Didik lelaki dan perempuan akan terjaga - MTDM 16.01.2015 (Bhgn 1)

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Bahagian 1 – Tafsir Quran Surah An-Nisa ayat 24
Majlis Ta’lim Darul Murtadza 16.01.2015
Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid*


Para ulama, para du’a menyampaikan ilmu demi supaya ajaran baginda Rasulullah tersebar mengikut lautan yang terbentang luas daripada ilmunya Nabi Muhammad
Tiada orang yang berilmu kecuali itu adalah percikan daripada ilmu yang luas daripada Nabi Muhammad .

Alhamdulillah Majlis Ta’lim mengalu-alukan kedatangan  tetamu Al Habib Ali Zaenal Abidin Al Kaff dari Indonesia dan Habib Hussain Al-Haddar dari kota Madinah, kota ilmu Nabi Muhammad .

Bahagian 1: Tafsir Quran Surah An-Nisa ayat 24:


Dalam ayat ke-24, Allah SWT menyebutkan kategori keempat wanita yang tak boleh dinikahi setelah disebutkan 3 kategori daripada ayat sebelumnya, seperti yang telah diterangkan pada kelas yang lalu iaitu:

Tiga kategori wanita yang tak boleh dinikahi:
1. Nasab. Ada 7 golongan iaitu:
1.     Ibu-ibu kamu
2.     Anak-anak perempuan kamu
3.     Adik-beradik perempuan
4.     Adik-beradik perempuan ayah kamu (ibu saudara sebelah ayah)
5.     Adik-beradik perempuan ibu kamu (ibu saudara sebelah ibu)
6.     Anak perempuan adik-beradik kamu yang lelaki (anak saudara)
7.     Anak perempuan adik-beradik kamu yang perempuan (anak saudara)

2. Susuan. Ada 7 golongan juga iaitu:
1.     Ibu susu
2.     Anak-anak perempuan ibu susu
3.     Adik-beradik perempuan susu
4.     Adik-beradik perempuan ayah susu (ibu saudara susu)
5.     Adik-beradik perempuan ibu susu (ibu saudara susu)
6.     Anak perempuan adik-beradik lelaki susu (anak saudara susu)
7.     Anak perempuan adik-beradik perempuan susu (anak saudara susu)

3. Kerana pernikahan, dan terbahagi kepada haram kekal dan haram sementara dengan fokus kepada yang haram kekal. Haram kekal terdiri daripada isteri ayah selain emak, emak mertua, anak tiri perempuan (berkahwin dengan perempuan yang sudah ada anak perempuan), menantu perempuan.

4. ‘Al-ihsan’ iaitu perempuan yang masih berkahwin dengan orang lain
Zaman sekarang ramai orang nakal dan banyak berlaku kes orang mencari yang haram sedangkan ada yang halal. Banyak berlaku kes perselingkuhan kerana tiada sifat qanaah dan tidak merasa cukup dengan apa yang diberikan Allah SWT, dan mereka menjadi hamba kepada hawa nafsu. Perkara ini sebelum bercanggah dengan agama, sudah bercanggah dengan fitrah manusia, dan akal fikiran yang waras.  Kecuali kalau dia tak punya akal dan fikiran yang waras, yang berbuat apa saja, akan lebih hina daripada binatang. Binatang tiada ‘rule’ kerana Allah SWT tak beri akal kepada mereka. Tetapi manusia diberikan alat untuk membezakan yang baik dan yang buruk, tetapi bilamana masih tidak dapat membezakan, maka adalah lebih teruk dari haiwan yang memang tidak berakal. Mereka itu macam bintang ternak, bahkan lebih hina.

“Dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan isteri orang (al-muhsinin),…”
Perempuan yang diharamkan ialah “Al-Muhsonaat”
Al-Muhsonaat -> nisbah pada Lelaki
Al-Muhsinin -> nisbah pada perempuan

Apa ertinya? Nanti akan dijelaskan satu-satu. Al-Muhsonaat atau Al-Ihsaan atau Al-Hisin -> benteng yang digunakan oleh orang dahulu untuk mengelak perkara bahaya daripada menceroboh kawasan. Maka, ertinya dari segi bahasa ialah pencegahan atau penjagaan dari perkara buruk.

Dalam Al-Quran, Allah SWT  menisbahkan ‘Al-Ihsaan (Al-Hisin)’  ini juga kepada seorang perempuan iaitu Siti Mariam a.s, di mana Allah SWT berfirman, – dalam Al-Quran disebut kepada Siti Mariam:


Perempuan yang menjaga kehormatannya ertinya tidak mendekati atau melakukan perbuatan yang menodai kehormatannya. Ini yang dikatakan perempuan al-muhsonat. Ini perempuan yang tidak mudah didekati, yang afifat, yang terjaga kehormatannya daripada terdedah kepada yang bukan mahram. Perempuan ini terpuji di sisi Allah SWT. Contohnya, dalam kes Mariam, kenapa Allah SWT memanggilnya perempuan yang menjaga kehormatan dan kesuciannya? Oleh kerana Yahudi mentohmah Siti mariam berzina, kerana datang dengan membawa anak sementara Siti Mariam tidak berkahwin. Sifat semulajadi manusia yang suka tergesa-gesa dan tidak memeriksa terlebih dahulu bagaimana boleh dapat anak atau bagaimana perkara ini boleh berlaku. Sehingga hari ini, jika mereka beriman kepada Mariam, mereka akan beriman kepada Isa bin Mariam, tapi mereka tak beriman kepada Nabi Isa, kita beriman kepada Isa anak Mariam. Yahudi tidak beriman kepada Nabi Isa, bahkan mentohmah kepada Siti Mariam sebagai orang yang berzina.

Al-Quran melindungi kepada Siti Mariam, dan tidak dinamakan satu surah kepada isteri Rasulullah Khadijah, atau A’isyah atau Fatimah, puteri Rasulullah . Tetapi Al-Quran menamakan satu surah dengan Mariam, perempuan yang hidup sebelum zaman Rasulullah . Ajaran Nabi Isa itu dihapus dengan Rasulullah tetapi ada satu surah dalam Al-Quran yang dinamakan dengan wanita sebelum zaman Rasulullah yang terkait dengan agama sebelum Rasulullah . Bukankah  agama ini adil – menempatkan sesuatu tepat pada tempatnya. Memang terdapat beberapa perkara yang ‘fatal’ dalam agama Kristian, tetapi perkara yang benar, dibenarkan apa yang benar supaya orang bersikap insaf, tidak menyalahkan orang lebih dari jenayahnya. Jangan bakar kelambu kerana nyamuk. Manusia suka kerana kesalahan orang yang kecil, semua kebaikannya habis. Tapi kalau dia buat baik sikit, salahnya dilupakan. Perangai manusia – suka hukum orang lebih dari jenayahnya.  Allah SWT dimaksiatkan oleh manusia, tapi Allah SWT tidak pernah menghukum manusia lebih daripada kesalahan yang dilakukannya.

Jibril datang kepada Mariam dengan menyerupai bentuk seorang lelaki yang sempurna, yakni tidak buruk, kotor. Ketika berhadapan dengan Jibril sebegitu, dalam keadaan dia tidak tahu itu Jibril, berkata: “Aku berlindung dengan Yang Maha Pengasih, untuk memenuhi apa yang kamu inginkan.”

Ini kerana perkara yang berlaku – berkhalwah dengan lelaku bukan mahram adalah bercanggah dengan nilai-nilai syarak – "Tidak berduaan lelaki dan perempuan, kecuali yang ketiga ialah syaitan.” Tapi zaman sekarang, mak bapa pula yang percaya –“Tak apa, anak aku tak mungkin buat yang tak elok.” Ya Salam.. Mak bapa boleh percaya pada anak sedangkan Rasulullah sendiri tidak percaya dan memberitahu - "Tidak berduaan lelaki dan perempuan, kecuali yang ketiga ialah syaitan.” Rasulullah tak tahukah? Jangan berdolah-dalih dalam masalah syarak!  Syarak diturunkan untuk kita mematuhi, kalau syarak ini dipermainkan, buat apa Nabi susah-susah sampaikan syariat ini? Maka, ketika Mariam melihat Jibril dalam keadaan cuma berduaan dengannya, menyebabkan dia berdoa kepada Allah - “Aku berlindung dengan Yang Maha Pengasih”
Kenapa berlindung kepada  Yang Maha Pengasih, bukan Yang Maha Pengampun? Supaya menyayangi dirinya, dan kalau disayangi mesti diselamatkan.

“..Kalau kamu (wahai lelaki yang berhadapan aku ini) takut kepada Allah, maka janganlah melakukan perkara ini (yakni khalwat dan yang ‘selepas’ itu).”
Apa agaknya kalau ada lelaki ‘handsome’, kemudian segala aspeknya lengkap: ekonomi bagus yang zaman kita sekarang, orang berpenampilan untuk menarik perhatian perempuan. Memamg ramai orang terpikat pada perkara yang indah, tetapi bagi orang yang menjaga maruahnya, dia tidak mudah terpikat kepada sesiapapun, dari mana pun juga. Siti Mariam tidak terpikat kepada Jibril walaupun dia muncul sebagai lelaki yang sempurna. Rasa takut kepada Allah dan rasa ingin menjaga kehormatannya membuatkan Siti Mariam memohon perlindungan daripada Allah SWT. Di sini Allah memuji keadaan Siti Mariam yang tidak mengambil peluang dalam keadaan bersendirian, berhadapan dengan lelaki yang sempurna, yang mungkin kalau orang lain entah apa jadi!

Kemudian, barulah Jibril memberitahu tujuan kedatangannya untuk menganugerahkan cahaya mata Isa ibnu Mariam. Ayat itu diturunkan untuk memuji kepada perbuatan Mariam yang menjaga kesuciannya dan kedua: untuk menjawab tohmahan Yahudi yang menuduhnya berzina. Kehormatannya dijaga oleh dirinya sendiri.

Perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya akan dijaga Allah SWT tapi kena mula dengan diri sendiri. Fahimtum? Ini erti Al-Ihsaan atau Al-‘Iffah: orang yang menjaga maruah, air mukanya, dalam ayat ini khusus kepada perempuan dan secara amnya masing-masing. Jadi, makna Al-Muhsonat atau Al-‘Afifat yang pertama ialah perempuan yang menjaga kehormatannya.

Erti yang kedua ialah perempuan yang sudah berkahwin dengan lelaki lain. Maka, dia haram menikah dengan lelaki lain. Ketiga: Al-Harair ertinya orang yang merdeka.

“Dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan isteri orang, kecuali hamba sahaya yang kamu miliki…”
Apa maknanya? Pada zaman dahulu, hamba sahaya merupakan satu keperluan masyarakat untuk membantu urusan rumah tangga.

Orang merdeka boleh berkahwin dengan wanita hamba sahaya dengan beberapa syarat:
1. muslimat
2. tiada wanita merdeka untuk dinikahi
3. lelaki tidak mampu mengahwini wanita merdeka
Panjang lebar perbahasan dalam bab feqah berkaitan syarat-syarat ini.

“… (Haramnya segala yang tersebut itu) ialah suatu ketetapan hukum Allah (yang diwajibkan) atas kamu. Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu...”
Semuanya ada 19 golongan yang diharamkan berkahwin dengannya, selain daripada itu halal berkahwin dengannya. Selain daripada 19 ini ada sangat banyak pilihan lagi perempuan. Ertinya jumlah yang dihalalkan jauh lebih banyak daripada jumlah yang diharamkan. Dan hampir rata-rata jumlah yang diharamkan Allah SWT sikit berbanding dengan jumlah yang dihalalkan. Peliknya manusia mencari yang haram! Sudahlah janggal, ganjil (sedikit) – Allah SWT haramkan khamar (arak), tapi halalkan jus mangga, epal, anggur, tembikai, durian.. berapa banyak jus yang dihalalkan oleh Allah SWT? Mengapa manusia masih mencari arak? Sedikit tapi itu yang masih dicari. Yang diharamkan daripada makanan juga terhad – khinzir, anjing bagi mazhab Syafie, bangkai, haiwan bertaring dll, tetapi  berapa banyak makanan yang dihalalkan? Setiap yang ditentukan dalam syarak – yang haram sedikit, yang halal banyak. Bukankan ini satu kemudahan yang Allah berikan kepada manusia? Na’am (ya), tapi manusia suka melawan kepada Allah SWT.

“… untuk kamu mencari (isteri) dengan harta kamu secara bernikah, bukan secara berzina..”
Tuntutan berkahwin itu antaranya mesti ada harta, tapi tak semestinya banyak pun, tapi mesti ada, jangan datang dengan tangan kosong.

Pada zaman Rasulullah ﷺ, baginda pernah bersabda, “Pernikahan yang barakah ialah pernikahan yang mudah dan sederhana maskahwinnya.”

Ringkasan - Kisah seorang sahabat yang ingin dikahwinkan Rasulullah ﷺ. Sahabat disuruh Rasulullah ﷺ untuk balik mencari cincin, biarpun dari besi, sebagai mas kahwin, tetapi sahabat itu terlalu miskin dan cuma ada pakaian di badannya. Lalu, akhirnya, Rasulullah ﷺ menyuruh dia mengajar isterinya hafazan Al-Qurannya  sebagai mas kahwinnya. Perbahasan ulama tentang maskahwin bentuk ini panjang lebar dan tidak akan dibahaskan di sini.

Berbeza orang yang memudahkan kerana tidak mampu dengan orang yang beri sedikit (kerana kedekut) sedangkan dia berharta. Walaupun dari segi hukum sah, tapi sifat kedekut itu bukanlah sifat yang baik. Sepatutnya sesuaikanlah mengikut keadaan  dan permudahkan jangan disusahkan.

Tujuan berkahwin adalah agar kamu menjaga diri dan dijaga. Dalam Al-Quran disebut perempuan sebagai dijaga (muhsonat), dan lelaki menjaga (muhsinin). Perhubungan antara lelaki dan perempuan in, kebiasaannya perempuan yang dikejar. Bila lelaki menjaga diri untuk tidak mengejar perempuan, maka perempuan akan terjaga dan tiada lelaki yang mempermainkan. Jadi, bila lelaki menjaga diri, akan terjaga perempuan. Tapi bilamana lelaki tak menjaga diri, perempuan juga takkan terjaga. Sebab itu dalam hadis Nabi ﷺ bersabda, “Berbaktilah kamu kepada ibu bapa kamu, akan berbakti kepada kamu anak-anak kamu. Jaga diri kamu (wahai lelaki), perempuan-perempuan akan terjaga.

Lelaki mesti menyokong untuk perempuan menjaga diri mereka dengan tidak mengejar, mengorat kepada mereka. Masyarakat ini kalau dibentuk agar punya sifat seperti menjaga pandangan, menghormati perempuan lain, maka perempuan pun tak perlu memakai pakaian tidak mematuhi syariat untuk menjadi selera kepada lelaki. Kalau lelaki menjaga diri mereka, maka perempuan pun akan menjaga diri mereka. Tidak dinafikan ada pengecualian contohnya ada juga perempuan yang memang suka untuk berpenampilan begitu, tetapi tidak dinafikan ramai yang berhias kerana ikut arus yakni kerana masyarakat suka melihatnya. Maka, kalau masyarakat khususnya lelaki dididik, yang lain juga akan terdidik. ‘Society’ (Masyarakat) mesti dididik bermula daripada lelaki. “Tidak ditinggalkan setelah aku fitnah yang lebih berbahaya untuk lelaki melebih fitnah perempuan”, sabda Rasulullah ﷺ.

“”.. bukan secara berzina.”
Yakni, lelaki yang ada duit tidak boleh mempermainkan wanita dengan kahwin sekejap saja kemudian tinggal. Kamu kena jaga kehormatan kamu, dan dengan itu akan terjaga perempuan. Perintah Allah SWT – duit bukan boleh diguna untuk apa saja tetapi dipantau, dibimbing oleh Allah SWT agar menggunakan untuk berkahwin dan menjaga kehormatan diri.

“Kemudian mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya (setelah ia menjadi isteri kamu), maka berikanlah kepada mereka maskahwinnya (dengan sempurna), sebagai suatu ketetapan (yang diwajibkan oleh Allah)…”
Di sini menjadi perbezaan pendapat ulama dalam ayat ini khususnya tentang  perkahwinan mut’ah iaitu pernikahan antara lelaki dan perempuan, dengan ada bayaran, untuk satu tempoh yang bila tiba tempoh itu, akad akan terputus serta-merta walaupun tanpa lafaz cerai. Pernikahan ini dipegang tentang golongan syiah.

Ayat ini bukan menceritakan tentang pernikahan mut’ah, tetapi bercerita tentang nikah. Ada beza antara mut’ah dan nikah, walaupun ada kemiripan antara keduanya. Perbezaan yang ketara ialah nikah tiada ketetapan waktu kerana maksud daripada pernikahan itu ialah ad-daimah, yakni kekal. Kekal bukan maksudnya tidak boleh cerai, tetapi tidak menyimpan hasrat dari awal menikah untuk diceraikan pada masa tertentu.
Mut’ah pula ada waktu yang telah disepakati bersama untuk bercerai.

Perbezaan kedua ialah mut’ah muncul dalam keadaan kecemasan, terdesak, ekslusif tetapi pernikahan adalah sesuatu yang menjadi dasar, bukan mengikut keadaan. Dahulu kamu muslimin menghabiskan masa yang lama berperang sementara berada jauh dengan keluarga mereka dan mereka dihadapkan dengan keadaan yang menuntut kepada hawa nafsu. Hawa nafsu bilaman bermain dalam hati dan perasaan, maka manusia akan dihadapkan dengan 2 perkara:
1. Mengawalnya, tetapi tak semua orang mampu, dan
2. melampiaskannya.

Hawa nafsu boleh mengganggu seseorang dan mungkin menyebabkan dia sakit, tapi kalau dibiarkan tak terkawal, akan berlaku sesuatu yang merosakkan ‘society’ seperti rogol atau liwat, jadi ianya perlu dikawal. Tuntutan hawa nafsu adalah fitrah. Jadi, sahabat yang tertuntut oleh hawa nafsu ini pun datang berjumpa Rasulullah ﷺ dan berkata,  “Ya Rasulullah ﷺ, bolehkan kami mengkasi diri kami?” Yakni, mereka tak mahu terlibat dengan perzinaan atau liwat sedangkan mereka ada hawa nafsu untuk dipenuhi, tetapi tiada yang halal. Nabi ﷺ melarang kerana perbuatan itu boleh menyebabkan terputusnya zuriat. Maqasid syariat Islam adalah melindungi kepada 5 perkara iaitu kehormatan agama, akal, harta, nyawa dan maruah (keturunan).

Nabi ﷺ bersabda, “Bernikahlah kamu dengan seorang perempuan yang ‘al-wadud’ dan ‘al-walud’, yakni perempuan yang elok dan melahirkan banyak melahirkan (subur). Sesungguhnya aku nanti akan membangga-bangakan dengan umatku yang ramai.” Al-Walud ertinya ibu yang banyak melahirkan (subur). Lalu macam mana sedangkan tuntutan hawa nafsu ada? Maka, ketika itu Rasulullah ﷺ menghalalkan al-mut’ah. Saat darurat ketika itu ada tawanan perang wanita – ada yang kehilangan suami kerana sudah meninggal/terbunuh dan mereka menjadi hamba sahaya, tetapi tidak dibenarkan bersama begitu saja, tetapi dilakukan akad, kemudian ada bayaran dan menjaga nafkah wanita yang sebelum ini pun terbiar. Jadi, saay katakan mut’ah pernah dihalalkan oleh Rasulullah ﷺ tetapi itu perkara yang muncul ketika darurat masa itu.

Kata Imam Syafie, “Saya tidak melihat dalam agama Islam ini hukum yang berubah-ubah (mula diharamkan, kemudian dihalalkan, kemudian diharamkan, kemudian dihalalkan semula, kemudian diharamkan..) kecuali al-mut’ah.”

Rasulullah ﷺ pernah mengharamkan ziarah kubur, tapi dihalalkan kembali, dan ini berlaku cuma sekali. Saidina Abu Bakar pernah berkata, “Aku akan rejam orang yang melakukan mut’ah. Tiada sahabat yang membantah menunjukkan dan sahabat ijmak setuju hukum terakhir mut’ah ialah haram. Jika  ada bantahan, pasti sahabat, terutamanya yang dijamin syurga, akan menentang ketika itu juga. Dan tidak boleh dikatakan jika keadaan perang, mut’ah akan dihalalkan semula kerana apa yang terakhir ditetapkan oleh Rasulullah ﷺ, maka ianya kekal sehingga kiamat.

Mereka yang mengatakan mut’ah halal berdalilkan kepada Sayyidina Abdullah bin Abbas dan memang ada satu pandangan yang dinisbajkan Sayyidina Abdullah bin Abbas, tapi pada penghujung umurnya dia menarik balik fatwanya kerana berita yang mengatakan Rasulullah mengharamkan mut’ah tidak sampai kepadanya. Sahabat, tingkat ilmu berbeza-beza, memang tidak dinafikan Abdullah bin Abbas terkemuka dalam perkara-perkara keilmuan, tetapi dalam beberapa hal, dia berbeza pendapat dengan sahabat lain.

Dalam hal azab kubur, kata Abdullah bin Abbas, mayat akan terseksa dengan tangisan orang yang hidup, sedangkan Sayyidah Aisyah berkata tidak, kerana Allah takkan menghukum seseorang atas dosa yang dilakukan oleh orang lain. Abdullah bin Abbas berdalilkan hadis, manakala Aisyah pula berdalilkan Al-Quran. Hal ini menunjukkan keluasan ilmu para sahabat dan kefahaman masing-masing terhadap ayat Quran atau hadis Rasulullah ﷺ. Jadi, pada akhirnya Abdullah bin Abbas menarik balik fatwanya dan turut setuju dengan pengharaman mut’ah, dan inilah pegangan ASWJ dan keempat-empat mazhab tanpa berkecuali.

“Kemudian mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya (setelah ia menjadi isteri kamu), maka berikanlah kepada mereka maskahwinnya (dengan sempurna), sebagai suatu ketetapan (yang diwajibkan oleh Allah).
‘Kenikmatan’ bukan hanya dalam masalah seksual saja, tapi ‘khitbah’, orang masuk meminang, berkahwin tapi belum bersama - itu semua juga sebahagian daripada kenikmatan kerana Allah SWT menyuruh dibayar separuh maskahwin kepada orang yang bernikah dan bercerai sebelum bersama. Jadi, ‘bersama’ bukanlah syarat untuk mendapat bahagian maskahwin.

“Dan tiadalah kamu berdosa mengenai sesuatu persetujuan yang telah dicapai bersama oleh kamu (suami isteri), sesudah ditetapkan maskahwin itu (tentang cara dan kadar pembayarannya).”
Kalau lelaki redha memberi 1000, 10, 000 sebagai maskahwin tapi Perempuan redha untuk beri diskaun, maka terpulang kepada yang punya hak. Begitu juga jika lelaki ingin beri lebih daripada yang dipersetujui, juga diperbolehkan.

“Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
Dalam hukum-hakam Allah SWT terkandung hikmah - keputusan Allah tentang hukum-hakam al-muhorramat, berkenaan berkahwin dengan hamba sahaya, menggunakan harta untuk berkahwin dengan cara yang benar dan tidak mempermainkan perempuan, memberikan maskahwin atau mut’ah yang telah ditetapkan dan lebih kurangnya terpulang pada masing-masing empunya hak. Allahu Ta’ala ‘alam bissowab.


*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallu'alam. 

**: mungkin salah ejaan



Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab