Perempuan Yang Haram Dinikahi – Tafsir An-Nisa 23, MTDM 09.01.2015 (Bhgn 1)

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Perempuan Yang Haram Dinikahi – Tafsir An-Nisa 23,  MTDM 09.01.2015
Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid*
Majlis Ta'lim Darul Murtadza*





Tafsir Quran Surah An-Nisa ayat 23:


Ayat 23 berbicara tentang orang-orang yang haram dinikahi, selain daripada yang disebutkan adalah halal untuk dinikahi. Pernikahan ialah satu ikatan suci yang ditetapkan oleh Allah SWT bermula dari manusia pertama yang Allah ciptakan. Yang melakukan perhubungan lain jenis tidak melalui pernikahan adalah melanggar kepada sunnah yang ditetapkan kepada manusia
Allah SWT ketika menciptakan Nabi Adam, terus menyebutkan “Allah menciptakan Nabi Adam pasangannya (zaujaha)”.

‘Zaujaha’ dari kalimat ‘zauj’ – daripada perkataan ini ada ungkapan ‘zawaj’ yang ertinya adalah pernikahan atau perkahwinan. Allah SWT tidak mengatakan “Dan Kami ciptakan dari Nabi Adam seorang perempuan” tapi Allah sebutkan ‘pasangannya’ dengan kalimat ‘zauj’, sebagai nisbah akan adanya ikatan antara Nabi Adam dan Siti Hawa iaitu ikatan pernikahan. Nabi Adam dan Siti Hawa dinikahkan oleh Allah SWT, yang dengannya, berterusan sehingga ke hari ini dan menjadi sunnatul-qaun kepada manusia untuk menikah.

Bilamana manusia enggan menikah atau menikah bukan dengan aturan Allah SWT, maka dia melanggar kepada sunnatul-qaun, yakni sunnah yang Allah tetap kepada manusia di muka bumi ini. Oleh kerana itu, baginda Rasulullah ketika mendengar perkataan seorang sahabat yang mengatakan – “Saya akan beribadat dan tak akan menikah”. Yang seorang lagi pula mengatakan, “Saya akan qiyyamullail tak mahu tidur.”, dan seorang lagi mengatakan, “Saya akan berpuasa, tak mahu berbuka.” Rasulullah pun berkata – “Demi Allah, saya ini orang yang lebih bertaqwa dari kamu tapi saya berpuasa dan saya berbuka, saya pun qiyyamullail, dan tidur, saya pun berkahwin. Barangsiapa berpaling daripada sunnahku, maka dia bukan daripadaku.”

Dia (sahabat) ingin beribadah – puasa, qiyyam, tak mahu kahwin untuk habiskan masa beribadah, tapi bila melakukan ibadah tidak sesuai dengan kehendak Yang Menciptakan ibadah, maka itu adalah melanggar kepada ibadah. Ibadah yang tidak mengikut syariat/sunnah Rasulullah akan menjadi maksiat. Nak beribadah hendaklah mengikut apa yang ditetapkan oleh Allah SWT dan Rasulullah .

Nanti akan disentuh kisah – sahabat yang berperang dan perlu berjauhan dengan keluarga untuk masa yang lama dan kerap, bertanya kepada Rasulullah sekiranya mereka boleh untuk mengkasi diri mereka agar tiada nafsu. Nabi melarang, kerana itu melanggar sunnatul fil insan untuk ada zuriat. Oleh sebab itu, Rasulullah melarang dan menyuruh manusia bernikah dan mempunyai zuriat. “Bernikahlah kamu dengan seorang perempuan yang ‘al-wadud’, yakni yang memberikan kasih-sayang dan melahirkan (subur). Sesungguhnya aku nanti akan membangga-bangakan dengan umatku yang ramai.” Oleh kerana pernikahan itu satu ikatan yang suci, maka Allah SWT meletakkan kriteria siapa yang boleh dinikahi dan tidak boleh dinikahi.

“Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, …”

Dalam hal ini Allah SWT menerangkan tentang orang yang diharamkan untuk dinikahi. Yang berhak mengharamkan sesuatu hanyalah satu – Allah SWT, dan juga Rasul-Nya kerana baginda takkan menghalalkan atau mengharamkan kecuali wahyu dari Allah SWT. Siapa yang tidak boleh dinikahi?
1.     Ibu-ibu kamu
2.     Anak-anak perempuan kamu
3.     Adik-beradik perempuan
4.     Adik-beradik perempuan ayah kamu (ibu saudara sebelah ayah)
5.     Adik-beradik perempuan ibu kamu (ibu saudara sebelah ibu)
6.     Anak perempuan adik-beradik kamu yang lelaki (anak saudara)
7.     Anak perempuan adik-beradik kamu yang perempuan (anak saudara)

Ini 7 golongan yang diharamkan dinikahi dari segi nasab. Dalam hadis Nabi melarang berkahwin dengan kaum kerabat yang dekat. Ulamak berbeza pendapat maksud ‘kerabat yang dekat’. Antaranya ialah sepupu dengan seseorang daripada 2 belah pihak, yakni sebelah ayah pun sepupu, sebelah ibu pun sepupu. Larangan Rasulullah tidak bermaksud haram, tetapi sebagai anjuran agar tidak dilakukan kerana boleh menyebabkan masalah dari segi kesihatan fizikal ataupun mental. Oleh itu, dalam pernikahan adalah lebih mencari orang yang lebih jauh. Kata Rasulullah , “Menikahlah dengan orang asing.” Yang bermaksud mencari pasangan orang yang tidak dekat ikatan kekeluargaannya (bukan saudara-mara).

Kalau ini 7 golongan perempuan yang tak boleh dinikahi, sebaliknya pun sama ada 7 pihak lelaki yang tak boleh dinikahi.

“… dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, …”
Seterusnya yang tak boleh dinikahi ialah dari segi susuan, iaitu:
1. Ibu susuan. Anak yang disusui akan menjadi anak susu kepada perempuan itu. Maka hubungan anak dengan perempuan itu ke sebelah atas atau ke bawah (dengan anak dan cucu-cicit ibu susu) atau ke tepi (yakni sebelah suami ibu susu) semuanya akan terkait menjadi mahram (haram dinikahi). Maksudnya – perempuan yang menyusukan menjadi ibu susu kepada bayi itu, suami perempuan itu menjadi ayah susu bayi itu, ibu kepada ibu yang menyusui menjadi nenek kepada bayi dan semua yang ke atas (tak boleh dinikahi), termasuk yang ke bawah juga, yakni anak-anak ibu susu. Anak-anak ibu susu, lelaki dan perempuan menjadi saudara susu. Kalau saudara susu ada anak, maka itu menjadi anak saudara susu.

Sepertimana 7 golongan dalam nasab haram dinikahi, 7 golongan yang sama dari sebab susuan juga haram dinikahi, iaitu:
1.     Ibu susu
2.     Anak-anak perempuan ibu susu
3.     Adik-beradik perempuan susu
4.     Adik-beradik perempuan ayah susu (ibu saudara susu)
5.     Adik-beradik perempuan ibu susu (ibu saudara susu)
6.     Anak perempuan adik-beradik lelaki susu (anak saudara susu)
7.     Anak perempuan adik-beradik perempuan susu (anak saudara susu)

Baginda Rasulullah bersabda, “Diharamkan dari segi susuan, semua yang diharamkan dari segi nasab.” Tapi jika bayi yang disusukan punya saudara nasab, maka saudara nasabnya tidak terlibat. Contoh: Zaid ada saudara susu bernama Zainab. Zaid ada saudara nasab bernama Ahmad. Zaid haram berkahwin dengan Zainab kerana mereka adik-beradik susu. Tetapi Ahmad berkahwin dengan Zainab tidak mengapa, kerana mereka tiada kaitan apa pun juga, walaupun Ahmad adik-beradik dengan Zaid.

Syarat menjadi anak susuan ialah:
Bayi yang disusukan berumur kurang 2 tahun.
Bayi menyusu sehingga 5 kali susuan (bukan 5 hisapan!) sehingga dia kenyang (dengan masa yang berbeza).

Perihal ibu susuan ini menjadi tradisi orang Arab dan mereka sangat menjaga hal ini agar tidak belaku pernikahan yang diharamkan. Oleh sebab itu, ibu susuan perlu memastikan (membuat rekod) sudah berapa kali seorang bayi disusukan agar jelas kedudukannya dan tidak timbul masalah di belakang hari.

Zaman kita mungkin tidak berapa relevan kerana sudah ada susu formula di jual di kedai. Tetapi masalahnya ialah kalau susu ibu ditinkan dan dijual. Siapa ibu susuannya nanti? Bukankah sekarang sudah ada usaha untuk mengtinkan susu ibu kerana khasiatnya dan ada ibu-ibu yang banyak susu.

“… dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya)…”
Golongan seterusnya yang diharamkan nikah ialah:
- Ibu mertua
- Anak perempuan yang kamu bela daripada isteri kamu dengan suaminya sebelum menikah dengan kamu (anak tiri). Nasabnya tetapi kepada ayahnya tetapi nafkahnya ialah tanggungjawab kamu (suami baru isteri).

Anak tiri perempuan haram dinikahi oleh lelaki yang sudah menikah ibu anak perempuan itu dengan syarat sudah bersama. Tapi bilamana belum bersama, yakni diceraikan sebelum bersama, maka dibolehkan untuk berkahwin dengan anak perempuan wanita yang diceraikan.

Sebaliknya jika sudah bernikah dengan anak perempuan, kemudian nak diceraikan untuk bernikah dengan ibunya, ini haram. Ini perbezaan menikah dengan ibu, lalu ingin menikah dengan anak perempuannya, maka diperbolehkan dengan syarat belum bersama ibunya, dan diceraikan ibunya. Tapi sebaliknya jika sudah menikah dengan anak perempuannya, tidak boleh lagi menikah dengan ibunya kerana ibu sudah menjadi ibu mertuanya sehingga hari kiamat. Yakni haram menikah dengan ibu mertua.

Ini bahagian daripada yang diharamkan. Kemudian,

“Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu (menantu)…”
Kenapa Allah terangkan sebegini? Dahulu, masyarakat Arab menganggap anak angkat macam anak kandung, sehingga yang terkait dengan anak angkat sama dengan anak kandung termasuk masalah nasab, warisan, dan menantu.

Salah satu ayat yang pernah turun kepada Rasulullah dan ayat itu ingin membatalkan hukum waris-mewarisi seseorang dengan anak angkatnya, atau hukum di dalam masalah mahram seseorang dengan menantu anak angkatnya, maka hukum itu dibatalkan dengan praktikal, yakni bukan dengan ayat saja, tapi bersama perbuatan Nabi .

Rasulullah pernah mempunyai anak angkat bernama Zaid bin Harithah. Ketika kecilnya, Zaid diculik lalu dijual sebagai hamba, dan dibeli oleh Hakim bin Hizam yang merupakan sepupu kepada Siti Khadijah. Hakim menyerahkan Zaid kepada Siti Khadijah, yang kemudian menyerahkannya kepada Rasulullah sebagai orang yang melayan kepada baginda. Ketika ibubapa Zaid tahu akan hal ini, maka mereka bertemu Rasulullah untuk meminta dipulangkan anaknya walau dengan berapa jumlah bayaran sekalipun. Maka, kata baginda Rasulullah kepada orang tua Zaid- “Kalau dia memilih untuk bersama kamu, maka ambillah dia tanpa apa-apa bayaran. Tapi kalau dia memilih kepada aku, maka aku akan membalas kepada dia dengan aku menjadi ayah kepada dia dan dia boleh menerima warisan daripada aku.” Oleh kerana telah lama bersama Rasulullah , Zaid memilih untuk kekal bersama Rasulullah . Rasulullah membalas ehsan pilihan Zaid yang lebih mendahulukan baginda, maka Nabi mengatakan Zaid bin Muhammad, yakni bernasabkan kepada baginda Rasulullah . Kejadian ini berlaku sebelum turunnya ayat mengharamkan perbuatan itu, dan Zaid pun dipanggil Zaid bin Muhammad.

Setelah keadaan mulai reda, Allah SWT menurunkan ayat yang menggugurkan perbuatan menasabkan anak angkat kepada orang tua angkatnya. Dan ini adalah melibatkan masalah kehormatan (nasab), wali, warisan dan macam-macam yang terkait. Oleh itu, masalah ini adalah serius dan tiada istilah main-main – tidak boleh kata susah sebab tidak tahu bapa anak angkat yang sebenar etc. Kita mesti menghormati perintah Allah SWT dan tidak main-main dengan ayat Allah SWT.

Ayat ini diturunkan bukan untuk dipermainkan tapi untuk ditaati. Awalnya Allah SWT membiarkan masyarakat Arab memanggil Zaid bin Muhammad, dan Allah mempunyai hikmah mengapa dibenarkan dahulu dan kemudian dilarang Allah SWT. Hikmah yang amat jelas melarang membinkan kepada bapa angkat ini dilakukan kepada orang yang amat disanjung, dimuliakan Allah SWT dan insan terbaik di atas muka bumi ini. Ertinya – kalau Rasulullah yang berhadapan dengan masalah ini datang larangan ini, apatah lagi kepada yang bukan Rasulullah . Selain Rasulullah tidak lebih mulia daripada Rasulullah . Kalau akan ada pengecualian, yang akan diberikan keistimewaan ialah Rasulullah . Justeru yang dilarang Allah Ta'ala ialah Rasulullah .

Firman Allah, “Panggillah mereka itu sesuai dengan nama ayahnya yang sebenar.” Maka berubah orang-orang itu memanggil Zaid ibnu Harithah. Siapakah yang dilarang dalam hal ini? Rasulullah . Supaya apa? Supaya budaya yang mengakar dalam masyarakat Arab dulu untuk membinkan anak angkat kepada bapa angkat, terbatal serta-merta dengan dibatalkan ke atas Rasulullah . Ini hikmah yang pertama. Perkara yang kedua: Zaid ketika dididik Rasulullah sudah berusia dewasa. Bapa saudara Rasulullah bernama Umaimah binti Abdul Mutalib, punya anak, namanya Barrah (perempuan). Diubah namanya oleh Rasulullah menjadi Zainab. Maka, Rasulullah dengan Zainab merupakan sepupu. Zainab merupakan orang Quraisy, manakala Zaid dikategorikan sebagai bekas hamba sahaya. Orang-orang dahulu amat bangga dengan tahap bangsawan mereka dan itu juga budaya di zaman Jahiliyyah. Maka untuk membatalkan tradisi itu secara praktikal, Rasulullah menikahkan Zaid dengan Zainab binti Jahash. Namun, mereka berkahwin tak lama, dan bercerai. Zaid datang kepada Rasulullah dan mengatakan, “Ya Rasulullah , saya sudah tidak kuat dengan Zainab ini, saya ingin ceraikan dia.” Kata Rasulullah , “Jangan, kamu kena takut dengan Allah dengan perbuatan kamu.”
Sementara (Sebenarnya Rasulullah sudah dapat tahu daripada Allah SWT kalau baginda akan bernikah dengan Zainab, sementara ketika itu, Zainab masih isteri kepada Zaid. Allah SWT berfirman dalam Al-Quran ,”Ketika kamu wahai Rasulullah berkata kepada orang yang diberi nikmat (iaitu Zaid) Islam oleh Allah dan kamu pun memberikan nikmat kepada dengan menjadikan dia anak angkat kepada kamu, kamu katakan kepada dia – ‘Cegahlah kamu daripada menceraikan isteri kamu. Kamu hendaklah bertaqwa kepada Allah’,tapi kamu menyembunyikan dalam hati kamu wahai Rasulullah , yang nanti suatu hari Allah akan dedahkan apa yang kamu simpan dalam perasaan kamu itu. Kamu khuatir kepada orang untuk mendedahkan apa yang kamu simpan, yang sepatutnya Allah lebih patut untuk engkau takut kepada-Nya.”

Apakah nikmat yang diberi kepada Zaid? Diambil menjadi anak angkat kepada Rasulullah
Dan dinikahkan oelh Rasulullah dengan Siti Zainab.

Apa maknanya? Nabi mendapat maklumat kalau Nabi akan berkahwin dengan Zainab. Info ini dari Allah SWT, dan info ini kalau datang dari Allah SWT, pernikahan yang dilangsungkan oleh Rasulullah bukan pernikahan dari kehendak nafsu Rasulullah . Nabi ketika menikah kepada Siti Aisyah – itupun wahyu dari Allah SWT. Akan tetapi ketika itu Zainab berstatus isteri kepada Rasulullah , dan Zaid pula mengadu untuk menceraikan Zainab kepada Rasulullah . Kalau Nabi kata “Ceraikan” dan kemudian Nabi pula menikah dengan Zainab, apa kata orang? Orang akan kata disuruh cerai untuk menikah dengan Rasulullah . Itu yang dirisaukan oleh Rasulullah . Apa orang akan tuduh pada Rasulullah yang mengiyakan Zaid yang ingin menceraikan Zainab dan kemudian baginda menikahinya. Allah SWT mempunyai hikmah yang besar kenapa Allah Ta'ala menyuruh Rasulullah menikah dengan Zainab.

Pada akhirnya berlaku perceraian antara Zaid dan Zainab. Yang menikahkan Zaid dan Zainab ialah Rasulullah . Apakah penghujung daripada pernikahan itu? Perceraian. Adakah dalam hal ini Rasulullah menikahkan mereka untuk diceraikan? TIDAK. Ini untuk menunjukkan permulaan yang baik, walaupun perghujungnya tidak baik bukan bererti perkara itu tidak baik, tetapi hikmah yang tersimpan di dalamnya lebih baik daripada berkekalannya hubungan itu.

Apakah manfaat yang diperolehi daripada perceraian Zaid dan Zainab yang menjadi sumber hukum yang sehingga hari ini? Nabi yang menyembunyikan dalam hatinya kalau baginda akan menikah dengan Zainab, yang Nabi khuatir tohmahan orang terhadapnya, maka Nabi mengatakan, “Jangan ceraikan, hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dengan perbuatan kamu.” Maka Allah SWT berfirman yang Allah akan zahirkan info yang Rasulullah akan bernikah dengan Zainab dan mmg ditunjukkan oleh Allah Ta'ala pada akhirnya dengan firman-Nya, “Kami Allah, yang kahwinkan engkau wahai Rasulullah dengan pasanganmu (yakni Zainab). Kalau begitu tiada langsung unsur secara langsung dari Rasulullah - meminang, meminta daripada Zaid untuk diceraikan. Tidak. Allah Ta'ala yang secara langsung kahwinan Rasulullah dengan Zainab. Kata Zainab, “Tiada daripada isteri-isteri Rasulullah yang dinikahkan oleh Allah secara langsung kecuali aku.” Walinya ialah Allah. Itu adalah yang dibanggakan oleh Zainab. Kenapa Allah Ta'ala berfirman sedemikian? Untuk menunjukkan pernikahan Rasulullah dengan Zainab yang terkait dengan Zaid, anak angkat Rasulullah adalah bukan kehendak Nabi , tetapi Allah Ta'ala berkehendak, dan untuk membatalkan hukum tradisi iaitu menantu perempuan anak angkat tidak sama dengan menantu perempuan anak kandung. Itu sebab Allah tunjukkan hukum itu dan Nabi menikah dengan bekas isteri anak angkatnya (bekas menantu daripada anak angkatnya).

Jadi, daripada kisah Rasulullah tadi, berapa banyak hukum yang telah dibatalkan:
-        menasabkan anak angkat dengan ayah angkat
-        menantu anak angkat bukan mahram kepada ayah angkat (tidak sama seperti menantu anak kandung)

Hukum-hukum ini dibatalkan dan dimulai sendiri oleh Rasulullah untuk menjadi contoh kepada masyarakat Arab ketika itu. Pada akhirnya Nabi dikahwinkan dengan Zainab, dan mereka ialah sepupu, dan ini tidak termasuk daripada keluarga yang terlalu rapat seperti yang disebutkan sebelum ini.

“Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Jika sudah mengahwini seorang perempuan, maka tidak boleh lagi mengahwini adik-beradiknya yang kandung atau adik-beradik seibu atau adik-beradik seayah, atau mak sedara daripada sebelah mak atau ayah. Perkahwinan kedua itu yang diharamkan.

*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallu'alam. 

**: mungkin salah ejaan


Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab