Tujuan Sebenar Jihad - MTDM 21 Ogos 2015 (Bah. 1)

بسم الله الرحمن الرحيم 
الحمد لله رب العلمين
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وسلم 

Majlis Ta'lim Darul Murtadza 21.08.2015
Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid*


Bahagian 1: Tafsir Surah An-Nisa, ayat 75-76:
Ayat 75:


Ayat masih mempunyai rentetan dengan ayat minggu-minggu yang lalu. Seperti yang telah dibahaskan, jihad tujuannya ialah untuk menyelamatkan agama, untuk memberi ruang orang beribadah tanpa gangguan, dan menghalang orang luar yang menghalang orang Islam beribadah, atau menghalang orang yang menghalang daripada tersebarnya agama Islam. JIhad bukan bertujuan membunuh. Berapa ramai kaum Yahudi yang dibenarkan hidup dengan aman di bawah pemerintahan Islam, dan keamanan itu tidak pun mereka perolehi daripada pemimpim mereka sendiri.

Dalam ayat ini Allah سبحانه و تعالى bertanya kenapa kamu tidak mahu berperang untuk menyelamatkan kaum yang lemah, yakni wanita, kanak-kanak, orang tua. Kefardhuan jihad adalah kepada lelaki sahaja. JIhad untuk perempuan ialah haji yang mabrur, itulah yang diberitahu Rasulullah ﷺ kepada Saidatuan Aisyah.

“… Orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini,

Yang dimaksudkan ‘negeri’ ialah kota Mekah kerana mereka ditindas oleh orang-orang yang zalim, yang menindas orang-orang yang lemah, dan orang-orang yang beribadat kepada Allah سبحانه و تعالى. Terdapat beberapa riwayat keadaan kaum beriman yang disiksa kaum Musyrikin ketika di Mekah. Ada yang dipenjara, disiksa dsb. Contohnya: ibu dan ayah Ammar bin Yassir dibunuh semata-mata kerana mereka mengucap syadahah kepada Allah سبحانه و تعالى. 

Kaum Quraisy menggunakan kekuatan mereka untuk menyakiti umat Islam yang ingin beribadah. Kekuatan seperti ini yang mesti diperangi. Tetapi apabila kaum kafir tidak mengganggu kepada kaum muslimin, tiada keperluan untuk jihad memerangi mereka. Kita perlu memahami sejarah kaum Muslimin. Ketika dizalimi, ditekan, ditindas, ke mana kaum muslimin berhijrah?

Rasulullah ﷺ menyuruh kaum muslimin berhijrah ke Habsyah, yang rajanya seorang Kristian iaitu Raja Najasyi kerana dia seorang pemimpin yang tidak menzalimi rakyatnya. Kalau jihad ialah membunuh semua pemimpin yang tidak beriman, mengapa Rasulullah ﷺ tidak memerangi Raja Najasyi? Bahkan Nabi ﷺ memuji dengan mengatakan Raja Najasyi ialah raja yang adil.

Kaum musyrikin dan Raja Najasyi - dua-duanya punya kuasa, tapi yang diperangi cuma kaum Quraisy kerana mereka menghalang orang beriman untuk beribadah kepada Rasulullah ﷺ. Diriwayatkan kisah Abu Jandal bin Suhail bin Amr. Dia beriman ketika berlakunya perjanjian Hudaibiyah. Oleh sebab itu dia diseret ayahnya sendiri untuk balik ke Mekah. Rasulullah ﷺ berkata padanya, “Bersabarlah kamu, Allah akan buka jalan keluar padamu.”

Bagaimana dengan konsep jihad? Seorang Muslim diseret di hadapan Rasulullah ﷺ dan Rasulullah ﷺ suruh dia sabar, kenapa? Kerana jihad bukan panggilan emosi, atau fanatik atau perasaan marah. Jihad ada tatacaranya, ada hukum-hakamnya. Rasulullah ﷺ tidak pernah khianat pada perjanjian walaupun dengan kaum kafir.

Pada Perang Khaibar, yang berlaku pada tahun ke-5 atau 6 Hijrah, di kawasan yang agak jauh dari Madinah. Ketika itu Nabi ﷺ membawa tentera kaum muslimim keluar dan dan pusingan pertama perang itu dimenangi kaum Muslimin. Lalu setelah itu, utusan kaum Yahudi dihantar untuk memohon perdamaian dan Rasulullah ﷺ terima. Kenapa? Kalau konsep jihad untuk bunuh semua kenapa Rasulullah ﷺ terima perdamaian, sedangkan baginda dan muslimin dalam keadaan menang. Tak cukup dengan itu, perdamaian itu datang dengan kondisi iaitu separuh hasil kurma di beri kepada muslimin, dan separuh kepada Yahudi. Bukankah sepatutnya kalau kaum muslimin menang, semua harta musuh menjadi milik kaum muslimin. Ya. Tapi Rasulullah ﷺ terima untuk berkongsi dengan mereka. Ini bukan untuk menunjukkan lemah, atau rendah tapi untuk menunjukkan toleransi dalam agama ini, dan menunjukkan bahawa agama ini berdamai dengan sesiapa saja yang menyokong perdamaian. Ini bukan agama yang kejam atau agama pertumpahan darah.

Nabi ﷺ berdamai dan akur dengan permintaan mereka, walaupun mereka Yahudi. Kekufuran kaum musyrikin tak sama dengan kekufuran kaum Yahudi. Kaum Musyrikin - mereka tak tahu tentang agama Allah dan kenabian, tapi kaum Yahudi sudah menerima kitab sebelum itu dan tahu akan kedatangan Nabi yang terakhir. Tapi mereka tidak mahu beriman, bahkan memusuhi Nabi ﷺ jauh lebih ketat berbanding kaun Musyrikin. Tapi Nabi ﷺ masih mahu berdamai, untuk menunjukkan toleransi dalam agama ini dan mengharapkan ada di antara mereka yang mahu beriman. Jika mereka semua dibunuh dalam keadaan kufur, semuanya akan masuk neraka dan itu bukan yang Rasulullah ﷺ inginkan. Nabi ﷺ diutuskan untuk menyelamatkan orang dari neraka.

Setiap tahun Abdullah ibnu Rawahah akan pergi untuk buat anggaran hasil kurma yang menjadi milik kaum Muslimin dan Yahudi. Nabi ﷺ sentiasa ada dalam mengagihkan bahagain kaum Yahudi dan kaum Muslimin. Suatu hari ketika Abdullah datang, salah seorang ketua Yahudi datang dan menyuruh Abdullah menipu kiraanya kepada Rasulullah ﷺ. Tapi kata Abdullah, “Saya datang daripada orang yang sangat aku sanjungi dan sayangi, kepada orang yang paling aku benci (Yahudi), tapi itu tidak mengganggu aku untuk berlaku zalim kepada kamu, dan juga tidak menjadikan aku untuk berlaku tidak adil kepada kamu.” Iman sahabat Rasulullah ﷺ tidak boleh dibeli dengan duit. 

Wallahi, aku ingin datang daripada orang yang paling aku sayangi (Rasulullah ﷺ), kepada orang yang paling aku benci (Yahudi), tapi kedua-duanya tak mengganggu aku untuk tidak adil kepada mana-mana pihak.

Dalam satu kisah, Sayyidina Ali diberi bendera untuk keluar berperang dan dipesan untuk berjalan dengan tidak menoleh ke belakang lagi. Ketika berjalan, Sayyidina Ali berhenti bertanya tanpa menoleh ke belakang, “Atas dasar apa saya perangi mereka?” Yakni matlamat jihad bukan untuk membunuh, sekadar melawan orang yang menghalang tersebarnya agama Allah سبحانه و تعالى. Jawab Rasulullah ﷺ, “Perangilah mereka sehingga mereka mengucapkan Lailahaillallah.”

Diriwayatkan ketika berperang seorang musuh telah jatuh di hadapan Sayyidina Ali. Baginda pun ingin membunuhnya tetapi si kafir itu meludah mukanya. Sayyidina Ali lalu meninggalkan lelaki itu. Beliau sebenarnya takut niatnya membunuh kafir itu bukan lagi kerana Allah سبحانه و تعالى tapi mungkin kerana nafsu marahnya kerana diludahi. Beliau tidak mahu pedangnya digunakan kecuali untuk tujuan Allah سبحانه و تعالى.

Bila ada dasar emosi dan nafsu bermain kepada nafsu orang yang berjihad, kena berhati-hati kerana jangan sampai mengorbankan nyawanya, tapi tiada nilai apa-apa di sisi Allah سبحانه و تعالى. Jihad adalah kerana Allah سبحانه و تعالى, dan tidak boleh dilakukan kerana mengikut emosi atau kerana semangaat Asobiyah.

Pesan Rasulullah ﷺ lagi kepada Sayyidina Ali ketika memegang bendera, “Dengan sebab engkau menjadi hidayah kepada walaupun satu orang - adalah lebih baik daripada engkau mendapatkan dunia dan seisinya.”

Matlamat agama ini ialah memberi hidayah, dan bukannya membunuh kepada sesiapa saja. Ini pesanan terakhir Nabi ﷺ sebelum Sayyidina Ali keluar ke Perang Khaibar. Ini daripada perang dan jihad yang diperintahkan Rasulullah ﷺ.

Ayat 76: 

Orang-orang beriman berjihad di jalan Allah dan orang kafir berperang pada jalan syaitan.

*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallahu'alam. 



Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab