"Doktor Hati" - Maulid MTDM Februari 2015 (06.02.2015)

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid*

Sumber: FB Majlis Ta'lim Darul Murtadza


Kita bersyukur berada dalam majlis untuk membersihkan hati kita, mengubati luka dalam hati, mendengar tentang agama kita, membersihkan noda dalam hati supaya agar Allah tidak nampak kekurangan dalam hati. Allah SWT berfirman, Sesungguhnya Allah tidak tengok rupa paras tubuh badan kamu, tetapi yang dipandang Allah SWT ialah hati kamu.

Bagaimana keadaan hati kita yang menjadi wadah tempat Allah pandang adakah dalam hati kita ada perkara yang disukai atau dimurkai oleh Allah SWT? Kita ingin merayu kepada Allah Ta'ala agar dengan zikir dalam majlis sebegini dapat melembutkan hati yang keras, menghidupkan hati yang mati, menyedarkan hati yang lalai, kerana zikir dapat mengingatkan kita kepada Allah SWT.

Hari ini kita juga merayu kepada Allah SWT bahawa hati ini selalu tertumpu kepada perkara-perkara yang memutuskan hati ini dengan Allah SWT melalui pandangan kepada perkara yang tak disukai Allah SWT, melalui mata yang masuk ke dalam hati daripada perkara-perkara batil yang didengar telinga yang masuk ke dalam hati daripada perkara buruk yang terkeluar di lisan yang juga merupakan cerminan kepada apa yang ada di hati, daripada tindakan tangan dan anggota tubuh kepada perkara yang tidak diredhai Allah SWT yang itu merupakan suruhan daripada hati.

Kita merayu kepada Allah Ta'ala agar hati ini diputuskan daripada perkara yang memutuskan kami dengan Allah SWT, daripada hasad dengki, daripada sifat sombong, takabbur, riak yang ada di dalam hati, daripada kecintaan dunia yang bersemadi di dalam hati. Adakah bilamana semua ini ada di dalam hati, Allah akan suka atau sebaliknya Allah tak akan tengok hati yang di dalamnya ada terlalu banyak sampah dan kotoran daripada dengki, hasad kepada orang lain, benci, buruk sangka kepada orang lain, perkara-perkara yang tak diredhai Allah SWT di dalamnya. Oleh sebab itu, dalam majlis berselawat kepada Rasulullah ﷺ yang beliau merupakan doktor kepada hati. Bilamana doktor yang ada sekarang mengubat orang dengan ubat dan ramuannya, Rasulullah ﷺ ialah doktor kepada umat Islam dengan doanya, ajarannya dan kedudukannya di sisi Allah SWT.

Bagaimana beliau tidak dinamakan pengubat hati sedangkan orang yang hidup bersama Rasulullah ﷺ yang punya penyakit hati, yang itu jauh lebih berbahaya daripada penyakit fizikal, terubati dengan doa Nabi Muhammad ﷺ. Salah seroang bernama Fudholah yang asalnya ingin bunuh Rasulullah ﷺ kerana kebencian kepada baginda yang ada di dalam hatinya. Dia menghampiri untuk membunuh Rasulullah ﷺ tetapi Rasulullah ﷺ meletakkan tangan baginda yang mulia di dadanya dan mendoakannya. Kata Fudholah, Tidak diangkat tangan Rasulullah ﷺ melainkan setelah itu  tiada orang yang aku cintai melainkan Rasulullah ﷺ, yang sebelum itu tiada orang yang lebih aku benci melainkan beliau. Dengan tangan Rasulullah ﷺ yang menyentuh dada Fudholah, perasaan benci berubah menjadi kasih, maka baginda merupakan doktor kepada hati. 

Seseorang yang berniat untuk berzina datang meminta izin kepada Rasulullah ﷺ. Setelah diingatkan dan dipegang dadanya dan didoakan, tidak diangkat tangan Rasulullah ﷺ melainkan zina menjadi perbuatan yang sangat dibencinya. Baginda Rasulullah ﷺ merupakan doktor hati dengan doanya, dengan ajarannya dan kerana kasih kita kepada Nabi Muhammad ﷺ, majlis ini diadakan dengan kita berselawat untuk menjadi penawar kepada hati kita yang dipenuhi perkara-perkara yang tidak baik dan sungguh apa yang istimewa di sisi Allah SWT bukanlah kedudukannya, latar-belakang, jawatannya tetapi hatinya.

Nabi Musa a.s. berdoa agar dibersihkan dan dilapangkan hatinya sebagaimana yang direkodkan dalam Al-Quran (Surah Taha, ayat 25-28):



Bukankah kita hari ini ramai yang tubuh badannya sihat tapi hatinya sakit? Pandangan matanya sihat tapi menjadi pintu kepada virus yang masuk kepada hati daripada memandang perkara-perkara yang mungkar. Telinganya sihat tetapi menjadi laluan untuk masuk perkara-perkara yang mungkar. Ini semua masuk ke mana kalau bukan ke hati kita? Kata Rasulullah ﷺ, Sesungguhnya seorang hamba itu kalau melakukan satu dosa, akan diberikan titik berwarna hitam dalam hatinya. Bilamana lebih daripada satu dosa, maka titik hitam itu bertambah sehingga hati itu gelap, menjadi hitam, menjadi keras sehingga susah mendengar nasihat orang lain, sehingga susah menitikkan air mata bila membaca Al-Quran nuq Karim. 

Dalam Al-Quran disebut bahawa Allah menjadikan seseorang itu tertawa atau menangis bila akan ketawa atau menangis? Kita mengadu kepada Allah SWT kerana tidak pernah menangis kerana takut kepada Allah SWT, tapi menangis mungkin kerana barang berharga hilang, mungkin handphone hilang, mungkin tak berjaya dalam exam atau perkara-perkara yang bersifat keduniaan. Bila kita menangis kerana kita tidak kusyuk kepada Allah SWT? Bila kita menangis kerana membaca Al-Quran tetapi tidak menginsafi kandungannya?

Allah SWT berfirman dalam Al-Quran menceritakan tentang segolongan as-sahabat yang duduk bersama, lalu berbicara dan gelak ketawa sehingga didengari Rasulullah ﷺ. Lalu baginda keluar menghampiri mereka dan perkata, Adakah kamu sudah menjamin untuk kamu memasuki syurga sehingga kamu masih sempat untuk ketawa sekarang ini? Subhanallah, sahabat itu bukan ketawa untuk perkara yang mungkar tapi kedudukan mereka itu dididik oleh Rasulullah ﷺ agar tidak lalai daripada mengingati Allah SWT. Allah SWT menegur mereka kerana mereka orang yang mulia disisi Allah SWT. Oleh kerana kemuliaan mereka itulah Allah ingin mereka melakukan perkara yang mulia yang tak boleh ditandingi mana-mana generasi. Para sahabat, diturunkan ayat menegur mereka dengan firman-Nya, Bukankah sudah tiba bagi orang-orang beriman, agar hatinya itu kusyuk (tersentuh, sejuk) ketika berzikir (atau membaca Al-Quran) kepada Allah SWT.

Hati ini bila tidak diberi penawarnya atau ubatnya akan menjadi keras sehingga hati itu berpenyakit. Kata baginda Rasulullah ﷺ, Hati ini boleh menjadi keras dan berkarat sebagaimana karatnya besi, dan untuk menghilangkan karatnya adalah dengan membaca Al-Quran.Jadi, berapa banyak kita membaca Al-Quran nul Karim? Semakin kurang orang membaca Al-Quran, secara tidak sedarkan diri semakin tebal karatnya di dalam hatinya sehingga tak terasa hati itu sakit, walaupun diselimuti, dipenuhi dengan penyakit, disebabkan sudah tebal, hatinya sudah keras sehingga tak tersentuh walau dengan apapun bacaan Al-Quran nul Karim.

Para as-sahabah dahulu menangis bilamana hatinya itu tak tersentuh dengan Al-Quran nul Karim. Kalau kamu tak mampu menitiskan air mata dalam keadaan takut kepada Allah SWT, berpura-puralah kamu menangis sebagai adab kepada Al-Quran kerana orang yang tidak tersentuh dengan Al-Quran seolah-olah sudah terjamin keselamatannya. Para sahabah yang ketawa ditegur oleh Allah Ta'ala agar tidak lalai.

Sesungguhnya pada hakikatnya buta itu bukan buta pada mata, tapi buta yang sebenar ialah buta di dalam hati. Penyakit-penyakit di luar sana banyak memutuskan hubungan hati ini dengan Allah SWT, daripada perkara yang melalaikan kita daripada hal keduniaan. Kita mengharapkan moga-moga dengan majlis seumpama ini perkara tersebut dihilangkan oleh Allah Ta'ala dan tidak lagi perkara-perkata keduniaan menghalang untuk kita mengingat kepada Allah SWT kerana hati yang selamat, bersih dan hidup sahaja yang bermanfaat kepada tuannya nanti di hati kiamat.

Tiada yang mendatangkan manfaat nanti di hari kiamat kecuali orang yang datang kepada Allah dengan hati yang selamat. Yakni hati yang tiada hasad dengki, tiada benci, tiada buruk sangka, tidak syirik kepada Allah SWT atau tidak suka kepada orang lain. Dalam Al-Quran, Allah SWT menunjukkan bagiamana anugerah yang besar yang diberikan kepada orang yang beriman bilamana hatinya itu dihidupkan oleh Allah SWT. Jasad ini hanya umpama sangkar yang menempatkan ar-ruh, tetapi hakikat kehidupan manusia bukan hanya dapat berjalan di atas muka bumi ini kerana kita berkongsi dengan orang kafir, dengan haiwan dalam berjalan di atas muka bumi ini. Allah SWT membezakan orang beriman dan tidak beriman yang berjalan di atas muka bumi ini. Orang yang tidak beriman diumpamakan mati walaupun hidup berjalan di muka bumi, yang beriman dikatakan hidup. Allah berfiman Adakah orang yang mati, Kami hidupkan dan Kami jadikan cahaya untuk dia berjalan di tengah-tengah manusia sama dengan orang yang berada dalam kegelapan (orang yang tidak hidup)?

Apa makna Kami dihidupkan? Dihidupkan hatinya, jiwanya dengan cahaya iman. Orang yang hidup dengan iman tak sama dengan orang yang hidup dalam kegelapan. Moga-moga kita termasuk hati orang yang diberi cahaya oleh Allah SWT, supaya tidak sama dengan orang yang seumpama mayat berjalan kerana hatinya tiada iman, (cahaya). Nabi Muhammad ﷺ diberi satu anugerah, yang anugerah itu diminta oleh Nabi Musa. Nabi Musa meminta agar dilapangkan dadanya, tetapi Rasulullah ﷺ, Allah berfirman, Bukankah Aku lapangkan dada(hati) kamu.. sehingga dadanya paling lapang, hati dan jiwanya paling bersih. Allah SWT hanya memandang kepada hati-hati yang bersih, dan tiada sesiapa yang boleh melebihi hati Rasulullah ﷺ, maka diberikan dahulu kepada Nabi Muhammad ﷺ sehingga beliau digelar Tholibul Qulub (Doktor Hati) kerana hati baginda diubati Allah SWT.

Allah SWT memberikan perumpamaan kehidupan dalam syurga itu realitinya ada contoh di dunia bagi yang mahu hidup seperti di syurga, walaupun hidup di dunia. Apakah kehidupan di dunia yang menyerupai kehidupan orang di syurga? Ketika menceritakan orang yang masuk ke syurga, Allah SWT mengatakan yang hati mereka yang masuk syurga dicabut sifat hasad-dengki agar mereka saling bersaudara, tiada benci, marah atau pandang rendah pada orang lain. Orang yang mahu bersihkan hatinya supaya tiada benci, tiada hasad, tiada marah dsb kepada orang lain adalah berada di syurga dunia sebelum syurga akhirat, yang mana baginda Rasulullah ﷺ memberikan perumpamaan kepada para sahabah, Adakah kamu ini lemah untuk menjadi seorang seperti Abu Dhom-Dhom? Subhanallah, Abu Dhom Dhom ialah seorang yang tidak dikenali as-sahabat, tetapi Nabi tahu kerana Yang Maha Mengetahui memberitahu kepada Nabi ﷺ. Abu Dhom Dhom ialah seseorang yang setiap kali keluar daripada rumahnya berdoa, Ya Allah, aku bersedekah dengan kehormatanku dan maruahku dan aku tidak akan tuntut siapa saja orang yang buat kejahatan kepadaku. Aku tidak akan tuntut kepada mereka. Dia memaafkan kepada semua orang, dan tidak mahu ada perasaan benci atau marah dalam hatinya.

Kata Nabi ﷺ, Jangan ada seorang pun daripada kamu yang menyampaikan kepada aku tentang yang tidak baik tentang sahabat-sahabat aku kerana aku ingin setiap keluar dari rumah dalam keadaan hati ini selamat (tidak punya perasaan tidak suka kepada orang lain). Kalau ada orang menyampaikan kepada Rasulullah ﷺ tentang perbuatan fulan atau fulan begitu dan begini, dan bila berjumpa, baginda akan teringat maklumat yang diberikan, maka akan ada sesuatu yang tidak selesa dalam hati Rasulullah ﷺ. Apa maksud hadis ini selain daripada kemuliaan para sahabat yang tidak boleh disebut keburukannya, juga ingin melihat sebab kenapa Rasulullah ﷺ mengatakan sedemikian. Saya ingin keluar rumah dengan hati yang selamat tidak mahu punya perasaan buruk terhadap sahabatnya. Tetapi hari ini orang bersaing menyebarkan keburukan orang lain menggunakan SMS, Whatsapp, facebook dan dihantar dengan gambarnya dan videonya sekali. Orang tidak bermuhasabah yang perbuatannya menanam kebencian kepada orang ramai yang menerimanya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah Ta'ala. Kita adalah dipertanggungjawabkan dengan setiap apa yang kita buat. Apa yang kita buat, itu yang kita tanggung. Hisablah diri kamu ketika kamu di dunia sebelum kamu dihisab nnt diakhirat. Orang yang bermuhasabah di dunia akan ringan hisabnya di akhirat. Orang yang tidak bermuhasabah di dunia akan berat hisabnya di akhirat. Oleh itu perlunya bermuhasabah dalam berhubungan dengan orang lain.

Keesokannya Rasulullah ﷺ bertanya, Siapa yang semalam dia bersedekah dengan maruahnya? Abu Dhom-Dhom menjawab, Ana, ya Rasulullah. Rasulullah ﷺ menyambung, Allah SWT telah menerima sedekah kamu. Apa sedekah Abu Dhom Dhom? Sedekah untuk tidak mahu mempunyai perasaan tidak suka kepada orang lain. Tetapi zaman kita ini zaman membakar api kemarahan, kebencian antara satu dengan yang lain. Akan kamu ditimpa penyakit yang menimpa umat-umat sebelum kamu iaitu al-hasad dan benci kepada orang lain. Itu semua adalah pencukur, bukan pencukur rambut, tapi pencukur agama! Bukankah dengan hasad orang membunuh? Dengan benci orang membunuh. Dua penyakit ini membawa kepada melakukan dosa yang besar. Seseorang tidak lagi berfikiran waras, dan bertindak di luar kawalan.

Dalam majlis sebegini, kita ingin meraih daripada Allah SWT satu pemberian yang amat besar yang diberikan kepada para anbiya, serta orang-orang yang bertaqwa, yang kita berharap moga Allah sucikan, dan lembutkan hati kita, sucikan jiwa kita untuk tidak ada di dalamnya benci, dengki, buruk sangka kepada orang lain, dijadikan tubuh badan ini pintu untuk kita sentiasa hampir dan mengingat kepada Allah, dijadikan mata ini adalah dapat menitiskan air mata kerana takut kepada Allah, dijadikan telinga ini sebagai laluan yang mendengarkan ayat-ayat Allah dan bacaan yang mengingatkan hati kita kepada Allah Ta'ala, lisan ini basah kerana berzikir kepada Allah, yang kesemua daripada ini menjadi penawar kepada hati kita. Demikian yang kita harapkan kepada Allah SWT sehingga tiba satu hari nanti kita berjumpa dengan Allah dalam keadaan hati kita selamat, bersih, InshaAllah.

*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallahu'alam. 


Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab