Tentang Hikmah, Nazar dan Doa Qunut - Kuliah Dhuha Muslimat 09.09.2014
بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
ِاَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهَ وَصَحْبِهِ وَسَّلِم
Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid
Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak, Ampang
Sumber: Pinterest |
Bahagian 1: Tafsir Al-Quran nul Kareem surah Al-Baqarah
Ayat 269:
Dalam ayat ini
disebut “Hikmah” – apa maksudnya?
Kata Sayyidina
Ali bin Abi Talib, “Al Hikmah itu banyak hilang dalam
kalangan muslimin. Oleh itu, siapa menjumpainya, hendaklah mengambilnya.”
Hikmah yang
dimaksudkan di sini ialah ilmu. Oleh itu, ambillah hikmah, tak kira siapa pun
yang mengucapkannya.
Kisah: Imam
Ghazali dalam perjalanan dari Syam ke Baghdad dan dirompak. Hasil belajar Imam
Ghazali ditulis dalam kertas seperti kain guni atau kulit kayu, walhasil,
tulisan yang sedikit tapi perlukan kertas yang banyak dan bergulung-gulung. Imam
Ghazali berkata, “Ambillah semua kecuali catitannya.” Perompak makin tertarik dan bertanya apa yang tidak di benarkan diambil
itu. Imam Ghazali memberitahu yang itu ilmunya. Perompak kemudian bertanya: “Jadi, kalau aku ambil kau tak ingat?” Jawabnya: “Tak.” Kata perompak: “Kalau begitu buat apa kamu belajar?” Imam Ghazali pun terkesan dengan pesanan perompak itu dan mengambil
pengajaran.
Kesimpulannya -> Jangan tengok siapa cakap, tengok isi apa yang
dicakap.
Luqman Al-Hakim
digelar Al-Hakim (bijaksana) kerana diberi hikmah (ilmu). Dia berpesan kepada
anaknya agar duduk dengan ulama.
Kata pepatah
Arab, dengan siapa kita duduk, maka kita akan menjadi seperti mereka atau
mendapat barang daripada mereka. Jika duduk dengan orang jual minyak wangi,
dapat minyak wangi, duduk dengan orang jual tudung, dapat tudung, duduk dengan
orang jual serban, dapat serban, duduk dengan orang suka mengumpat, akan suka
mengumpat, tapi duduk dengan orang berilmu, maka akan mendapat ilmu.
Luqman
menasihatkan anaknya agar duduk dengan ulama dan merapatkan lutut dengan mereka kerana
Allah akan hidupkan hati yang mati dengan cahaya ilmu ulama, seperti mana pokok
yang mati dihidupkan dengan hujan. Lagi pesannya: Jangan syirikkan Allah,
berbakti pada orang tua, dirikan solat, tunaikan zakat dan semua amalan, sama
ada baik atau buruk, walaupun kecil akan diketahui Allah. Tujuannya untuk
mengajarkan anaknya agar tahu yang Allah sentiasa mengawasi.
Untuk mengajar
anaknya → Luqman mengajak anaknya keluar dengan membawa seekor keldai.
Mereka berjumpa
orang-orang yang berborak-borak kosong dan bila lihat kedua-duannya tak
menunggang keldai, dikatakan mereka bodoh. Kata Luqman Al-Hakim, “Kamu dengar apa yang mereka katakan, anakku?” Jawabnya, “Ya, ayah.” Kemudian, mereka berdua pula menunggang keldai, dan melihat itu orang
berkata yang mereka tiada rahmat kepada keldai itu. Kata Luqman Al-Hakim, “Kamu dengar apa yang mereka katakan, anakku?” Jawabnya, “Ya, ayah.” Kemudian, Luqman menunggang, dan membiarkan anaknya berjalan. Melihat
itu, orang berkata yang ayahnya tak sayang anaknya kerana membiarkan anaknya
berjalan, dan dia menunggang keldai. Kata Luqman Al-Hakim, “Kamu dengar apa yang mereka katakan, anakku?” Jawabnya, “Ya, ayah.” Kemudian, Luqman turun, dan menyuruh anaknya menunggang, dan dia
berjalan. Melihat itu, orang berkata yang anaknya tidak hormat ayaknya kerana
membiarkan ayahnya berjalan, dan dia menunggang keldai. Tujuan Luqman Al-Hakima
adalah untuk menunjukkan yang kita takkan mampu untuk senangkan hati semua orang.
Nabi ﷺ melarang sahabat (dan kita) untuk duduk di
tepi jalan, kalau nak juga, mesti menjaga hak-hak berikut:
1. menjawab
salam
2. menjaga mata
dari melihat gelagat orang
3. menyuruh
kepada yang makruf dan menegah kepada yang mungkar. Jika orang bertanya, maka
dia wajib menjawab.⇒ Sempuranya Islam sehingga duduk ditepi jalan pun ada hak yang mesti ditunaikan
Maksud ke-2 ‘hikmah’ ialah ‘Al-Fahmu’
Hadis: Sabda
Rasulullah ﷺ, “Semoga Allah memberi cahaya kepada
wajah seseorang yang mendengar cakap aku, dan memahaminya lalu menyampaikan daripada
ilmu yang didengarnya.
Terkadang boleh
jadi orang yang mendengar lebih faham daripada orang yang menyampaikan.”
Salah seorang
yang mendapat hikmah pada zaman Rasulullah ﷺ ialah Sayyidina Abdullah bin Abbas
yang hanya berusia 13 tahun ketika Nabi saw wafat, tapi dia terus mengambil
ilmu daripada sahabat-sahabat Rasulullah ﷺ. Ini juga adalah kerana berkat doa
Rasulullah ﷺ kepadanya. Setelah turun surah Al-Fath, Sayyidina Umar mengumpulkan
sahabat dan bertanya apa yang mereka faham tentangnya. Sahabat semua berkata yang
surah itu merupakan berita gembira kepada kaum muslimin kerana agama Islam akan
dijayakan oleh Allah سبحانه وتعالى. Akhir sekali apabila ditanya pada Ibny Abbas, dia berkata yang surah
itu surah takziah. Sahabat pelik bagaimana pula surah itu menjadi takziah
kerana takziah diucapkan apabila ada orang meninggal. Lalu terangnya bahawa
ketika Islam sudah berjaya, maka maknanya tugas Rasulullah ﷺ selesai, dan
baginda pun akan kembali kepada Allah. Sayyidina Umar juga memahami sepertimana
kefahaman ibnu Abbas.
Barangsiapa yang
diberi hikmah, maka dia telah diberi kebaikan yang banyak oleh Allah سبحانه وتعالى.
Makna ke-3
Al-hikmah: sentiasa benar percakapannya
Makna ke-4:
An-hubuwah atau kenabian yang diberi kepada orang terpilih sahaja
Makna ke-5:
orang yang diberi akal fikiran
Makna ke-6: Rasa
takut kepada Allah
Makna ke-7: Al-warak
(berhati-hati)
Barangsiapa
diberi salah satu atau keseluruhannya, maka adalah orang yang telah mendapat
nikmat yang terbesar. Semoga kita termasuk golongon ini, Amin.
Ayat 270:
Ayat sebelum ini
(268) bercerita tentang nafkah/sedekah → kemudian ayat
269 tentang hikmah → dan
kemudian (270) kembali kepada sedekah ⇒ Apa hikmah susunan sebegitu?
Untuk
menunjukkan bahawa nafkah terbaik di sisi Allah ialah ILMU. Ilmu ialah hikmah,
hikmah ialah ilmu. Orang yang bersedekah ilmu adalah lebih baik daripada orang
yang bersedekah harta. Oleh kerana demikian, setelah bercerita tentang nafkah
harta (268), Allah bercerita tentang nafkah ilmu, dan kemudian kembali kepada
nafkah harta -masih ada kaitan antara
ketiga-tiga ayat ini.
Dalam hadis
Rasulullah ﷺ bersabda, “Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah,
suka kepada orang yang pemurah. Orang yang pemurah setelah aku ialah orang yang
belajar, dapat ilmu mengamalkan dan menyebarkan ilmu tersebut.”
Untuk
menyebarkan ilmu tak perlu tungu sehingga alim, tetapi apa yang dapat daripada
majlis-majlis ilmu, kongsi dengan kawan, dengan orang rumah.
//Apa yang kamu nafkahkan atau
nazarkan, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui…
Yakni Allah mengetahui
niatnya, nilainya dan siapa yang menerimanya. Kadang-kadang orang bersedekah
tak tahu kepada siapa sampai sedekahnya. Tetapi Allah tahu dari awal hingga
kahir tentang sesuatu sedekah – Allah tahu isi hati orang yang
bersedekah, barang yang disedekahkan, orang yang menerimanya, dan ganjarannya
yang akan diberikan.
⇒ Maka, orang yang bersedekah jangan risau sedekah sampai atau tidak, yang
penting niat kerana Allah سبحانه وتعالى.
Dalam hadis
Rasulullah ﷺ ada disebutkan bahawa sebelum sedekah itu sampai kepada seseorang,
Allah sudahpun menerimanya. Sayyidatina Aisyah membersihkan duit yang terjatuh
sebelum diberi kepada orang miskin, lalu ditanya kenapa dia berbuat begitu.
Jawab Sayyidatina Aisyah adalah supaya bukan duit yagg kotor yang jatuh ke
tangan Allah. Tangan Allah yang dimaksudkan bukanlah seperti tangan kita,
tetapi simbolik kepada penerimaan Allah سبحانه وتعالى.
Nazar ialah janji
untuk taat kepada Allah سبحانه وتعالى dan jika ianya perkara taat, maka wajib ditunaikan, tetapi nazar dengan
perkara maksiat adalah tidak sah dan tidak perlu dilakukan, dan tiada kafarah dikenakan.
Perhatian - dalam hal sumpah pula, jika
sumpah dengan hal maksiat → hukumnya berdosa, jika dilakukan sumpah itu berdosa dan dia wajib dilanggar sumpah itu dan juga mesti membayar kafarah, kerana
menggunakan nama Allah untuk perkara maksiat. Contohnya seperti bersumpah untuk memutuskan silaturrahim.
Kafarah sumpah adalah dalam bentuk:
Kafarah sumpah adalah dalam bentuk:
1. Memberi makan
kepada 10 orang atau
2. Memberi pakaian
kepada 10 orang atau
3. Berpuasa
selama 3 hari
Nazar hukumnya
HARUS (boleh) dilakukan tetapi eloknya untuk buat perkara taat, buatlah tanpa
nazar. Tetapi kalau diri malas atau mudah terpedaya dengan nafsu, maka boleh
bernazar untuk melatih diri. Jika sudah bernazar, maka perlu ditunaikan, dan
berdosa jika meninggalkannya. Kalau boleh melakukan tanpa bernazar juga adalah
baik kerana tiada unsur terpaksa di situ.
KECUALI jika
seseorang ingin menaik-taraf ganjaran amalan sunat berubah menjadi wajib,
kerana amalan wajib lebih tinggi ganjarannya berbanding amalan sunat. Tetapi tidak
boleh ada sebab-sebab sampingan contohnya – kalau dapat project dll. Itu umpama tawar-menawar dengan Allah.
Jadi perlukah
seseorang itu bernazar? Bergantung kepada keadaan. Jika mampu melakukan tanpa
bernazar, lakukan tanpa nazar. Jika nazar dilakukan untuk mendidik diri
daripada sifat malas, maka ianya boleh dilakukan, Jika nazar dilakukan untuk
menaik taraf ganjaran amalan, maka ianya amat digalakkan tetapi mesti tahu dan mampu
menunaikannya.
Ayat 271:
Allah terangkan
tentang 2 jenis sedekah – zahir dan tersembunyi. Adakah
sedekah yang dilakukan secara zahir tidak baik? Allah kata baik, tapi zaman
sekarang ramai suka buruk sangka pada orang yang menzahirkan sedekahnya. Kita
memilih untuk buruk sangka sedangkan Allah kata itu baik. Tak semestinya sedekah
tersembunyi itu baik, jika hakikatnya dia membangga diri, walaupun kepada dirinya sendiri. Ulama mencadangkan agar beri sedekah wajib (nafkah, zakat)
secara terang-terangan. Jika sedekah sunat, lebih elok beri secara tersembunyi kerana
ianya lebih dekat dengan ikhlas.
Satu lagi sebab
dibolehkan, bahkan digalakkna menzahirkan sedekah ialah agar perbuatan itu
dapat ditiru oleh orang lain. Tapi sedekah dengan niat menunjuk-nunjuk,
walaupun pada diri sendiri adalah tidak boleh dan akan menjejaskan kualiti
ibadah itu.
Sahabat
dianjurkan untuk bersedekah. Sayyidina Umar bawa separuh hartanya, kerana dia
ingin memberikan hak keluarganya juga. Kemudian, Sayyidina Abu Bakar datang dan
apabila ditanya ada yang ditinggal untuk keluarganya, jawabnya, “Allah dan Rasul-Nya.” Perbuatan Rasulullah ﷺ bertanya dan
menzahirkan sedekah mereka ini adalah agar menjadi contoh kepada orang lain.
Kita, jika ingin
beri sedekah pada orang miskin, lebih baik melalui tangan kita sendiri (kerana
tiada perantara). Lebih baik lagi jika orang yang menerima tak tahu siapa yang
memberi. Inilah antara usaha untuk mencari ikhlas.
Sayyidina Imam
Ali Al-Sajjaj akan membawa makanan untuk fakir miskin setiap malam. Malam pada
zaman dahulu gelap, boleh mengundang bahaya tapi demi mengikhlaskan
pemberiannya
dia keluar pada
malam hati dan meletakkan bekas makanan di hadapan pintu rumah orang-orang
miskin. Orang-orang miskin pun sudah terbiasa jika bangun pagi, pasti ada
makanan untuk mereka. Orang-orang miskin itu mempunyai sifat iffah iaitu tidak
suka meminta-minta. Tetapi setelah wafatnya Imam Ali, didapati tiada lagi
makanan dan didapati ada kesan hitam (kesan mengangkat barang) di bahunya, barulah
orang tahu bahawa selama ini dia yang memberi sedekah kepada mereka.
⇒ Oleh itu, usahakan bersedekah secara tersembunyi, supaya lebih hampir kepada
ikhlas, akan lebih berharga kalau diberi kepada musuh kita!
Bagi kita
mungkin menganggap perkara itu jauh, tapi bagi mereka yang mencari redha Allah سبحانه وتعالى, maka dia tak peduli orang itu nak
keji/tak keji, terima kasih atau tak,
pemberiannya adalah kerana Allah سبحانه وتعالى.
Bahagian 2: Kitab Al-Azkar m/s 99 – Doa Qunut Ketika Solat Subuh
Qunut ada 2
jenis:
1. Qunut Nazilah
–
boleh
dibaca pada setiap waktu solat bilamana ada musibah menimpa kaum muslimin
–
Jika
ditinggalkan tak perlu diganti
2. Qunut Subuh
–
dibaca
pada waktu Subuh saja bagi pengikut mazhab Imam Syafie
–
diganti
dengan sujud sahwi jika tertinggal kerana termasuk sunat muaqaddah
Rukun Qunut:
1. Doa
2. Pujian kepada
Allah Ta'ala
3. Selawat dan
salam kepada Rasulullah ﷺ, keluarganya dan sahabatnya
Jadi, apabila
memenuhi ketiga-tiga rukun ini, maka sahlah qunutnya, tidak semestinya membaca
doa Qunut yang biasa kita bacakan (yang diajar oleh Rasulullah ﷺ Sayyidina
Hassan bin Ali bin Abi Talib r.a. ). Doa tersebut pun terdiri daripada 3 rukun
di atas.
Contoh Qunut
ringkas:
S: Bagaimana
jika kita solat Subuh berjemaah di belakang Imam yang tidak membaca Qunut,
contohnya ketika di Mekah?
J: Ada 2
pilihan:
1. Ikut imam
dengan tidak membaca Qunut, TETAPI, kita disunnahkan untuk melakukan sujud
sahwi. Kalau tak sujud sahwi bagaimana? Hukumnya sunat, jadi tak berdosa kalau
ditinggalkan, tetapi tidak mendapat ganjaran yang sempurna. Qunut yang
ditinggalkan dengan sengaja atau tidak, disunnahkan mengganti dengan sujud
sahwi.
2. Boleh lakukan
qunut ringkas (seperti contoh di atas) semasa masih bermakmum kepada imam
tersebut.
Tak perlu nak
pindah mazhab dalam hal ini. Hanya dengan sebab yang muhasabah barulah kita
dibenarkan berpindah mazhab. Pindah mazhab bukan macam pindah rumah, ada
protokol tertentu dan tak boleh ikut suka hati kita.
Kalau
ditinggalkan qunut, solat tetap SAH, tetapi disunnahkan mengganti dengan sujud
sahwi.
Selain daripada
Qunut Subuh, adakah perlu berqunut pada solat 5 waktu yang lainnya? Ada 3
pendapat menurut mazhab Imam Syafie:
1. Jika berlaku
musibah, qunut dilakukan selama 5 waktu solat
2. Sunnah
dilakukan sama ada musibah atau tidak
3. Tiada
langsung
⇒ Pendapat paling
kuat ialah yang pertama.
Qunut dalam
witir, ada 3 pendapat:
1. Qunut juga
dilakukan pada rakaat terakhir solat sunat witir bermula pada 15 Ramadhan.
2. Pandangan
kedua pula mengatakan boleh melakukan qunut witir sepanjang bulan Ramadhan.
3. Pendapat
ketiga pula mengatakan sunnah melakukan qunut witir sepanjang tahun.
Mengikut mazhab
Syafie: Qunut dilakukan selepas bangkit dari rukuk.
Jika dilakukan
sebelum rukuk bagaimana? Pendapat kuat mengatakan perlu diulang membaca Qunut semula
selepas rukuk.
Walaupun
dibolehkan membaca qunut yang ringkas, tetapi digalakkan membaca Qunut seperti
yang diajarkan oleh Rasulullah ﷺ:
Sujud Sahwi:
Dilakukan
sebelum salam dengan 2 kali sujud, dan beri salam tanpa perlu baca tahiyat akhir. Bacaannya ialah:
Maha Suci Allah
Yang Tidak Tidur dan Tidak Lupa
Jika terlupa,
dan jarak masa sangat dekat dengan salam, maka boleh terus sujud sahwi selepas
salam. Jika jarak surah lama, tidak lagi sunnah untuka sujud sahwi.
*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallu'alam.
**: mungkin salah ejaan