Kisah-Kisah Imam Yang Warak - MTDM 09.01.2015 (Bhgn 2&3)

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم


Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid*
Majlis Ta'lim Darul Murtadza 09.01.2015

Bahagian 2: Kitab Riyadhus Solihin, Bab Keutamaan Warak & Meninggalkan Syubhat    
Bacaan Hadis #2:




Sebaik-baik orang berpegang kepada agama ialah orang yang warak.

Maksud warak:
1. Meninggalkan perkara yang boleh kerana khuatir ianya gelincir kepada perkara yang tidak boleh.
2. erkara yang syubhat – tak jelas asal-usulnya, atau yang tak jelas boleh atau tak boleh

Seseorang takkan mencapai darjat yang tinggi sehinggalah meninggalkan perkara yang boleh kerana khuatir gelincir melakukan perkara yang tidak boleh.

Seorang bernama Al-Imam Abu Ishak Syarazi, penulis kitab At-Tanbih, dalam feqah mazhab Imam Syafie. Suatu hari dia pergi ke masjid dan bersembang dengan beberapa orang. Kemudian dia tak sedar duitnya terjatuh. Dalam perjalanan balik, dia baru sedar yang duitnya telah hilang setelah menyeluk poketnya. Dia pun terfikir untuk lihat di tempat dia duduk bersembang tadi. Dia menjumpai kembali dan jumlahnya pun sama macam duitnya, tapi dia terfikir, “Mungkin ada orang lain yang duduk di situ setelah dia, dan boleh jadi itu bukan duitnya.” Akhirnya dia pun tidak jadi mengambilnya kerana sifat warak. Khuatir akalu bukan duitnya. Kalau kita, duit di tempat yang kita tak duduk pun kita ambil.

Imam Abu Hanifah r.a.  – Subhanallah, seorang yang warak lahir dari ibu bapa yang warak. Suatu hari di Iraq, dia berjalan dan hujan turun, lalu dia berteduh di bawah bumbung sebuah rumah.  Saat dia berteduh, dia menoleh dan sedar itu rumah orang berhutang kepadanya. Dia pun segera beredar, dan rela terkena hujan kerana risau termasuk daripada orang yang mengambil riba (mengambil manfaat dari orang yang berhutang kepadanya).

Kenap dia punya sifat warak? Buah kalau jatuh tidak jauh dari pokoknya. Ayah kepada Imam Abu Hanifah ialah Thabit. Thabit merupakan seorang yang warak, maka orang yang warak melahirkan anak yang warak juga.  Thabit, suatu hari berjalan di tepi sungai, kelaparan dan terjumpa sebiji epal. Dia pun memakannya, dan kemudian tersedar yang epa itu bukan miliknya. Lalu diselusuri anak sungai itu untuk mencari kebun epal berdekatan yang mungkin menghanyutkan buah epal tersebut. Thabit meminta untuk dihalalkan epal atau dibeli daripada tuan kebun. Tapi tuannya tiada di situ, penjaga kebun memberitahu perjalan ke rumah tuan kebun mengambil masa 1 hari 1 malam. Walaupun jauh, Thabit pergi juga kerana ingin minta halal. Apabila tiba, tuan kebun itu pun orang yang soleh, dan tahu bahawa Thabit pasti orang yang baik kerana sanggup berjalan 1 hari 1 malam demi minta halal sebiji epal. Tuannya tidak mahu jual atau halalkan epal itu, tetapi dihukum berkahwin dengan anak perempuan yang cacat anggota badan, bisu, buta, pekak. Demi mendapatkan halah, Thabit sanggup. Namun terkejut Thabit kerana setelah nikah, didapati isterinya sempurna bahkan cantik. Kecacatan yang dimaksudkan ayah mertuanya itu adalah kerana anaknya itu jauh daripada melakukan sebarang benda yang haram kepada Allah SWT. Daripada perkahwinan itu lahir Nu’man bin Thabit iaitu Imam Abu Hanifah.

Seorang kadhi – Khadi Nuh  – khadi pada zaman itu merupakan pentadbir sebuah bandar. Dia mempunyai sebuah kebun anggur. Dia memerlukan pembantu di kebunnya dan mengupah seorang bernama Mubarak untuk bekerja dengannya. Tiba musim menuai, kadhi pun datang dengan ahli keluarganya dan berkata, “Ya Mubarak, bawakan anggur untuk kami makan.” Dibawa dan dimakan oleh mereka tetapi rasanya tidak sedap, lalu ditanya, “Kenapa kamu bawa yang tak sedap, ambil yang lain.” Mubarak pun ambil dari pokok yang lain, tetapi sama juga tidak sedap rasanya. Lalu Kadhi pun bertanya, “Kamu tak tahukan yang mana yang sudah masak, yang mana tidak?” Jawabnya tak tahu. Khadi hairan dan bertanya bagaimana jadi begitu. Mubarak menjawab, “Wahai Tuan Kadhi, dari mula saya bekerja sampai sekarang, saya tidak pernah makan sebiji pun, jadi saya tak tahu mana yang sudah masak atau tak.” Tanya kadhi, “Sebiji pun kau tak rasa.” Jawabnya “Tidak, kau gaji aku untuk menjaga bukan untuk makan.” Kadhi pun berkata, “Selepas ini kau makan, atau beri orang tak apa, aku halalkan.” Musim menuai seterusnya, apabila kadhi datang, dia pun menghidangkan anggur yang terbaik rasanya. Kadhi pun berkata padanya, “Wahai Mubarak, aku melihat kau ini orang yang baik, aku mohon pandangan kau.” Kenapa kadhi minta nasihat daripada penjaga kebun? Kerana dia amanah. Sambung Mubarak lagi, “Saya ada anak perempuan dan dipinang oleh ramai pembesar. Siapa yang harus saya pilih.” Kata Mubarak, “Wahai Kadhi, orang zaman Jahiliyah berkahwin kerana martabat (bangsawan atau bukan), orang Yahudi berkahwin kerana kecantikan, zaman Rasulullah orang berkahwin kerana agama dan ketaqwaan, dan zaman kita sekarang ini, berkahwin kerana harta.  Jadi, kamu pilih saja daripada 4 kriteria yang saya bagi tadi. Kalau memilih martabat, maka ikut jahiliyyah. Kalau memilih rupa, maka ikut Yahudi, kalau memilih harta, maka ikut zaman ini. Kalau memilih agama, maka ikut Rasulullah .” Kata Kadhi, “Wallahi, aku tidak pernah mendengar nasihat seindah ini. Jadi, aku pilih kamu sebagai menantu aku.” Mubarak pun menerima dan berkahwin dengan anak Kadhi Nuh. Daripada perkahwinan itu lahir anak bernama – Abdullah ibnu Mubarak, seorang alim, zuhud, warak, ahli hadis yang terkenal dengan ibadahnya kepada Allah SWT.

Saudara perempuan Bisyir Al-Hafi datang bertanya kepada Imam Ahmad ibnu Hambal, “Saya punya jiran yang akidahnya tidak betul, sumber rezekinya juga tak betul, cahaya lampu rumahnya terang menerangi rumah saya, maka bolehkah saya memanfaatkan cahaya lampu itu untuk menjahit?” Imam Ahmad pelik dengan soalan itu dan berkata, “siapa itu yang bertanya.” Perempuan itu menjelaskan siapa dirinya, lalu Imam Ahmad menjawab, “Untuk kamu tak boleh, kerana sifat warak lahir dari rumah kamu. Kekalkan sifat warak yang ada di rumah kamu. Jangan menjahit dari sinar lampu yang sumbernya tidak betul.”

Bisyir Al-Hafi, digelar Al Hafi (tak pakai selipar). Suatu hari, dia beli selipar baru dan letak di luar masjid. Dia jadi imam and bila keluar, tengok-tengok seliparnya hilang dan dia pun menangis. Orang-orang pun kehairanan dan berkata, “Kamu tak layak kamu menangis begini kerana orang macam kamu mampu beli 10 selipar lagi. Kata Bisyir, saya menangis bukan kerana selipar yang hilang itu tetapi oleh kerana saya beli selipar baru, maka pencuri itu pun berbuat dosa kepada Allah SWT. Kalau bukan saya beli selipar baru, maka dia pun tiada mencuri selipar saya. Mulai hari ini, saya akan berjalan tanpa selipar.”

Bahagian 3: Syarah Hadis Jibril m/s 23



Syeikh Zein bin Ibrahim bin Sumait menjelaskan tentang 3 kategori sifat Allah SWT iaitu:
1. Sifat wajib – mustahil tiada pada Allah. Ada 20.
2. Sifat mustahil – tidak mungkin ada pada Allah SWT. Ada 20 juga.
 3. Sifat jaiz – mungkin wajib, mungkin mustahil bagi Allah SWT.  Ada 1 sahaja.
Jumlah semuanya ada 41, dan ini adalah teras yang dipegang oleh ASWJ.

Daripada keseluruhan sifat itu, di bahagi lagi menjadi 4 kategori iaitu:
1. Nafsiyyah,
2. Salbiyyah,
3. Ma’ani dan
4. Maknawiyyah

*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallu'alam. 

**: mungkin salah ejaan



Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab