"Jangan menghukum isi hati orang lain dan jangan bakhil" - MTDM 12.09.2014

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

ِاَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهَ وَصَحْبِهِ وَسَّلِم 

Majlis Ta'lim Darul Murtadza 12.09.2014
Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid



Beberapa isi penting daripada ulangkaji ayat sebelum ini – ayat 176-178:
  • Kasih sayang Rasulullah ﷺ sangat tinggi kepada kita sehingga baginda sedih dengan kekufuran kaum kafir dan munafiqin
  • Musuh Allah ialah kaum kafir dan munafiqin dan tentera Allah ialah orang mukminun.
  • Orang yang panjang umur dalam kemaksiatan akan menjadi penyebab lebih teruk azab yang akan diterimanya nanti.

Bahagian 1 - Tafsir Al-Imran, ayat 179-180.

Ayat 179:

Allah tidak akan membiarkan orang-orang beriman bercampur dengan orang-orang munafik tanpa dibezakan….”

Allah takkan membiarkan orang-orang munafiq yang busuk hatinya bercampur bersama orang beriman yang bersih hatinya. Tak, suata masa identiti sebenar mereka akan terzahir juga, sumpama bangkai, jika disembunyi sekalipun, pasti akan tercium juga baunya. Jadi, sifat orang munafiq yang menyembunyikan kekafirannya kepada Allah, dan nampak Islam di sisi kaum muslimin dengan mereka turut solat bersama Rasulullah ﷺ, menghadiri majlis Rasulullah ﷺ dan pergi berjihad bersama Rasulullah ﷺ. Namun, Allah Ta'ala tidak menzahirkan kemunafikan mereka dengan menyatakan yang ‘fulan munafik, fulan munafik’. Allah SWT menzahirkan secara praktikal, yakni ditunjukkan dengan perbuatan mereka sendiri. Kaum muslimin yang selama ini tertanya-tanya siapakah munafiq antara mereka akhirnya mengetahui apabila daripada 100 orang yang hadir untuk Perang Uhud, 300 daripadanya patah balik. Perbuatan khianat mereka meninggalkan kaum muslimin mengejutkan kaum muslimin kerana selama ini mereka hanya tahu bahawa Abdullah bin Ubai bin Thalul ialah ketua orang munafiq. Perbuatan kufur mereka memberikan jawapan bahawa mereka munafiq.

Oleh itu, kita sebagai orang beriman tidak boleh mudah menghukum seseorang dengan apa yang ada di dalam hatinya kerana Allah SWT tidak mengajarkan kita menghukum mereka begitu. Allah Ta'ala tidak beritahu dengan jelas yang ‘fulan munafik, fulan munafik’, jadi kita juga tidak boleh buat begitu. Cuma Allah Ta'ala yang berhak menghukum isi hati seseorang.

“Allah tidak mahu menunjukkan kepada Engkau perkara yang ghaib…”
Allah tidak menujukkan isi hati seseorang sama ada dia munafiq atau beriman, kenapa? Supaya kita tidak mudah menghukum isi hati orang lain. Kalau semua orang boleh tahu apa yang ada dalam hati orang lain, maka tiada orang boleh hidup tenang kerana jika kita boleh tahu isi hati orang lain, maka orang lain pun akan boleh tahu isi hati kita. Jangan kita nak menghukum orang lain, tapi tak mahu dihukum J. Macam mana kita boleh hidup selesa jika orang lain tahu perkara buruk tentang kita? Ditutupkan dan disimpan perkara itu merupakan satu nikmat dari Allah SWT kepada kita. Kalau segala perkara ghaib ditunjukkan Allah – kita mungkin tahu yang selepas 10 tahun hidup seronok kita akan dapat musibah. Ketika itu, walaupun perkara itu akan berlaku 20 tahun lagi, kita pasti takkan dapat hidup tenang.

“… akan tetapi Allah memilih daripada Rasul-Nya untuk diberitahukan perkara yang ghaib.”
Perkara ghaib ada 2 jenis:
1. Mutlak: Semua orang tak tahu
2. Ghaib tidak mutlak – ghaib bagi segolongan tapi tak ghaib bagi segolongan yang lain – contoh mudah: Ada orang kehilangan dompet kerana dicuri. Maka, dompet itu ghaib bagi pemilik, tapi tidak ghaib bagi pencuri.

Perkara ghaib mutlak tidak diketahui sesiapa juga kecuali apabila Allah mengkehendaki ianya diberitahu kepada orang-orang yang dipilih Allah SWT iaitu para Anbiya dan para Rasul.

Allah SWT berfirman dalam Al-Quran nul Kareem bahawa Allah SWT Maha Mengetahui perkara yang ghaib dan tidak akan menzahirkan kecuali kepada sesiapa yang diredhai Allah daripada kalangan Rasul.  Tetapi cuma sebahagian yang akan dizahirkan dan bukan semuanya, kerana itu para Rasul pun banyak tidak mengatahui tentang perkara yang ghaib. Kata Rasulullah ﷺ dalam Al-Quran, Kalau saya ini tahu perkara yang ghaib, maka saya akan banyak memperlakukan sebab-sebab yang boleh mendatangkan manfaat dan menolak mudarat. Tapi oleh kerana perkara ghaib tidak diketahui semuanya oleh Rasulullah ﷺ, terkadang baginda mendapat perkara baik, da terkadang perkara tidak baik pun baginda mendapatnya. Contohnya – baginda menang dalam Perang Badar, tetapi kalah dalam Perang Uhud. Jika tahu akan berlaku kekalahan, pasti Rasulullah ﷺ tidak akan menyuruh tentera muslimin keluar sehingga mengorbakan 70 orang.

Dalam kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir – Nabi Musa tak tahu tapi Nabi Khidir tahu. Sampan yang dinaikinya dirosakkan dengan dibuat lubang, anak kecil yang sedang bermain dibunuhnya, dan dia membangungkan rumah untuk orang yang tidak memberi mereka bantuan. Nabi Khidir melakukan semuanya kerana telah diajarkan ilmu-ilmu ghaib daripada Allah SWT.

Orang yang paling banyak dibukakan daripada perkara-perkara ghaib ialah Rasulullah ﷺ. Baginda diberitahu perkara yang berlaku sebelum zaman baginda, dan juga perkara selepas zaman baginda (akhir zaman). Bahkan baginda juga dizahirkan dengan perkara ghaib di alam barzakh. Baginda pernah lalu di kubur dan mengatakan yang seorang disiksa kerana suka mengadu domba, manakala seroang lagi tidak membersihkan dengan betul ketika buang air kecil. Ketika baginda menziarahi kubur seorang pencuci masjid, Ummu Mehjan, baginda bertanya akan keadaannya. Baginda Rasulullah ﷺ juga dizahirkan dengan perkara dari alam akhirat (syurga dan neraka), contohnya dalam peristiwa Israk dan Mikraj, dan ketika baginda mengimamkan solat bersama sahabat. Ketika dalam solat, sekali baginda terkehadapan seperti ingin mengambil sesuatu, dan sekali baginda terkebelakang seperti menjauhi sesuatu. Ketika mendekati, baginda diperlihatkan buah-buahan syurga dan baginda ingin memetiknya. Ketika menjauhi pula, baginda diperlihatkan azab neraka dan baginda bertanya, “Anna min kum?” yang bermaksud “Saya ada di situ jugakah?”. Kenapa Rasulullah ﷺ bertanya begitu? Untuk mengajarkan agar kita tidak berasa aman dari ketentuan Allah, dengan tidak menganggap dirinya dijamin syurga oleh kerana keturunannya, atau ibadatnya. Orang yang merasa aman daripada ketentuan Allah Ta'ala adalah orang-orang yang tidak sempurna imannya. Rasulullah ﷺ bertanya untuk menunjukkan ketinggian rasa takut baginda kepada Allah SWT. Orang yang takut di dunia dijamin keamanan di akhirat, manakala orang yang aman di dunia, akan takut di akhirat.

Tidak seorang pun boleh merasa aman dengan amal baiknya di dunia kerana penghujung kehidupan seseorang itu ghaib.

Maka, berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya…”
Apabila para Rasul diceritakan dengan perkara yang ghaib, mereka akan menceritakannya pula kepada kaumnya.Oleh itu, hendaklah kita beriman dengan Rasulullah ﷺ.

Ayat 180:

Sebelum ini ayat menegur kepada orang yang panjang umur tapi berbuat maksiat. Dalam ayat ini pula, Allah menegur kepada orang yang diberi banyak harta tapi kedekut.

Ayat ini memberitahu tentang bahaya sifat kedekut dan perlunya seseorang memahami yang harta datang daripada Allah SWT. Bagaimana seseorang ingin kedekut sedangkan hakikat hartanya dimilik Allah SWT? Manusia lahir ke dunia tanpa membawa apa-apa, dan ketika kembali nanti tidak akan membawa apa-apa. Segala kemewahan, kenikmatan yang diperolehi ketika di dunia, semuanya adalah pemberian Allah walaupun zahirnya nampak manusia berusaha dengan berkerja. Allah tidak kedekut memberikan segala-galanya, jadi manusia pun tidak boleh kedekut dengan apa yang dimiliki. Kebijaksanaan dan akal fikiran – semuanya pemberian Allah, oleh itu Allah SWT mengingatkan agar jangan kedekut dengan apa yang dihasilkan dengan kelebihan yang Allah SWT yang beri.

Orang yang menganggap sifat kedekutnya akan membawa manfaat kepada dirinya adalah salah sebaliknya nasib buruk yang akan menimpanya. Apa yang dikedekutkan itu akan dililitkan di lehernya di hari kiamat nanti dlm rupa ular dan akan mengatakan, “Saya harta kamu, saya simpanan kamu.” Ini adalah khusus kepada orang yang tidak mengeluarkan zakat. Allah SWT ketika melarang bersifat kedekut bermakna menyuruh agar kita bersifat pemurah. Siapa yang perlu diberi? Saudaranya sendiri demi menjaga kestabilan dan keharmonian dalam masyarakat. Dengan memberi kepada orang susah, kita pun rasa terjamin yang nanti bila kita pula susah akan ada orang lain yang membantu, seumpama sistem insurans. Tapi dalam hal kita meletak insurans di sisi Allah Ta'ala.


Bahagian 2- Kitab Riyadhus Solihin, Bab Pemurah dan Dermawan.

Hadis 10 (551):

Hadis ini menunjukkan sifat pemurah Rasulullah ﷺ - baginda tidak pernah tidak memberi kepada orang yang meminta. Baginda memberi sehingga orang yang meminta itu puas hati.

Rasulullah ﷺ menyuruh memberi daripada harta yang lebih, agar kita mengutamakan orang yang kita perlu beri nafkah wajib. Dalam memberi juga perlu diutamakan memberi kepada orang yang dekat (ahli keluarga). Orang yang melampau ialah memberi kepada orang luar tetapi mengabaikan ahli keluarganya. Mulakan sifat memurah dengan memberi yang wajib (nafkah dan zakat) dan kemudian sedekah.

Rasulullah ﷺ memberi kepada muallaf dengan tujuan menjinakkan hati mereka kepada Islam. Ada orang yang masuk Islam kerana menginginkan harta dunia. Adakah kita larang golongan sebegini? Tidak, kita boleh memberi harta kepadanya tetapi perlu juga beri bimbingan agar dia lebih memahami Islam dan akan mencintai Islam melebihi niat asalnya yang masuk Islam kerana inginkan dunia. Ini kerana dengan menyelamatkan seorang sekalipun untuk masuk Islam adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya. Kata baginda Rasulullah ﷺ kepada Sayyidina Ali, “Dengan Allah menjadikan engkau wahai Ali, sebab hidayah selamat seorang pun, adalah lebih baik daripada dunia ini dipenuhi unta merah.”Hadis ini menunjukkan bahawa hinanya dunia dan mulianya amalan mengajak orang lain kepada kebaikan.

Orang yang diberi kambing oleh Rasulullah ﷺ balik ke kampungnya dan mengajak semua orang kampungnya untuk masuk Islam kerana sifat Rasulullah ﷺ yang tidak takut miskin dengan memberi kesemua kambing kepadanya. Rasulullah ﷺ yakin pemberiannya itu akan ada ganjanrannya. Dengan memberi kepada seorang, seluruh kampung akhirnya masuk Islam.

Ulama membincangkan adakah boleh memberi harta kepada muallaf yang berminat dengan Islam, tetapi belum masuk Islam. Ramai ulama mengatakan boleh jika ianya daripada Baitulmal, dan tidak boleh dprd harta zakat. Tetapi bagi muallaf yang telah memeluk Islam, mereka diizinkan diberi harta daripada kutipan zakat dan Baitulmal.


Hadis 11 (552):

 Orang yang kuat ialah orang yang mampu mengawal emosinya. Dalam hadis ini, Rasulullah ﷺ mengajarkan untuk berhadapan dengan seseorang mengikut kesesuaian orang itu. Orang yang datang meminta itu, meminta dengan kasar.

Ada kalanya Nabi ﷺ tidak memberi kerana mengetahui bahawa seseorang itu telah kuat iman di dalam hatinya. Tetapi mereka yang lemah imannya, diberikan harta untuk menjadikan hati mereka lebih tertarik kepada agama – ini juga dinamakan mengorbankan dunia demi agama. Jika tidak diberikan, mungkin akan berlaku musibah atau mereka mungkin akan menyebabkan musibah kepada Rasulullah ﷺ.

Hadis 12:

Nabi ﷺ disakiti dengan pohon berduri oleh orang yang meminta daripadanya, tetapi baginda tetapi tidak bakhil. Baginda memberi kepada orang yang datang meminta dengan cara kurang sopan, apatah lagi jika orang datang meminta dengan sopan.

Ada 2 jenis bakhil – bakhil dengan harta sendiri dan bakhil dengan harta orang, yakni tidak suka tengok orang lain pemurah. Barangsiapa menjaga dirinya daripada sifat bakhil ini, maka dia akan tergolong dalam golongan orang yang berjaya. Oleh sebab itu, mesti ada usaha untuk menjaga diri daripada sifat bakhil

Bahagian 3 - Kitab Bidayatul Hidayah

Bersambung pada m/s 177 (perenggan terakhir) sehingga m/s181, yang memberi panduan dan adab dalam persahabatan. Antara perkara yang memudaratkan ialah apabila berlaku pengkhianatan dalam persahabatan. Oleh itu, bersederhana dalam bersahabat, dan berhati-hati agar tidak menceritakan segala hal kepada sahabat, kerana jika suatu hari ditakdirkan sahabat menjadi musuh, maka mereka telah mengetahui segala kelemahan dan rahsia kita.

Wallhu'alam.


*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallu'alam. 
**: mungkin salah ejaan

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab