Agama ini agama kasih-sayang -> pelajari dan sebarkannya - MTDM 29.08.2014

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم


Tausiyah 1: Dr Zulkifli Al Bakri


Pertamanya mari kita sama-sama merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran atas kurniaan pelbagai ilmu, nikmat dan sebagainya. Kata Al-Imam Al Syatibi, Allah kurniakan kepada kita 2 nikmat, satu disebut sebagai usulul niam, iaitu nikmat-nikmat asas yang utama, dan satu lagi disebut furuu; niam, iaitu nikmat cabangan. Maka salah satu nikmat yang terbesar itu ialah nikmat ilmu, nikmat kita hadir dalam majlis ilmu, kita bersua dengan masyaikhuna daripada jauh dan dekat, kita melazamah ilmu yang sudah menjadi sebati di kalangan para salafussoleh, para ulama di sepanjang zaman.

Maka, beruntunglah bagi siapa melazimi ilmu sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang yang hebat di zaman dahulu. Menuntut ilmu, mengkaji ilmu, mempelajari ilmu daripada satu lembaran kepada satu lembaran, dan mengambil faedah daripada mulut para ulama - talaqqi ilmu. Maka ini merupakan satu daripada cara yang baik, yang sahih dalam mendapatkan ilmu. Kerana banyak kadang-kadang dengan hanya pembacaan sahaja, maka kita hilang barakatul ilmu, barakatul talaqqi, barakah untuk kita mendapatkan ilmu yang benar.

Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid yang sudi menjempit saya pada malam ini untuk sedikit sahaja tazkirah ringkas. Saya mohon maaf kerana tak dapat memanjangkan dan hadir bersama-sama atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan.

Sejujurnya saya nyatakan bahawa apakah ini sebagai satu lambang kebangkitan Islam melalui ilmu, yang mana dipenuhi masjid. Satu tasawwur gambaran saya kalau lepas isyak orang balik tidur, tetapi kita menukarkan dengan menjadikan satu majlis ilmu. Dan inilah yang dilakukan oleh orang-orang yang bersungguh-sungguh. Duduk sekejap bersama untuk kita beriman seketika. Sempat saya sorot beberapa kitab-kitab yang diajar, yang penuh dengan barakahnya, yang penuh dengan sanadnya, yang sepatutnya kita cuba ambil. Jadilah majlis sebagai satu musabaqah ilmiah, yang mana kita bersungguh-sungguh meraih, mendapat, mengkaji ilmu.

Tuan-tuan, nak berjaya bukan mudah memerlukan kepada sengkangan mata. Siapa yang nak dapat  kedudukan yang cukup hebat, tinggi, dia terpaksa berjaga malam. Ada ulama pada zaman dahulu, dia menekuni satu masalah sehingga larut malam. Apabila terjumpa nasnya, maka bertakbirlah dia seronok bukan kepalang sukanya, Allahu Akbar. Oleh kerana itulah, saya mengharapkan tuan-tuan, puan-puan, anak-anak, rakan-rakan muslimin-muslimat, ilitizamlah dengan para ulama, iltizamlah dengan mempelajari ilmu.

Hadis Al-Bukhari yang masyhur, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah ibnu Umar r.a., bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّ اللهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ، وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ؛ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالاً،
فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا.
[Al-Bukhari (100, 7307); Muslim (2673)]
Sesungguhnya Allah tidak cabut ilmu dengan cara hilangnya daripada ingatan, (tiba-tiba tiada langsung) tapi dicabut ilmu dengan kematian para ulama sehinggalah tiada lagi orang alim yang sebenar di muka bumi ini. Ketika itu, masyarakat akan menaikkan orang jahil dalam kalangan mereka sebagai ketua, kemudian mereka ditanya, mereka memberi fatwa tetapi mereka sesat dan menyesatkan orang lain.

Jika cuma mereka yang sesat, boleh tahan, tetapi yang menjadi masalah ialah dia menyesatkan orang lain dan mempengaruhi orang lain. Atas asas inilah, mari sama-sama kita mengikhlaskan niat mengkaji ilmu, dan mengambil manfaat daripada tokoh-tokoh termasuk Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid dan tak lupa tetamu, para ulama dan masyaikh yang dijemput, dan Alhamdulillah, malam ini dijemput ulama yang cukup jauh. Kita nak pergi California payah, jadi dia datang mari sini, cuba ambillah manfaat daripada Syeikh Hamzah Yusuf.

//Ucapan diakhiri dengan doa, harapan dan ucapan terima kasih.

Tausiyah 2 - Syeikh Hamza Yusuf
//akan datang InshaAllah

Tausiyah Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid


Dalam majlis yang diberkati oleh Allah SWT, sebentar tadi dikemukakan pelbagai macam perkara yang mendatangkan manfaat kepada kita di dunia dan di akhirat.

Daripada apa yang kita dapat manfaat daripada majlis pada hari ini, adalah bekal pertama yang disampaikan oleh Tuan Mufti sebentar tadi adalah bekal ilmu yang merupakan nikmat terbesar yang diberikan oleh Allah SWT dan majlis kita adalah majlis ilmu. Majlis ilmu, duduk dengan orang-orang yang berilmu, yang mana ini adalah merupakan wasiat daripada Luqman Al Hakim mengatakan kepada anaknya “Wahai anakku, duduklah dengan ulama’, rapatkan lututmu dengan lutut mereka, sesungguhnya Allah menghidupkan hati yang mati dengan cahaya ilmu ulama’ umpama Allah menghidupkan tanah ini dengan turunnya air hujan”.

Alhamdulillah, majlis kita adalah majlis bersama dengan para ulama’, Tuan Mufti Dr Zulkifli, dan juga Sheikh Hamza Yusuf yang menjelaskan tentang erti sebenar dalam matlamat dalam hidup ini adalah untuk mencari kasih sayang dan menabur kasih sayang, kerana Nabi yang diutuskan oleh Allah adalah Nabi yang membawa kasih sayang dan gelarannya adalah digelar dengan Habibullah (orang yang dikasihi oleh Allah) ataupun yang diertikan Habibullah (yang amat mengasihi kepada Allah SWT). Kita ingin belajar kasih sayang kepada Allah dan Rasul-Nya ini melalui daripada kasih sayang haiwan bahkan tumbuh tumbuhan kepada Nabi Muhammad , kisah pokok kurma yang cukup masyhur dalam hadis Sahihul Bukhari, yang mengungkapkan kasihnya dalam penjelasan yang disampaikan oleh Sheikh Hamza iaitu kedudukan Peringkat dalam Mahabbah daripada satu dua tiga sampai beberapa peringkat yang mana kesemuanya adalah merupakan hadiah dari Allah bilamana orang itu layak untuk mendapatkan hadiah.

Moga-moga Allah SWT memilih kita semua dalam golongan orang-orang yang dikasihi dan disayangi, dicintai oleh Allah SWT dengan rahsia yang nama Allah Al Wadud (Yang Maha Mencintai). Kita mohon kepada Allah SWT agar supaya diberikan walaupun sedikit daripada kasih sayang-Nya yang kalau seseorang mendapatkan kasih sayang daripada Allah tidak akan celaka di dunia ataupun di barzakh atau pun di akhirat tentunya akan berada dengan orang yang juga dikasihi oleh Allah SWT. Moga-moga Allah SWT memberikan hidayah kepada kita kasih sayangNya dengan rahsia namaNya Ar Rahman, dengan rahsia namaNya Ar Rahim, dengan rahsia namaNya Al Wadud untuk menganugerahkan kepada kita rahmatNya, menganugerahkan kepada kita kasih sayangNya dan menganugerahkan kepada kita cinta-Nya untuk kita mencintai Allah SWT.
Akhir kalam, Habib Ali mendoakan kebaikan bagi seluruh jemaah Majlis Ta’lim Darul Murtadza, Sheikh Hamza dan juga Tuan Mufti Dr Zulkifli.

//Ucapan diakhiri dengan doa.

*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallu'alam. 

**: mungkin salah ejaan

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab