"Ya Allah, jangan Kau hina kami di hari kiamat" - MTDM 17.10.2014

بسم الله الرحمن الرحيم
اللم صل على سيدنا محمد واله و صحبه وسلم

Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid
Majlis Talim Darul Murtadza 17.10.2014

Sumber

Bahagian 1: Tafsir Surah Ali Imran, 191-195.

Ayat 191:


Ayat ini adalah tafsiran akan ayat yang sebelumnya (190) yang menceritakan kriteria orang-orang yang digelar ulul albab. Ulul albab ialah orang-orang yang berakal. Maksudnya ialah bukan orang yang mempunyai akal tetapi orang yang menggunakan akal yang dicipta untuk  bertafakur mengenali kepada Yang memberi akal

Aqal berasa daripada al-aqlu, al-fahmu tidak dijadikan akal kecuali untuk memahami rahsia ciptaan supaya kenal kpd yg menciptakan Allah SWT.

"Sesungguhnya pada ciptaan langit dan bumi, perubahan siang dan malam..."

Bagi mereka yang mengguna akal untuk memahami dan bertafakur. Tidak semua orang menggunakan akal untuk fungsinya yang sebenar. Adapun yang tidak menghargai fungsi akal menggunakan merosakkan akal yang waras dengan minum arak, atau ambil dadah umpamanya. Dia itu adalah lebih tidak waras daripada orang yang original tidak waras.

Sebab apa? Orang yang tidak waras tak tahu apa yang dia buat. Orang yang ada akal tapi membuat perkara yang tidak waras adalah lebih tidak waras daripada orang yang tidak waras leboh gila dari orang gila, sebab dirinya ada akal tapi masih melakukan perkara yang merosakkan akal. Oleh kerana itu - gunakan akal untuk memahami memahami rahsia keagungan Allah.

Apa beza manusia dengan bukan manusia daripada kalangan haiwan? Akal! Dalam hal lain ada banyak  kemiripan dengan  mahkluk yang lain - nafsu, makan, minum tidur, tetapi yang  membezakan ialah akal. Orang yang tidak menggunakan akal perumpamaannya lebih hina dari  haiwan yang tak berakal.

Maksud firman Allah, Kami sudah penuhkan neraka dengan ramai daripada jin dan manusia. Mereka punya hati tapi tak nak faham, mereka punya mata tapi mereka tak tengok, mereka punya telinga tapi tak mahu mendengar, bukan tuli, bukan buta, dan bukan hatinya tidak waras. Semuanya lengkap Allah bagi tapi tak mahu melihat, mendengar atau memahami. Fungsi penglihatan tidak digunakan dengan betul untuk melihat sesuatu yang mengingatkan kepada Allah SWT . Fungsi pendengaran tidak digunakan dengan betul untuk mendengar sesuatu yang mengingatkan kepada Allah SWT. Pemahaman yang diberikan dalam hati tak digunakan untuk memahami rahsia ciptaan Allah SWT dan mengenal kepada Allah SWT.

Mereka itu sama macam binatang ternak, bahkan lebih hina, lebih sesat daripada binatang ternak.

Perumpamannya ialah lebih hina, bukannya sama. Kenapa? Sebab haiwan ternak memang tak berakal. Oleh yang demikian, berapa ramai orang yang diberi akal berjalan di atas bumi. Nampaknya macam manusia tapi kedudukan lebih hina dari haiwan di sisi Allah, Wal iya zu billah. Maka, gunakan akal untuk bertafakur, dan berfikir untuk hal-hal positif.

Siapakah orang yang berakal? Ialah orang yang berzikir kepada Allah ketika berdiri, duduk, dan baring. Keadaan 3 ini simbol kepada setiap keadaan, dan tidak terhad kepada 3 posisi ini sahaja, contohnya orang yang membongkok. Keadaan tiga ini simbol bahwa setiap saat orang berakal sentiasa ingat pada Allah SWT.

Ada 2 tafsiran makna perkataan 'yazkurunallah' mereka  ialah orang-orang yang berzikir:
1.     Org yang berzikir itu solat kerana firman Allah dalam Al-Quran nul Kareem yang bermaksud Tunaikan solat untuk ingat aku.
2.     Zikir yang dimaksudkan ialah zikir-zikir yang warid dan juga tujuan daripada zikir itu dijadikan zikir. Contohnya: tasbih, tahlil, tahmid, takbir, Quran - semuanya zikir. Jenis zikir ada banyak tapi objektifnya satu iaitu mengingati yang disebut. Bila sebut Subhanallah, seseorang akan ingat kepada kesucian Allah. Bila sebut La ila ha illallah, seseorang akan ingat kepada Ketuhanan Allah. Bila sebut Allahu Akbar, seseorang akan ingat kepada Kebesaran dan Keagungan Allah dan seterusnya.

Maka, orang-orang yang berakal ialah orang yang menjaga solat dan zikirnya, iaitu zikir lisan, dan zikir dalam hati. Apa bezanya zikir lisan dan zikir dalam hati? Zikir lisan ialah apa yang disebut, dan zikit hati ialah penghayatan di hati dan tafakur dengan apa yang dizikirkan dengan lisan.

"...mereka yang berzikir kepada Allah, bertafakur.."

Digabungkan zikir lisan dan zikir hati untuk bertafakur melihat ciptaan Allah. Secara khususnya di sini ialah tafakur ketika melihat langit. Baginda Rasulullah , diriwayatkan daripada Sayyidina Ali bin Abi Talib, Bahawasanya baginda Rasulullah kalau bangkit di tengah malam akan melihat langit. Dan dalam hal ini, digalakkan seseorang bila bangun malam untuk lihat langit, dengan tujuan tafakur. Tujuannya adalah sebagaimana langit itu tinggi kita mesti bertafakkur tentang ketinggian, keagungan Allah, dan kalau melihat ketinggian ciptaan Allah tinggi, maka kita kena tahu yang kita rendah dan hina di hadapan Allah SWT. Kita akan merasa hina bila ada orang lebih mulia daripada kita, tapi kita akan rasa mulia bila lihat orang yang lebih hina daripada kita.

Pada zaman Nabi Isa a.s.,  dan Bani Israel, jika ada seorang yang ibadahnya selama 30 tahun diterima Allah, maka dia akan diganjarkan tanda iaitu awan melindunginya ketika dia berjalan. Memang banyak perkara  ghaib yang Allah zahirkan ketika itu dan tidak dizahirkan pada zaman kita. Itu kehendak Allah SWT. Allah tidak dipersoalkan apa yang dilakukan-Nya.

Pada zaman itu, bila berperang, harta rampasan perang akan dikumpulkan dan kemudian akan datang api membakarnya. Itu tidak pelik pada zaman itu. Tetapi, ada seorang lelaki beribadat selama 30 tahun, tetapi tidak mendapat awan, dan dia rasa pelik lalu beritahu ibunya. Subhanallah, mereka zaman itu pelik bila tiada keramat. Terbalik dengan zaman sekarang - pelik bila nampak keramat. 
Syeikh Muhammad As-Syarawi** ada menceritakan kisah ini dalam tafsirnya. 

Sambungan cerita - Ibunya berkata mungkin dia ada melakukan sesuatu yang menyebabkan terhijab daripada mendapat keramat itu. Lelaki itu fikir dan rasa tiada apa-apa. Kemudian, ibunya kata, Mungkin kamu ada tengok langit tapi terlupa berzikir pada Allah SWT? Lelaki itu pun teringat yang betul kata ibunya itu. Maka oleh kerana itu dihilangkan kekeramatan kepadanya kerana melakukan perkara yang dianggap simple (remeh) iaitu berzikir kepada Allah SWT, padahal hal itu merupakan ibadah yang besar di sisi Allah SWT.

Rasulullah bila bangkit akan melihat langit dan membaca ayat 190 (surah Ali-Imran). Setiap kali bila malam, kita tengok kepada langit, baca ayat ini juga. Itu sebahagian daripada ibadah kepada Allah SWT. Setelah berapa lama kita hidup, berapa kali kita berzikir bila tengok langit, walaupun hari-hari kita tengok langit? Ambil peluang setelah kita belajar ayat ini tentang fadhilat daripada kisah lelaki Bani Israel yang tengok langit tetapi tidak berzikir dan dilenyapkan keluarbiasaan yang Allah zahirkan. Dan ini adalah mengingatkan kita bagaimana baginda Rasulullah  berinteraksi dengan makhluk Allah SWT yang mengingatkan dirinya kepada Allah SWT.

Kita diberi teladan supaya kita memahami bahawa apa yang kita nampak bukan perkara yang biasa yang kita nampak, tetapi ada banyak perkata yang kita tak nampak dan tak tahu. Rasulullah ﷺ bersabda dalam hadisnya: Kalau kamu dengar suara salakan anjing atau keldai pada waktu malam, maka berlindunglah pada Allah daripada perkara yang buruk kerana sesungguhnya mereka melihat sesuatu yang kamu tak nampak.

Rasulullah mengajarkan untuk menyebut اعوذ بالله من الشيطان الرجيم bila dengar salakan anjing. Kita biasa dengar malam-malam, tapi adakah kita baca? Selepas malam ini, kalau dengar, sebut اعوذ بالله من الشيطان الرجيم. Ingat yang kita inin diikat dan diajar oleh Rasulullah untuk berinteraksi dengan alam sekeliling untuk mengingati kepada Allah SWT.

Pada diri kamu tidakkah kamu bertawassur, bertadabbur untuk kenal dan ingat kepada Allah SWT?

"Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau menjadikan ini dengan sia-sia, jagalah kami dari api neraka."

Allah menceritakan sikap orang yang lihat langit. Apa kaitan tengok langit dan minta perlidungan dari api neraka? Bila tengok langit malam dengan bintang bukankan nampak indah dan luar biasa. Bilamana seseorang melihat langit dan membaca doa itu, itu menunjukkan seseorang mengakui kelemahan diri dalam mengagungkan Allah SWT. Yakni, dengan keagungan Allah Yang Maha Besar, dan kita sebagai hamba mesti mengakuinya, yang kita ketika ingin mengagungkan Allah SWT, kata-kata kita tak sesuai dengan hakikat keagungan Allah yang sebenar. Itu adalah hakikat kedangkalan makrifat kita dengan Allah, yakni tidak meletakkan Allah tepat pada tempatnya, dan kita minta doa keampunan kerana kekurangan makrifat (mengenal) kepada Allah SWT.

Bukankah terdapat malaikat yang dicipta Allah sujud sepanjang masa semenjak diciptakan, dan bila mereka bangkit nanti, mereka akan kata, Ya Allah, ampunkan kami kerana kami belum beribadah kepada-Mu dengan sebenar-benar ibadah. Malaikat ini tak pernah bermaksiat kepada Allah. Kenapa malaikat begitu? Kerana malaikat mengetahui kebesaran Allah dan kekurangan diri mereka, jadi mereka minta ampun atas kekurangan memuji Allah. maka minta ampun!!!! Kita perlu melihat diri kita kurang dalam bertakafur kepada Allah, kurang dalam beribadah kepada Allah, walaupun kita sudah 24 jam beribadat kepada Allah, tidak menyamai dengan kekuasaan Allah, maka perlu melihat diri sentiasa kekurangan.

Ayat 192:


Di sini ada 2 perkara masuk neraka dan hina. Orang yang masuk neraka orang yang hina. Siapa yang akan memuliakan orang yang hina di sisi Allah, walaupun satu dunia memuliakannya. Jangan mencari kemuliaan di mata manusia yang merupakan hina di mata Allah, kerana manusia yang memuliakan kita pada akhirnya tidak akan dapat membantu apa pun juga untuk kita bahkan untuk diri mereka sendiri pun. Carilah kemuliaan di sisi Allah SWT, dan kita akan mendapat hakikat kemuliaan yang sebenar.


Ayat 193:

Siapa yang menyeru kalau bukan Rasulullah ﷺ.

Seakan-akan 2 ayat sebelum ini Allah berbicara (memberi mesej) kepada akal yang fungsinya untuk bertakafur dan mencari pemahaman, bila melihat keajaiban kejadian ini berfikir tentang siapakah yang mencipta semua ini? Kita boleh menjawab Allah kerana kita beriman kepada Allah SWT. Tapi bagi orang bukan Islam pun, pasti akan hairan dengan keajaiban ciptaan alam ini dan mesti tertanya-tanya siapa yang menciptakannya. Mereka tak punya jawapan, lalu mereka cipta  teori-teori seperti big bang dsb, yang ramai juga orang terpecaya. Tapi orang yang waras pasti akan tertanya-tanya siapa Pencipta semua ini.

Orang, jika nampak kesan najis haiwan akan tahu sebentar tadi ada haiwan lalu, jika nampak kesan kaki orang, maka akan tahu yang ada orang lalu. Maka, alam ini yang terbentang luas, langit dan bumi, bintang dan segalanya adakah mereka ada dengan sendirinya? Untuk akal tahu Rasul dihantar Allah untuk memberitahu Yang Menciptakan ialah Allah SWT.

“…Kami pun beriman,..
Setelah diberitahu oleh Rasulullah , dan berfikir, maka, kami pun beriman.

Ya Allah, ampunkan dosa kami, dan hapuskan dosa kami dan wafatkan kami dengan orang-orang yang baik.

Orang beriman minta 3 permintaan:
1.     ampunkan dosa kami,
2.     hapuskan kesalahan
3.     Meninggal dengan orang-orang yang baik.

Apa beza 1 dan 2?
Dosa ialah melakukan maksiat, derhaka kepada Allah SWT. Kalau orang buat dosa, makan dia dia akan dihukum oleh Allah SWT. Kesalahan ialah sikap tidak sopan kepada Allah SWT. Maka, sikap itu ditanggung oleh orang yang berbuatnya. Dalam hukum feqah jika orang bersumpah dan ingin melanggar sumpahnya, maka akan dikatakan melanggar/menghapuskan sumpah tetapi tidak dikatakan mengampunkan dosa sumpah. Apa dosa dan kesalahan, pengampunan dan penghapusan?


Diriwayatkan daripada Sayyidina Anas bin Malik r.a: Suatu hari, baginda Rasulullah tidur dan setelah bangun dari tidurnya, baginda tersenyum. Sayyidina Umar Al-Khattab pun bertanya, Ya Rasulullah, apa yang menyebabkan engkau tersenyum? Rasulullah pun memulakan ceritanya. Aku bermimpi, nanti di hari kiamat 2 orang dihadapkan kepada Allah SWT.

Kemudian, salah seorang daripada mereka menuntut haknya daripada seorang lagi yang pernah menzaliminya dulu ketika di dunia. Tuntutan hak ketika itu bukanlah dengan mengembalikan kezaliman yang pernah dilakukan seperti di dunia, tetapi meminta kebaikan orang itu untuk diberi kepadanya. Malangnya, orang yang menzalimi itu tiada kebaikan lagi untuk diberikan lalu orang yang dizalimi pun meminta kepada Allah SWT agar dosanya diberi kepada orang yang menzaliminya. Melihatkan kejadian ini Rasulullah ﷺ pun menangis kesedihan.

Kemudian, Allah SWT berkata kepada orang yang dizalimi itu, “Wahai Fulan, angkatlah kepalamu ke atas.” Lalu, orang itu melihat ke atas dan terlihatlah olehnya keindahan yang amat luar biasa. Dia nampak istana diperbuat daripada batu permata, dan keindahan-keindahan lain yang belum pernah dilihatnya sebelum ini. Dalam keteruajaan itu, dia pun bertanya, “Wahai Allah, ini sungguh indah. Siapa yang punya ini, wahai Allah? Nabi mana yang punya? Orang siddiq mana yang punya? Orang syahid bernama siapa yang punya?” Kata Allah SWT, "Yang mempunyai keindahan itu ialah orang yang mempunyai harga untuk bayar.”

Yakni maknanya – siapa saja asalkan boleh membayar kepada Allah SWT. Maka, orang itu pun bertanya lagi, “Apa bayarannya, wahai Allah?” Jawab Allah SWT, “Bayarannya ialah orang yang memaafkan kepada orang lain.” Orang itu pun berkata, “Ya Allah, aku maafkan dia.”

Buat apa menanggung dendam kepada orang lain sedangkan gantinya luar biasa?! Orang yang paling banyak menerima maaf daripada Allah ialah orang yang paling banyak memaafkan orang lain. Maka, jangan dendam, jangan simpan, jangan ada hati busuk dengan orang lain. Anda dihormati Allah dengan diberi hati untuk ditempati Allah Yang Maha Suci dan bersih, jangan dikotori hati anda dengan kedengkian, kebencian kepada orang lain, kerana yang akan ada dalam hati anda ialah Yang Maha Suci dan Bersih. Bersihkan ‘wadah’ itu terlebih dahulu supaya Yang Maha Bersih boleh berada di dalamnya. Fahimtum? Cawan kita kalau kotor, dituang air bersih pun akan jadi kotor. 

Kata Sayyidina Ali r.a. “Allah mempunyai bekas di atas muka bumi ini.” Langit tak boleh nak tempatkan Allah, bumi tak boleh nak tempatkan Allah kerana Allah terlalu agung, tetapi yang boleh menempatkan Allah ialah hati manusia - kita yang kerdil ini, yang sakit perut sikit kita dah terbaring, sakit kepala sikit, kita guna balsam, sakit gigi sikit pun kita sudah mengeluh, tetapi kita diberi keajaiban yang tidak diberikan kepada langit dan bumi – hati.

Allah mempunyai bekas di atas muka bumi ini iaitu hati. Yang paling disukai Allah ialah hati yang.. tak semua hati boleh menempatkan Allah Ta'ala. Oleh itu, jadilah hati yang boleh menempatkan Allah. Tiga hati yang disukai Allah Ta'ala ialah:
-    kuat dalam berpegang kepada ugama, tidak dijual maruah agama dengan apa pun
-    bersih dalam keyakinan
-    lemah-lembut, yakni kepada kaum al-mukminin. Tandanya ialah suka memafkan kepada orang yang bersalah kepadanya.

Lelaki itu berkata, Ya Allah, aku maafkan dia. Allah SWT berkata, Ambillah saudaramu itu (yang menzaliminya) dan bawalah dia ke syurga sekali. Subhanallah, memang kita tahu yang bahawa orang zalim nanti akan menanggung kezaliman di akhirat tapi pada masa yang sama, orang zalim ada yang akan dimaafkan Allah SWT.

Kita nak atau tak nak, kita terima atau tak terima itu realiti yang Rasulullah sudah sampaikan kepada kita. Siapa yang tahu mungkin orang yang menzalimi kita itu termasuk orang yang diberdirikan kita dengan orang itu, baru Allah beritahu kepada kita tengok kau punya tempat itu.

Latih diri untuk hati ini bersih, tak ada dendam, tak ada dengki, tak ada buruk sangka kepada orang lain, yang ini merupakan penyakit yang merebak - virus yang lebih laju daripada virus di internet.

Kata baginda Rasulullah , Merasuk ke dalam diri kamu semua penyakit yang menimpa umat sebelum kamu iaitu penyakit hasad dan kebencian. Sesungguhnya kedua ini adalah pencukur saya tak kata penyakit ini pencukur rambut tapi pencukur ugama.

Menghalalkan perkara yang diharamkan agama, membenarkan perkara yang tak dibenarkan dalam agama. Apa? Hasad dan dengki. Apa yang tak dilakukan oleh orang yang hasad dan dengki? Siapakah makhluk pertama yang hasad? Iblis. Apa dia buat? Dusta, guna nama Allah - tipu, semua dia buat. Diusir daripada syurga pun tak apa demi menjaga hasad-dengkinya (Wal iya zubillah). Allah SWT mengajar kita untuk berlindung kepada Allah daripada orang yang hasad bilamana dia berhasad. Bahayanya hasad dengki. Fahimtum?

Rasulullah ﷺ ketawa kerana orang yang dizalimi itu akhirnya membawa orang yang menzaliminya ke dalam syurga. Apa pasal dia bawa? Kerana Allah sudah menanggung kezaliman orang yang zalim kepada orang yang dizalimi, dan digantikan pemberian yang lebih baik daripada yang dituntut kepada orang yang menzalimi. “Oleh kerana orang zalim ini, kamu dapat pemberian yang luar biasa, maka ambil tangan orang zalim ini dan masuk dalam syurga!” Siapa yang bawa orang yang zalim ke dalam syurga. Jadi kita bila berhadapan dengan orang yang zalim , jangan kita berlebih-lebih kerana mungkin saja dia termasuk dalam hadis yang disebutkan ini. 

Maka, pesan Rasulullah ﷺ: Hendaklah kamu bertaqwa pada Allah, jangan buat zalim pada orang,
Damaikan jika ada yang berselisih, termasuk diri kamu. Kenapa? Kerana Allah juga mendamaikan orang yang berselisih di hari akhirat nanti.

Orang yang beriman itu bersaudara, damaikan bila mana ada 2 orang beriman yang berselisih.
Kita bertanggungjawab bilamana ada 2 orang berselisih untuk kita mendamaikan Allah suruh kita yang tengok 2 orang bergaduh untuk berdamai. Ertinya kita terlibat dalam perkara yang terjadi antara 2 orang yang berselisih untuk berusaha mendamaikan. Kerana penyakit ini mungkin merebak bilamana 2 orang ini kembali kepada keluarganya dan bercakap kepada mereka sehingga menjadikan dua keluarga bermusuhan, dan seterusnya beberapa keluarga bermusuhan dan menjadi semakin besar. Api permusuhan mesti dipadamkan semasa masih kecil sebelum merebak teruk. Untuk mendamaikan mesti ada pengorbanan, mesti ada yang mahu mengalah , kalau tiada yang mahu mengalah macam mana nak berdamai?

Kisah ini membezakan antara dosa dan kesalahan. Kesalahan orang yang dizalimi tadi ditanggung itu namanya menanggung kesilapan yang dilakukan oleh orang lain. Dosa ialah pelanggaran atau maksiat kepada Allah SWT, manakala kesalahan ialah menyalahi manhaj/konsep yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Ada seorang Badawi berdoa begini, Ya Allah, dosa yang aku buat terhadap Engkau, ampunkan dosa. Kesilapan yang aku terhadap hamba-hamba-Mu, Kau tanggunglah, sebab aku tak boleh nak hapuskan dosa silap aku dengan orang lain kerana mereka mesti maafkan aku dulu, jadi Kau tanggunglah.

Dosa berkaitan orang lain mesti dimaafkan oleh orang itu, barulah akan gugur daripada orang tersebut, kecuali jika Allah yang menanggungnya, yakni Allah akan menggantikan dengan perkara yang lebih baik kepada orang yang dizalimi sebagaimana dalam kisah di atas.

“Ya Allah, matikan kami bersama orang-orang yang abrar (baik)..”
Bagaimana seseorang nak selamat jika tak berkawan dengan orang yang selamat. Kalau seseorang kata nak bersama si fulan, tapi kalau tak kenal, bagaimana nak bersama? Untuk bersama di sana, kena bersama di sini. Kalau di sini bersama dengan orang fasiq, fajir, atau orang-orang yang tak baik, bagaimana nanti nak bersama di sana dengan Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar, lebih-lebih lagi nak bersama Nabi Muhammad ? Mimpi di siang hari! Kalau nak bersama mereka di sana, kena bersama mereka di sini bersama dengan manhajnya, sunnahnya, ajarannya, istiqamahnya.

Apa jawapan Allah ketika kita minta ditunjukkan jalan yang lurus (ayat surah Fatihah)? Kenali jalan-jalan orang yang diberi nikmat dan engkau akan diberi hidayah. Doa Nabi Yusuf a.s. Ya Allah, matikan aku dalam Islam dan himpunkan aku bersama orang-orang yang soleh. Bersama di sini akan bersama di sana. Orang itu akan bersama siapa yang dicintai di dunia.

Ayat 194:

Mereka tak minta jangan Kau masukkan kami ke neraka tetapi minta jangan Kau hinakan kami, kerana tiada yang masuk neraka kecuali orang yang hina.

Siapa orang yang tak dihina Allah SWT? Maksud firman Allah, Di hari Allah tidak akan menghina Nabi-Nya (Nabi Muhammad ) dan orang-orang yang beriman bersamanya.

Orang-orang yang beriman bersamanya yakni bukan orang yang beriman kepada Nabinya sahaja dengan lafaz lisan saja, tetapi mesti bersama dengan praktikalnya sekali.

Sayyidina Ibrahim a.s berdoa, Jangan Kau hina aku di hari kiamat nanti. Nabi Ibrahim pun minta doa agar jangan dihina di hari akhirat. Allah Ta'ala berikan kepada Nabi Muhammad , Di hari Allah tidak menghina kepada Nabi Muhammad ﷺ…”. Bezanya ialah Nabi Ibrahim meminta dan Nabi Muhammad diberi tanpa meminta, dan inin menunjukkan kedudukan yang lebih tinggi.

Ayat 195:


Ada 5 perkara yang diminta daripada ayat-ayat sebelum ini:
-    Minta diampunkan dosa
-    Dihapuskan kesalahan
-    Dimatikan bersama orang-orang yang baik
-    Syurga yang telah dijanjikan
-    Perlindungan daripada kehinaan di hari kiamat.

Jawapan Allah - "Faastajaba...". Ahli tafsir mentafsirkan bahawa perkataan ini menunjukkan Allah mengabulkan dengan segera – tiada ruang antara keduanya! Allah SWT berkata yang Allah tidak akan menghilangkan amalan perbuatan. orang beriman, dan Allah SWT tidak berkata yang Allah terima doa-doa kamu. Yakni doa yang kita minta pada Allah tidak boleh sekadar kata-kata, tapi perlu disertakan dengan amalinya (praktikalnya) – baru Allah akan qabulkan. Jangan kita minta diampunkan dosa, tapi dosanya masih tetapi diteruskan. Ini ‘nonsense’. Bukan hanya kata-kata, amal juga kena buat.

Allah akan gantikan dengan yang lebih baik di sisi Allah.

//Doa.


Bahagian 2: Kitab Riyadhus Solihin - Bab 62

Hadis 2 (563):


Hadis menceritakan akhlak al-ithar** (mendahulukan orang lain). Mengajak orang lain berkongsi dalam kebaikan, yakni membantu kepada orang lain. Dalam hadis ini disebut bahawa makanan untuk 2 akan cukup untuk 3, kalau 3 cukup untuk 4. Dalam riwayat lain, makanan 1 cukup untuk 2, 2 cukup untuk 8, 8 cukup untuk 16. Ini merupakan isyarat keberkatan makanan bila di mana bersama. Makan, akan diberi keberkatan dalam bentuk kenyang walaupun yang makan lebih ramai daripada kuantitinya. Kedua akan diberi ganjaran mengajak orang lain, dan membuang sifat pentingkan diri semasa makan.
Mungkin tak kenyang tp akan mendapat ganjaran - supaya tdk pentingkan diri sendiri.

Beberapa pengajaran adab dan sopan-santun daripada hadis ini ialah:
  • Makanlah bersama orang lain
  • Ambil berat kepada orang lain yang tidak dapat makan
  • Jangan anggap makanan itu sedikit tidak cukup atau tak layak dihidangkan kepada orang lain. Ajaklah dengan hidangan apa saja yang ada, yang penting ada niat melayan kepada org lain. 

Hadis 3 (564):

Pengajaran:
  • Daripada hadis ini, Rasulullah memahami bahasa isyarat yang ditunjukkan oleh lelaki itu yang menoleh ke kiri dan kanan dia sebenarnya ingin melihat jika ada yang ingin mempelawanya makan tanpa dia perlu meminta-minta.
  •  
  • Rasulullah pun menegur sahabat dengan menyatakan siapa yang ada tunggangan lebih, beri paad yang lain, kemudian disebut pula makanan yang lebih dan seterusnya sehingga semua orang berasa ada sesuatu untuk dikongsikan dengan yang lain. Perbuatan ini adalah untuk menjaga air muka orang yang Nabi Muhammad nampak itu. Dengan menyebut orang yang ada kenderaan terlebih dahulu, maka dia tidak terasa kerana dia sendiri memiliki tunggangan.
  •  
  • Perbuatan tidak memberi adalah lebih baik daripada memberi tetapi diikuti dengan kata-kata yang menghina.
  •  
  • Nasihat vs fadhihat. Apa maksud fadhihat -> menasihati orang di hadapan orang lain dengan tujuan membuka aibnya.


Hadis 4 (565):


Pengajaran:
  • Adab orang yang diberi hadiah hendaklah menerima, jangan ditolak kecuali hadiah yang berunsurkan rasuah.
  • Seboleh mungkin elakkan daripada meminta kecuali ada motif yang tersendiri (sahabat ini meminta untuk dijadikan kain kafannya).
  • Nabi melipat hadiah sebelum diberi, yakni memberi dengan kemas -> ini ialah adab ketika memberi.
  • Sahabat meminta kain yang pernah dipakai Rasulullah untuk mendapatkan berkah daripada orang yang soleh dan tidaklah dikatakan perbuatan itu kurafat.


Hadis 5:
//



Keutamaan keluarga Abu Musa Al-Asyari, daripada keturunan anak Nabi Nuh a.s. dari Yaman.

*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallu'alam. 

**: mungkin salah ejaan



Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab