Mencari tempat solat di Raudhah untuk jemaah wanita.


Setiap jemaah yang pernah sampai ke Masjid Nabawi pastinya tidak akan melepaskan peluang melawat makam Rasulullah SAW dan sahabatnya, Khalifah Abu Bakar dan Khalifah Umar. Di samping masuk untuk memberi salam kepada tiga pemimpim agung Islam ini, setiap yang datang pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk berdoa di satu kawasan yang dijanjikan Nabi sebagai satu taman daripada syurga atau lebih dikenali sebagai Raudhah. Paling indah jika doa itu dapat didahului dengan solat sunat dua rakaat terlebih dahulu.
Mimbar Nabi di Raudhah – sumber Google

Namun, bagi yang telah berpengalaman sampai ke Madinah, anda pasti maklum yang waktu dan ruang untuk jemaah wanita melawat Raudhah agak terbatas berbanding dengan jemaah lelaki. Oleh itu daripada pemerhatian dan pengalaman saya yang sangat-sangat terbatas ini, saya ingin berkongsi sedikit panduan untuk mencari ruang agar dapat melakukan solat sunat dan berdoa di Raudhah. Pengalaman setiap orang mungkin berbeza, jadi diharapkan apa yang saya kongsi di sini dapat memberi kebaikan pada semua, jika ada kesilapan saya mohon maaf.

Ketika saya melakukan ziarah pada Februari 2012 yang lalu, waktu masuk ke Raudhah untuk jemaah wanita adalah pada selepas solat Subuh, selepas solat Zohor dan selepas solat Isyak berjemaah. Cara mudah untuk bertanyakan sama ada Raudhah akan dibuka atau tidak (untuk kita yang tidak tahu berbahasa Arab ini :)) ialah dengan bertanyakan kepada pekerja Masjid Nabawi yang berasal dari Indonesia. Bilangan mereka agak ramai di sana dan mudah ditemui.

Lokasi berkumpul sebelum dibenarkan masuk ialah di dalam kawasan berpagar 'Women without children' di dalam kawasan solat jemaah wanita. Maaf saya tidak dapat sempat mengambil gambar kerana takut kamera dirampas oleh pihak pengawal masjid. Kebiasaannya jemaah wanita akan diminta berkumpul mengikut negara masing-masing sebelum dilepaskan masuk ke dalam Raudhah secara berkumpulan. Jemaah dari Malaysia dan Indonesia biasanya akan dikumpulkan sekali. Walaupun pihak masjid cuba mengatur kemasukan jemaah, hakikatnya terlalu ramai yang ingin masuk dan keadaan akan menjadi terlalu berasak-asak sehinggakan amat sukar untuk mencari ruang untuk sujud sebentar.

Jadi saya nasihatkan jangan bergerak sekaligus dalam kumpulan yang terlalu besar. Jika kumpulan besar, cuba pecahkan kepada beberapa pasangan berdua sahaja. Ini boleh memudahkan pergerakan mencelah-celah di kala manusia ramai bertolak-tolak masuk ke Raudhah. Jangan takut hilang jika terpisah daripada pasangan atau kumpulan. Hanya ada satu jalan keluar dari Raudhah, jadi jangan lupa berjanji untuk menunggu pasangan atau ahli kumpulan yang lain di jalan keluar ataupun bertemu di pintu masuk/keluar masjid.

Saya tidak ada pengalaman masuk ke Raudhah bersama jemaah Malaysia (saya kurang sabar untuk menunggu), jadi tidak dapat saya kongsi di sini berapa lama waktu menunggu dan kesesakan yang bakal di alami. Saya bergerak bersendirian dan duduk bersama kumpulan orang Arab yang menjadi kumpulan pertama dibenarkan masuk. Risiko masuk bersama orang Arab ialah saiz mereka agak besar dan tegap berbanding kita, jadi perlu pantas bergerak dan banyakkan berdoa dalam hati semoga dipermudahkan oleh Allah.

Di bawah ada saya lakarkan secara kasar gambarajah aliran masuk dan keluar jemaah ke kawasan Raudhah. Petak hijau melambangkan karpet hijau yang menandakan kawasan Raudhah. Petak merah melambangkan karpet merah yang bukan lagi kawasan Raudhah.

Laluan jemaah wanita masuk ke Raudhah

Kawasan A paling sesak kerana orang saling tolak-menolak untuk masuk sedangkan ramai jemaah cuba mengambil peluang untuk berhenti dan solat sunat di situ. Para pengawal masjid sendiri akan melarang untuk solat tetapi apalah dayanya melawan ratusan manusia yang sangat dahagakan syafaat dan janji benar Nabi SAW ini. Saya pernah juga untuk cuba solat di sini tetapi tidak berjaya dan memang bahaya. Saya nasihatkan jemaah lain jangan cuba berbuat demikian. Ada kemungkinan besar kita akan dipijak ketika sujud dan perlu diingatkan lagi sekali yang kita ini berbadan kecil berbanding jemaah Turki dan Arab. Cara terbaik melalui kawasan ini daripada pemerhatian saya ialah sekadar beri salam kepada Rasulullah, Abu Bakar dan Umar dan berdoa sambil berjalan, jika tidak dapat berhenti dan terus berjalan keluar dari kawasan raudhah ke kawasan karpet merah. Ya, betul, berjalan terus keluar ke karpet merah. Jadi macam mana nak solat dan berdoa di Raudhah? Perhatikan aliran jalan keluar A-B-C-D-E. Jalan di A-B-C paling sesak kerana ramai orang cuba solat. Tetapi di kawasan D & E, kawasan lebih lengang kerana orang tidak mahu keluar daripada Raudhah. Perhatikan juga yang F juga ialah kawasan Raudhah. Jadi ketika berada di D atau E, perhatikan tempat kosong di G dan segera masuk semula ke situ untuk solat sunat dan berdoa.

Kebiasaannya kedudukan pengawal berada di kawasan yang saya tanda dengan bulatan hitam. Tugas utama mereka adalah untuk meminta jemaah tidak solat dan sekadar ziarah mengucapkan salam sahaja. Jadi ketika telah keluar dari raudhah, pandai-pandailah 'berlegar-legar' di situ sebelum disuruh keluar oleh pengawal. Pernah juga kerana keadaan yang agak sesak sehingga saya mengambil keputusan untuk menunggu sambil membaca Al-Quran. Alhamdulillah, selepas seketika, Allah permudahkan ruang untuk saya solat dan berdoa. Perlu juga diingatkan jika tiada juga ruang untuk bersolat, memadailah jika dapat berhenti sejenak di raudhah dan berdoa. Sebagai alternatif boleh juga solat di kawasan karpet merah dan melintas sebentar untuk berdoa selepas solat di karpet hijau. Semoga di samping kita mengejar janji keberkatan berdoa di Raudhah, kita tidak lupa menjaga akhlak agar kita nanti tidak malu untuk menghadap Rasulullah SAW.

Raudhah (karpet hijau) dan luar Raudhah (karpet merah) - sumber Google

Alternatif kedua untuk masuk ke Raudah adalah menggunakan jalan keluar – ini biasanya lebih mudah kerana jalan sangat lengang berbanding jalan masuk. Cuma risikonya di sini adalah ada kemungkinan akan ada pengawal yang menjaga jalan keluar ini, jadi sebab itu pergerakan berseorangan atau berdua-dua lebih mudah berbanding bergerak dalam kumpulan besar. Jalan keluar dari raudhah ini adalah melalui jalan di sebelah kanan, di luar pagar 'Women without children'. Jika menggunakan jalan ini, anda akan sampai terus ke kawasan E. Apabila anda mendapati pintu raudhah telah dibuka untuk jemaah wanita, bolehlah mencuba bergerak mengikut jalan songsang daripada luar kawasan berpagar “Women without children”. Saya berpengalaman sekali mengikuti jalan ini, kami pergi lebih kurang jam 8 pagi (selepas pulang ke hotel dan sarapan dahulu) dan Alhamdulillah Allah mengizinkan kami masuk dengan mudah tanpa perlu berasak-asak.

Sebagai kesimpulan, ingin juga diingatkan agar para jemaah berlaku adil pada orang lain yang juga mencari ruang utuk solat dan berdoa di raudhah. Oleh itu janganlah mengambil masa yang terlalu lama di raudhah dan berilah juga ruang pada orang lain yang juga punya hajat untuk merayu pada Ilahi. Semoga ada kebaikan daripada panduan yang saya kongsikan di sini. Jika ada fakta yang tidak betul, harap sudi beri teguran.

Update: Perkongsian daripada rakan-rakan yang masuk bersama jemaah Malaysia dan Indonesia - Ada pembimbing yang akan beri tazkirah semasa menunggu giliran masuk. Jemaaah Malaysia/Indonesia meruapakan kumpulan terakhir masuk kerana tahap kesabaran orang kita yang lebih tinggi. Jadi mungkin boleh pulang ke hotel dulu untuk makan sebelum datang semula ke masjid.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab