Hukum Faraid, Ajal Yang Mengejar & Mencari Keberkatan - MTDM 05.12.2014

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم وعلى آله وصحبه وسلم 

Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid

Link video rakaman Darul Murtadza:


Bahagian 1 - Tafsir Surah An-Nisa (ayat 11-14)

Ayat 11 menceritakan hukum warisan. Sebelum ini, ayat-ayatnya menyebut secara umum (‘general’) tentang warisan, baik kepada lelaki ataupun perempuan. Ayat yang menceritakan tentang hak warisan untuk wanita dan anak-anak adalah menegur kepada golongan jahiliyyah dahulu. Bilamana ada yang meninggal, cuma lelaki yang menerima warisan kerana merasakan mereka mempunyai tanggungjawab kepada keluarga, dan wanita dan kanak-kanak tidak diberikan apa-apa. Oleh kerana perkara ini merupakan satu ketentuan yang ditetapkan Allah SWT kepada lelaki dan perempuan, maka Allah SWT berfirman tentangnya dalam ayat 11.

Dalam ayat 7 – Allah SWT sebutkan siapa yang berhak mendapat harta warisan, yakni termasuk wanita dan kanak-kanak.
Dalam ayat 8 – Allah SWT menekankan tentang adab ketika membahagikan harta warisan. Allah menyuruh beri pada orang yang hadir pada hari pengagihan, walaupun mereka bukan ahli waris, tetapi suruhan ini tidaklah wajib.
Ayat 9 mengingatkan agar tiada orang yang mengabaikan ahli waris dengan menafkahkan semua hartanya sebelum dia meninggal.

Ketiga-tiga ayat ini menyebut secara umum tentang adab dengan harta warisan. Dalam ayat seterusnya (ayat 11) barulah disebut secara terperinci tentang pembahagian harta kepada ahli waris.

Harta termasuk salah satu daripada 5 maqasid syariah. 5 objektif syariah (atau maqasid as-syariah) ialah melindungi agama, harta, nyawa, kehormatan (keturunan), dan akal.


  • Melindungi agama – orang tidak boleh kufur kepada agama
  • Melindungi akal – tidak boleh merosakkan akal dengan perkara seperti arak atau dadah
  • Melindungi nyawa – diharamkan pembunuhan tanpa hak
  • Melindungi harta – diharamkan merampas harta orang lain tanpa hak kecuali dalam hal zakat
  • Melindungi maruah (keturunan) – apa saja yang menyentuh kepada menodai maruah orang lain termasuk zina, mengumpat, merendahkan orang lain diharamkan Allah SWT.

Salah satu daripada 5 ini ialah harta yang mempunyai kesucian untuk dilindungi dalam agama. Jadi, Allah SWT menurunkan ayat-ayat ini untuk menunjukkan yang Allah SWT amat prihatin terhadap masalah harta agar tiada orang yang mengambil hak orang lain dengan sebab yang tak dibenarkan, dan semuannya diaturkan oleh Allah SWT.

Ayat 11:



“Allah berwasiat kepada kamu…”
Allah berwasiat kepada kamu, yakni orang tua (ibubapa) yang sememangnya sayang kepada anak-anak.

Adakah orang yang lebih sayang kepada anak selain ibu bapa? Tidak. Allah mewasiatkan kepada ibu bapa sebagai menzahirkan kasih-sayang Allah SWT pada ahli waris. Allah SWT tidak membenarkan untuk semua harta yang dimiliki seseorang diberikan kepada orang lain tanpa diberi kepada ahli waris bahagian yang sepatutnya untuk mereka. Dalam hadis Nabi Muhammad , baginda juga menyebut bahawa jika seseorang meninggalkan keluarga dalam keadaan berharta adalah lebih baik daripada meninggalkan mereka dalam keadaan meminta-minta dan membebankan orang lain.

‘Allah berwasiat’ –maka, wasiat Allah mesti ditunaikan. Apabila mendapat wasiat, orang melihat siapa yang mewasiatkan. Jika yang mewasiatkan itu orang yang mempunyai kedudukan yang tingi, yang disanjung dihatinya,  orang yang disayangi, dimuliakan, maka akan segera ditunaikan wasiatnya. Apatah lagi jika yang mewasiatkan ialah Allah SWT – maka tiada yang lebih wajib ditunaikan melebihi daripada menunaikan wasiatnya Allah SWT.

“… bagi lelaki 2 kali bahagian perempuan..”
Syeikh Imam Al-Sha’rawi mengatakan kenapa Allah mengatakannya begini? Kenapa tidak dikatakan perempuan mendapat separuh dari lelaki, sedangkan secara parktikalnya jumlahnya sama?

Yakni, Allah menjadikan neraca hak lelaki bergantung kepada hak perempuan. Yang menjadi neraca timbangannnya ialah perempuan, Kalau neraca peruntukannya perempuan, maka perempuan yang menentukan berapa hak dan peruntukan untuk lelaki. Dan ini adalah bahagian daripada Allah memuliakan perempuan dalam pembahagian warisan berbanding lelaki! Kenapa Allah sebutkan demikian?

Kerana wujud perempuan ini tanggungjawab kepada lelaki, baik suami atau bukan suami. Suami wajib memberi nafkah pada isterinya. Bagaimana kalau ada perempuan yang tidak bersuami? Bapa, abang, bapa saudara yang perlu beri nafkah kepadanya. Jadi, berapa pihak yang bertanggungjawab kepada perempuan? Dua pihak – suaminya atau lelaki daripada keluarganya. Oleh sebab  itu bagi lelaki 2 bahagian – kerana mereka perlu beri kepada isterinya dan wanita yang dalam tanggungannya (yang bukan isterinya).

Jadi, apa yang ditohmahkan oleh golongan orientalis dengan mengatakan yang agama Islam zalim terhadap perempuan dalam pengagihan harta warisan adalah SALAH. Mereka hanya mengambil sebahagian daripada ayat Quran dan tidak membahaskannya secara menyeluruh bagaimana lelaki boleh mendapat 2 bahagian berbanding dengan perempuan.

Seorang lelaki yang punya lebih daripada 1 isteri? Semuanya, jika 2,3 atau 4, ada 10 orang anak, maka semuanya adalah di bawah tanggungjawab suaminya. Isteri, walaupun punya 10 anak, tak bertanggungjawab nafkah kepada walaupun seorang daripada anak-anaknya. Jadi, siapa yang lebih bertanggungjawab dalam memberi nafkah? Lelaki! Kalau lelaki dapt 2 bahagian warisan, dan ada 4 orang isteri dan 10 orang anak, mana cukup 2 bahagian yang diterimanya itu, sedangkan kalau perempuan, walaupun dapat separuh daripada lelaki, tapi dia sendiri mendapat manfaat harta itu, tidak wajib beri kepada siapa pun. Justeru, dalam hal harta warisan pun Allah SWT memuliakan kaum perempuan berbandingkan lelaki. Jika perlu ada rasa cemburu atau rasa pilih kasih, sepatutnya lelakilah yang rasa cemburu kerana perempuan dapat lebih banyak daripada lelaki.

Tetapi oleh kerana mentalilti golongan orientalis cuma melihat kepada potongan ayat – lelaki mendapat 2 bahagian daripada perempuan, kita pun terikut sama dan berkata, “Macam tak kenalah ayat Quran ini”. Sebenarnya kepala orang itu yang tidak benar, dan tak seorang pun lelaki yang cemburu dengan perempuan kerana perempuan adalah tanggungjawab lelaki.

“..Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati.”
Yakni jika seseorang meninggal dunia dan ada 2 atau lebih anak perempuan. Maka, mereka dapat 2/3 daripada harta warisan untuk dibahagi sesama mereka.

Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu.
Jika seorang saja anak perempuannya, bahagiannya ialah separuh.

Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak.
Contohnya jika Zaid meninggal dunia, dan mempunyai anak, dan ibu bapa. Maka, masing-masing ibu dan ayahnya mendapat 1/6 dan anak lelakinya mendapat bakinya. Tetapi jika Zaid mempunyai anak perempuan, maka anak perempuannya dapat setengah, dan ibunya dapat 1/6 dan ayahnya dapat baki.

Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga.
Jika si mati tak punya anak, maka orang tuanya yang berhak mendapat warisan – ibunya mendapat (1/3), ayahnya mendapat baik iaitu (2/3).

Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam.
Kalau si mati mempunyai saudara kandung, atau saudara seayah atau seibu, maka ibu mendapat 1/6, baki kepada saudaranya.

(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.

Peruntukannya diberi setelah 2 perkara:
1. Menunaikan wasiat si mati untuk diagihkan hartanya kepada bukan ahli waris, maksimum sebanyak 1/3. Jika diwasiatkan lebih daripada itu, yang boleh diteruskan ialah 1/3, dan bakinya perlu mendapat persetujuan SEMUA ahli waris yang ada bahagian dalam harta tersebut. Jika ada yang tidak setuju, maka haknya perlu diberikan kepadanya. Si mati mempunyai hak agar apa yang diwasiatkannya ditunaikan (max 1/3 hartanya) dan ahli waris tidak berhak menukar apa yang telah diwasiatkan oleh si mati.

2. Hutang adalah hak simati untuk ditunaikan sebelum hartanya diberikan kepada waris. Hutang itu ditanggung si mati selagi tidak diselesaikan. Dalam satu kisah, Nabi ﷺ SAW enggan mensolatkan jenazah yang mempunyai hutang. Nabi ﷺ enggan kerana solatnya menjadi syafaat kepada orang yang disolatkan dan dengan itu akan menafikan hak orang yang simati masih berhutang dengannya. Kemudian, seorang sahabat bernama Qatadah menyanggupi untuk menanggung hutang si mati, dan setelah itu baru Nabi ﷺ setuju untuk mengimamkan solat jenazah si mati. Tetapi setelah itu, setiap kali berjumpa Qatadah, pasti Rasulullah ﷺ akan bertanya adakah hutang itu sudah dilangsaikan, sehingga Qatadah menjadi malu untuk bertemu Nabi ﷺ kerana dia masih belum mampu melunaskannya. Setelah ada rezeki melunaskan hutang itu dan dikhabarkan kepada baginda Rasulullah ﷺ, baginda pun berkata, “Sekarang ini baru mulai sejuk kuburnya.”

Imam Ibnu Kathir pula menceritakan tentang 2 orang sahabat Nabi Muhammad ﷺ. Seorang telah meninggal dunia, dan seorang yang belum meninggal bermimpi bertemu dengan yang mati. Ditanyakan keadaannya, dan dikatakan Allah telah mengampunkannya. Tetapi sahabat itu nampak ada kesan di lehernya, dan apabila ditanyakan, dikatakan itu kerana hutang yang belum dibayar kepada seorang Yahudi. Si mati sudah menyediakan wang untuk membayar hutang itu tetapi tidak sempat memberikan kepada Yahudi itu. Sahabatnya yang masih hidup pun diminta mengambil wang itu, ditempat yang keluarganya pun tidak tahu, untuk dibayar hutang tersebut. Ini menunjukkan yang mimpi orang soleh adalah benar.

3. Kos pengkebumian

4. Zakat, sekiranya belum dikeluarkan untuk tahun itu.

“…lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu…”

Kita tidak dibenarkan berfikir untuk memberikan harta lebih kepada orang tua kerana sebagai menghargai jasa mereka sebagai ibu bapa atau diberikan lebih kepada anak kecil sebagai persiapan keperluan mereka pada masa hadapan, yakni dengan mengurangkan hak-hak seperti yang ditentukan oleh Allah SWT dengan persepsi dan alasan yang dicipta manusia. Kamu tak tahu apa yang mendatangkan manfaat baik kepada orang tua kamu atau anak-anak kamu, tetapi Allah Maha Tahu. Yang sudah ditentukan Allah SWT – itu yang paling mendatangkan manfaat – walaupun nampak satu lebih daripada yang lain.

“.. sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Allah beritahu kita yang Allah Maha Mengetahui – yakni peruntukan yang Allah berikan adalah berdasarkan pengetahuan Allah SWT. Yang menentukan Maha Mengetahui, yang menentukan Maha Bijaksana  – tentunya ketentuan itu membawa kebaikan kepada orang yang diberikan harta warisan tersebut.

Dalam ilmu Faraid – ada dinyatakan 17 golongan yang boleh diberikan harta warisan – 10 lelaki, dan 7 perempuan. Siapakah 10 dan 7 golongan ini? InshaAllah jika ada rezeki kita akan bincangkan lain kali.


Ayat 12:

Ayat sebelum ini menceritakan tentang bahagian warisan antara ibu bapa dan anak-anak, adik-beradik. Ayat ini pula menceritakan pembahagian warisan bila berlaku suami atau isteri yang meninggal.

“Dan bagi kamu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak…”

Terkadang isteri ada banyak harta, jadi suami akan dapat separuh harta itu jika isterinya yang meninggal dunia, dengan syarat isterinya tiada anak, baik anak dengan suami sekarang atau anak dengan bekas suami. Cuma suami yang dapat harta, tetapi bekas suami tiada kena-mengena.

“.. Tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh satu perempat dari harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya.”
Jika isteri ada anak, suami dapat ¼ sahaja. Pembahagian mesti setelah ditunaikan wasiat dan dibayar hutangnya.

Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula satu perempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak.

Isteri atau isteri-isteri adalah ¼ jika suami tiada anak.

Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu.

Kalau suami ada anak, isteri dapat 1/8. Pembahagian mesti setelah ditunaikan wasiat dan dibayar hutangnya.

Dan jika si mati yang diwarisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu) maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya ialah satu perenam.

‘Kalalah’ ialah seorang yang meninggal, tiada anak atau ibubapa, tetapi mempunyai saudara, khususnya saudara satu ibu, bukan saudara satu ayah. Maka, jika dia ada seoang saudara lelaki atau perempuan, maka saudaranya akan dapat 1/6.

Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya;

Tetapi jika saudara seibu lebih daripada seorang, maka semua saudaranya dapat 1/3 dan berkongsi sama banyak baik lelaki mahupun perempuan.

“.. wasiat-wasiat yang tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris). (Tiap-tiap satu hukum itu) ialah ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.”

Wasiat tidak boleh memudaratkan ahli waris, kerana terkadang ada orang yang ada harta banyak tetapi bermasalah dengan ahli warisnya (isteri, anak atau saudaranya). Jadi oleh kerana tidak mahu orang yang tak disenanginya itu mendapat hartanya bila dia meninggal, maka dia mewasiatkan untuk memberi hartanya kepada yang bukan ahli waris, dan ini tidak dibenarkan.

Ayat 13 & 14:

Barangsiapa taat kepada ketetapan Allah, walaupun dirinya dapat kurang walaupun banyak berkhidmat sebelum si fulan meninggal, maka dalam hal ini ketaatan kepada Allah akan diganjar dengan syurga. Siapa yang melanggar hukum Allah dengan tidak mematuhi apa yang sudah ditentukan oleh Allah SWT sama ada dengan mengambil lebih daripada haknya, atau menyembunyikan hak orang lain, maka dia akan dimasukkan ke neraka dan akan berada lama di dalamnya.

Ini lebih kurang permasalahan berkaitan harta warisan antara orang tua (ibubapa), anak dan saudara (adik-beradik), dan pasangan suami isteri, atau lebih dikenali sebagai ilmu faraid. Dikatakan dalam satu hadis bahawa ini faraid adalah ilmu pertama yang akan dicabut Allah SWT. Apa maksud dicabut? Sebab orang tak banyak lakukan. Banyak orang menipu, memalsukan tentang surat tanah dan macam-macam lagi, lebih-lebih lagi menggunakan teknologi canggih untuk menipu tanpa rasa tanggungjwab kepada Allah SWT. Suatu hari ada 2 orang datang bertemu Rasulullah ﷺ untuk berebut sekeping tanah. Rasulullah ﷺ memutuskan berdasarkan hujjah yang lebih kuat di antara mereka berdua, dan berkata, “Saya putuskan dari apa yang saya dengar dengan hujjah yang lebih kuat daripada si fulan. Ingatlah si fulan, jika kamu menipu dengan hujjah kamu, maka apa yang aku berikan kepada kamu adalah potongan dari api neraka.” Walaupun Nabi ﷺ berhukum secara zahir dengan bukti yang dikemukakan, tetapi baginda memberi amaran dengan apa yang tersembunyi misalnya pemalsuan bukti atau saksi palsu. Mendengarkan itu, si fulan terus menolak keputusan Nabi ﷺ dan menyerahkan kepada yang seorang lagi. Yang seorang lagi pun menolaknya juga. Masing-masing warak, takut jika kerana sepetak tanah nanti sepetak juga yang akan ditanggung di neraka nanti, wal iya zu billah. Satu jengkal saja akan menjadi satu jengkal beban di neraka, jika satu ekar, maka akan dibebank dengan satu ekar dan seterusnya.

“Takutlah dengan api neraka walaupun dengan hanya separuh kurma!” Apatah lagi dengan separuh atau satu ekar tanah, wal iya zu billah.


Bahagian 2 - Kitab Riyadhus Solihin
Bab 65 - Mengingatkan Kematian dan Mengurangkan Angan-Angan.

Huraian hadis 3 & 4 (574 & 575):

Imam Nawawi menyebut di sini hadis Nabi Muhammad yang menggambarkan tentang manusia, ajal, angan-angan dan gangguan. Angan-angan seseorang manusia itu jauh keluar daripada kotak ajalnya. Bagaimana manusia boleh berangan-angan lebih daripada ajalnya? Ertinya agar kita jangan ada angan-angan melampau seakan-akan akan sampai kepada angan-angan tanpa ada ajal yang menanti. Dalam hidup ini ada kejar-mengejar: kita mengejar angan-angan, ajal mengejar kita, siapa yang sampai dulu? Allahu’alam. Semakin tinggi angan-angan manusia, semakin ajal mendekati, kerana ajal mempunyai had, tetapi angan-angan manusia tak punya had. Kata Sayyidina Ali bin Abi Talib, “Yang saya khuatirkan  kepada kamu ialah 2 perkara - mengikut hawa nafsu, dan mempunyai harapan yang panjang.” Orang yang punya angan-angan yang tinggi akan melupakan akhirat. Apakah asbabnya? Harta! Semakin banyak harta yang dimiliki, dan tidak mengingati tanggungjawab kepada Allah dengan harta yang diberi, maka dia akan terfokus hanya kepada harta, dan lupa kepada yang memberi harta. Digambarkan oleh Allah SWT dalam Al-Quran nul Kareem - kisah seorang dalam surah Al-Kahf yang berangan-angan kebunnya tidak akan musnah sehingga anggap akhirat takkan berlaku, tapi kalau berlaku juga mengharap Allah beri kebaikan padanya (walaupun dengan kekufurannya).

Berfikirlah untuk bijaksana dalam hidup agar tak tertipu dengan angan-angan.

Huraian hadis 5 (576):

Bersegera beramal sebelum tiba 7 hal:
1. kemiskinan yang melupakan kita kepada Allah
2. kekayaan yg menyebabkan kita zalim
3. penyakit yang menyebabkan kita tidak sabar dengan dugaan tersebut
4. usia tua, yang kita tak mampu lagi untuk beramal
5. kematian, yang kita tak mampu lagi untuk beramal
6. Dajjal dan fitnahnya
7. Kiamat – hari pedih dan berbahaya

Hadis ini juga menceritakan perlumbaan antara manusia dengan umurnya. Nabi Muhammad ﷺ mengingatkan untuk kita berlumba-lumba untuk memanfaatkan peluang yang diberi Allah SWT sebelum perkara yang 7 datang kepada kita, iaitu:
1. kemiskinan yang melupakan kita kepada Allah
2. kekayaan yg menyebabkan kita zalim
3. penyakit yang menyebabkan kita tidak sabar dengan dugaan tersebut
4. usia tua, yang kita tak mampu lagi untuk beramal
5. kematian, yang kita tak mampu lagi untuk beramal
6. Dajjal dan fitnahnya
7. Kiamat – hari pedih dan berbahaya

Yakni ambillah peluang umur untuk beramal kepada Allah SWT kerana umur ini ialah yang pertama yang akan disoal Allah SWT. Ya Insaan, Allah beri kita umur 60 atau 70 tahun, mungkin lebih sikit, mungkin kurang, kita pun tak tahu, tapi purata antara 60-70 tahun.

Imam Ghazali mengatakan dengan umur purata ini, kita gunakan untuk tidur 20 tahun. Ini kerana dalam sehari kita tidur 8 jam, yakni 1/3 daripada 24 jam, maka 1/3 daripada 60 ialah 20 tahun. Kemana pergi baki 40 tahun? Belum kira umur baligh  lagi, waktu untuk lepak-lepak, rehat, kerja, tengok bola dll, berapa waktu untuk Allah SWT? Kita punya modal 60 tahun, potong 20 tahun untuk tidur, kecuali tidurnya orang-orang yang beriman. Tidurnya jadi ibadah kerana tidur mengikut sunnah Nabi ﷺ. Tidurnya niat untuk bgn malam, tidurnya pun diganjar Allah SWT. Orang yang bijak, orang yang belajar, orang yang hadir Majlis Ta’lim Darul Murtadza. Ambil peluang ini – umur tiada untuk kita beli dikedai walau tambahan 1 minit atau 1 jam. Ini umur akan menjadi tanggungjawab di hadapan Allah SWT. 40 thn yang tinggal ditolak lagi dengan umur baligh 15 tahun, ditolak waktu kerja lagi. tapi orang yang bijak, akan meniatkan kerjanya untuk menurut perintah Allah, untuk mencari rezeki yang halal, untuk beri nafkah pada diri agar tak meminta-minta, untuk beri nafkah ibu bapa, isteri, anak-anak, maka kerjanya akan jadi ibadah! Tapi berapa ramai yang berfikiran bahawa kerjanya adalah satu ibadah? Ataupun kerja hanya untuk mengumpulkan benda keduniaan saja.

Suatu hari, sahabat melihat seroang lelaki gagah perkasa keluar rumah dan berkata, “Alangkah bagusnya jika lelaki ini keluar berjihad fi sabilillah.” Kata baginda Rasulullah ﷺ, “Jika dia keluar mencari nafkah untuk memenuhi keperluan dirinya, dia fi sabilillah, kalau dia keluar mencari nafkah untuk keperluan ibu bapanya yang tua, dia fi sabilillah. Jika dia keluar mencari nafkah untuk memenuhi keluarganya, dia fi sabilillah. Jika dia keluar mencari nafkah untuk memenuhi keperluan orang miskin, dia fi sabilillah. Tapi jika dia keluar hanya untuk mengumpulkan harta untuk sombong, bongkak, maka dia fi sabili syaitan. Mungkin dua orang bekerja di tempat yang sama, tapi kerana beza niatnya, satu fi sabilillah, dan satu lagi fi sabili syaitan.

Huraian hadis 6 (577) :

Al-Qayyis (orang bijak pandai) banyak ingat mati, walaupun tiada gelaran Dr. atau Prof, atau apa-apa gelaran! Orang yang beramal untuk memetika hasil di akhirat ialah orang yang bijak pandai mengikut definisi Nabi ﷺ. Orang jahil ialah orang yang ikut hawa nafsunya tapi inginkan permberian yang besar dan baik dari Allah SWT. Walau apa gelarannya, kalau ikut hawa nafsu sahaja, dan tidak imarahkan akhiratnya, maka dia orang yang jahil mengikut definisi Nabi Muhammad ﷺ.

Huraian hadis 7 (578):
Hadis ini memberitahu tentang satu amal yang perlu kita lazimkan sebelum ajal datang. Oleh kerana tidak tahu bila ajal akan datang – maka perlu sentiasa bersedia. Kalau kita tahu ada tetamu akan datang hari itu, maka pagi-pagi lagi kita sudah bangun untuk sambut tetamu itu. Seorang sahabat memberitahu yang sebagai persiapannya menunggu ajal ialah dengan memperbanyakkan berselawat. Nabi ﷺ tak pula mengatakan yang perlu buat ibadah lain juga, baginda tidak memaksa dengan yang berat tetapi mengalakkan lagi untuk diperbanyakkan jika mampu. Lelaki itu mula menanyakan dengan waktu yang ¼ tetapi kemudian diberi galakan lagi sehingga dia akhiranya ingin memperbanyakkan selawat sepanjang waktu. Kata baginda Rasulullah ﷺ, “Kalau begitu, segala susah-payah, dan keperluan kamu akan dicukupkan oleh Allah SWT, semua dosa kamu akan diampunkan, jika meninggal dalam keadaan berselawat, akan diampunkan dan dicukupkan dari kerisauan sakaratulmaut atau segala perkara yang menyusahkan.” Bukankah ini satu petua supaya orang banyak berselawat kepada Rasulullah ﷺ sebagai persiapan untuk menghadapi kematian. Satu-satunya amalan yang cukup istimewa ialah berselawat kepada Nabi Muhammad ﷺ. Memang tak dinafikan semua perbuatan lain seperti Al-Quran, tasbih, tahmid itu ibadah, tetapi sahabat ini ingin khaskan satu ibadah tersendiri dan Nabi ﷺ tidak melarangnya.

Bahagian 3: Kitab Syarah Hadis Jibril, m/s 6-12.

Dimulakan dengan menyebut hadisnya yang berbunyi:
عَنْ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَيْضًا قَالَ : بَيْنَمَا نَحْنُ جُلُوْسٌ عِنْدَ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم ذَاتَ يَوْمٍ إِذْ طَلَعَ عَلَيْنَا رَجُلٌ شَدِيْدُ بَيَاضِ الثِّيَابِ شَدِيْدُ سَوَادِ الشَّعْرِ, لاَ يُرَى عَلَيْهِ أَثَرُ السَّفَرِ وَلاَ يَعْرِفُهُ مِنَّا أَحَدٌ, حَتَّى جَلَسَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم, فأَسْنَدَ رُكْبَتَيْهِ إِلَى رُكْبَتَيْهِ, وَوَضَعَ كَفَّيْهِ عَلَى فَخِذَيْهِ, وَ قَالَ : يَا مُحَمَّدُ أَخْبِرْنِيْ عَنِ الإِسْلاَمِ, فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم : اَلإِسْلاَمُ أَنْ تَشْهَدَ أَنْ لاَإِ لَهَ إِلاَّ اللهُ وَ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ, وَتُقِيْمُ الصَّلاَةَ, وَتُؤْتِيَ الزَّكَاةَ, وَتَصُوْمَ رَمَضَانَ, وَتَحُجَّ الْبَيْتَ إِنِ اسْتَطَعْتَ إِلَيْهِ سَبِيْلاً. قَالَ : صَدَقْتُ. فَعَجِبْنَا لَهُ يَسْئَلُهُ وَيُصَدِّقُهُ. قَالَ : فَأَخْبِرْنِيْ عَنِ الإِيْمَانِ, قَالَ : أَنْ بِاللهِ, وَمَلاَئِكَتِهِ, وَكُتُبِهِ, وَرُسُلِهِ, وَالْيَوْمِ الآخِرِ, وَ تُؤْمِنَ بِالْقَدْرِ خَيْرِهِ وَ شَرِّهِ. قَالَ : صَدَقْتَ. قَالَ : فَأَخْبِرْنِيْ عَنِ الإِحْسَانِ, قَالَ : أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ. قَالَ : فَأَخْبِرْنِيْ عَنِ السَّاعَةِ قَالَ : مَا الْمَسْؤُوْلُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنَ السَّائِلِ. قَالَ : فَأَخْبِرْنِيْ عَنْ أَمَارَاتِهَا, قَالَ : أَنْ تَلِدَ الأَمَةُ رَبَّتَهَا, وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُوْنَ فِيْ الْبُنْيَانِ, ثم اَنْطَلَقَ, فَلَبِثْتُ مَلِيًّا, ثُمَّ قَالَ : يَا عُمَرُ, أَتَدْرِيْ مَنِ السَّائِل؟ قُلْتُ : اللهُ وَ رَسُوْلُهُ أَعْلَمُ. قَالَ : فَإِنَّهُ جِبْرِيْلُ أَتَاكُمْ يُعَلِّمُكُمْ دِيْنَكُمْ. رَوَاهُ مُسْلِمٌ

Umar bin Khathab Radhiyallahu anhu berkata:
Suatu ketika, kami (para sahabat) duduk di dekat Rasulullah ﷺ. Tiba-tiba muncul kepada kami seorang lelaki mengenakan pakaian yang sangat putih dan rambutnya amat hitam. Tak terlihat padanya tanda-tanda bekas perjalanan, dan tak ada seorang pun di antara kami yang mengenalnya. Ia segera duduk di hadapan Nabi, lalu lututnya disandarkan kepada lutut Nabi dan meletakkan kedua tangannya di atas kedua paha Nabi, kemudian ia berkata : “Hai, Muhammad! Beritahukan kepadaku tentang Islam.”
Rasulullah ﷺ menjawab,”Islam adalah, engkau bersaksi tidak ada yang berhak diibadahi dengan benar melainkan hanya Allah, dan sesungguhnya Muhammad adalah Rasul Allah; menegakkan shalat; menunaikan zakat; berpuasa di bulan Ramadhan, dan engkau menunaikan haji ke Baitullah, jika engkau telah mampu melakukannya,” lelaki itu berkata,”Engkau benar,” maka kami heran, ia yang bertanya ia pula yang membenarkannya.

Kemudian ia bertanya lagi: “Beritahukan kepadaku tentang Iman”.
Nabi ﷺ  menjawab,”Iman adalah, engkau beriman kepada Allah; malaikatNya; kitab-kitabNya; para RasulNya; hari Akhir, dan beriman kepada takdir Allah yang baik dan yang buruk,” ia berkata, “Engkau benar.”

Dia bertanya lagi: “Beritahukan kepadaku tentang ihsan”.
Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam menjawab,”Hendaklah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihatNya. Kalaupun engkau tidak melihatNya, sesungguhnya Dia melihatmu.”

Lelaki itu berkata lagi : “Beritahukan kepadaku kapan terjadi Kiamat?”
Nabi menjawab,”Yang ditanya tidaklah lebih tahu daripada yang bertanya.”
Dia pun bertanya lagi : “Beritahukan kepadaku tentang tanda-tandanya!”

Nabi menjawab,”Jika seorang budak wanita telah melahirkan tuannya; jika engkau melihat orang yang bertelanjang kaki, tanpa memakai baju (miskin papa) serta pengembala kambing telah saling berlomba dalam mendirikan bangunan megah yang menjulang tinggi.”

Kemudian lelaki tersebut segera pergi. Aku pun terdiam, sehingga Nabi bertanya kepadaku : “Wahai, Umar! Tahukah engkau, siapa yang bertanya tadi?”

Aku menjawab,”Allah dan RasulNya lebih mengetahui,” Beliau bersabda,”Dia adalah Jibril yang mengajarkan kalian tentang agama kalian.”
[HR Muslim, no. 8]

Kitab ini akan membicangkan tentang 3 cabang ilmu iaitu - ilmu syariah, feqah dan tasawwuf.

Siapa yang belajar ilmu feqah tanpa ilmu tasawwuf, maka dia boleh tergelincir melakukan perkara yang fasiq. Siapa yang belajar ilmu tasawwuf tanpa ilmu feqah boleh menjadi orang yang lebih berbahaya daripada orang yang pertama iaitu orang yang berbahaya keyakinannya. Orang yang ketiga ialah orang yang belajar feqah dan bertasawwuf – barulah dia belajar ilmu yang benar, bilamana di gabungkan dengan 2 perkara iaitu pertama: ilmu syariah yang merangkumi ilmu aqidah dan kedua: ilmu tasawuf yang berkaitan ilmu kerohanian. Ilmu tasawuf tak boleh dinilai dengan orang-orang yang melabelkan diri mereka tasawwuf, tetapi menyimpang daripada syariat Nabi Muhammad ﷺ. Ilmu tasawwuf bukanlah ilmu khayal kerana ia sebenarnya ada dalam segala disiplin ilmu. Dalam ilmu feqah, kita perlu bertasawwuf, dalam ilmu tauhid, kita perlu bertasawwuf, ruh kepada setiap ilmu itu ialah tasawwuf kerana menyentuh kepada kerohanian. Jika ada orang mengaku tasawwuf merepek dan melakukan yang salah, jangan disalahkan ilmu tasawwufnya, kerana yang salah itu praktikalnya. Semoga kita dapat belajar tentang tasawwuf yang akan diterangkan dalam kita ini oleh Habib Zein. InshaAllah.


Tausiyah Tetamu: Habib Husein Luqman Al-Attas (teman belajar di Hadhamaut, dari Indonesia)

//Ucapan kesyukuran dan pembukaan.

Ketenangan yang kita dapat di majlis yang mulia ini, akan berpindah pergi ke tempat yang kita singgah selama kita ada irtiba’ yang kuat kepada majlis ini – dan rahmat yang kita dapat di sini itu akan kita bawa ke rumah kita juga, sehingga rumah tangga jadi rahmah dan mawaddah, selama kita amalkan apa yang kita dengar ilmu dan petua apa yang kita dengarkan.

Malaikat di keliling menjaga tempat ini. Hadis ini ditutup dengan menyatakan yang Allah menyebut nama-nama kita di majlis ahli langit (bersama malaikat).

Pesan: Dalam kehidupan di dunia ini, kita ingin keberkatan – keberkatan dalam mencari rezeki, mencari ilmu, dalam umur, aktiviti dan sebagainya.

Nabi  ada ajarkan kepada kita untuk ucap Salam. Salam ini satu simbol untuk saling mengenali dengan saudara kita. Memberi salam sunnah, menjawab itu wajib. Tapi dalam Salam itu ada satu kunci keberkatan kalau kita amalkan. Bagaimana salam boleh membawa keberkatan dalam hidup kita?

Guru-guru kami berpesan: Jika sampai ke satu tempat – meskipun penghuni tiada, ucapkan:
Salam (Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh), dan sambung dengan “Assalamualaika ayyuhan Nabi warahmatullahi wa barakatuh”, dan sambung dengan “Assalamualaina wa ala ibadillahisolihin.”

Kemudian baca surah Al-Ikhlas, jika baca sekali, keberkatan itu untuk diri kita saja, tapi jika ingin penghuni rumah dapat berkat juga, baca 2 kali, dan kalau baca 3 kali, seluruh lingkungan kita akan dapat keberkatan.


Semoga yang sedikit ini dapat diamalkan. //Doa penutup.


Tausiyah Tetamu: Ustaz Jafri bin Abu Bakar Mahmoodi (Pendakwah dari Pulau Pinang)

//Ucapan pembukaan.

Kepentingan liqa’ (pertemuan) – ada seorang sahabat masuk Islam pada zaman Nabi Muhammad masih hidup, tetapi dia tak mendapat gelaran sahabat. Namanya Uwais Al-Qarni tapi tidak mendapat gelaran sahabat dan  itulah kepentingan liqa’.

Pertemuan kita ini bukan perhimpunan biasa. Inilah perhimpunan yang inshaAllah nanti di akhirat akan bangun bersama-sama dan bergerak di padang masyar untuk bertemu Rasulullah ﷺ.  Kita tiada jalan, atau cara melainkan bangkit mengikut bersama Rasulullah ﷺ.

Baginda Nabi Muhammad ﷺ ketika hidup ingat kita, bahkan di padang masyhar nanti pun akan tertunggu-tunggu kita. Kita kena bangkit dengan Nabi ﷺ.

//Dilanjutkan dengan kisah-kisah Sahabat yg berkorban demi menjaga keselamatan Rasulullah, dan kepentingan utk duduk dekat bersama ulama dan org-org soleh.

*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma suntingan ceramah mereka. Jadi, KKN memohon pembaca mengulangkaji sendiri melalui rakaman video/audio di darulmurtadza.com untuk pemahaman yang lebih baik. Pihak KKN mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat dimanfaatkan. Wallahu'alam. 

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab