Majlis Ta'lim Darul Murtadza 12.12.2014

 بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم وعلى آله وصحبه وسلم 

Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid


Bahagian 1: Tafsir Surah An-Nisa ayat 15-18.

Sumber: Rakaman Tafsir MTDM

Ayat 15:


Ayat 15 daripada surah An-Nisa menceritakan tentang salah satu perbuatan yang hina, keji, yang perbuatan ini bukan sekadar menyentuh atau menodai kepada maruah, tetapi mengakibatkan satu risiko yang mengancam nasab atau keturunan serta masalah warisan, wali dan sebagainya, iaitu bilamana berlaku perzinaan. Selain daripada suatu perkara yang keji, zina pada masa yang sama menimbulkan perkara yang lebih teruk daripada itu. Maka, bilamana terjadi janin daripada perzinaan itu, anak tidak dinasabkan kepada lelaki yang berzina dengan perempuan itu. Dengan demikian, kalau anak yang dilahirkan perempuan atau lelaki, tidak boleh dibinkan kepada lelaki yang berzina, maka anak itu telah dinodai nasabnya, dan itu belum berkaitan masalah walinya, atau warisan, banyak risiko daripada perzinaan. Oleh sebab itu, zina dimurkai Allah, bahkan Allah SWT juga mengharamkan apa-apa sahaja yang membawa seseorang kepada perzinaan.

Perantara itu hukumnya sama dengan matlamatnya – kalau matlamatnya adalah perkara yang mungkar, maka wasilahnya juga adalah perkara yang mungkar. Oleh kerana yang demikian, baginda Rasulullah ﷺ ketika mentafsirkan, menerangkan tentang masalah zina tidak menghadkan kepada zina praktikal antara lelaki dan perempuan sahaja, tetapi lebih luas daripada itu.

Dalam hadis yang diriwayatkan dalam Sunan Abu Dawud r.a, baginda Rasulullah ﷺ bersabda, “Setiap anak-anak Adam mempunyai sebab atau wasilah yang menghantar dia kepada perzinaan.” Yakni, setiap anak Adam,  – tak kira lelaki atau perempuan. Kemudian, “… Zinanya mata adalah melihat, dan zinanya lisan ialah percakapan, dan zinanya 2 telinga adalah mendengar, dan zinanya 2 tangan ialah perbuatan yang menghantarkan sesorang memikirkan tentang perzinaan melalui tangannya, dan zinanya 2 kaki ialah berjalan, dan zinanya mulut ialah bercium.” Dibezakan di sini antara lisan bercakap dengan lisan cium.

Berapa anggota tubuh badah yang Rasulullah ﷺ sebut boleh membawa kepada perzinaan? Mata, telinga, lisan, mulut, tangan dan kaki. Dalam wirayat lain ditambah dengan “.. Kemaluan itu membenarkan atau mendustakan zinanya anggota yang lain.”

Maka, perlu difahami bahawa hadis ini menceritakan tentang muqaddimah zina – yakni sebab –sebab yang menghantar kepada perzinaan supaya orang berfikir tentang zina bukan terhad kepada apa yang dilakukan oleh lelaki dan perempuan.  Tetapi untuk sampai ke peringkat yang dilakukan oleh kemaluan, mempunyai muqaddimah, yakni awalan, asbab. Apakah asbab itu? Mata, telinga, lisan, mulut, tangan dan kaki.

Adapun zinanya mata adalah pandangan kepada perempuan bukan muhrim dengan syahwat. Inilah bahagian yang membawa kepada perzinaan.

Kata baginda Rasulullah ﷺ, “Pandangan ini umpama panah dari iblis yang direjam. Siapa yang menjaga pandangan matanya kerana takut kepada Allah SWT, maka Aku (Allah) akan beri kepadanya manisnya iman. Dengan apa? Menjaga pandangan mata.

Dalam Al-Quran nul Kareem, ketika Allah SWT menceritakan tentang mata yang menghantar kepada perzinaan – 2 ayat Allah sebutkan, ditujukan kepada lelaki, sama seperti ditujukan kepada perempuan, dibezakan supaya masing-masing mempunyai makna ketika memandang kepada lelaki atau perempuan bukan muhrim.

//Katakan wahai Rasulullah (Muhammad) kepada orang-orang beriman – ditujukan kata ini kepada orang beriman - yang mendakwa dirinya beriman mesti faham firman Yang memberi kita iman, supaya iman terealisasi dengan praktikal. Apa kata Allah? Katakan kepada orang beriman, yang Aku beri anugerah diistimewakan dengan anugerah iman – menjaga pandangan mata mereka, bukan pejam mata tapi mengalih daripada melihat apa yang diharamkan Allah.

Ada banyak bentuk pandangan contohnya pandangan menghina orang, tapi ayat ini menyentuh pandangan bersyahwat – jaga pandangan daripada memandang lelaki atau perempuan dengan syahwat, atau memandang kaum sejenis dengan syahwat, dan jaga kemaluan. Apa maknanya? Kerana pandangan mata ialah penyambung kepada zina.

Kata Al-Syauqi: “Bermula dari pandangan, lepas tu senyum, kemudian cakap, buat temujanji, kemudian jumpa, kemudian jangan tanya apa nak jadi. Puncanya ialah pandangan. Oleh sebab itu, Rasulullah ﷺ melarang yang pertama sekali zina mata – baik dengan melihat kepada lelaki atau perempuan bukan muhrim, atau lelaki kepada lelaki, atau perempuan kepada perempuan dengan syahwat, baik melalui gambar dalam surat khabar atau internet, laman web tidak baik, atau kepada orang yang dipandang (secara fizikal). Semuanya itu termasuk daripada zina mata, (yakni) memandang dengan penuh syahwat.

Apa nak kata di zaman kita sekarang ini? Siapa yang boleh menyelamatkan dirinya dari zina dua mata yang hari-hari bermaharajalela di luar? Semoga Allah selamatkan kita. Ini adalah musibah yang menimpa kita sekarang. Maka, hendaklah seseorang itu berusaha seupaya mungkin untuk menjaga diri dan padangannya.

Zina lisannya ialah percakapan seperti rayuan, orang yang punya ‘girlfriend’, ‘boyfriend’, apa yang dicakapkan? Perkara-perkara yang boleh bawa kepada perzinaan, perkara ini ialah perkara yang semua orang tahu – kata-kata dan rayuan yang palsu. Intipatinya – kata-kata yang membawa kepada zina, baik dari lelaki atau perempuan ialah zina lisan.

Zinanya tangan, baik dengan sentuhan, yakni menyentuh bukan muhrim dengan syahwat, atau menggunakan tangan dengan sms dengan kata-kata yang ‘gombal’ (menimbulkan syahwat). Subhanallah, Rasulullah ketika menyentuh tentang zina, disebutkan secara ‘general’ supaya boleh disesuaikan dengan zaman kita, yang zaman sekarang ini banyak perzinaan berlaku melalui sms/email/facebook dsb. Berapa ramai suami-isteri kacau hubungannya kerana ‘facebook’? Ini zina tangan - Allah beri yang halal dan cara yang halal, tapi manusia ini lemah dan diperdaya oleh hawa nafsu untuk mengambil yang haram. Ketika israk mikraj, Nabi ﷺ melihat orang makan daging yang busuk sedangkan ada yang segar di hadapannya. Ditanya kepada Jibril dan dikatakan orang itu ada yang halal, tetapi mengambil yang haram. Kenapa? Imannya lemah, tidak ada. Allah beri anugerah Islam dan iman tapi tidak dihargai. Oleh itu, adalah penting untuk seseorang belajar menjaga keimanannya.

Zina tangan adalah segala yang membawa kepada perzinaan baik dengan indera rasa, atau taip perkataan melalui sms dan seumpamanya.

Zinanya kaki ialah pergi ke mana-mana tempat buat temujanji dengan lelaki atau perempuan bukan muhrim. Langkah kaki ke tempat itu dikatakan zinanya kaki. Ingat bahwa anggota tubuh badan ini amanah dari Allah Ta'ala dan akan dipertanggungjawabkan kelak. Hari ini, anggota ikut cakap kita, ikut apa yang kita mahu tapi akan tiba satu hari nanti bila anggota akan bercakap menjadi saksi kemaksiataan yang pernah dilakuakan ketika di dunia.

Dengarkan sendiri nanti apa tangan, kaki akan cakap. Ini bukan dongeng, tapi realiti yang tak seorang pun akan terlepas daripada tanggungjawab dirinya sendiri.

Sebelum kita memperbaiki kepada hal orang lain, kita kena jaga 'rakyat' negara kita - mata, mulut, telinga, tangan, kaki – semuanya rakyat kita, dan kita pemimpinnya. Bergantung pada kita bagaimana untuk mentadirnya. Kalau kita bijak mentadbirnya, akan menjadi aman damai 'negara' kita. Kalau sebaliknya, kita akan tanggung hukuman dr Allah SWT. Wal iya zu billah.

Zina mulut ialah mencium kepada yang bukan muhrim. Nabi ﷺ dan Allah ketika ingin menceritakan tentang zina –> Allah haramkan perkara yang menghantar kepada zina. Apa bezanya jangan berzina dengan jangan menghampiri zina? Kalan jangan berzina saja, praktikalnya jangan tapi yang lain-lainya seperti rayuan palsu, sms, berkhalwahnya, pandangannya atau apa saja.

Bukankah sekarang orang berhubungan tanpa ‘hudhur’ (sempadan) seolah-olah tiada agama diturunkan Allah SWT, melanggar perintah Allah seakan-akan tiada Tuhan yang memantau kepada orang itu. Di manakah letak iman seseorang sedangkan ini adalah anugerah paling berharga yang Allah berikan kepada orang beriman. Bilamana tak menjadikan diri untuk rasa dipantau oleh Allah Ta'ala.

Bila pergi ‘shopping complex’ ada ‘CCTV’ atau lalu dekat ‘highway’ ada ‘speed trap’, kita pun perlahan sebab takut ‘speed trap’. Apa akibatnya kalau kena ‘speed trap’? Bayar saman je? Itu cuma di dunia. Kita 24 jam dipantau oleh Allah SWT, tapi tak diletakkan rasa takut kepada Allah, tak dijadikan pandangan Allah itu,.. kita lebih takut dengan ‘speed trap’ yang ada di dunia, berbanding ‘speed trap’-Nya Allah SWT – 24 jam pantau kepada kita. Apa sebab? Kelemahan iman. Tidak menjadikan Allah SWT memantau kepada kita. Ehsan kita dhoif, sehingga kita takut disaman berbanding takut hukuman Allah SWT – wal iya zu billah.

Semoga Allah kasi kuat kita punya iman, sentiasa merasa Allah memantau kepada kita dan kita adalah malu kepada Allah SWT. Hadis ini (di atas) menceritakan kejinya zina dan muqaddimah kepada zina.

Allah berfirman dalam ayat ini tentang hukum yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah ﷺ iaitu orang yang melakukan perzinaan daripada kalangan perempuan, yang bilamana diketahui oleh 4 saksi yang menyaksikan kalau perempuan itu berzina, maka hukumannya ialah dipenjarakan di rumah perempuan itu atau ahli keluarganya sehingga kematian datang kepada perempuan itu. Sistem penjara – sentuhannya ada dalam ayat ini, yang tujuannya sebagai hukuman kepada yang melanggar hukum-hakam Allah SWT.

Ayat ini turun sebelum turunnya ayat hudud yang menceritakan hukum orang yang berzina – kalau belum berkahwin dihukum sebat dan kalau sudah berkahwin, hukumannya direjam. Ayat itu turun kemudian. Sebelum ayat itu turun, baik itu rejam atau sebatan, Allah SWT menjadikan hukum awal ialah dipenjarakan dirumah mereka bagi perempuan, sampai kematian datang. Ini adalah hukum yang pertama.

Pada masa yang sama, Allah SWT berfirman:
“... hingga mereka sampai ajal matinya, atau hingga Allah mengadakan untuk mereka jalan keluar (dari hukuman itu).”

Yakni memberikan isyarat yang hukum ini sementara, dan akan datang hukum kemudian iaitu - kalau belum berkahwin dihukum sebat dan kalau sudah berkahwin, hukumannya direjam bagi lelaki ataupun perempuan. Sehingga bila ayat itu turun, Rasulullah ﷺ bersabda, “Ambillah daripada aku, Ambillah daripada aku, Sesungguhnya Allah sudah memberi jalan keluar bagi mereka (kaum wanita yang berzina). Yakni bilamana yang berzina itu belum berkahwin, disebat 100 kali dan dipulaukan selama 1 tahun. Adapun bagi mereka yang sudah berkahwin dan berzina, maka disebat dan direjam.

Terdapat berbagai pentafsiran perzinaan bagi mereka yang belum berkahwin ataupun yang sudah berkahwin, perlunya disebat dan dipenjarakan atau disebat dan direjam. Pada zaman khalifah Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar dan Sayyidina Uthman, orang belum berkahwin yang berzina akan  disebat 100 kali dan dipulaukan selama 1 tahun. Adapun mereka yang sudah berkahwin dan berzina, dan ini ialah musibah yang banyak menimpa kita sekarang ini juga, hukumannya ada 2 pandangan:
1. disebat dan direjam
2. direjam sahaja, kerana sebatan dimansuhkan dengan ayat direjam

Ayat 16:

Ertinya, jika mereka sudah bertaubat, maka tidak dibenarkan menghina atau mencaci atau memandang rendah kepada orang yang melakukan zina, kerana orang yang bertaubat seakan-akan dia tidak melakukan maksiat tadi kerana sudah diampunkan Allah SWT. Ini adalah perintah Allah kepada masyarakat untuk tidak memandang hina kepada orang yang pernah bersalah kepada Allah SWT dan tidak mengingati kesalahan mereka dahulu. Kalau sudah bertaubat, Yang Maha Menerima taubat sudah menghapuskan dan melupakan, maka kita sebagai manusia meniru kepada Allah SWT dengan tidak memandang hina kepada orang itu, dan ini adalah tanggungjawab masyarakat untuk tidak mengorek kesalahan orang kepada Allah SWT. Tapi bilamana tidak bertaubat kepada Allah SWT, maka perlu orang itu dipulaukan dan tidak dimuliakan. Setelah bertaubat, tidak boleh memandang hina kepada mereka.

Ayat 17:

“Sesungguhnya taubat itu di sisi Allah bagi orang yang berbuat dosa dengan sebab kejahilan…”
Taubat itu bagi orang yang melakukan dosa sebab jahil. Apa maknanya? Adakah taubat itu diterima dari orang yang jahil ketika berbat maksiat sahaja ? Kalau dia tak jahil, adakah taubatnya tak diterima Allah SWT? Kalau begitu – susah nak mendapatkan taubat kerana ramai orang buat maksiat dalam keadaan mereka sedar dan tahu itu benda maksiat!

Kalau taubat hanya diterima daripada orang yang tak tahu dia bermaksiat, lalu bagaimana dengan orang yang bermaksiat dan sedar dia itu bermaksiat?

Jadi dalam hal ini, ahli tafsir memberi beberapa tafsiran: ‘bijahalatin’
1. Sayyidina Qatadah mengatakan bahawasanya merupakan kesepakatan sahabat Nabi
mengatakan seseorang tidak melakukan maksiat secara sengaja atau tidak sengaja melainkan orang yang melakukan maksiat itu jahil. Yakni, kalimat – dengan kejahilan baru taubat diterima – orang yang melakukan maksiat walaupun sedar, walaupun tahu atau tak tahu, orang itu jahil, bukan bermakna orang yang melakukan maksiat itu tak tahu yang dilakukannya itu maksiat. Kerana bagi mereka yang tidak tahu, yakni jika mereka hidup di sebuah tempat yang tidak sampai sumberi informasi dan dia melakukan perkara yang diharamkan Allah, maka orang ini tidak dihukumkan orang yang melakukan maksiat kerana dia tak tahu.

Tapi bila hidup di negara yang ramai ulama, ada psarana untuk mendapatkan maklumat, maka tiada keuzuran untuk mengatakan yang dia tidak mengetahui. Maka. Tafsiran pertama – makna ‘Sesungguhnya Allah menerima taubat orang yang berbuat maksiat dengan kejahilan’ ialah orang yang melakukan maksiat itu jahil, baik sengaja atau tak sengaja, dan taubatnya adalah diterima bilamana memenuhi syarat-syarat taubat.

2. orang yang melakukan maksiat jahil akibatnya
3. dengan kelazatan maksiat yang dilakukan, seseorang itu jahil akan bahaya buruknya, pedihnya hukuman perbuatan maksiatnya – contohnya seorang pencuri rasa nikmat dapat duit mudah tapi tak sedar pedihnya hukuman Allah yang menantinya. Orang yang minum khamar rasa nikmat ketika minum tapi jahil akan pedihnya hukuman Allah kepadanya.

Ini 3 makna – “Orang yang melakukan maksiat dengan jahil”:
1. orang itu melakukan maksiat itu jahil, baik sengaja atau tak sengaja
2. jahil hukumannya
3. jahil kerana memilih kelazatan yang sementara berbanding kelazatan yang kekal.

“.. Lalu orang yang melakukan maksiat bertaubat segera..”
Yakin tidak menunggu sudah tua, atau sudah pencen baru nak bertaubat. Siapa yang boleh jamin dia boleh sampai umur tua? Ini ‘ghurur’ – tertipu dengan angan-anagn sendiri. jangan tertipu dengan kezaliman diri sendiri –

“Kamu, wahai anak-anak muda berbuat zalim kepada dirimu sendiri dan tidak ada kezaliman yang lebih berbahaya berbanding kezaliman pada diri sendiri.”
“Kita masih muda, tak apa nak buat apa saja.” Dan yang peliknya, ibu bapa biarkan anak-anak muda ada boyfriend, girlfriend, dan kata, “Tak apa masih muda, nanti dah kahwin akan lurus sendiri.” Ini tak tahu bagaimana fikiran yang sudah merasuk orang tua, dan anak-anak muda. Di mana contoh anak muda di zaman Rasulullah ﷺ? Fahimtum?

“..dan taubat mereka diterima Allah dan Allah Maha Mengetahui Maha Bijaksana.”

Ayat 18:

Macam Firaun bertaubat ketikan ruh sampai ke tengkorokan (halkumnya). Rasulullah ﷺ bersabda, “Allah menerima taubat kecuali apabila ruh sudah sampai ke tengkorokan (halkum).”

Ketika Firauan bertaubat itu, Allah berfirman, “Sekarang?” Setelah ditunjukkan berbagai mukjizat, dia tidak mahu bertaubat, tetapi ketikan ruh hampir keluar baru dia ingin bertaubat. Berapa ramai manusia yang ketika hampir meninggal baru ingat akan dosanya, tetapi selama sihat tak apa, nanti aku taubat – ‘at-taswif’. Salah satu helah syaitan ialah berlengah-lengah – esok, lusa, bulan depan, tahun depan padahal dia tidak perjanjian dengan malaikat maut. “Malaikat maut – jangan cabut nyawa aku, sehingga jam sekian..”. Tak seorang pun punya janji seperti itu – tidak Rasul atau Anbiya. Tidak akan ditunda waktu kematian seseorang untuk bertemu Allah SWT. Maka, bersedialah untuk bertaubat kepada Allah sebelum datang perkara-perkara yang menghalang – mungkin sakit yang melupakan kita kepada Allah. Wal iya zu billah.

Bahagian 2: Kitab Riyadhus Solihin
Bab 66: Sunah Berziarah Kubur dan Bacaannya
Hadis 1-4 (579-582)
Kubur merupakan tempat menyimpan jasad anak-anak-anak Adam, bermula daripada pembunhan pertama di muka bumi ini iaitu pembunuhan Habil yang dibunuh Qabil. Setelah dibunuh, Qabil tak tahu apa perlu dibuat kepada jasad saudaranya, dan Allah SWT hantar gagak yang bergaduh sehingga mati seekor daripada dan digali kubur untuk mengebumikannya. Lalu, Qabil pun mendapat ilham yang serupa. Ahli tafsir mengatakan Allah SWT menghantar gagak sebagai simbol penghinaan terhadap apa yang Qabil lakukan. Gagak mempunyai imej yang negatif, dan tidak disenangi manusia. Sunnah yang ditetapkan kepada manusia ialah untuk dikuburkan setelah meninggal.

Kubur ialah satu tempat yang akan kekal, dan setiap jasad akan dibangkitkan semula dari kubur mereka. Baginda Rasulullah ﷺ memberitahukan, “Saya adalah penghulu dari seluruh anak Adam dan kubur saya adalah yang pertama yang akan terbelah di hari kiamat nanti.”

Jika dikatakan kubur pertama, bererti akan diikuti kubur-kubur lain yang akan terbelah, dan masing-masing akan bangkit di atas kuburnya nanti di hari kiamat. Proses macammana? Itu hanya diketahui oleh Allah SWT. Jasad yang sudah sekian puluhan ratusan ribu tahun, yang sudah tidak lagi nampak, yang mungkin tulangnya pun sudah tidak lagi nampak, Maha Suci Allah dengan kekuasaan-Nya mampu untuk mengembalikan yang pernah wujud untuk wujud semula lengkap dengan kulitnya, dan tulangnya untuk dimasukkan ruh semula ke dalam jasad, dan kita perlu memahami bahawasanya kubur itu tempat persinggahan pertama kepada mereka yang meninggal dunia dan menuju akhirat. Oleh sebab itu dinamakan alam barzakh sebagai pendinding yang memisahkan alam dunia dan alam akhirat. Tiada seorang pun yang akan masuk ke alam akhirat sehingga habisnya alam dunia. Jadi mereka yang sudah habis masanya di dunia, diletakkan dulu di alam kubur. Kata Rasulullah ﷺ, “Kubur itu tempat persinggahan pertama sebelum menuju ke akhirat. Barangsiapa yang selamat di kuburnya, maka selepasnya adalah mudah. Barangsiapa yang tak selamat dikuburnya, selepasnya adalah yang makin susah.” Ini adalah gambaran syariah tentang alam kubur. Kita meyakini bahawa kematian itu ialah ruh keluar daripada jasad. Mereka yang sudah berada di alam kubur, dibenarkan diziarahi oleh orang yang masih hidup.

Rasulullah pernah melarang kaum muslimin menziarahi kubur kerana tindakan orang zaman Jahiliyyah yang dahulu melakukan perkara yang dilarang agama seperti menyesali dengan melampau kepada orang sudah meninggal, atau melakukan perbuatan yang mensyirikkan Allah SWT. Oleh kerana pada awal memeluk Islam, dan kaum muslimin masih perlu masa untuk menguatkan dan mengekalkan iman, dan risau mereka akan terikut tradisi lama jahiliyyah, maka Rasulullah ﷺ melarang mereka menziarah kubur. Setelah iman mereka semakin mantap, baru Rasulullah bersabda, “Dahulu, saya pernah melarang kamu menziarah kubur, sekarang berziarahlah kamu.”

Suruhan ini menunjukkan ada anjuran, sunnah untuk menziarah kubur. Ini adalah untuk kubur orang yang dekat dengan kita (saudara) ataupun kubur orang-orang yang soleh atau kalangan para Anbiya, Rasul dan auliya.

Terdapat beberapa pendapat ulama tentang suruhan berziarah ke kubur.
Nabi dalam perjalanan Israk Mikraj, menziarahi kubur Nabi Musa a.s. Setelah balik, Nabi ﷺ bercerita kepada para sahabat, “Saya berziarah kepada Nabi Musa (yakni berziarah ke kuburnya).” Dalam satu riwayat dikatakan, “ Nabi Musa itu solat dalam kuburnya.” Macam mana dia solat? Berdirikah? Dudukkah? Baringkah? Berdiri, duduk, baring – itu alam dunia, tapi alam barzakh tak sama dengan alam dunia. Jadai kalau kita nak menduniakan alam barzakh, maka otak kita belum sampai ke alam barzakh dan belum tahu lagi. Nabi ﷺ jumpa Nabi Musa solat di kuburnya. Di Baitulmaqdis, Nabi ﷺ mengimamkan solat dan Nabi Musa solat bersama. Nabi ﷺ naik ke Sidhratul Muntaha melalui lapisan langit, bertemu juga dengan Nabi Musa. Jadi, yang sebenarnya Nabi Musa berada di mana? Di kuburnya, atau di Baitulmaqdis atau ada di langit. Alam ini (alam barzakh) tidak sama seperti alam dunia – di dunia, jika saya di masjid Muaz, tak mungkin saya ada di rumah, kerana dalam dunia seorang tak boleh berada serentak pada dua tempat. Tapi alam barzakh jauh daripada bayangan atau khayalan kita. Bahkan akal kita dicipta Allah hanya untuk boleh ‘detect’ apa yang ada didunia, untuk percaya kepada apa yang ada di alam barzakh, kita perlukan iman, bukan otak. Antivirus boleh ‘detect’ apa yang sudah diprogramkan, untuk ‘detect’ yang lebih tinggi, perlu kepada ‘update’. Sama juga dengan otak kita, Allah SWT letakkan otak kita untuk faham keadaan dunia, tapi tidak alam barzakh.

Kata baginda Rasulullah ﷺ kubur Nabi Musa berada di Palestin, dekat dengan tompokan pasir berwarna merah. Kata baginda, “Jika kamu bersama saya, saya akan tunjukkan kubur Nabi Musa a.s.” Apa tujuannya? Untuk sembah kubur Nabi Musa? Untuk buat perkara-perkara kurafat? (Tidak!) untuk ziarah
Nabi ingin tunjuk kubur Nabi Musa – agar kita tahu di mana untuk ziarah  kepada Nabi Musa, untuk menghormati Nabi yang dimuliakan Allah SWT dan bukan untuk sembah kubur. Jadi, untuk menghukum orang yang ziarah kubur itu sembah kubur – ini adalah persepsi yang salah. Jika setiap yang ziarah kubur sembah kubur, buat apa Rasulullah ﷺ suruh kita ziarah kubur? Oleh itu, orang yang pergi semata-mata untuk menziarah kubur tak boleh dilabelkan sebagai menyembah kubur. Orang yang buat perkara salah ketika ziarah kubur tak menyalahkan syiar untuk ziarah kubur itu kerana Nabi ﷺ sendiri menyuruh ziarah kubur. Oleh itu, mesti dibezakan antara orang yang ziarah kubur dengan orang yang sembah kubur!

Agungkan syiar Allah walaupun terkait dengan makhluk Allah. Kalau pakai cermin hitam nampak hitam – cermin pink nampak pink!
Perlu dibezakan antara menziarah kubur dengan menyembah kubur. Menyembah kubur memang salah, tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah SWT.

Perintah Rasulullah ﷺ menyuruh berziarah ke kubur. Dan terdapat perbezaan pendapat ulama tentang siapa yang disuruh berziarah? Kerana di situ ada beberapa larangan untuk wanita ziarah ke kubur. “Allah melarang kaum wanita yang berziarah ke kubur.”

Terdapat 3 pandangan yang disebutkan oleh Imam Ibnu Hajar dan juga syarah sunan Al Imam Abu Daud menceritakan hukum ziarah kubur bagi perempuan:
1. boleh, disebabkan kerana perintah Nabi merangkumi lelaki dan perempuan, walaupun kata gantinya merujuk kepada lelaki, tetapi dalam tatabahasa bahasa Arab cukup lelaki satu untuk menggunakan kata ganti nama lelaki. Ini juga merupakan pendapat Siti Aisyah yang datang ke Mekah dan menziarah kubur saudaranya Abdul Rahman bin Abu Bakar As-Siddiq, yang meninggal dunia ketika Siti Aisyah berada di Madinah. Dan juga satu peristiwa, Rasulullah melihat seorang wanita yang sedang menangis di sisi kubur anaknya, dan dinasihati agar jangan menangis. Wanita itu tak tahu itu Rasulullah dan berkata, “Kamu tak rasa apa aku rasa.” Setelah di beritahu yang itu Rasulullah ﷺ, wanita itu pun datang meminta maaf dan di beritahu bahawa, “Sabar itu ialah pada kali pertama menghadapi musibah.” Initpatinya ialah Rasulullah ﷺ tak larang wanita itu ziarah kubur dan menasihati untuk dia bersabar.

2. Berpegang kepada pendapat zahir hadis yang menyebut Nabi ﷺ melaknat kaum wanita yang berziarah ke kubur.

3. Pandangan ketiga yang berpegang kepada pendapat Imam Ahmad bin Hambal yang mengatakan makruh jika wanita ziarah ke kubur.

Daripada 3 pandangan ini, apabila dicantumkan, khususnya untuk wanita ziarah ke kubur, hukum ini tidak sama dengan hukum wanita menghantar jenazah ke kubur. Dikatakan bahawasanya yang dilarang wanita apabila ziarah ke kubur ialah apabila pergi macam pergi ke majlis pengantin, yakni dengan hiasannya yang boleh menimbulkan perkara yang tidak baik, bilamana hal-hal yang sebegini dilakukan sebegitu, hukum ziarah akan menjadi haram kepada wanita tersebut. Ini sesuai dengan satu perintah Rasulullah ﷺ yang pernah melarang kepada sahabat untuk tidak melarang kaum wanita pergi ke masjid.

Tetapi setelah wafatnya Rasulullah ﷺ, Siti Aisyah berkata, “Kalau Rasulullah ﷺ tahu yang kaum wanita lakukan ketika pergi ke masjid, Nabi pasti larang kaum wanita pergi ke masjid.” Kenapa? Kerana cara pergi ke masjid yang tidak betul – macam pergi ke majlis pengantin, dengan gelangnya, ‘make-up’-nya dsb. Kesimpulannya, bukan menjadi kesalahan pada zat perbuatan menziarah kubur atau masjidnya, tetapi keadaan ketika melakukan perbuatan tersebut yang menjadi penilaian al-ulamak.

Untuk wanita ikut kaum lelaki menghantar jenazah ke kubur – kita perlu menginsafi dengan satu nasihat daripada Rasulullah ﷺ kepada kaum wanita, “Hai kaum wanita, adakah kamu usung jenazah?” Mereka kata, “Tidak.” Rasulullah ﷺ bertanya lagi, “Adakah kamu meletakkan jenazah di dalam kubur?” Mereka kata, “Tidak.” Kemudian Rasulullah ﷺ berkata, “Baik kamu balik ke rumah, Allah beri ganjaran kepada kamu.” Ini kerana dalam agama ini, tugasan menghantar jenazah adalah diberi kepada kaum lelaki, tetapi jika tiada lelaki, silakan wanita yang menghantar jenazah. Tetapi jika ada lelaki yang sudah menguruskan, wanita dilarang untuk mengelakkan percampuran antara lelaki dan perempuan. Mengelak daripada berlaku perkara yang tidak baik dengan duduk di rumah akan mendatangkan ganjaran untuk kaum wanita. Memanglah sedih jika dan ahli keluarga yang meninggal, tapi kesedihan mestilah mengikut kepada aturan agama sehingga kesedihan itu tidak menjadi sebab yang mendatangkan dosa. Sudahlah kita sedih dapat dosa pula disebabkan kekurangan pemahaman kita dalam mentaati agama Allah SWT.  

//Sambung doa ziarah kubur minggu depan inshaAllah

Bahagian 3: Kitab Syarah Hadis Jibril
Rukun Pertama ISLAM (m/s 15-19)

Sumber: Rakaman Syarah KItab Hadis Jibril MTDM

Baginda Rasulullah ﷺ bersabda, “Allah memberikan dunia kepada orang yang disukai-Nya dan tak disukai-Nya (sebab dunia tiada nilai di sisi Allah), tapi Allah tidak beri agama kecuali kepada orang yang disukai oleh Allah SWT.”

Tidak seseorang menjadi orang Islam kecuali sudah didahulukan oeh Allah dengan kehendak-Nya yang baik, dan kasih-sayang sehingga diberi hidayah oleh Allah SWT kepada agama Al-Islam, disebabkan terdapat beberapa orang mendapatkan hidayah tentang kebenaran al-Islam tapi tak tersingkap hatinya untuk memeluk Islam dipilih menjadi Islam – kecuali telah diingini/diizinkan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT, Adapun Kaum Tsamud, kami beri hidayah kepada mereka (jalan yang baik dan yang tak baik), tapi mereka lebih memilih untuk tidak menerima agama melalui Nabi yang diutus Allah SWT. Dalam hal ini, mereka tahu kebenaran yang dibawa oleh Rasul tapi mereka memilih kekufuran. Maka, dalam hal ini, besarnya nikmat hidayah yang kita diberi oleh Allah SWT. Hendaklah menghargainya nikmat hidayah al-Islam seperti yang diajar dalam Al-Quran – “Segala puji bagi Allah Ta'ala yang memberi hidayah kepada kami dengan agama ini.” Kalau bukan kerana hidayah Allah, kami takkan mendapatkan hidayah.

Maka, cara untuk mensyukuri agama ini adalah dengan kita merasa bangga dengan Islam, yakni jadi orang yang bangga dengan agama yang kita ada. Macammana? Tidak malu untuk menzahirkan agama ini walaupun kita berada di negara kafir, tidak malu untuk solat walaupun kita bekerja yang semuanya adalah orang kafir, tidak malu untuk menzahirkan adab Islam walaupun kita berkawan dengan orang bukan Islam. Ini adalah satu petanda orang yang menghargai Islam yang diberikan Allah kepadanya.

Ketika para sahabat duduk bersama Salman Al-Farisi, dan masing-masing menceritakan tentang kebanggaan tentang latar belakang dan keturunannya. Maka si fulan mengatakan “Kami daripada fulan, kami daripada fulan…”. Kemudian tiba giliran Salman dan mereka mengatakan, “Salman, kamu ini anak keturunan siapa?” Jawab Salman, “Saya anak kepada Islam”, yakni tidak lagi menjadikan keturunannya untuk dia bangga dengannya seperti kebiasaan orang-orang Arab, tetapi melihat kemuliaan Islam dan berasa bangga dengan anugerah Islam yang diberikan Allah Ta'ala.

Dalam memahami Islam, terdapat 4 kategori mereka yang menyikapi terhadap Islam.

Rukun Islam ada 5, tapi semuanya bergantung pada yang satu iaitu kalimah dua syahadah! Kalau diumpamakan khemah, tiang paling tinggi yang tengah itu ialah syahadah, dan tiang-tiangh tepinya solat, puasa, zakat dan haji. Kalau dia buat yang empat, tapi yang tengah tiada, khemah itu takkan tegak berdiri. Tapi ada orang yang ada tiang tengah, tetapi kemudia terbahagi kepada ¾ golongan:


Jika  mengucap, tapi tak buat 4 fardhu ini  termasuk satu dprd 3 golongan:
1. Mereka meyakin tiang yang 4 itu rukun Islam, tapi malas melakukannya. Orang seperti ini Muslim fasiq, walaupun dia tak solat, tak berpuasa, dsb selagi tak mengingkari (menolak) 4 fardhu ini.

2. Tetapi jika seseorang mengatakan: solat/puasa/haji/zakat tidak wajib, mereka dalam golongan yang pernah berlaku pada zaman Abu Bakar As-Siddiq yang diperangi kerana enggan mengeluarkan zakat dan mereka digolongkan dalam golongan orang yang murtad. Sesiapa yang mengingkari (menolak) kefardhuan salah satu daripada 5 rukun Islam ini, maka dikatakan orang itu murtad (atau kafir) daripada agama Islam.

3. orang yang dia beriman kepada 5 perkara ini, dan mengamalkannya, maka dia Muslim sejati.

4. Orang munafik – dia buat keempat-empat: solat, puasa, zakat, haji tapi dalam hatinya dia tidak beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Kedudukan mereka ini lebih hina daripada kedudukan orang yang kafir kerana mereka menyembunyikan kekufuran mereka. Mereka berdosa 2 kali kerana menyembunyikan kekufuran dalam hati dan berpura-pura dengan amalan mereka.

Ini adalah 4 perkara yang dijelaskan oleh penulis. Hendaklah mengucap dengan lisan bagi yang mampu, dan yang tidak mampu menzahirkan keyakinannya dengan isyarat. Bagi orang yang meyakini kebenaran Islam tapi tak berkesempatan untuk mengucapkannya ataupun takut untuk mengucapkannya, walaupun zahirnya dihukum sebagai tidak Islam, tetapi keyakinannya itu yang akan dipandang oleh Allah SWT dan jumhur ulama mengatakan orang seperti ini ialah orang yang beriman kerana yang dipandang Allah ialah isi hatinya. Bagaimana tidak kerana apa yang berlaku kepada Sayyidina Ammar ibnu Yassir yang dihukum dan disiksa sehingga ayah dan ibunya dibunuh di hadapannya, dan dia menyebutkan nama-nama berhala (kerana tidak tahan lagi dengan seksaan). Tetapi setelah berita itu disampaikan kepada Rasulullah ﷺ, turun ayat daripada Allah SWT yang menceritakan tentang Ammar bin Yassir yang hatinya itu mantap dengan keimanan walaupun lafaznya ialah lafaz kekufuran, kerana yang dipandang Allah ialah isi hati Ammar ibnu Yassir. Oleh itu, orang yang hidup di sebuah negara yang dikawal atau takut untuk mengucapkan 2 kalimah syahadah, maka orang ini dikira orang-orang yang beriman juga walaupun orang lain memandangnya sebagai tidak beriman.


//Doa penutup.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab