhil
Shahi
Kedekut
Kedekut dan rakus
Kedekut harta sahaja
Kedekut harta dan ehsan kepada orang lain (tenaga/kata-kata yang baik)

Antara keduanya, ‘shahi’ adalah lebih buruk. 3 cara menangani kedua-dua sifat ini:
1. Paksa diri untuk memberi walaupun sedikit sehingga terbiasa memberi
2. Amalkan doa yang diajar Rasulullah ﷺ: //
3. Fikirkan bahawa ganti yang Allah janjikan adalah lebih daripada apa yang dikeluarkan untuk diberi.

Satu perbuatan zalim disisifatkan sebagai kegelapan di akhirat yang membawa maksud sebagai hukuman yang berat. Oleh itu di samping menjaga amal ibadah, hati-hati dalam hubungan dengan manusia.

Bab 62: Mengutamakan Orang Lain dan Memberi Pertolongan



Rasulullah ﷺ mempunyai tetamu, dia seorang yang susah dan datang dengan harapan dilayan oleh baginda Rasulullah ﷺ. Walaupun sahabat tahu Rasulullah ﷺ sendiri susah tapi mereka mengharapkan akan ada keajaiban yang berlaku. Seperti yang berlaku pada 3 orang sahabat yang bertamu di rumah Rasulullah ﷺ. Ketika itu ada 3 ekor kambing yang ada susu dan setiap kali minum, mereka akan tinggalkan secawan untuk Rasulullah ﷺ. Rasulullah ﷺ jika pulang ke rumah ketika tetamunya ada, akan memberi salam dengan perlahan dengan tujuan tidak menganggu keselesaan mereka.

Pada suatu malam, setelah ingin tidur dan menyimpan satu cawan susu untuk Rasulullah ﷺ, salah seorang daripada mereka yang bernama Mighdad diganggu oleh syaitan, dan disuruh meminum susu Rasulullah ﷺ. Dia pun mengikut kerana menyangka pastinya kaum Ansar sudah menjamu Rasulullah ﷺ makan dan minum ketika baginda bersama. Dia pun minum. Tetapi setelah minum, dia diganggu lagi oleh syaitan dengan rasa bersalah pula. Mighdad pun jadi tidak senang duduk dan tidak boleh tidur. Ketika mendengar bunyi Rasulullah ﷺ balik, Mighdad pun menyembunyikan mukanya di bawah selimut. Rasulullah ﷺ pun melihat kepada cawan yang biasanya ada susu untuknya. Apabila didapati kosong, Rasulullah ﷺ pun menadah tangan untuk berdoa. Mighdad yang ketakutan sudah menyangkakan yang mungkin Rasulullah ﷺ mendoakan keburukan untuk orang yang menghabiskan susu baginda. Tetapi dia mendengar Rasulullah ﷺ berdoa, “Ya Allah beilah minum orang yang beri kami minum, berilah makan orang yang beri kami makan.” Mighdad pun segera bangun untuk menyembelih kambing untuk memberi Nabi ﷺ makan, tetapi didapati kambing yang telah diperah susunya itu bersusu kembali. Mighdad pun memerahnya dan memberi Rasulullah ﷺ minum. Rasulullah ﷺ menyuruh Mighdad minum juga tapi dia menolak dan meminta Rasulullah ﷺ yang minum dulu. Setelah Rasulullah ﷺ puas meminumnya, barulah Mighdad minum. Kemudian, Mighdad ketawa bersungguh-sungguh sehing Rasulullah ﷺ berpesan agar dia berhati-hati agar auratnya tidak terbuka. Mighdad kemudian pun menceritakan sebenarnya dia yang menghabiskan susu Rasulullah ﷺ pada awalnya, dan dia  ketakutan, tetapi akhirnya dia mendapat doa kebaikan daripada Rasulullah ﷺ.

Daripada kesembilan isteri-isterinya, tetapi tiada satu pun daripada rumah-rumah isteri baginda yang mempunyai makanan, semuanya cuma ada air. Tapi tiada seorang pun daripada isteri baginda yang ‘complaint’ kerana iman menjadikan yg susah senang. Oleh kerana tiada apa-apa, Rasulullah ﷺ mempelawa sahabat untuk melayan tetamunya. Rasulullah ﷺ boleh saja menolak tetamu itu, tetapi untuk menunjukkan kesempurnaan iman, baginda tidak buat begitu.

Sahabat yang menyanggupi itu dikatakan dalam satu riwayat ialah Abu Talhah, dan dalam riwayat lain ialah Zaid bin Harith. Sahabat itu sebenarnya hanya ada sedikit makanan dan mereka menyuruh anak mereka tidur dan ketika makan berpura-pura makan dalam kegelapan demi memberi semua bahagian kepada tetamu itu.

Kita zaman sekarang mudah marah jika ada tetamu datang tanpa beritahu, padahal ada banyak makanan dalam peti sejuk yang boleh disediakan.


*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallu'alam. 
**: mungkin salah ejaan

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab